Latest Updates

Pendarahan Ketika Kehamilan

Pendarahan yang berlaku ketika hamil perlu diberikan perhatian wajar agar keadaan tersebut tidak membahayakan diri anda. Ketahuilah bahawa, pendarahan walaupun sedikit, membawa perkhabaran bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada kandungan anda. Diakui, bagi sesetengah wanita, pendarahan pada peringkat awal kehamilan tidak membawa sebarang komplikasi dan akan berhenti apabila usia kandungan semakin meningkat.

Akan tetapi, ada kalanya pendarahan ini adalah tanda amaran terhadap masalah yang dihadapi. Dianggarkan, di antara 20 hingga 30 peratus ibu hamil mengalami pendarahan pada peringkat awal kehamilan. Pendarahan yang berlaku itu ada kalanya hanya tompokan dan ada juga yang banyak seperti datang haid. Tompokan darah biasanya akan keluar pada sekitar 6 hingga 12 hari selepas persenyawaan berlaku. Ketika ovum yang sudah disenyawakan mula menempatkan dirinya pada uterus. Pun begitu, tanda-tanda yang dialami antara seorang wanita dengan wanita lain adalah berbeza.

Selain itu, darah yang keluar mungkin disebabkan oleh jangkitan yang berlaku pada pelvik ataupun pundi kencing. Ada kalanya darah turut keluar selepas ibu hamil melakukan hubungan kelamin kerana ketika mengandung, serviks menjadi lembut dan sensitif. Jika hal ini berlaku pada anda, elakkan melakukan hubungan kelamin buat sementara waktu iaitu sehingga pendarahan berhenti.

Atas alasan dia atas, dinasihatkan kepada ibu-ibu hamil agar tidak memandang ringan jika ada darah yang keluar dari faraj ketika hamil terutamanya pada peringkat awal kehamilan. Langkah pertama yang mesti diambil ialah berjumpa doktor pakar untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Selain daripada pendarahan pada peringkat awal kehamilan, ada sesetengah ibu hamil mengalami pendarahan pada trimester kedua dan ketiga. Jika hal ini berlaku, berhati-hatilah kerana masalah yang dihadapi mungkin serius.

Untuk pengetahuan, pendarahan pada peringkat awal kehamilan mungkin disebabkan oleh beberapa perkara. Antaranya ialah keguguran, kehamilan luar rahim dan kehamilan anggur.

Manakala, pendarahan pada peringkat seterusnya iaitu trimester kedua dan ketiga pula mungkin akibat masalah Plasenta Praevia, Accidental Haemorrhage ataupun Incidental Bleeding.

Akan tetapi, jika ada tompokan darah pada peringkat akhir kehamilan, jangan risau kerana ini adalah tanda-tanda yang anda sudah hampir untuk bersalin. Namum demikian, sekiranya masalah ini berlaku ketika usia kandungan kurang daripada 37 minggu, segeralah berjumpa doktor kerana anak anda mungkin lahir tidak cukup bulan. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, doktor akan memberikan rawatan yang sewajarnya.

Info

Pendarahan yang berlaku pada fasa akhir kehamilan mendedahkan wanita kepada risiko kehilangan bayi dalam kandungan dan pendarahan yang melampau.

0 Response to "Pendarahan Ketika Kehamilan"

Post a Comment