Archive for July 2013
Latest Updates

Kenali Posisi Penyusuan Susu Ibu



Dalam menyusukan bayi, salah satu faktor yang perlu dititikberatkan ialah posisi penyusuan. Dengan melaksanakan posisi yang betul, ia dapat membantu anda melancarkan selanjutnya menjayakan proses penyusuan.

Langkah Demi Langkah

Kedudukan Selesa

Pastikan kedudukan anda selesa di mana bayi diampu dengan baik. Anda boleh duduk bersandar pada katil, sofa ataupun kerusi dengan kepala bayi di aas lengan anda. Sebaik-baiknya jangan bersandar terlalu jauh daripada bayi sehingga menyukarkan dia mencapai puting untuk menyusu.

Elakkan juga daripada terlalu membongkok hingga membuatkan anda begitu rapat dengan bayi. Untuk itu, anda digalakkan untuk menggunakan bantal atau kusyen untuk bersandar bagi menyokong diri anda dan bayi juga semasa proses penyusuan. Sebaik-baiknya gunakanlah bantal menyusu.

Sokong Bayi

Kepala, tengkuk dan tubuh bayi haruslah berada dalam keadaan selari. Manakala mukanya pula menghadap payudara. Hidung bayi perlu bertentangan dengan puting payudara. Dalam pada itu, bayi perlu rapat dengan anda di mana punggung, kepala dan bahu bayi diampu dengan sebaik-baiknya.

Ampu Payudara

Lazimnya, ramai ibu menyusu melakukan pegangan gunting iaitu ibu jari dan jari telunjuk berada di atas puting manakala jari-jari yang lain di bawah puting ketika menyusu. Sedangkan, cara yang betul memegang payudara ialah dengan melakukan pegangan C di mana ibu jari berada di atas puting dan jari-jari lain di bawah puting.

Lekapan Bayi

Sebelum mula menyusukan bayi, sentuh bibirnya. Biarkan mulut bayi terbuka luas. Kemudian, halakan tubuh bayi ke arah payudara. Dalam pada itu, pastikan dia melekap pada aerola dengan betul. Gerakan rahang dan bunyi tegukan yang kedengaran adalah petanda bayi menyusu dalam posisi yang betul.


Jenis-Jenis Posisi Penyusuan

Secara amnya, anda perlu tahu bahawa setiap kali sesi penyusuan berlangsung, kepala, tengkuk dan badan bayi perlu berada dalam keadaan selari. Mukanya pula perlu menghadap payudara. Hidung pula perlu bertentangan dengan puting payudara anda. Ketahui juga bahawa bayi perlu rapat dengan anda, perutnya bertemu dengan perut anda. Antara lain, kepala, bahu dan punggung bayi perlu diampu dengan sebaik-baiknya. Dalam masa yang sama, anda dinasihatkan untuk tidak terlalu membongkok dan sentiasa berada dalam keadaan yang selesa.

Cradle Hold

Posisi dakapan ini merupakan kedudukan yang paling biasa diamalkan oleh para ibu menyusu ketika menyusukan bayi masing-masing. Ramai yang beranggapan, posisi ini adalah cara paling alami bagi seseorang ibu untuk memegang bayi ketika menyusu.

Ia sememangnya sangat selesa buat diri anda sendiri dan bayi yang disusukan juga. Posisi ini membolehkan perut bayi dan perut anda bertemu. Oleh yang demikian, anda tidak perlu memusingkan kepala bayi untuk menyusukannya.

Dalam mengaplikasikan posisi klasik ini, apa yang perlu anda ketahui ialah kepala bayi perlu berada dalam keadaan seperti berehat di dalam dakapan anda. Dalam masa yang sama, sokong bahagian belakang badan dan punggung bayi. Lengannya pula perlu berada di bahagian sisi.

Cross Cradle Hold

Posisi ini hampir sama seperti posisi cradle hold. Dengan menggunakan posisi ini, bayi akan diampu oleh sebelah lagi tangan anda. Jika bayi menyusu di payudara kiri, bahagian badan, belakang dan kepalanya diampu oleh lengan kanan anda. Tapak tangan anda pula akan mengampu kepala bayi. Selain daripada itu, badan bayi boleh juga disokong dengan menggunakan bantal menyusu.

Anda perlu berada dalam posisi tegak. Jangan membongkok kerana ia boleh menyebabkan anda berasa tidak selesa ketika menyusukan bayi. Malah hal yang sama boleh menyebabkan anda mengalami sakit belakang. Sementara itu, ketahuilah posisi ini amat sesuai untuk para ibu yang mempunyai saiz payudara yang agak besar.

Football Hold

Posisi seperti ini memerlukan sokongan tambahan iaitu anda memerlukan bantal menyusu bagi menyokong bayi agar dia kekal selesa. Bantal berkenaan perlu diletakkan di bahagian tepi tubuh atau bawah lengan anda bagi membolehkan bayi berada sama paras dengan payudara.

Untuk makluman, teknik ini sangat sesuai untuk dipraktikkan oleh ibu yang melahirkan bayi secara czer. Hal ini kerana posisi ini dapat membantu anda mengelakkan bahagian perut daripada menerima tekanan berat badan bayi.

Selain itu, posisi ini juga sesuai untuk anda yang memilikki payudara besar, menyusukan bayi pramatang atau bayi bayi bersaiz kecil. Malah anda yang mempunyai anak kembar juga boleh mengaplikasikan posisi ini untuk menyusukan mereka pada waktu yang serentak.

Lying Down

Posisi menyusukan bayi secara berbaring ini boleh digunakan ketika anda mahupun bayi berasa letih. Ia amat selesa. Malah, jika anda baru melahirkan bayi secara czer, posisi ini boleh dicuba pada hari-hari pertama selepas kelahiran bayi. Lakukannya dengan menyokong kepala bayi dengan lengan ketika anda berbaring.

Tandem

Lazimnya, posisi-posisi ini diamalkan oleh mana-mana ibu menyusu yang mempunyai anak kembar agar dia dapat menyusukan kedua-dua orang anak dalam satu-satu masa. Walau bagaimanapun, posisi yang sama juga boleh anda aplikasikan jika masih mempunyai anak yang lebih berusia untuk menyusu bersama bayi kecil pada waktu yang sama.

Kolostrum



Untuk mengetahui betapa istimewanya susu ibu yang mengandungi antibodi bagi melindungi bayi. Pada awal kelahiran, susu yang keluar adalah pekat dan berwarna kekuningan yang dinamakan sebagai kolostrum. Ia merupakan imunisasi pertama unuk bayi. Sayang sekali jika kolostrum yang wujud hanya untuk beberapa hari selepas kelahiran tidak diberikan kepada simanja.

Ketahuilah, biarpun kuantiti kolostrum adalah sedikit namun ia cukup untuk memenuhi keperluan bayi. Saiz perut bayi baru lahir kecil iaitu sebesar sebiji guli. Jadi, dia tidak memerlukan kuantiti susu yang banyak pada hari-hari awal selepas kelahirannya.

Kolostrum merupakan makanan sempurna bagi bayi. Ia mengandungi kandungan protein, vitamin A dan vitamin E yang lebih tinggi berbanding susu matang. Kolostrum juga mengandungi faktor pertumbuhan yang membantu mematangkan usus dan mencegah alahan. Jika makanan lain seperti susu formula atau air kosong diberi kepada bayi terlebih dahulu sebelum kolostrum, makanan tersebut boleh merosakkan ususnya dan meyebabkan alahan serta penyakit lain.

Jangan sesekali tertipu dengan anggapan bahawa susu anda terlalu sedikit untuk bayi kerana kolostrum yang dihasilkan sangat mencukupi. Bagi mempercepatkan penghasilan susu matang, anda hanya perlu kerap menyusukan bayi,memastikan posisi penyusuan yang betul dan pada masa yang sama dapatkan khidmat urutan daripada bidan terlatih. Proses urutan yang dilakukan dapat membuka liang susu yang mungkin tersumbat sekaligus melancarkan aliran susu.

Panduan Bermula

Dalam usaha memastikan anda dapat bermula dengan baik, aplikasikan tip berikut bagi memudahkan proses penyusuan anda.

Tenang dan yakin bahawa anda boleh menyusukan bayi sebaik sahaja dia dilahirkan.

Cuba susukan bayi sebaik sahaja dia dilahirkan di dalam bilik bersalin.

Lazimnya bayi baru lahir dapat mencari di mana payudara ibunya berada. Proses ini kadang kala mungkin memakan masa terutamanya jika anda mengambil ubat penahan sakit. Jadi, besabar dan cuba luangkan masa berharga ini bersamanya.

Pastikan anda selesa sewaktu menyusukannya. Letakkan bantal untuk menyokong belakang dan kepala.

Letakkan bayi ke arah payudara dan galakkan dia membuka mulutnya. Sokong belakang dan bukan kepalanya. Hidung bayi sepatutnya menyentuh payudara anda.

Pastikan kepala bayi berhadapan dengan payudara supaya dia tidak perlu berpusing. Mulut dan hidung sepatutnya menghadap puting anda. Sokong payudara supaya ia tidak menekan dagu bayi.

Sekiranya anda berasa sakit, dengan lembut pisahkan mulut bayi dari puting dan cuba sekali lagi.

Pastikan bahagian belakang anda selesa. Jangan terlalu membongkok ke arah bayi kerana ia boleh memberikan sakit belakang.


Manfaat Penyusuan Susu Awal

Membina sistem imunisasi tubuh bayi menerusi kolostrum yang mengandungi vitamin A dan antibodi yang tinggi.

Merapatkan hubungan antara anda dan bayi.

Mengurangkan risiko anda mendapat kanser payudara dan rahim.

Membantu dalam proses pengecutan rahim bagi mengelakkan masalah tumpah darah selepas bersalin.

Menghindar atau mengurangkan masalah bengkak susu apabila susu matang mula terhasil.

Penyusuan kolostrum di peringkat awal akan mengurangkan masalah jaundis kerana bilirubin dalam darah dikeluarkan oleh badan bayi melalui sistem penghadaman dengan mudah.

Rangsangan untuk menghisap berada di tahap paling kuat kira-kira 20 – 30 minit selepas kelahiran. Hisapan pada peringkat awal akan menjamin kejayaan penyusuan susu ibu di peringkat seterusnya.

Sejam Pertama Yang Penting Untuk Bayi



Sejam pertama penuh bermakna. Jangan lepaskan peluang emas ini untuk menyusukan si manja buat pertama kalinya. Sebaiknya sahaja bayi dilahirkan, anda seharusnya diberi peluang untuk memegang erat bayi. Sentuhan kulit ke kulit antara anda dan bayi, sekurang-kurangnya 10 minit dalam tempoh satu jam pertama selepas kelahiran berupaya mengeratkan hubungan anda berdua. Malah, sentuhan yang sama menjadi langkah penting untuk anda memulakan proses pengeluaran susu. Ketika ini, bayi akan mencari payudara dan memberi tindak balas dengan menghisap payudara. Tindakan ini dinamakan sebagai rooting reflex.

Menyusukan bayi secepat mungkin dalam tempoh satu jam selepas kelahiran sememangnya penting untuk merangsang proses penghasilan dan pengeluaran susu yang lancar. Ia juga  merupakan langkah bijak untuk anda merealisasikan impian penyusuan susu ibu di masa datang. Oleh yang demikian, beritahu dan nyatakan hasrat anda kepada doktor dan jururawat di bilik bersalin agar segera menyerahkan bayi sebaik dia dilahirkan untuk disusukan.

Kajian menunjukkan bayi baru lahir yang mendapat sentuhan awal daripada ibu cepat belajar untuk melekap dengan lebih efektif berbanding bayi yang terpisah daripada ibunya dalam masa satu jam selepas lahir. Ketahuilah! Sejam pertama ini adalah masa dimana bayi berada dalam keadaan waspada dan tenang. Jadi, dia mudah berinteraksi dengan anda. Matanya yang terbuka luas membolehkan dia mencari dengan penuh minat payudara.

Pemerhatian yang dilakukan oleh pakar laktasi mendapati bayi baru lahir akan berusaha bergerak menuju ke arah payudara. Biasanya dia mencapai sasaran itu dengan bantuan yang minima. Oleh itu, beri sepenuh perhatian kepada bayi dalam tempoh masa berharga ini. Renung wajahnya dan berbual-bual dengannya agar dia boleh mendengar secara langsung suara yang pernah didengarinya di alam rahim. Dakap dia agar berlaku sentuhan kulit ke kulit, perut ke perut dan pipinya ke payudara. Untuk memastikan dia selesa, selimuti tubuhnya. Jangan khuatir kerana suhu tubuh anda memadai untuk menghangatkannya.

Mengapa Bayi Harus Dibedung?

Lazimnya bayi yang baru lahir pasti akan dibedung. Ia salah satu teknik membungkus bayi menggunakan kain yang lebar dan agak luas.

Membedung bayi sememangnya amat disarankan pada bayi yang baru lahir kerana ia bagaikan pelukan hangat seperti semasa masih berada dalam rahim ibu. Membedung akan membuatkan bayi berasa tenang dan selesa selain memudahkan ia untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran barunya setelah dilahirkan.

Sebenarnya banyak manfaat membedung bayi ini. Antaranya:
  • Untuk menghangatkan tubuh bayi.
  • Membantu bayi menyesuaikan diri dengan suhu persekitarannya selepas keluar daripada rahim ibu.
  • Menahan refleksi gerakan tangan dan kakinya yang selalu membuatnya terkejut dan terbangun dari tidurnya. Membedung akan mengurangkan gerakan refleksi tersebut dan membuat tidur bayi lebih tenang.
  • Memudahkan bayi untuk didukung dan didodoikan.
  • Membuat bayi lebih mudah untuk ditenangkan apabila dia mula meragam. Apabila dibedung, bayi akan berasa tenang dan mudah mengantuk lalu tertidur.
  • Sebaiknya jangan membedung bayi terlalu lama, cukuplah sekadar satu bulan pertama. Ini kerana apabila bayi semakin membesar, ia akan mula banyak bergerak dan membedungnya hanya akan membatasi pergerakan motoriknya yang sedang berkembang dan boleh membuat bayi bertambah meragam kerana sudah mula berasa tidak selesa apabila dibedung.
Selain itu, perhatikan juga perkara berikut apabila mahu membedung bayi.
  • Cuaca yang terlalu panas. Ini akan menyebabkan bayi berasa tidak selesa dibedung kerana tubuhnya terasa bahang dan tidak mendapat udara. Jika begini, sebaiknya jangan bedung bayi dahulu sehingga cuaca panas mula berkurangan.
  • Perhatikan keinginan bayi. Sesetengah bayi tidak suka dibedung malah banyak meragam apabila dibedung. Jika bayi lebih tenang dan selesa tidak dibedung, tidak perlulah anda membedungnya.
  • Jika membedung bayi, anda harus peka dengan lampinnya samada lampin pakai buang atau lampin basahan. Bayi yang baru lahir kerap membaung air. Lampin yang basah akan mengganggu keselesaannya.
  • Berhati-hati dan sentiasa perhatikan bayi anda. Adakalanya kerana pergerakkan bayi, kain bedung mungkin boleh menutupi wajahnya atau terkena pada wajahnya yang membuat bayi bersa tidak selesa ataupun mungkin boleh menyebabkan kelemasan.

Tanda Lahir, Bahayakah Pada Bayi?



Tanda lahir! Sudah tentu anda biasa mendengar perkataan tersebut iaitusesuatu tanda pada tubuh badan yang disebut sebagai tanda lahir. Pernahkah anda perhatikan seluruh tubuh bayi anda, di mana tanda lahirnya? Adakah anda risau enatng tanda lahir tersebut?

Contohnya, anda dapati ada satu tompokan berwarna coklat pada kaki atau wajah bayi anda. Dan yang merisaukan anda jika tompokan atau tanda lahir itu semakin melebar atau membesar seiring dengan pertambahan usia si kecil dan mungkin boleh membuat anak anda berasa rendah diri setelah dia besar nanti.

Memang tidak dapat dinafikan ada segelintir ibu bapa yang khuatir dengan tanda lahir tersebut apatah lagi jika ia mungkin membuatkan si kecil berasa rendah diri atau menjadi ejekan teman-teman jika tanda lahir tersebut terletak pada bahagian tubuh yang mudah dilihat.

Tahukah anda bagaimana tanda lahir tersebut muncul? Ia ada kaitan dengan trauma si ibu sewaktu proses kelahiran yang menyebabkan pembuluh darah melebar. Pada sesetengah kes, tanda lahir pada bayi akan hilang sendiri selepas dilahirkan. Yang penting tanda lahir ini tidak membahayakan bayi dan tiada kaitan dengan penyakit kulit.

Tanda lahir hadir dalam pelbagai bentuk dan warna, berganung kepada setiap individu. Ia di kategorikan dalam beberapa bahagian.

Hemangioma Stoberi

Tanda lahir ini berwarna agak kemerahan. Boleh jadi hanya secesar seperti satu titik atau mungkin sebesar tapak tangan bayi. Tanda ini berlaku kerana bahan dalam sistem darah yang belum matang telah terpisah daripada peredaran darah sewaktu bayi dalam kandungan. Tanda ini mungkin sudah muncul sebaik sahaja bayi dilahirkan atau setelah beberapa miinggu bayi dilahirkan. Satu daripada 10 bayi berkemungkinan memiliki tanda lahir ini. Adakalanya ia boleh hilang dengan sendirinya seiring dengan pertambahan usia bayi aau sebaliknya iaitu tompokan tersebut menjadi semakin membesar.


Hemangioma Cavernos

Tanda lahir ini jarang berlaku. Nisbahnya satu daripada 100 bayi yang memiliki tanda lahir begini. Ia terbentuk daripada unsur sistem darah yang lebih besar dan ada kaitan dengan lapisan dalaman kulit. Tanda ini berwarna kebiruan atau merah kebiruan dan adakalanya agak membenjol.

Tanda ini kelihatan jelas dalan enam bulan pertama usia bayi dan apabila usia bayi menjangkau setahun ke atas, selalunya ia akan mula pudar dan 90% daripadanya boleh hilang dengan sendirinya apabila usia anak mejangkau 12 tahun.


Nevus Flammeus

Merupakan tanda lahir berwarna merah keunguan yang terdiri daripada pembuluh darah yang matang dan melebar pada kulit. Warnanya mungkin sedikit berubah setelah usai bayi semakin membesar. Tanda lahir ini sukar hilang dan selalunya akan kekal, ia dikaitkan dengan pertumbuhan yang berlebihan daripada jaringan pembuluh darah.


Bintik Coklat

Tanda lahir ini mungkin hadir dengan bintik kecil atau satu titik lebar yang berwarna coklat seperti kopi susu. Tanda lahir ini mungkin tiada sewaku bayi dilahirkan namun akan timbul setelah bayi mulai membesar. Tanda lahir ini bersifat kekal.


Tompok Mongol

Ia berwarna kebiruan atau agak kelabu seperti tanda lebam. Selalunya muncul pada punggung atau bahagian belakang badan dan mungkin juga pada bahu. Tanda lahir ini selalunya terjadi pada bayi berketurunan kulit gelap terutama dari kawasan Asia. Adakalanya tanda lahir ini hilang dengan sendirinya seiring dengan peningkatan usia anak tetapi ia juga boleh menjadi kekal hingga dewasa.


Pigmen Tahi Lalat

Ia seperti tahi lalat dan berwarna sama ada coklat cair hingga kehitaman. Adakalanya pada pigmen tahi lalat ini turut ditumbuhi rerambut. Selalunya pigmen initumbuh dalam saiz kecil. Namun, mungkin boleh membesar dan berisiko menjadi kanser. Jika saiznya semakin lama semakin membesar, disarankan untuk melakukan pembedahan bagi membuangnya.