Archive for September 2010
Latest Updates

Lihat, Lihat, Lihat (3 - 6 Bulan)

  • Beberapa kajian menyatakan bahawa apabila bayi kerap diberi galakan untuk melihat objek-objek baru, maka lebih tinggi markah ujian kepintarannya apabila bayi mencecah umur 4 tahun.
  • Bawa bayi ke bilik yang berlainan dan di aras yang berlainan (seperti di atas lantai, kerusi dan katil) ini dapat memberikan perubahan yang besar terhadap apa yang dlihatnya.
  • Pilih 3 objek. Pegang satu objek di tangan dan beritahu nama objek tersebut. Buat perkara yang sama pada dua objek lain. Letakkan setiap objek di tangan bayi satu demi satu dan sebutkan nama objek tersebut sekali lagi.
  • Pada masa yang lain, apabila anda memberi objek yang sama kepada bayi, ulangi permainan ini.
  • Sebagai variasi permainan, letakkan objek di belakang anda dan katakan kepada bayi,"di manakah (nama objek) itu?" kemudian alihkan objek itu dari belakang anda dan katakan kepadanya, "ini dia!".

Cakap, Cakap, Cakap (3 - 6 Bulan)

  • Apabila mencapai peringkat umur lima hingga enam bulan, bayi bertindak balas dengan pelbagai syarat visual untuk memahami perkataan. Berbuallah dengan bayi anda dan sentiasa memberitahunya tentang perkara yang hendak anda lakukan.
  • Katakan kepada bayi, "Ibu akan mengangkat kamu". Kemudian depangkan tangan untuk menunjukkan syarat visual. Beritahu kepada bayi, "ibu akan meletakkan kamu", "ibu akan menukar lampin kamu", "ibu akan mencium kamu".
  • Selepas anda melakukannya buat beberapa ketika, selain menyebut keseluruhan ayat, sebutkan satu perkataan sahaja, seperti "angkat", "letak" dan sebagainya.
  • Lama-kelamaan bayi akan bertindak balas dengan syarat yang anda berikan. Apabila anda mendepangkan tangan dan menyebut "angkat" setiap kali anda ingin mengangkat bayi, lama-kelamaan bayi anda anda juga akan mendepangkan tangan apabila anda berbuat demikian.

Berbual Dengan Bayi (3 - 6 Bulan)

  • Duduk bersama-sama bayi anda dan pandang ke arah matanya. Mulakan perbualan tentang apa sahaja. Contohnya, berbual tentang apa yang akan disediakan untuk makan malam, tentang ahli keluarga, atau apa sahaja yang berkaitan dengan bayi anda.
  • Apabila bayi memberi tindak balas seperti mengagah atau membuat bunyi-bunyi lain, tiru bunyi-bunyian itu dan masukkan dalam perbualan anda.
  • Walaupun bayi tidak dapat memahami ke semua perkataan, ia akan membantu bayi mempelajari perkataan-perkataan baru yang akan menjadi asas kepada perkembangan bahasanya.
  • Apabila bayi semakin membesar, anda pasti teruja apabila mendengar bayi menyebut kosa kata yang dipelajari.

Mengetuk (3 - 6 Bulan)

  • Bayi memang suka mengetuk barang-barang. Aktiviti ini dapat meningkatkan pendengaran dan kemahiran mendengar bayi.
  • Masa makan menyediakan peluang yang baik untuk menggalakkan kemahiran ini.
  • Dudukkan bayi di atas kerusi tinggi dan berikan sebatang sudu kayu kepadanya. Lihat bagaimana bayi terus mengetuk apa sahaja yang berada di sekelilingnya.
  • Ambil sebatang sudu kayu yang lain dan sertai keseronokan itu bersama-sama bayi anda.
  • Ketika anda mengetuk bersama-sama bayi anda, sebutkan "ketuk, ketuk, mengetuk".
  • Permainan ini sangat menyeronokkan, selain meningkatkan kemahiran mendengar bayi.

Capai Dan Sentuh (3 - 6 Bulan)

  • Ikatkan sehelai skaf di leher anda dan biarkan hujungnya terjuntai ke hadapan.
  • Dekati bayi anda supaya dia dapat melihat muka anda dan mencapai skaf tersebut.
  • Goyangkan skaf perlahan-lahan untuk menarik perhatiannya. Pegang tangan bayi menggunakan skaf.
  • Ketika bayi mencapai skaf itu, senyum dan berbuallah dengannya untuk memberitahu betapa gembiranya anda dengan apa yang dilakukannya.

Serangga Sudah Datang (3 - 6 Bulan)

  • Dudukkan bayi di atas kerusi atau lantai dalam keadaan menghadap anda.
  • Gerakkan jari tangan anda melalui kerusi atau lantai sehingga menghampiri bayi.
  • Ketika anda menggerakkan jari, sebutkan, "serangga sudah datang".
  • Apabila jari anda sudah menghampiri bayi, lompatkan jari anda ke kaki atau tangannya.
  • Ketika tangan anda menerkam ke arah bayi, sebutkan perkataan "lompat".

Terbang Bayi Terbang (3 - 6 Bulan)

  • Dudukkan bayi di atas lantai dalam posisi bayi menghadap anda. Sokong badan bayi dengan meletakkan tangan anda di bawah lengannya dan di sekeliling dadanya dengan kemas.
  • Tanya kepada bayi anda, "Anda sudah bersedia untuk terbang?" Kemudian berkata, "Mari. Satu, Dua Tigaaaa!"
  • Pada perkiraan ketiga, angkat bayi perlahan-lahan sambil baringkan badan anda ke belakang.
  • Dalam keadaan berbaring sambil memegang bayi, sebutkan "Tinggi di langit:, "Terbang bayi terbang", "Wiiii" atau apa saja yang anda boleh fikirkan.
  • Permainan ini juga dapat membantu menguatkan otot belakang anda.

Timang Tinggi Tinggi 3 - 6 Bulan)

  • Pegang bayi di bawah lengannya.
  • Timang bayi ke atas dan ke bawah sambil menyanyikan lagu yang popular ini.
Timang Tinggi Tinggi
Sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi
Sudah pandai baca kitab
  • Kemudian cium perut bayi. Dia pasti gembira melakukan permainan ini.

Keseronokan Bergolek (3 - 6 Bulan)

  • Baringkan bayi di sebelah anda di atas permukaan yang lembut.
  • Pilih dua buah mainan yang berwarna-warni yang dapat menarik perhatian bayi.
  • Letakkan salah satu mainan di setiap sisi bayi.
  • Katakan kepada bayi, "Tiba masanya untuk bergolek".
  • Golekkan badan bayi di satu sisi secara perlahan-lahan supaya bayi dapat melihat mainan itu, mencapainya dan memberi tindak balas.
  • Kemudian golekkan badan bayi di sebelah yang satu lagi supaya bayi dapat melihat mainan yang lain.
  • Permainan ini dapat menggalakkan bayi bergolek dari satu sisi ke sisi yang lain.

Tendangan Kaki (3 - 6 Bulan)

  • Baringkan bayi anda secara menelentang.
  • Pegang kaki bayi pada buku lalinya dan lipatkan kakinya.
  • Luruskan kaki bayi satu demi satu dan ulangi pergerakan menendang ini beberapa kali.
  • Kemudian baring di sebelah bayi dan lakukan aktiviti tendang-menendang bersama-sama bayi anda.
  • Nyanyikan sebuah lagu sambil melakukan senaman ini supaya lebih menyeronokkan.

Si Kucing Kecil (3 - 6 Bulan)

  • Bayi suka bermain dengan jari-jemarinya sendiri. Sentuh setiap jari jemari bayi sambil mengungkap puisi ini:
si kucing kecil pergi ke pasar
si kucing kecil tinggal di rumah
si kucing kecil makan ikan
si kucing kecil tidak mendapat apa-apa
dan si kucing kecil berkata, miau miau miau.
  • Sebelum anda menyebut, "miau, miau, miau" perlahankan bacaan untuk membina unsur-unsur suspens. Kemudian sebut ayat itu lebih laju daripada ayat-ayat yang lain.
  • Ketika menyebut "miau, miau, miau", anda boleh menggeletek bayi, menari sambil memegangnya atau menggoyangkan tangan dan kaki bayi dengan lembut.
  • Anda juga boleh menyebut "miau, miau, miau" dengan nada suara yang berlainan, sama ada tinggi, rendah, gembira, sedih dan sebagainya.

Sentuh Jari Kamu (3 -6 Bulan)

  • Pegang tangan bayi dan urutkan tangannya perlahan-lahan sambi menyebut, "jari tangan".
  • Urut jari kaki bayi perlahan-lahan sambil menyebut, "jari kaki".
  • Letakkan jari tangan bayi ke atas jari kakinya.
  • Tepukkan jari tangannya ke atas jari kaki dan sebutkan, "jari tangan atas jari kaki, jari tangan atas jari kaki".
  • Kira jumlah jari tangan atau jari kaki bayi bersama-samanya.

Mencapai Objek (3 - 6 Bulan)

  • Pada peringkat ini, bayi suka mencapai sesuatu benda. Ia merupakan peluang yang baik untuk memperkenalkan bayi kepada ativiti fizikal yang dapat membantu pembesarannya.
  • Dudukkan bayi di riba anda dan berikan mainan kegemarannya untuk dipegang.
  • Main bersama-sama bayi sambil berbual-bual dengannya, goncangkan mainan dan lakukan aktiviti-aktiviti lain yang menyeronokkan.
  • Kemudian ambil mainan itu dan letakkannya lebih tinggi dari jangkauan tangan bayi anda. Galakkan bayi mencapai mainan itu. Aktiviti ini dapat menguatkan otot bayi.
  • Pastikan anda memberi pujian dan berikan mainan itu kepada bayi setiap kali dia berjaya mencapainya.

Membelai Bayi (3 - 6 Bulan)

  • Bayi mengenali hubungan melalui derianya.
  • Sentuhan sangat penting untuk merangsang otak bayi merembeskan hormon pembesarannya.
  • Belai kepala bayi anda sambil berkata, "Ibu suka kepala kamu".
  • Belai belakang bayi sambil berkata, "Ibu suka belakang kamu".
  • Teruskan membelai dan sebutkan bahagian-bahagian badan yang anda sentuh.
  • Interaksi yang penuh kasih sayang ini akan membantu bayi berasa lebih selamat dan berasa sentiasa dilindungi.

Berenanglah Si Ikan Kecil (3 - 6 Bulan)

  • Permainan ini seronok dimainkan di dalam tab mandi atau di kolam renang.
  • Gerakan tangan di dalam air seperti seekor ikan sambil menyanyikan lagu ini:
Ikan kekek mak iloi iloi
Ikan gelama mak ilai ilai
Sungguh cantik adikku amboi
Tapi ketawa mengilai-ngilai

Ikan kekek mak iloi iloi
Ikan gelama mak ilai iali
Kalau adik nak jadi pandai
Mari belajar janganlah lalai
  • Percikkan air ke arah bayi anda secara perlahan-lahan sambil menyanyi.

Masa Untuk Tidur (3 - 6 Bulan)

  • Dodoikan bayi anda sambil menyanyikan lagu ini:
Tidurlah anakku sayang,
Tidurlah anakku sayang,
Tidurlah anakku sayang,
Ini ciuman untukmu sayang.

  • Apabila anda menyebut "Tidurlah anakku sayang", ayunkan bayi ke belakang dan ke hadapan atau bergerak sekeliling bilik dengan gerakan yang perlahan.
  • Cium bayi di bahagian berlainan setiap kali anda menyebut "ini ciuman untukmu sayang".
  • Teruskan menyanyi lagu tersebut dengan menyebutkan bahagian badan bayi yang lain. Contohnya:
Tidurlah jari kaki yang kecil ....
Tidurlah jari tangan yang kecil ....
Tidurlah perut yang kecil ....

Permainan Boneka (0 - 3 Bulan)

  • Sarungkan boneka ke jari telunjuk anda. Gerakkan boneka itu sambil menyebut nama bayi anda.
  • Gerakkan boneka itu ke atas dan ke bawah. Perhatikan sama ada bayi dapat mengikut pergerakkan ini atau tidak.
  • Gerakkan boneka itu dalam satu bulatan secara perlahan-lahan.
  • Setiap kali bayi dapat mengikut pergerakkan ini, cuba pergerakkan yang lain pula.

Permainan Lampu Suluh (0 - 3 Bulan)

  • Permainan ini merupakan satu lagi cara untuk merangsang penglihatan bayi anda.
  • Dukung bayi di dalam bilik yang gelap.
  • Gerakkan lampu suluh dan biarkan bayi mengikut cahaya tersebut dengan matanya.
  • Halakan cahaya lampu suluh ke tangan atau kaki anda.
  • Bayi baru lahir memerlukan rangsangan penglihatan untuk membina hubungan sel-sel otak. Sel-sel otak bayi perlu berhubung sebelum bayi berumur lapan bulan.

Apakah Yang Boleh Saya Lihat (0 - 3 Bulan)

  • Setiap kali anda menukar persekitaran bayi anda, sebenarnya anda telah memberi peluang kepadanya untuk melihat perkara-perkara yang baru. Ia juga dapat meningkatkan perasaan ingin tahu dan kepekaan bayi terhadap persekitarannya.
  • Dukung bayi anda dengan tinggi supaya dia dapat melihat persekitaran melalui bahu anda. Jalan sekeliling bilik dan berhenti di tempat-tempat yang mempunyai objek berwarna terang atau berbentuk menarik.
  • Biarkan bayi melihat objek tersebut untuk beberapa minit.
  • Apabila anda menurunkan bayi, pastikan terdapat sesuatu yang menarik perhatiannya.

Keseronokan Cermin () - 3 Bulan)

  • Letakkan bayi ke dalam katil bayi. Kepala bayi anda boleh menghadap ke atas atau ke tepi.
  • Letakkan cermin yang tidak mudah pecah di tepi katil.
  • Berbuallah dengan bayi anda dan apabila anda pasti bahawa dia boleh mendengar suara anda, ketukkan jari ke cermin untuk menarik perhatiannya.
  • Cermin itu akan menjadi sesuatu yang menarik untuk dilihat ketika bayi sedang baring di atas katilnya.

Melihat Dunia (0 - 3 Bulan)

  • Letakkan bantal di bawah dada bayi untuk memudahkan bayi mendongak dan melihat sekeliling.
  • Susunkan mainan-mainan yang menarik perhatian di hadapan bayi.
  • Letakkan cermin yang tidak boleh pecah di hadapan bayi supaya dia dapat melihat "bayi yang lain".
  • Ketika bayi sedang meniarap, dunianya adalah terhad. Bayi boleh menggunakan tangannya untuk meneroka dan menyentuh benda yang ada di sekelilingnya apabila badannya diangkat sedikit.
  • Ketika bayi dalam kedudukan terangkat itu, ceritakan kepada bayi tentang semua benda yang dilihatnya.

Main Sorok-Sorok (0 - 3 Bulan)

  • Permainan ini merupakan latihan yang baik untuk mengkoordinasi bunyi dan penglihatan.
  • Semasa bayi berada di atas katil, anda pergi ke tempat lain dan panggil namanya. Pergi kembali ke tempat bayi dan sebutkan namanya sambil mengusap-usap kepalanya.
  • Kemudian pergi ke tempat lain pula dan panggil nama bayi anda.
  • Apabila kembali semula ke tempat bayi, sebut namanya sambil mengusap-usap kepalanya.
  • Ketika anda memanggil nama bayi semasa berada di tempat lain, bayi akan menggerakkan matanya untuk mencari bunyi itu. Apabila anda kembali ke tempatnya, anda mendapati bayi dapat mendengar suara yang datang dari dekat mahupun jauh.

Permainan Bahasa (0 - 3 Bulan)

  • Otak bayi akan memberi respons kepada setiap bunyi yang dihasilkan oleh sebarang bahasa. Oleh itu, peringkat ini merupakan waktu yang sesuai untuk memperkenalkan bunyi dari bahasa lain.
  • Pilih perkataan seperti "helo" dan belajar menyebutnya dalam bahasa lain. Contohnya, setiap hari anda menyapa bayi dengan perkataan "hello" dalam bahasa Inggeris atau "hola" iaitu "hello" dalam bahasa Sepanyol. Anda boleh memilih sebarang bahasa yang anda suka.
  • Pilih satu perkataan yang berkaitan dengan apa yang bayi anda lakukan pada setiap hari. Sebut dalam Bahasa Melayu, kemudian terjemahkan ke dalam Bahasa Asing.
  • Mulakan setiap hari dengan perkataan atau ayat, seperti "mimum", "makan", "Saya Sayang Awak", bahagian-bahagian badan atau nama-nama binatang dan sebagainya.

Belajar Dengan Lagu (0 - 3 Bulan)

  • Mendengar lagu bersama-sama bayi merupakan cara yang sesuai untuk mengeratkan hubungan anda dengan bayi. Ia juga dapat menggalakkan perkembangan otak bayi.
  • Mainkan muzik instrumental sambil mendodoikan bayi anda mengikut alunan muzik itu.
  • Usap kepala dan belakang bayi serta rapatkan mukanya dengan muka anda.
  • Tutup muzik dan bisikkan kata-kata sayang ke telinganya.
  • Mainkan semula lagu itu dan teruskan mengusap kepala dan belakang bayi.

Mendengar Bunyi (0 - 3 Bulan)

  • Usahakan secara fokus untuk meningkatkan kemahiran mendengar bayi bagi membantunya menyebut perkataan dengan lebih mudah.
  • Tiarapkan bayi di atas lantai. Baring di sebelahnya dan nyanyikan sebuah lagu.
  • Bayi akan menggerakkan kepalanya ke arah anda. Sekiranya dia tidak berbuat demikian, anda perlu bantu bayi menggerakkan kepalanya secara perlahan-lahan.
  • Kemudian anda perlu beralih pada bahagian bayi yang sebelah lagi dan lakukan perkara yang sama. Teruskan bermain aktiviti ini di tempat yang berbeza. Contohnya, lakukan ketika anda sedang duduk sambil memangku bayi atau ketika anda menukar lampinnya.
  • Anda boleh menggunakan rattles dan loceng untuk membuat bunyi sebagai tambahan kepada suara anda.

Berbualah Sebelum Tidur (0 - 3 Bulan)

  • Semakin banyak anda berbual dengan bayi, maka semakin cepat bayi anda belajar bercakap. Apabila tiba waktu tidur, suara yang lembut dan kata-kata yang indah membantu bayi tidur dengan lebih mudah.
  • Ucapkan sesuatu seperti "Selamat Malam, anakku yang comel," atau "Rehat, rehat, rehatkanlah badanmu yang kecil".
  • Rapatkan bayi kepada anda dan usap kepalanya sambil berbual-bual dengannya.
  • Ketika meletakkan bayi ke atas katil, teruskan menyebut kata-kata yang dapat menenangkan bayi sambil membelainya.

Bunyi-Bunyian Dari Mulut (0 - 3 Bulan)

  • Tiru bunyi yang dikeluarkan dari mulut bayi. Aktiviti ini dapat merapatkan hubungan anda dan bayi.
  • Cuba lakukan cadangan-cadangan di bawah:
  1. Mencium bayi.
  2. Menjelir lidah.
  3. Membuat suara serak
  4. Membuat bunyi "ch ch".
  5. Masukkan jari telunjuk ke dalam mulut, kemudian tolak jari itu keluar untuk menghasilkan bunyi "pop".
  6. Meniup dan menyedut udara.
  7. Membuat bunyi "bab bab" dengan menggerakkan bibir ke atas dan ke bawah menggunakan jari telunjuk.

Keseronokan Lidah (0 - 3 Bulan)

  • Bayi akan meniru riak wajah dan bunyi yang anda buat.
  • Pangku bayi dan tarik perhatiannya.
  • Jelirkan lidah anda dan pada masa yang sama keluarkan pelbagai bunyi dari mulut anda.
  • Bayi akan cuba meniru aksi anda dengan membuka mulut dan menjelirkan lidahnya sendiri.
  • Cuba gerakkan lidah anda ke atas, ke bawah dan ke tepi. Lihat apa yang bayi anda lakukan!.

Lebah (0 - 3 Bulan)

  • Duduk di atas kerusi yang selesa sambil memangku bayi anda.
  • Angkat jari anda ke udara sambil membuat bunyi "buzzzzzz".
  • Gerakkan jari anda ketika menyebut bunyi itu.
  • Mata bayi akan mengikut "lebah" itu. Daratkan "lebah" ke badan bayi anda sambil menggeleteknya.
  • Ulang aktiviti ini beberapa kali.
  • Kemudian angkat jari bayi anda ke udara. Gerakkan jarinya sama seperti anda menggerakkan jari anda dan daratkannya ke pipi anda.
  • Bayi akan terhibur melakukan aktiviti ini.

Suara-Suara Berlainan (0 - 3 Bulan)

  • Bayi dapat membezakan bunyi yang berlainan bagi perkataan-perkataan yang didengarnya.
  • Berbual-bual dengan bayi anda menggunakan suara-suara yang berlainan dapat membantu bayi dalam proses membezakan bunyi-bunyian.
  • Bayi akan menumpukan perhatian sekiranya anda menggunakan suara yang lebih menghiburkan.
  • Pilih lagu-lagu pendek seperti "Twinkle Twinkle Little Star" atau "Mary had a Little Lamb".
  • Nyanyikan atau sebutkan perkataan-perkataan dengan cara yang berlainan seperti nada suara rendah, tinggi, perlahan, berbisik dan suara gembira.

Dengarkan Bunyi-Bunyian (0 - 3 Bulan)

  • Duduk bersama bayi di luar rumah berhampiran sebatang pokok supaya dia boleh mendengar bunyi pergerakan daun.
  • Ikatkan objek-objek ringan ke dahan pokok supaya bayi anda dapat mendengar pelbagai bunyi apabila angin bertiup ke arah objek-objek tersebut.
  • Loceng, bekas aluminium dan rantai kunci dapat menghasilkan bunyi-bunyian yang menarik apabila ditiup angin.
  • Ceritakan tentang bunyi-bunyian yang didengar oleh bayi anda. Gunakan perkataan seperti "lembut", "tinggi", "berbunyi" dan bunyi-bunyi lain yang boleh difikirkan. Bunyi-bunyi itu juga dapat menenangkan bayi anda.

Mainan Berbunyi (0 -3 Bulan)

  • Duduk di atas kerusi dan pangku bayi anda.
  • Picit satu permainan yang berbunyi.
  • Letakkan mainan itu di tangan bayi anda. Dia akan mencapainya sebagai satu tindakan refleks dan akan terkejut apabila mainan itu berbunyi apabila dipicit.
  • Berikan mainan itu kepada bayi dengan kerap, lama-kelamaan dia akan menyedari bahawa tangannya dapat membuatkan mainan itu berbunyi.

Tinggi Dan Rendah (0 - 3 Bulan)

  • Kebolehan yang paling ketara bagi bayi yang baru lahir ialah kebolehan memberi respons terhadap bunyi, termasuklah perbezaan antara bunyi perlahan dengan bunyi kuat.
  • Rapatkan bayi kepada anda dan sebut namanya dengan suara yang perlahan dan nyaring. Contohnya "Suzie, Suzie, Ibu sayang kamu".
  • Kemudian sebutkan perkataan-perkataan lain dengan suara yang perlahan dan kuat.
  • Selang selikan dengan suara tinggi dan rendah untuk beberapa kali.

Cari Bunyi (0 - 3 Bulan)

  • Selepas bayi menyusu, dukung bayi di pangkuan anda dan mainkan permainan ini.
  • Goncangkan sebuah mainan yang berbunyi di sebelah kiri secara bergilir-gilir.
  • Goncangkan perlahan-lahan kemudian lajukan goncangan.
  • Bayi anda akan mencari-cari bunyi itu dengan matanya. Apabila anda melihat bayi memberi respons terhadap bunyi itu, beri pujian kepadanya dan peluklah bayi anda.

Berpusinglah Sayang (0 - 3 Bulan)

  • Bayi lebih peka terhadap tubuh badannya melaui pergerakan yang disenjagakan seperti memusingkan badannya sendiri.
  • Tiarapkan bayi. Duduk di belakangnya dan pegang sebuah mainan kecil berhampiran kepalanya.
  • Apabila anda pasti anda telah menarik perhatiannya, gerakkan mainan itu ke arah lain.
  • Lakukan secara perlahan-lahan dan galakkan bayi supaya mencapai mainan tersebut. Sekiranya dia berpusing, berikan mainan itu kepadanya.
  • Jika sebahagian badan bayi telah dipusingkan dan bayi memerlukan pertolongan, bantu bayi dengan menolakkan badannya secara perlahan-lahan.
  • Lebih kerap anda bermain permainan ini, lebih cepat bayi anda menyedari badannya boleh dipusingkan sendiri.

Tendang, Tendang, Tendang (0 - 3 Bulan)

  • Bayi memang suka menendang dan mengangkat kaki. Seperti yang anda sedia maklum, bayi sudah pandai meletakkan jari kaki ke dalam mulutnya dalam usia yang sangat awal.
  • Untuk membantu bayi anda berlatih menendang, letakkan alat mainan seperti anak patung, mainan berbunyi atau tangan anda berhampiran kakinya.
  • Letakkan satu objek pada satu masa.
  • Letakkan sebuah bantal berhampiran kaki bayi dan biarkan dia menendang bantal itu.

Keseronokan Bersenam (0 - 3 Bulan)

  • Permainan ini dapat menguatkan otot bayi dan membantu meningkatkan deria pergerakannya.
  • Baringkan bayi secara menelentang sambil menggerakkan tangan dan kakinya mengikut irama nurseri.
  • Nyanyikan lagu "Baa, Baa, Black Sheep" ketika menggerakkan tangan bayi dalam satu pusingan.
  • Nyanyikan lagu "Diddle, Diddle, Dumpling" ketika menggerakkan kakinya ke hadapan dan ke belakang.

Saya Nampak Ibu (0 - 3 Bulan)

  • Tiarapkan bayi di atas perut anda. Panggil namanya dan angkat sedikit kepala bayi untuk menggalaknya mengangkat kepala sendiri untuk memandang anda.
  • Ulangi permainan ini beberapa kali dan beri pujian kepada bayi setiap kali dia berjaya mengangkat kepalanya.
  • Cuba permainan yang sama dengan meletakkan bayi anda di atas lantai secara meniarap. Pegang objek yang berwarna cerah di hadapannya untuk menggalakkan bayi mengangkat kepalanya.
  • Beri pujian setiap kali bayi anda berjaya mengangkat kepalanya sendiri.

Permainan Rumput (0 - 3 Bulan)

  • Bawa bayi anda bersiar-siar ketika cuaca redup. Bentangkan sehelai kain di atas tanah dan duduk di atas kain itu bersama-sama bayi anda.
  • Ambil sehelai rumput dan gosokkan ke tangan bayi anda.
  • Tiarapkan bayi dan letakkan tangannya di atas rumput. Gerak-gerakkan tangannya.
  • Bayi anda akan cuba mencapai rumput dan merasakan ianya sesuatu yang menarik.

Mandian Bayi (0 - 3 Bulan)

  • Apabila bayi telah belajar untuk menikmati masa mandinya, lakukan kelainan dengan bermandi air suam bersama-samanya.
  • Pegang bayi anda dan dodoikannya ke hadapan dan ke belakang.
  • Sambil itu nyanyikan lagu untuk bayi anda. Reka lagu seperti, "kita sedang mandi bersama-sama", "ibu sayang anak ibu, anak ibu, anak ibu" atau sebagainya.
  • Lagu yang anda nyanyikan itu tidak terlalu penting. Tetapi, apa yang paling penting adalah hubungan kasih sayang antara anda dan bayi.

Rattles Dan Teethers (0 - 3 Bulan)

  • Mainkan permainan ini ketika bayi anda sedang aktif.
  • Letakkan rattles di tangan bayi. Dia mungkin memegang permainan itu buat beberapa ketika, kemudian melepaskannya.
  • Kutip mainan itu dan berikan semula kepada bayi.
  • Lama-kelamaan bayi akan membawa mainan rattles iu ke mulutnya. Pada peringkat ini, sebarang objek di tangan bayi akan dibawa ke mulutnya. Dengan cara ini, anda akan tahu bilakah masanya untuk memberikan teethers kepada bayi anda.

Permainan Tubuh (0 - 3 Bulan)

  • Riba bayi di pangkuan anda. Sentuh bahagian-bahagian yang berlainan di mukanya dan namakan setiap bahagian tersebut.
  • Setiap kali menyentuhnya, sebutkan "ini ialah hidung (nama bayi)", "ini ialah pipi (nama bayi)". Ulangi beberapa kali.
  • Ambil tangan bayi dan letakkannya di hidung dan pipi anda secara berselang seli. Ketika anda membantu tangannya menyentuh hidung dan pipi anda, sebutkan, "ini ialah hidung (ibu atau ayah)" dan "ini ialah pipi (ibu atau ayah)".
  • Kemudian tanya kepada bayi, "di mana hidung kamu?". Letakkan tangannya di hidungnya sambil berkata, "ini dia!". Ulangi permainan ini dengan menyebut dan menyentuh semua bahagian yang telah anda namakan.

Bermain Dengan Jari (0 - 3 Bulan)

  • Perhatikan bayi anda ketika dia sedang bermain dengan jari-jemarinya.
  • Rancangkan sebuah permainan untuk membantu bayi menguatkan otot-otot jarinya.
  • Jika bayi membuka dan menutup jarinya, berikan mainan kepadanya untuk digenggam.
  • Jika bayi cuba menggoncangkan jari-jarinya, bantu bayi untuk menggoncangkannya sambil memberi pujian.
  • Jika bayi menyentuh bahagian-bahagian tubuhnya, sebutkan nama bahagaian tubuh yang disentuhnya itu.
  • Ini adalah cara bayi belajar.

Sarung Tangan Bertekstur (0 - 3 Bulan)

  • Lekatkan bahan-bahan yang mempunyai tekstur berlainan pada sehelai sarung tangan. Pastikan semua bahan dilekatkan dengan kuat dan selamat.
  • Letakkan fabrik yang mempunyai tekstur berlainan pada setiap jari sarung tangan itu.
  • Contohnya, flannel, sutera, baldu dan linen. Cuba lekatkan butang atau objek lain yang sama besar.
  • Kemudian potong hujung jari sarung tangan itu. Apabila anda memakai sarung tangan itu dan menyentuh bayi, dia dapat merasai sentuhan jari anda dan pelbagai tekstur fabrik tersebut.

Geletek Pipi (0 - 3 Bulan)

  • Tiada apa yang membahagiakan anda selain melihat senyuman bayi. Permainan ini menggalakkan bayi anda supaya mudah tersenyum.
  • Dodoikan bayi anda ke hadapan dan ke belakang secara perlahan-lahan.
  • Dengan menggunakan jari telunjuk, geletek bahagian yang berdekatan dengan mulutnya.
  • Apabila bayi senyum, beri pujian dan beritahu kepadanya bahawa anda sangat gembira.
  • Cuba permainan ini. Usap muka bayi sebanyak 3 kali, kemudian katakan, "senyum". Ketika anda mengusap mukanya kira satu hingga tiga. Sebutkan, "satu, dua, tiga.... senyum".

Boop (0 - 3 Bulan)

  • Permainan ini sesuai dimainkan ketika menukar lampin bayi.
  • Baringkan bayi secara menelentang. Sentuh badan bayi pada bahagian-bahagian yang berlainan dan buat bunyi "boop!" pada setiap sentuhan anda.
  • Bayi akan tersenyum setiap kali anda menyentuhnya dan menunggu sentuhan anda yang seterusnya pada bahagian lain pula.
  • Sebutkan nama bahagian badan bayi yang anda sentuh apabila anda membuat bunyi "boop!".

Mengusap Bayi (0 - 3 Bulan)

  • Permainan ini dapat merangsang deria bayi.
  • Cari objek yang mempunyai pelbagai tekstur untuk digosokkan kepada bayi anda. Contohnya selimut, bulu ayam, bola kapas atau kain sutera.
  • Buat bunyi-bunyian dengan nada suara yang perlahan ketika mengusap bayi dan nyanyikan lagu-lagu yang bersesuaian.
  • Kemudian gosok jari tangan dan jari kaki bayi menggunakan setiap objek secara bergilir-gilir.

Agahan Dan Pelukan (0 - 3 Bulan)

  • Agahan merupakan bahasa bayi. Apabila bayi ternampak sesuatu yang menarik perhatiannya, dia akan bertindak balas dengan cara mengagah.
  • Agahlah bayi anda. Pegang objek yang berwarna terang di hadapan mata bayi. Apabila bayi memberi respons dengan mengagah, jawablah dengan agahan dan pelukan.
  • Lama-kelamaan anda akan tahu apa yang menjadi kesukaan bayi anda.
  • Apabila bayi mempelajari bahawa agahannya dapat menggembirakan orang lain, dia akan membuat lebih banyak bunyi. Aktiviti ini dapat menggalakkan perkembangan bahasa dan percakapan bayi.

Waktu-Waktu Istimewa (0 - 3 Bulan)

  • Bayi yang baru lahir boleh memberi tindak balas melalui sentuhan dan bunyi-bunyian. Setiap kali anda mengangkat dan berbual dengannya, anda sebenarnya telah membina kepercayaan antara bayi dan anda.
  • Bayi akan mengenali nada suara dan kehangatan tubuh anda.
  • Cara anda mendukung bayi, nada suara serta ucapan dan kata-kata yang anda gunakan perlulah konsisten.
  • Lama-kelamaan bayi anda akan mengagah dan senyum kepada anda untuk menyampaikan kasih sayangnya kepada anda.

Membelai Bayi (0 - 3 Bulan)

  • Dukung atau pangku bayi anda ketika dia sedang menyusu.
  • Pastikan lengan dan tangan bayi anda bebas menyentuh dan meneroka apa sahaja yang ada disekelilingnya ketika dia sedang menyusu.
  • Letakkan tangan bayi ke muka anda. Alihkan tangannya ke hidung, mulut, rambut dan mata anda.
  • Pagang tangan bayi anda dan urut perhan-lahan.
  • Gosok tangan bayi dan berbuallah dengannya menggunakan nada suara yang lembut.

Ciuman Kasih Sayang (0 - 3 Bulan)

  • Permainan ini sesuai dimainkan ketika anda sedang memakaikannya baju atau menukar lampinnya.
  • Sebutkan, "ibu sayang hidung, hidung, hidung kamu." Cium hidung bayi anda.
  • Sebutkan, "ibu sayang perut, perut, perut kamu." Cium perut bayi anda.
  • Namakan bahagian tubuh yang lain, kemudian cium bahagian-bahagian itu.
  • Permainan ini membantu bayi mengenali bahagian-bahagian tubuh badannya dan kasih sayang yang anda ingin sampaikan.

Masa Untuk Tidur (0 - 3 Bulan)

  • Perhatian dan kasih sayang akan membuatkan bayi anda sentiasa berasa disayangi dan dihargai.
  • Menyanyikan lagu sambil mendodoikan bayi di pangkuan merupakan cara terbaik untuk membina kepercayaan bayi anda.
  • Terdapat beberapa buah lagu yang boleh anda nyanyikan untuk bayi anda, antaranya Twinkle Twinkle Litlle Star, Selawat dan juga Zikir.
  • Fikirkan lagu-lagu lain. Nyanyikan ketika anda mendodoikan bayi sambil memeluknya erat.

Ciuman Selamat Malam (0 - 3 Bulan)

  • Dodoikan bayi anda di pangkuan anda perlahan-lahan.
  • Malapkan cahaya lampu di bilik supaya kelihatan agak gelap dan sunyi.
  • Cium dahi bayi sambil berkata, "ibu sayang kamu, ibu sayang kamu, ibu sayang (nama Bayi).
  • Cium jari-jemarinya dan ulang kata-kata tersebut.
  • Teruskan mencium bayi anda pada bahagian-bahagian badannya yang lain sambil mengulangi kata-kata tersebut.

Selamat Malam Sayang (0 - 3 Bulan)

  • Ketika bayi anda sedang menyusu, urutkan jari tangan dan jari kakinya perlahan-lahan.
  • Nyanyikan dengan nada suara yang lembut lagu-lagu seperti "Twinkle, Twinkle, Little Star". (Berzikir dan lagu-lagu nasyid juga boleh dipraktikkan).
  • Teruskan menyanyi lagu ini sambil mengurut jari-jemarinya.
  • Permainan ini dapat membantu bayi menhubungkan antara menyusu dengan sentuhan kasih sayang anda.
  • Bernyanyi ketika bayi sedang menyusu dapat membahagiakan bayi anda.

Mimpi Indah (0 - 3 Bulan)

  • Bayi sering mencari sesuatu untuk dihisap atau dipeluk ketika tiba waktu rehat dan waktu untuk tidur.
  • Anda perlu membantu proses tersebut untuk memudahkan bayi anda tidur.
  • Letakkan patung mainan lembut (yang sesuai untuk bayi) atau selimutkan bayi anda.
  • Pegang tangan bayi anda dan letakkan di atas patung atau selimut tersebut.
  • Ucapkan dengan suara yang lembut, "selamat malam syang, mimpi indah sayang".
  • Lama-kelamaan bayi akan menyedari bahawa dia sedang berada dalam keadaan selesa apabila menyentuh patung mainan atau selimut itu setiap kali hendak tidur.

Sentuhan Lembut (0 - 3 bulan)

  • Salah satu cara bayi belajar tentang perhubungan adalah melaui sentuhan. Pada tahap umur ini, sentuhan lembut dapat membantu bayi membina naluri kepercayaannya.
  • Rapatkan bayi pada anda dan bisikan di telinganya bahawa anda sangat menyayanginya.
  • Usap wajah bayi perlahan-lahan sambil membisikkan kata-kata yang indah.
  • Sentiasa menyebut namanya dalam perbualan anda dengannya. Hal ini penting untuk memberikan identiti kepada bayi anda.
  • Setiap kali anda dukung dan bercakap dengan bayi, kekalkan nada suara yang sama. Bayi akan menganggap bahawa suara anda dapat mententeramkan dirinya.
Nota: Aktiviti ini dapat membina kepercayaannya.

Aktiviti Bersama Bayi

Meluangkan masa bersama kanak-kanak merupakan suatu perkara yang menghiburkan disamping dapat merangsang tumbesarannya. Ada sesuatu yang mengembirakan dalam setiap senyuman dan tawa kanak-kanak. Para ibubapa boleh berkongsi permainan dan aktiviti yang mereka main bersama-sama bayi mereka. Bermain bersama bayi merupakan pengalaman belajar yang berharga dan dapat mengeratkan hubungan antara ibubapa dan bayi.

Kajian otak terbaharu telah membuktikan kepentingan merangsang bayi untuk membantu perkembangan hubungan sel-sel otak untuk pembelajaran bayi pada masa hadapan. Permainan-permainan yang diajarkan kepada bayi dapat membantu menghubungkan sel-sel otak bayi. Selain itu, permainan-permaianan juga dapat meningkatkan kemahiran mendengar dan bahasa, menambahkan rasa ingin tahu, kepekaan tentang tubuh badan serta membantu bayi membina sifat lucu. Setiap permainan menjelaskan perkara yang bakal dipelajari oleh bayi.

Perhatian dengan teliti ketika bayi berinteraksi dengan persekitaran dan ketika bermain permainan-permaianan ini. Anda sebenarnya telah membina persekitaran yang sihat dan mencabar untuk perkembangan fizikal, mental, sosial dan emosi bayi apabila anda memberi respons terhadap minat dan kebolehan mereka. Anda juga perlu ingat bahawa bayi memerlukan masa untuk bersendirian. Kadangkala mereka tidak mahu didukung atau bermain bersama-sama anda, melalui pengamatan yang lebih terperinci anda mungkin akan boleh membezakannya. Mainlah permainan bersama bayi anda, dekatilah bayi anda, dukung, tepuk, sentuh, cium dan bergembiralah bersama bayi anda setiap saat.

Panduan Tumbesaran Bayi

Kemahiran Motor, Auditori Dan Visual
  • Menyentuh kepala sendiri
  • Menggengam alat mainan
  • Berpusing daripada telentang kepada mengiring
  • Duduk dengan sokongan tangan
  • Mengangkat badan ke posisi duduk sambil memegang jari orang dewasa
  • Mengikut objek bergerak dengan mata
  • Memfokuskan matanya kepada objek-objek kecil
  • Mula mengapai objek
  • Mengangkat mainan blok
  • Mengalih objek dari tangan ke tangan yang sebelah lagi
  • Respons kepada bunyi-bunyi bising
  • Mengalihkan kepala ke arah bunyi loceng
  • Mengalihkan kepala ke arah bunyi suara
  • Memebri respons terhadap suara yang didengar
Kemahiran Bahasa Dan Kognitif
  • Membuat bunyi dan mengajuk
  • Gelak ketika melihat orang
  • Membuat bunyi ringkas seperti "aah" dah "ooh".
  • Menyebut satu bunyi berulang-ulang
  • Senyum, gelak dan ketawa
  • Cuba membuat bunyi apabila dilayan
  • Senyum apabila diberi perhatian
  • Menunjukkan keterujaan dengan membuat bunyi
  • Marah apabila mainannya dialihkan
  • Respons yang berbeza apabila didukung
  • Memberi reaksi apabila ternampak mainan
  • Menunjukkan kepekaan rutin yang berubah-ubah
  • Cuba mengulangi pergerakan
  • Memberi reaksi kepada orang yang tidak dikenali
Kemahiran Konsep Kendiri
  • Memeriksa tangan sendiri
  • Membawa barang-barang ke mulut
  • Memfokuskan mata kepada pergerakan tangannya
  • Senyum ke arah imej dalam cermin
  • Menunggu masa makan
  • Bermain berseorangan selama 10 minit atau lebih
  • Mengangkat sudu
  • Makan biskut sendiri
  • Memegang botol susu buat seketika
  • Mengangkat cawan melalui pemegang
  • Melihat tepat ke arah muka seseorang
  • Mengenali ibubapa dan orang yang biasa dilihatnya.
  • Menuju ke arah orang yang dikenali
  • Memberi respons kepada "peek-a-boo!" atau "Cak!".
  • Senyum sebagai respons kepada ekspresi-ekspresi muka.