Archive for December 2010
Latest Updates

Persiapan Yang Harus Dibawa Bersama-sama Ke Hospital

Pada minggu-minggu terakhir kehamilan anda, masa akan dirasakan sangat pantas berlalu. Waktu bersalin akan tiba pada bila-bila masa sahaja dari sekarang. Lebih baik jika anda mempersiapkan barang-barang yang harus dibawa bersama-sama ke hospital lebih awal. Ini bertujuan supaya anda dan suami dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada proses kelahiran dan tidak risau jika ada apa-apa barang keperluan yang tertinggal.

Setelah kehamilan anda mencapai usia 7 bulan atau pada minggu ke 28 kehamilan, persiapkanlah barang-barang untuk bersalin yang akan dibawa ke hospital dan masukkan ke dalam satu beg khusus. Ingat untuk memberitahu suami anda tentang beg yang telah anda siapkan ini supaya apabila tiba harinya, semuanya telah siap.

Biasanya ibu-ibu yang bersalin normal akan tinggal di hospital hingga hari ke 2. Manakala ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan pula memakan masa selama 3 hingga 4 hari untuk memastikan keadaan ibu dan bayi dalam keadaan stabil. Jika bayi didapati terkena demam kuning pula, mungkin akan memakan masa lebih lama berada di hospital.


Beberapa Barang Yang Diperlukan Untuk Ibu


Buku Laporan Kesihatan Ibu Mengandung

Biasanya buku ini dipanggil buku merah. Jika anda membuat pemeriksaan antenatal di klinik kerajaan, anda akan mendapat buku ini. Jika anda membuat pemeriksaan berkala di klinik swasta, bawalah juga buku laporan yang disediakan jika ada. Buku laporan ini sangat penting kerana ia mengandungi laporan kesihatan anda sepanjang tempoh kehamilan. Ini memudahkan pihak hospital membuat rujukan segera jika ada apa-apa komplikasi ketika kelahiran nanti. Ia juga diperlukan ketika mendaftar kelahiran anak dan daftar masuk sekolah rendah.

Sepasang Baju Ketika Anda Pulang Dari Hospital

Anda mungkin masih tetap kelihatan sedang hamil lagi ketika ini. Ini kerana untuk tubuh kembali ke bentuk asal semula akan memakan masa. Oleh itu, bawalah baju yang selesa dan tidak sempit. Tidak perlu bawa baju terlalu banyak. Ini kerana pihak klinik atau hospital tempat anda bersalin biasanya menyediakan baju khas untuk para pesakit.

Sandal

Bawa sandal yang sesuai untuk digunakan di dalam wad dan untuk ke bilik mandi atau tandas (pastikan tapak sandal tidak licin). Anda tidak perlu risau jika sandal anda basah jika dibawa ke bilik mandi.

Stoking

Anda perlukan dua pasang stoking. Pakailah stoking kerana selepas bersalin, suhu badan anda menjadi tidak menentu. Ini disebabkan badan anda dalam proses pemulihan dan penyesuaian untuk kembali kepada keadaan asal.

Pakaian Dalam

Bawalah bra yang sesuai untuk menyusukan bayi anda. Bawa juga seluar dalam yang secukupnya sepanjang anda berada di hospital. Seluar dalam yang lebih besar atau seluar dalam yang anda gunakan sepanjang kehamilan masih boleh digunakan. Mungkin tidak selesa jika anda memakai seluar dalam yang kecil dengan keadaan perut anda yang sedang dalam proses pemulihan.

Tuala Wanita Khusus Untuk Ibu Bersalin

Terdapat banyak jenis tuala wanita di pasaran. Pilihlah bentuk dan jenama yang selesa dan mudah dipakai.

Kelengkapan Kendiri Seperti Bedak, Sikat, Deodoran Dll.

Anda perlu tampil ceria dan kemas walaupun dalam hari berpantang. Jika ini kelahiran bayi sulung anda, mungkin ramai kawan dan saudara yang mahu datang menziarahi anda di hospital.

Syampu Dan Sabun

Mungkin ada beberapa hospital yang menyediakannya. Tetapi bergantung kepada anda jika anda ingin menggunakan milik anda sendiri, maka lebih baik anda mempersiapkannya.

Ubat-Ubatan

Sediakan ubat-ubatan seperti minyak urut dan lain-lain. Manalah tahu anda memerlukannya jika lenguh-lenguh badan dan rasa tidak selesa.

Makanan

Siapa kata makanan tidak perlu dibawa bersama ke hospital? Bawalah sekurang-kurangnya bekalan biskut kering. Ibu yang sudah melahirkan akan sentiasa menyusukan bayinya dan akan sentiasa rasa lapar. Anda tidak perlu bimbang jika tiba-tiba perut berkeroncong walaupun baru 30 minit menghabiskan makanan tengah hari. Jangan lupa termos air untuk menyimpan bekalan air panas pula.


Keperluan Untuk Bayi Anda

Lampin bayi

Lampin bayi tidak disediakan di hospital. Bawalah lebih lampin bayi kerana bayi yang baru lahir akan kerap membuang air kecil dan air besar. Bawa bersama tisu basah dan kelengkapan lain untuk membersihkan bayi.

Baju Bayi, Sarung Kaki Dan Sarung Tangan Bayi

Biasanya di hospital, jururawat akan memandikan bayi pada waktu pagi sahaja. Pastikan anda menyediakan lampin dan selimut bayi. Sesudah memandikan bayi, jururawat akan menyerahkan bayi kepada anda untuk dipakaikan baju, bengkung, sarung tangan dan sarung kaki. Bawalah pakaian bayi yang secukupnya.

Selimut Bayi

Bayi yang baru lahir akan dibalut dengan selimut atau dipanggil bedung. Ini bagi menggelakkannya daripada mudah terkejut. Jika dibalut begitu, bayi akan mudah tidur dengan nyenyak. Masa ini jugalah untuk ibunya berehat sama.


Ingat !!!

Persiapkanlah apa yang perlu anda bawa ke hospital dalam satu beg dan letakkan di tempat yang mudah untuk dilihat dan dicapai. Jika risau terlupa membawanya, letakkan siap-siap di dalam kereta anda. Bawalah kemana-mana sahaja anda pergi. Dan jangan lupa memberitahu pasangan anda tentangnya.

Lain-Lain Barang Keperluan (Klik Sini)

Petua Selepas Bersalin

Memulihkan Puting Payudara Daripada Merekah
  • Ambil minyak kelapa hijau dan campurkan sedikit halba.
  • Sapukan pada hujung puting anda.
  • Jangan lakukan ketika menyusukan anak.
Mengecutkan Rahim Selepas Bersalin

Petua 1
  • Rendamkan beberapa helai daun pegaga bersama akarnya dengan air suam. Kemudian ditapis dan airnya diminum.
  • Sebelum tidur lakukan pengecutan (kemut) sebanyak 20 kali. InsyaAllah rahim anda mengecut seperti sediakala.
  • Elakkan memakan buah nenas.
Petua 2
  • Rebus halia tua dengan gula merah, kulit kayu manis, jintan manis dan daun panas.
  • Minumlah air rebusan ini beberapa kali sehari.
  • Petua ini dapat membuang angin, melawaskan buang air besar dan mengecutkan rahim.
Petua 3
  • Selepas bersalin dinasihatkan meminum air kunyit muda yang ditumbuk bersama putih telur mentah.
  • Minumlah selama 3 hari berturut-turut.
  • Ia dapat mengecutkan rahim / peranakan anda ke tempat asal.
Air Susu Badan Berlebihan
  • Ambil 2 helai daun kubis yang melengkung seperti mangkuk kecil.
  • Tekapkan di kedua-dua belah payudara dan biarkan selama lebih kurang satu hingga satu setengah jam.
  • Tukarkan daun baru jika perlu.
  • Lakukan sehingga air susu berkurangan.
Memerahkan Puting Yang Lebam
  • Ambil 3 helai sirih dan tumbuk sehingga menghasilkan air berwarna merah.
  • Perah air sirih ini dan sapukan di sekitar puting.
  • Lakukan setiap malam sehingga berhasil.
Memulihkan Bibir Faraj Yang Lebam
  • Bibir faraj yang hitam dan lebam dapat dipulihkan semula dengan mencuci faraj dengan air kelapa muda yang baru.
  • Lakukan sekerap yang boleh.
Petua Kekal Langsing

Mengubah cara pemakanan yang diamalkan daripada kebiasaan kepada satu kaedah yang baru iaitu:
  • Apa yang kita ambil untuk sarapan pada waktu pagi ditukar kepada apa yang sepatutnya dimakan pada waktu tengah hari.
  • Pada waktu tengah hari jangan makan makanan yang mengenyangkan, cukup sekadar buahan atau jangan makan langsung.
  • Makan malam diawalkan dan diambil dalam lingkungan jam 7.00 malam.
  • Jangan makan selepas pukul 9.00 malam walaupun anda belum malan apa-apa sebelumnya. Jika perlu juga cukup sekadar segelas susu atau buahan atau makanlah sedikit tetapi jangan mengambil makanan yang telah dimasak (makanan berat).
Berpuasa 2 kali seminggu (setiap hari isnin dan khamis). Mesti berpuasa dengan niat pada waktu malam yang kita hendak berpuasa pada hari esok. Bukan menahan lapar sahaja yang diikuti dengan makan sedikit atau minum.

Pada hari ketika berpuasa sangat elok kita melakukan senaman. Walaupun manusia itu tahu bagaimana untuk menguruskan badannya dan sedar bahawa kegemukan itu mudah mengundang penyakit, namum manusia mudah lupa dan tidak berdaya untuk melakukannya lantaran tiada displin. Jadi, salahkanlah diri sendiri kerana sikap menghukum diri.

Setiap kali bangun pagi, waktu tengah hari dan sebelum masuk tidur pada sebelah malam, amalkan meminum secawan teh cina (hijau) yang dicampurkan dengan liamu nipis atau kasturi. InsyaAllah anda akan lihat kesannya selepas 7-14 hari mengamalkannya.

Petua Memudahkan Penghadaman
  • Makan dalam keadaan tenang.
  • Beri masa untuk kita makan, jangan sama sekali makan terburu-buru atau gelojoh.
  • Kunyah makanan sehingga betul-betul lumat, barulah ditelan.
  • Jangan makan terlalu kenyang, dan jangan disulami dengan kerap meminum air.
  • Makan apabila terasa lapar, itu pun kalau perut terasa lapar ketika dalam waktu makan yang sebenarnya. Jika perut terasa lapar tetapi bukan dalam waktu makan tidak perlu makan.
  • Lebih kerap mengambil makanan yang mudah dihadamkan atau tidak perlukan penghadaman seperti bubur, madu, glukos, yogurt dan lain-lain.
  • Kurangkan makanan yang lambat hadam seperti lemak, protein dan karbohidrat.
Petua Seri Wajah Selepas Bersalin

Petua 1
  • Rebus beberapa tangkai daun inai dan minum airnya tiga kali seminggu.
  • Seeloknya pada waktu pagi dan malam.
Petua 2
  • Ambil secawan beras, bersihkan dan kisar (jangan terlalu halus).
  • Kemudian ambil sebuku kunyit hidup, kikis kulitnya, basuh dan kisar (atau parut)
  • Bancuh beras halus dan kunyit tadi dengan air suam untuk dijadikan bedak sejuk yang agak pekat.
  • Cuci muka anda dengan air bersih setiap hari dan kemudian sapukan bedak sejuk itu ke muka secara perlahan-lahan.
  • Gosokkan juga bedak ke bahagian leher dan biarkan ia kering sendiri.
  • Amalkan selama tiga malam berturut-turut, insyaAllah berhasil menaikkan kembali seri wajah anda.
Petua 3
  • Ambil segenggam daun inai dan tumbuk hingga halus.
  • Selepas itu gentel kecil-kecil lebih kurang seperti kepala mancis dan masukkan ke dalam peti sejuk.
  • Apabila sejuk, makanlah sebiji sehari selepas sarapan.
  • Amalkan sehingga nampak hasilnya.

Petua-Petua Ibu Mengandung

Petua Senaman Istimewa Wanita

Proses Mengemut
  • Tahan nafas selama 5 saat semasa mengemut.
  • Lepaskan nafas dan mengemut perlahan-lahan secara serentak.
  • Kemut ialah seperti menahan air kencing.
Saranan : Digalakkan melakukan senaman ini pada setiap hari pada waktu terluang seperti semasa memasak, menonton dan sebagainya.

Menghapuskan Urat Timbul Di Kaki Sewaktu Mengandung

Petua 1
  • Belah beberapa ulas bawang putih lalu tenyeh kepada urat yang mula timbul.
  • Amalkan selalu.
Petua 2
  • Campurkan sebuku ragi, sedikit air limau nipis dan air hingga sebati.
  • Sapukan pada urat yang timbul pada setiap malam.
  • Ketika tidur letakkan kaki di atas bantal.
Petua 3
  • Campur sedikit asam jawa dan air sehingga pekat.
  • Sapukan pada kaki setiap malam.
  • Tinggikan kaki sedikit ketika tidur.
Petua 4
  • Rebus kacang hijau, minum airnya setiap pagi dan petang.
  • Buat senaman angkat kaki 10 minit sebelum tidur.
Menghilangkan Loya Ibu Hamil
  • Ambil segenggam daun kari.
  • Kisar menjadi jus.
  • Campur jus tersebut dengan limau nipis dan satu sudu teh gula.
  • Minum setiap pagi.
  • InsyaAllah rasa loya tekak akan hilang.

Tidur Ketika Hamil

Posisi Tidur Terbaik Semasa Kehamilan

Pakar-pakar perubatan menganjurkan supaya selepas minggu ke 16 kehamilan, sebaiknya ibu hamil tidur dengan posisi miring ke sisi kiri kerana posisi ini membuatkan bayi anda mendapat pengaliran darah dan makanan yang lebih.

Ia disebabkan adanya vena besar (inferior vena cava) di bahagian belakang sebelah kanan tulang belakang yang mengembalikan darah dari tubuh bahagian bawah ke jantung. Posisi ini juga dapat membantu ginjal untuk membuang sisa produk dan cairan dari tubuh ibu dan mengurangkan pembengkakan pada kaki, pergelangan kaki dan tangan.

Untuk tidur dengan posisi miring yang lebih selesa, anda boleh meletakkan bantal di antara paha anda dan satu di punggung anda. Atau anda boleh mendapatkan bantal tidur yang khusus untuk ibu hamil.

Tidur posisi miring ke kanan juga baik dan anda boleh mengubah posisi miring ke kanan dan ke kiri untuk membuatkan tidur anda lebih selesa.

Tidur Dengan Posisi Terlentang

Selepas minggu ke 16 kehamilan, adalah digalakkan ibu hamil supaya tidak tidur terlentang kerana posisi tidur ini menyebabkan anda meletakkan seluruh berat rahim ke bahagian belakang, usus, dan inferior vena cava. Tidur dalam keadaan posisi terlentang juga dapat meningkatkan risiko sakit pinggang, buasir, gangguan pencernaan, dan mengganggu pernafasan dan peredaran darah. Posisi tidur terlentang pada trimester kedua dan ketiga juga dapat mempengaruhi tekanan darah. Terdapat sesetengah wanita yang menunjukkan penurunan tekanan darah yang membuatkan mereka berasa pening kepala.

Selain itu, terdapat juga mereka yang mengalami peningkatan tekanan darah. Sekiranya ibu hamil yang mempunyai tekanan darah yang tinggi, adalah amat tidak digalakkan untuk tidur dengan posisi terlentang.

Jika anda terbangun pada waktu malam dan mendapati anda sedang terlentang, jangan bimbang. Anda tidak melakukan sesuatu yang mencederakan bayi anda. Kembali saja ke posisi miring.

Tips Mengatasi Kesulitan Tidur Semasa Kehamilan

Posisi Tidur Yang Selesa

Faktor yang terpenting untuk dapat tidur dengan selesa adalah tidur dalam posisi tidur yang terbaik untuk anda. Posisi tidur terbaik yang dianjurkan sepanjang tempoh kehamilan adalah posisi tidur miring ke sisi kiri anda. Ini dapat membantu meningkatkan pengaliran darah, oksigen dan nutrisi kepada plasenta.

Mandi Dengan Air Panas

Mandilah dengan air panas (tidak terlalu panas) dengan sabun yang wangi. Rasa segar akan membantu anda bersiap untuk tidur.

Hindari Terlalu banyak Makan Sebelum Tidur

Ibu hamil sering kali berasa ingin makan sesuatu pada malam hari. Tetapi berhati-hatilah kerana ia akan mempengaruhi tidur anda. Cubalah untuk menghindari makan yang banyak atau terlalu kenyang sebelum tidur. Anda dapat mengantikannya dengan makanan ringan yang lain atau dengan segelas susu panas. Ia adalah untuk mengurangkan rasa tidak selesa di ulu hati atau perut anda yang juga akan mempengaruhi waktu tidur anda.

Minum Segelas Susu Panas

Ia akan membantu anda untuk tidur nyenyak kerana susu mengandungi asid amino tryptophan yang meningkatkan kadar serotonin ke dalam otak yang akan membantu anda untuk tidur.

Berjimak

Berjimak dengan pasangan anda juga merupakan salah satu cara yang baik untuk memberikan rasa relax dan santai buat anda. Tetapi jika berasa tidak mahu melakukannya, mintalah pasangan anda untuk memberikan urutan yang lembut sehingga anda berasa lebih tenang dan bahagia kerana dimanjakan.

Latihan Menarik Nafas

Latihan menarik nafas yang teratur dapat membantu mengurangkan ketegangan otot dan membantu anda untuk tidur lebih baik. Carilah posisi yang selesa untuk anda duduk, berdiri ataupun berbaring, lalu tariklah nafas melalui hidung secara perlahan dan tahan nafas selama 1-2 saat. Kemudian hembus dan keluarkan nafas melalui mulut secara perlahan-lahan. lakukan beberapa kali.

Peranan Suami Ketika Isteri Hamil

  • Suami perlu meringankan beban isteri menguruskan rumah tangga seperti membantu membuat kerja rumah atau keperluan anak sedia ada.
  • Bagi sokongan moral kerana emosi isteri mudah terganggu ketika hamil. Biasanya isteri menjadi lebih sensitif, jadi bersabarlah melayan kerenah isteri.
  • Sediakan persekitaran yang sihat dan selesa untuk isteri.
  • Ingatkan isteri agar mengamalkan diet seimbang.
  • Temani isteri bertemu doktor bagi memeriksa kandungan.
  • Manjakan isteri dan kandungan. Luangkan masa berbual dengan isteri dan anak dalam kandungan.
  • Tunaikan permintaan isteri yang tidak melampau. Biasanya ketika hamil isteri mengidam nak makan macam-macam makanan.
  • Lebih peka dan memahami isteri yang mengalami perubahan, emosi, fizikal dan pemikiran.
  • Beli barang keperluan bayi bersama isteri.
  • Bawalah isteri bercuti sebagai tanda penghargaan.
  • Ikuti kelas pranatal sebagai persediaan untuk bersalin.
  • Ketika tarikh jangkaan semakin hampir, isteri akan gelisah dan berasa takut. Tenangkan isteri dan sentiasa berusaha berada di sisinya.
  • Temani isteri ketika proses kelahiran, beri kata semangat padanya.
  • Jangan lupa berdoa agar isteri dan bayi anda sihat dan selamat.

Tip Lahirkan Anak Soleh

  • Sebelum bersama suami, baca doa berjimak dan niat dalam hati agar dikurniakan zuriat yang cemerlang.
  • Anak perlu ditarbiah sejak dalam kandungan.
  • Banyakkan melakukan ibadah sunat seperti membaca Al-Quran, menunaikan solat sunat dan perbanyakkan amal jariah.
  • Berdoa agar anak yang lahir cemerlang dunia dan akhirat.
  • Tinggalkan sikap buruk dan amalkan sikap yang positif.
  • Jadikan doa Nabi Yunus sebagai rutin sepanjang tempoh kehamilan. InsyaAllah dengan izin Allah, anda akan dipermudahkan bersalin.
  • Makan makanan berkhasiat dan elakkan ubat-ubatan yang memberi kesan kepada bayi dan anda.
  • Berkasih sayang dengan suami dan sentiasa berbual dengan kandungan tentang hasrat anda mahukan anak soleh serta cemerlang.

Bagaimana Atasi Mual Yang Keterlaluan

Mual dan muntah tatkala hamil merupakan perkara biasa, tetapi jika terlalu kerap mengalaminya pasti ia bukan lagi satu perkara yang normal. Sebab itulah, cuba elakkan berlapar ketika hamil. Makan makanan dalam jumlah yang kecil sekerapnya. Sebaik sahaja bangun pagi, makan roti ataupun biskut kering dan minum teh hangat. Elakkan mengambil makanan berminyak dan berlemak.

Bagaimana jika anda masih mengalami keadaan mual dan muntah yang mengalami Hyperremesis Gravidarum (HG) iaitu satu keadaan mual dan muntah yang teruk dan berterusan. Umumnya ia berlaku pada usia kehamilan 6-12 minggu dan boleh berlanjutan sehingga usia kandungan 16-20 minggu.

Kajian terbaru yang dijalankan menunjukkan setiap wanita yang mengalami mual yang teruk sewaktu hamil dipengaruhi oleh faktor genetik. Yang mana, kajian itu menjelaskan sekiranya ibu mahupun adik-beradik perempuan mereka pernah mengalami keadaan mual dan muntah yang teruk sewaktu hamil maka dirinya juga berkemungkinan akan mengalaminya.

Sekiranya, adik beradik perempuan mereka pernah menglami HG, mereka juga berpontensi 17 kali ganda mengalaminya juga. Hamil yang berada dalam sebegini iaitu muntah berterusan akan berhadapan dengan risiko kekurangan zat makanan, kekurangan air dalam badan (dehydration) dan kehilangan berat badan secara ketara.

Sukar sebenarnya hendak dijelaskan mengapa sesetengah wanita mengalami keadaan mual dan muntah sementara sesetengahnya boleh hamil dengan aman.


Bagaimana Mahu Mengetahui Mual Dan Muntah Saya Adalah HG?

Keadaan yang dinyatakan di bawah adalah HG pada peringkat pertama:
  • Selalunya anda akan mengalami muntah lebih dari 3 ke 4 kali dan anda tidak boleh makan atau minum selama 24 jam sehingga tubuh anda menjadi lemah.
  • Penurunan berat badan ketara sehingga 2 ke 3 kg dalam 1 ke 2 minggu.
  • Pedih ulu hati
  • Denyutan nadi meningkat sehingga 100 kali seminit.
  • Tekanan darah sistolik menurun.
  • Tekanan kulit menurun dan mata cengkung.

Merawat HG


Biasanya doktor akan memberikan ubat anti-muntah, vitamin B1, B6 dan ubat penenang (bila perlu). Sekiranya mual dan muntah semakin teruk, anda akan dimasukkan ke dalam wad. Ketika itulah doktor akan mengantikan karbohidrat dan protein yang hilang sewaktu muntah. Sekiranya perlu doktor juga akan memberikan Vitamin B Kompleks, Vitamin C dan Kalsium.

HG pada peringkat kedua dan ketiga lebih parah lagi. Ketika HG peringkat kedua wanita hamil menjadi lemah dan tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekitarnya. Denyutan nadi wanita hamil semakin mengecil dan cepat, suhu meningkat dan mata agak kuning dan cengkung. Berat badan dan tekanan darah menurun, darah memekat, air kencing berkurangan dan sukar membuang air besar.

HG pada peringkat ketiga pula menyebabkan keadaan wanita hamil jauh lebih teruk. Mereka tidak lagi mengalami muntah tetapi tidak sedar sehingga koma. Nadi mengecil dan cepat, suhu meningkat, tekanan darah menurun. Janin kekurangan zat makanan dan Vitamin B Kompleks sehingga mengalami gangguan keseimbangan di telinga (wernickle encephalopathy), penglihatan menjadi kabur dan perubahan mental. Sekiranya berlaku gejala kuning pada janin bermakna ia mengalami gangguan hati.


Punca HG

HG bersaling kait dengan kehamilan pertama, meningkatnya hormon pada kehamilan, perubahan metabolik dalam kehamilan, alergi, faktor psikososial dan berkaitan dengan kehamilan kembar ataupun kehamilan anggur.

HG juga kerap dialami oleh wanita yang hamil pada usia kurang 24 tahun. Wanita yang pernah mempunyai sejarah mual pada kehamilan sebelumnya juga berpotensi untuk mengalami HG. Begitu juga dengan wanita yang mengalami kegemukan berisiko untuk mendapat HG.

Risiko semakin meningkat apabila wanita hamil mengalami tekanan atau stres dan cemas, berlebihan pengambilan lemak (boleh menyebabkan ririko HG meningkat 5 kali ganda untuk setiap tambahan 15 gram lemak tepu setiap hari). Risiko meningkat sehingga 90 peratus apabila wanita hamil mengalami jangkitan bacteria helicobacter pylori.

Risiko HG sebenarnya memberi bahaya kepada kehamilan. Akibat mual dan muntah yang teruk menyebabkan wanita hamil kekurangan air dalam badan, berat badan menurun dan mengalami gangguan elektrolit. Ia menyebabkan aktiviti harian terjejas dan membahayakan janin.


Peratusan HG Di Kalangan Wanita Hamil

Sebanyak 50 perataus wanita hamil akan mengalami morning sickness. Daripada jumlah itu, 1.5 hingga 2 peratus akan mengalami HG. Cegahlah dengan mengambil vitamin sejak awal kehamilan. Sekiranya gejala HG berlaku ke atas anda, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dengan segera.

Wanita Lebih Berisiko Hidap Jangkitan Saluran Kencing

Saluran kencing dalam sistem penapisan tubuh berfungsi untuk mengeluarkan bahan buangan cecair. Disebabkan wanita mempunyai saluran kencing yang pendek, maka mereka lebih mudah mendapat bakteria yang memasuki saluran berkenaan. Apabila bakteria ini merebak, ia akan menyebabkan jangkitan pada bahagian tersebut.

Jangkitan saluran kencing merupakan jangkitan yang boleh berlaku dimana-mana bahagian sekitar saluran kencing. Ia mempunyai pelbagai nama berbeza, bergantung pada bahagian saluran kencing yang dijangkiti.
  • Pundi - Jangkitan dalam pundi dikenali sebagai sistitis atau jangkitan pundi.
  • Buah Pinggang - Jangkitan pada salah satu atau kedua-dua buah pinggang dikenali sebagai pielonefritis atau jangkitan buah pinggang.
  • Ureter - Tiub yang membawa air kencing daripada setiap buah pinggang ke pundi adalah kawasan yang jarang mendapat jangkitan.
  • Ureta - Jangkitan pada tiub yang membawa air kencing daripada pundi ke luar dikenali sebagai uretritis.
Kuman Jadi Penyebab

Jangkitan saluran kencing disebabkan oleh kuman, terutamanya bakteria yang memasuki uretra dan kemudiannya pundi. Keadaan ini membawa kepada jangkitan, terutamanya pada pundi itu sendiri, yang kemudiannya akan merebak ke buah pinggang.

Pada kebanyakan masa, tubuh boleh membuang sendiri bakteria ini. Namum begitu, keadaan tertentu meningkatkan risiko seseorang itu mengalami jangkitan saluran kencing. Mikroorganisma adalah penyebab masalah jangkitan saluran kencing. Untuk menjangkiti saluran kencing, mikroorganisma ini selalunya akan masuk melalui uretra atau (jarang berlaku), melalui aliran darah. Bakteria Escherichia coli (E.coli) adalah bakteria yang biasa menyerang saluran pencernaan. Ia merebak ke uretra daripada dubur.

Mikroorganisma lain seperti Mycoplasma dan Chlamydia, boleh menyebabkan uretritis pada wanita mahupun lelaki. Mikroorganisma ini disebarkan sewaktu melakukan hubungan kelamin. Maka pabila jangkitan ini dikesan, kedua-dua pasangan perlu mendapatkan rawatan bagi mengelakkan pengulangan semula jangkitan.

Golongan Berisiko

Wanita cenderung untuk mengalaminya dengan kerap kerana uretra lebih pendek dan dekat dengan dubur jika dibandingkan dengan lelaki. Disebabkan ini juga, wanita lebih mudah untuk mendapat jangkitan ini selepas melakukan hubugan kelamin atau apabila menggunakan diafragma untuk mencegah kehamilan. Menopaus juga turut meningkatkan risiko jangkitan saluran kencing.

Peluang untuk mendapat jangkitan saluran kencing juga boleh meningkat jika keadaan seperti berikut berlaku:
  • Diabetes
  • Peningkatan usia (terutamanya warga emas).
  • Masalah untuk mengosongkan pundi dengan sepenuhnya (penahanan kencing).
  • Tiub yang dikenali sebagai katerer urinari dimasukkan kedalam saluran kencing.
  • Ketidakbolehan mengawal gerakan usus (bowel).
  • Pembesaran prostat, penyempitan uretra, atau sebarang penghalang kepada pengaliran air kencing.
  • Batu dalam buah pinggang.
  • Terbaring dalam jangka masa lama.
  • Kehamilan
  • Pembedahan atau sebarang prosedur yang melibatkan saluran kencing.
Gejala-Gejala
  • Air kencing berdarah atau berwarna gelap, serta mempunyai bau busuk.
  • Demam ringan (tidak semua akan mengalami demam).
  • Sakit atau rasa panas ketika kencing.
  • Tekanan atau kekejangan pada bahagian bawah abdomen (selalunya tengah) atau belakang.
  • Desakan ingin kencing yang kuat dan kerap walaupun baru sahaja selesai melakukannya.
Jika jangkitan itu telah merebak pada buah pinggang, gejala-gejalanya termasuklah:
  • Sejuk dan mengigil atau berpeluh pada waktu malam.
  • Kelesuan dan rasa hendak sakit.
  • Demam melebihi 101 darjah fahrenheit.
  • Sakit pada rusuk, belakang atau kelangkang.
  • Perubahan mental atau kekeliruan (terutamanya pada warga emas).
  • Loya dan muntah-muntah.
  • Sakit teruk pada abdomen.
Pencegahan
  • Sentiasa bersihkan dan keringkan bahagian kemaluan.
  • Bersihkan dubur dan bahagian kemaluan dari depan ke belakang setiap kali selepas buang air.
  • Tukar tampon atau tuala wanita dengan kerap semasa datang haid.
  • Pergi ke tandas setiap kali anda rasa hendak membuang air.
  • Jangan gunakan seluar dalam jenis nilon.
  • Jangan gunakan pembersih bahagian kemaluan wanita atau douche kerana produk ini boleh merengsa uretra.
  • Minum air kosong dengan banyak.
  • Jika anda tidak memiliki masalah dengan batu buah pinggang, bolehlah meminum jus kranberi.
  • Jangan minum cecair yang boleh merengsa pundi seperti alkohol dan kafein.
Rawatan selalunya penghidap akan diberi ubat antibiotik untuk membunuh kuman. Adalah penting untuk penghidap menghabiskan rawatan antibiotik seperti yang diarahkan oleh doktor.

Mengapa Sukar Hamil Kali Kedua

Selepas melahirkan anak pertama, anda tentunya mengharapkan kehadiran anak kedua pula. Sayangnya penantian anda itu bagaikan satu penyeksaan apabila kehamilan yang dinanti tidak juga menjadi.

Mengapa sukar untuk hamil anak kedua ini terjadi? Kira-kira 60 peratus daripada wanita yang pernah hamil anak pertama atau lebih, berisiko mengalami ketidaksuburan sekunder. Risiko ketidaksuburan sekunder ini juga boleh berlaku kepada pasangan yang sihat dan tidak mengalami gangguan pada organ reproduktifnya.

Tanda-Tanda Ketidaksuburan Sekunder

Kesukaran untuk hamil anak pertama, kedua atau ketiga dan seterusnya boleh terjadi kepada pasangan pada usia reproduktif iaitu 20 ke 34 tahun malah yang telah melewati usia reproduktif iaitu lebih 35 tahun.

Punca ketidaksuburan skunder ini sebenarnya hampir menyamai ketidaksuburan prima atau ketidaksuburan yang berlaku kepada pasangan yang sukar untuk mendapat anak pertama. Sejak melahirkan anak pertama sehinggalah merancang untuk hamil lagi, banyak hal dan perubatan yang terjadi pada organ reproduksi anda mahupun pasangan. Perubahan itu mungkin menyebabkan gangguan kepada proses kehamilan.

Oleh sebab itulah, sebaik sahaja melahirkan anak pertama anda perlu membuat perancangan jumlah anak dan jarak kelahiran antara anak pertama dan anak kedua. Tempoh yang sesuai untuk menjarakkan kehamilan adalah antara 18 hingga 48 bulan.

Ibu hamil dan pasangan sebaiknya berwaspada dan segera mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor sekiranya berhadapan dengan situasi sebegini:
  • Anda dan pasangan masih dalam usia reproduktif, aktif hubungan kelamin kira-kira 2 ke 3 kali seminggu dan tidak menggunakan alat pencegah kehamilan. Tapi tidak juga hamil dalam waktu dua tahun.
  • Anda dan pasangan berusia 35 tahun atau lebih, aktif secara seksual dengan tidak menggunakan alat pencegah kehamilan tetapi tidak juga hamil dalam tempoh 6 bulan.
  • Anda memiliki riwayat haid yang tidak teratur, sempat berhenti haid beberapa bulan malah berhenti haid sama sekali.
  • Anda pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali atau lebih.
  • Anda menderita penyakit keradangan pada rongga pinggul atau merasakan kepanasan membakar di daerah sekitar vagina dan keluar lendir berbau dari vagina.
  • Anda atau pasangan pernah mengalami penyakit jangkitan kelamin.
  • Anda dan pasangan pernah menjalani rawatan mengubati penyakit kanser.
  • Pasangan anda mengalami penurunan keghairahan seksual atau kesakitan waktu ejakulasi.

Jalani Ujian


Bagi mengetahui punca ketidaksuburan sekunder, doktor akan menjalani ujian untuk kedua-dua pasangan kelamin.

Ujian Untuk Isteri

Ujian darah dijalankan untuk mengukur sejumlah senyawa tertentu di dalam darah seperti hormon progestron yang diambil pada pertengahan kitaran haid, hormon gonadotropin untuk mengetahui sama ada wujud gangguan pada fungis ovari yang mengganggu produksi sel telur. Ujian prolaktin untuk mengetahui sama ada wujudnya gangguan atau tumor pada kelenjar pituitari iaitu hormon yang mengawal penghasilan air susu ibu.

Pemeriksaan perubatan untuk mengetahui sama ada wujudnya gangguan, kelainan penyumbatan atau ketidaknormalan yang berlaku pada pelbagai organ reproduksi. Misalnya penyumbatan pada saluran ovari yang menyebabkan sel telur matang tanpa dimasukki sel sperma. Ia dilakukan dengan Ultra Sono Grafi (USG) di sekitar vagina dan pemeriksaan rongga pinggul.

Pemeriksaan tambahan juga akan dilakukan berdasarkan ujian darah dan pemeriksaan perubatan sehingga punca yang lebih spesifik dapat diketahui.

Ujian Untuk Suami

Pemeriksaan sperma untuk menganalisis kauliti semen dan sperma termasuk mengetahui bentuk, ukuran, kemampuan gerakan sperma untuk berenang dan mencapai telur seterusnya disenyawakan.

Pemeriksaan organ reprodusi untuk mengetahui kemampuan testis menghasilkan sperma berkualiti yang baik, kemampuan penis berejakulasi dan ada atau tidak sumbatan pada saluran sperma. Pemeriksaan ini dapat dilakukan beberapa kali seiring dengan terapi yang dijalani.

Bagi mengatasi masalah ketidaksuburan sekunder dengan baik, anda dan pasangan perlu membuka minda dan menjalinkan komunikasi yang baik. Walaupun pada akhirnya anda berdua tidak juga memperoleh anak, cubalah mensyukuri si buah hati yang telah lahir sebelum ini dalam hidup anda berdua.

Rawatlah Organ Intimmu

Sebagai organ paling utama dalam urusan seks, bahagian intim seharusnya mendapat penjagaan yang terbaik. Namum memandangkan lokasinya tidak dilihat secara terus maka ramai pula yang mengabaikan penjagaannya. Tapi satu perkara yang harus diketahui bahagian intim baik lelaki mahupun wanita perlu dirawat agar fungsinya tidak terjejas.

Dalam merawatnya pula sudah tentu caranya berbeza mengikut jantina. Vagina yang dimiliki oleh wanita mudah terkena jangkitan dan iritasi, berbeza dengan penis yang dimiliki oleh lelaki kerana sebahagian besar kulit penis cukup tebal dan ini menyebabkan ia lebih tahan terhadap iritasi dan jangkitan.

Jika anda tidak mengetahui cara merawat bahagian ini dengan betul maka ikuti panduan yang diberikan ini.

Setelah Membuang Air Kecil @ Besar

Cuci bahagian luar alat kelamin dengan air dan sabun. Bagi kaum wanita, siram dengan air dengan arah depan ke belakang dan bukan sebaliknya. Ia mencegah kemasukkan kuman dari dubur ke vagina. Untuk lelaki pula, cukup hanya membersihkannya dengan air bersih.

Kebersihan Pakaian Dalam

Ganti seluar dalam sebanyak dua kali sehari untuk menjaga kebersihan. Selain itu pilihlah seluar dalam dari fabrik yang mudah menyerap peluh. Jika tidak kulat boleh menempel pada alat kelamin. Hindari untuk saling bertukar pakaian dalam dengan orang lain termasuklah dengan ahli keluarga sendiri kerana setiap orang memiliki keadaan alat kelamin yang berbeza.

Menggunakan Tandas Awam

Jirus atau Flush tandas sebelum menggunakannya. Ia untuk mencegah penularan jika pengguna sebelum itu adalah penderita sakit kelamin. Gunakan air yang keluar dari paip dan hindari penggunaan air dari baldi atau takungan kerana menurut kajian air yang bertakung di dalam tandas selalunya mengandungi 70% kulat candida albicans (penyebab keputihan dan rasa gatal pada vagina).

Menjaga Rerambut Sekitar Alat Kelamin

Hindari membersihkan rerambut di bahagian kemaluan dengan cara mencabut kerana akan wujud lubang pada bekas bulu kemaluan tersebut dan ia boleh menjadi jalan masuk bekteria, kuman dan kulat. Ia juga turut dapat menimbulkan iritasi dan penyakit kulit.

Disarankan untuk merapikan rerambut ini dengan memendekkannya melalui cara mengunting atau dicukur. Sekiranya ingin dicukur gunakan buih sabun terlebih dahulu dan pastikan anda menggunakan pencukur cukur khusus yang lembut dan sudah dibersihkan dengan sabun dan air panas. Elak dari menggunakan pencukur yang sudah digunakan.

Bulu-bulu di bahagian ini berfungsi untuk kesihatan alat kelamin. Ia berguna untuk merangsang pertumbuhan bakteria baik yang melawan bakteria jahat serta menghalang kemasukan benda asing kecil ke dalam vagina, menjaga alat kelamin tetap hangat dan melindungi dari gesekan.

Pemakaian Pantyliner

Pemakaian pantyliner tidak dianjurkan digunakan setiap hari, sebaiknya digunakan ketika keputihan. Adalah lebih baik jika membawa seluar dalam ganti daripada menggunakan pantyliner tiap hari.

Hindari Seluar Ketat

Memakai seluar dalam atau jean yang terlalu ketat di celah kelangkang menyebabkan kulit sukar bernafas dan akhirnya membuatkan bahagian tersebut berpeluh, mudah dijangkiti kulat.

Pemakaian seluar ketat bagi lelaki pula akan membuatkan peredaran darah tidak lancar dan bahagian alat sulit mereka iaitu penis serta testis dalam keadaan panas. Panas yang berlebihan boleh menurunkan kualiti sperma.

Setia Pada Pasangan Sendiri

Ia juga tentunya termasuk dalam salah satu penjagaan alat kelamin. Bertukar pasangan boleh saja menyebabkan berlaku jangkitan penyakit alat kelamin.

Jangan Malas Menggantikan Tuala Wanita

Bagi wanita yang sedang haid, jangan malas menggantikan tuala wanita kerana ketika menstruasi kuman-kuman mudah untuk masuk dan tuala wanita yang ada gumpalan darah merupakan tempat pembiakan kulat serta bakteria. Ganti setiap empat jam sekali, 2-3 kali sehari atau apabila sudah berasa tidak selesa. Jangan lupa bersihkan vagina sebelumnya ketika menggantikan tuala wanita.

Pemeriksaan Rutin

Pemeriksaan rutin adalah perlu bagi menjamin kesihatan alat intim dalam keadaan yang sihat. Jika terdapat sesuatu yang tidak kena dan anda tidak berasa selesa dengannya, segeralah jalani pemeriksaan. Jika terdapat perubahan warna, kadang kala disertai bau yang kurang senang dan gatal-gatal pada alat kelamin, segeralah bertemu doktor.

Makanan Selamat Untuk Ibu Hamil

Bagi ibu hamil persoalan tentang makanan harian yang boleh atau tidak diambil sering kali menjadi perhatian mereka. Ia juga selalu menjadi perdebatan di kalangan ibu hamil. Jesteru bagi merungkai lagi jawapan kepada persoalan ini, beberapa perkara yang berkaitan dengan pemakanan ibu hamil akan cuba dirungkai.

1. Selamatkah ibu hamil mengambil daging segar yang diberikan suntikan antibiotik?

Jawapan:

Jumlah antibiotik daripada daging yang melalui janin amat sedikit jumlahnya. Disarankan ibu hamil agar mengambil daging organik untuk mengelakkannya. Ini kerana, mengambil daging yang disuntik dengan antibiotik dikhuatiri dapat menyumbangkan bakteria yang kalis antibiotik.

Berdasarkan kajian yang dijalankan menunjukkan merawat haiwan dengan antibiotik boleh menyebabkan perkembangan bakteria yang kalis antibiotik. Namum tiada kajian yang boleh dikaitkan secara spesifik mengenai masalah ini dengan komplikasi wanita hamil.


2. Selamatkah menggunakan ketuhar gelombang mikro untuk memasak sewaktu hamil?

Jawapan:

Tiada kajian kukuh yang dapat menyokong perkaitan penggunaan ketuhar gelombang mikro dengan waita hamil. Memanaskan makanan di dalam ketuhar jenis ini tidak mendedahkan ibu hamil dengan apa-apa jenis radiasi.

Apatah lagi, penghasilan ketuhar gelombang mikro ketika ini semakin baik. Jarang sekali hendak dilihat kesan kebocoran radiasi yang berlaku. Ia berbeza bagi ketuhar mikro gelombang yang telah rosak dan telah lama. Ia mungkin mengalami kebocoran radiasi.

Cara memastikan ketuhar gelombang mikro anda masih selamat digunakan atau sebaliknya. Cuba ambil sehelai kertas dan letakkan di tengah pintu dan tutup kembali pintu ketuhar gelombang mikro. Cuba tarik kertas tadi, sekiranya ia mudah ditarik bermakna penebat pintu ketuhar mikro gelombang anda bermasalah. Selagi penebat itu belum diganti, jangan gunakan ketuhar itu.

Sungguhpun penebat pintu ketuhar anda masih elok, elakkan berdiri berdekatan dengannya. Namum, belum ada kajian terperinci yang dijalankan untuk mengaitkan adakah terdedah dengan gelombang mikro memberi kemudaratan kepada janin dalam kandungan.


3. Selamatkah mengambil coklat yang berlebihan sewaktu hamil?

Jawapan :

Sebenarnya, coklat juga mengandungi kafein. Namum tiada bukti yang dapat menyatakan pengambilan kafein yang sederhana memberi kemudaratan kepada wanita hamil. Terdapat juga bukti yang menyatakan coklat berkesan terhadap neurotransmitter di dalam otak anda yang mana ia memberi persaan selesa.

Namun, istilah banyak itu juga perlu diperjelaskan. Sebenarnya selamat untuk mengambil coklat ketika hamil. Tetapi pasti anda tidak mahu mengambilnya secara berlebihan. Ini kerana, ia boleh membuang kebaikan makanan yang berkhasiat yang lain malah ia membekalkan kalori tambahan dalam tubuh. Keadaan ini membuatkan berat badan anda bertambah. Sebab lain adalah di dalam coklat mengandungi kafein. Secara umumnya, ibu hamil perlu mengambil sekurang-kurangnya bawah 200mg kafein setiap kali.


4. Selamatkah mengambil makanan pedas sewaktu hamil?

Jawapan :

Selamat sebenarnya mengambil makanan pedas sewaktu hamil. Namum, ia bergantung kepada kehendak anda sendiri. Makanan yang terlalu pedas boleh membuatkan anda berasa tidak selesa. terutama di akhir-akhir trimester kehamilan.

Ia boleh mengundang masalah pedih ulu hati di kalangan wanita yang mengalami masalah pedih ulu hati di awal kehamilan mereka. Makanan pedas juga sebenarnya selamat untuk bayi anda. Namum, bagi yang kurang biasa ia boleh menyebabkan anda kurang selesa. Makanan yang pedas ini juga boleh menjadi pemangkin kepada masalah pedih ulu hati yang dialami oleh ibu hamil.

Sendirian Ketika Bersalin, Apa Perlu Dilakukan?

  • Hubungi talian kecemasan 999. Berikan butiran lengkap dan minta mereka hantar skuad kecemasan dengan segera.
  • Jika tiada suami atau ahli keluarga, hubungi jiran terdekat untuk membantu.
  • Usah kunci pintu agar mudah untuk skuad atau jiran beri bantuan.
  • Ambil tuala, selimut atau kain. Letakkan di bawah punggung dan kain selebihnya berdekatan dengan anda. Apabila bayi selamat dilahirkan anda boleh mengelapnya dengan segera. (Sekiranya pertolongan belum tiba sedangkan bayi sudah selamat dilahirkan, anda boleh juga menggunakan baju untuk membalut bayi tersebut).
  • Sekiranya anda tidak dapat menahan diri daripada meneran, cuba gunakan teknik pernafasan secara mencungap atau mengiring. Pastikan juga anda berada dalam keadaan baring kerana jika anda berada dalam keadaan berdiri, bayi akan terjatuh dan dikhuatiri akan menyebabkan kecederaan kepadanya. Jangan lupa untuk menanggalkan seluar dalam anda.
  • Banyakkan berdoa agar anda tenang hadapi saat genting ini.