Archive for May 2013
Latest Updates

Penjagaan Bayi Pramatang



Perhatian ekstra perlu diberikan kepada bayi ini. Suhu badan bayi hendaklah sentiasa berada di paras normal.Bayi juga lazimnya dirawat di dalam inkubator atau diletakkan di bawah pemanas radian. Begitu juga kandungan tahap gula dalam badan sentiasa dipantau untuk mengesan dan memberi rawatan awal sekiranya kandungan gula tinggi atau rendah.

Langkah jimat dan produktif untuk merangsang perkembangan bayi pramatang adalah dengan memberi penyusuan susu ibu secara eksklusif. Cara ini boleh mengelakkan bayi daripada dijangkiti sebarang penyakit. Bersihkan tangan anda terlebih dahulu sebelum memegang bayi kerana metabolisme dan imunisasinya masih belum utuh menangkis sebarang jangkitan kuman atau penyakit.

Dalam kes tertentu, sekiranya bayi terdedah kepada sebarang komplikasi, mereka dinasihatkan mendapatkan rawatan fisioterapi, terapi cara kerja dan lain-lain terapi. Kerjasama kedua-dua ibubapa amat diperlukan bagi memastikan kesihatan bayi lebih baik dan membesar sihat seperti bayi normal.

Ramai pasangan ibu bapa baru kekok dalam menguruskan bayi baru lahir. Apatah lagi,badan, tangan dan kaki yang kecil serta kulit yang nipis perlu dipegang dengan penuh berhati-hati. Hal ini lebih membebankan bagi bayi baru lahir yang dilahirkan awal daripada tarikh jangkaan lahirnya. Bagi bayi yang lahir tidak cukup bulan tentu lebih sukar untuk menjaganya kerana keadaan anggota badannya lebih kecil dan pelbagai komplikasi yang mungkin berlaku pada bayi ini. Ikuti panduan penjagaan bayi pra matang seperti berikut:


Persekitaran

Kulit bayi pramatang sangat nipis dan tidak mampu menyimpan haba badan dengan baik. Jika suhu tidak stabil bayi mungkin mengalami masalah paru-paru yang lebih teruk. Pastikan suhu sentiasa 27 darjah celcius (suhu bilik) dan sekitarnya berkeadaan bersih. Pakaikan baju lengan panjang, seluar panjang, sarung kaki dan topi untuk menutupi kepalanya kerana haba banyak hilang melalui kepala. Jauhkannya daripada orang yang mungkin mempunyai masalah kesihatan seperti batuk atau selesema.


Posisi Tidur

Posisi mengiring atau meniarap digalakkan untuk memberi keselesaan kepada bayi. Pun begitu, posisi mengiring adalah pilihan yang terbaik. Perlu diketahui, bayi pramatang mengeluarkan muntahnya lebih banyak berbanding bayi normal lain. Bagi bayi yang tidur dalam posisi terlentang, muntahnya mudah masuk dalam paru-paru dan telinga. Jadi, awasi posisi tidur bayi anda.


Kolik (Kembung Perut)

Perut kembung atau kolik amat mudah menyerang bayi yang baru lahir. Ini tidak terkecuali bayi pramatang. Hal inin berlaku kerana bayi berasa tidak selesa dan menangis apabilakolik menyerang. Selain menyapu ubat dan menuam pada bahagian perutnya, mendukung bayi dapat membantu melegakan rasa ketidakselesaan. Anda boleh juga baringkan bayi pada bahagian dada, pastikan perut anda bertemu perutnya. Gosok secara perlahan-lahan pada bahagian belakangnya. Dengan cara sebegini, bayi anda pasti berasa selesa.


Mandi

Cara memandikan sama seperti bayi normal yang lain. Namun, jangan terlalu lama dedahkan bayi ini tanpa baju. Setelah memandikannya dengan air suam, lap dengan kapas atau kain bersih pada bahagian pelipat jari, paha, kaki, leher dan belakang serta telinga. Sesudah itu, segera pakaikannya baju untuk mengelakkan kesejukan.

Nota : Bayi pramatang biasanya agak lambat mencapai perkembangan yang dicapai oleh bayi seusianya. Anda perlu mengambil kira berapa minggu dia lebih awal dilahirkan.

Contohnya kalau bayi dilahirkan sebulan pramatang, anda perlu menambah sebulan lagi untuk perkembangannya. Apa yang mampu dicapai oleh bayi enam bulan, dia akan mencapainya dalam usianya tujuh bulan.

Risiko Kematian Ibu Ketika Bersalin



Hasil daripada perkembangan teknologi perubatan dan pengetahuan tentang pentingnya menjaga kesihatan semasa hamil, kes kematian semasa bersalin semakin berkurangan. Namun, untuk memastikan kejayaan tersebut berterusan, kerjasama semua pihak sangat penting terutamanya daripada ibu hamil itu sendiri.

Untuk pengetahuan, ada banyak faktor yang boleh menjadi penyebab kematian semasa bersalin. Salah satu dariadanya ialah kurangnya kesedaran tentang pentingnya penjagaan diri semasa hamil. Sikap suka melengah-lengahkan pemeriksaan antenatal ketika awal kehamilan sebenarnya mengundang pelbagai risiko bukan sahaja pada ibu tetapi juga pada bayi yang dikandungi.

Ibu hamil perlu sedar bahawa mereka merupakan golongan yang terdedah kepada bermacam-macam komplikasi kesihatan. Oleh yang demikian, pemeriksaan awal dan rawatan susulan perlu dilakukan untuk memantau tahap kesihatan mereka sepanjang kehamilan bagi mengelakkan risiko kematian ibu ataupun bayi semasa proses kelahiran.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati, berjuta-juta bayi mati pada peringkat akhir kehamilan, kelahiran dan pada minggu pertama dilahirkan. Menyedari hakikat ini, WHO menggariskan empat komponen utama berhubung keibuan yang selamat iaitu amalan perancangan keluarga, penjagaan antenatal, kelahiran yang selamat serta bersih dan penyediaan penjagaan obstetrik asas.

Melalui perancangan keluarga, pasangan suami isteri akan dibekalkan dengan pengetahuan tentang cara untuk menjarakkan anak, bilangan anak yang dicadangkan dan masa yang sesuai untuk hamil. Semasa hamil pula, ibu-ibu akan diberikan penjagaan rapi sepanjang kehamilan agar sebarang risiko penyakit dapat dikesan dan dirawat segera. Faktor kelahiran yang bersih dan selamat pula bergantung pada pengetahuan dan kemahiran pembantu kelahiran selain daripada amalan penggunaan peralatan yang telah dibasmi kuman. Manakala, penyediaan penjagaan obstetrik asas amat penting untuk dinikmati oleh semua wanita yang memerlukan. Matlamat yang ingin dicapai di sini ialah setiap ibu hamil dapat melahirkan anak dengan selamat dan kedua-duanya sihat.


Tumpah Darah Penyebab Utama Kematian

Di Malaysia, penyebab utama kematian ibu semasa bersalin ialah pendarahan berlebihan atau tumpah darah selepas bersalin iaitu sekitar 23 peratus. Tumpah darah ini berlaku akibat kekenduran otot-otot rahim terutamanya di kalangan wanita yang terlalu kerap mengandung dan bersalin. Begitu juga dengan wanita yang telah lanjut usia ketika melahirkan anak. Jika tumpah darah berlaku di kalangan wanita yang mengalami masalah kurang darah, sudah tentulah ketahanan badannya menjadi lemah. Keadaan ini boleh membawa maut.

Ada banyak perkara yang menjadi punca kepada masalah kurang darah di kalangan wanita. Antaranya ialah pemakanan tidak seimbang yang menyebabkan kekurangan kandungan vitamin dan zat khususnya besi. Masalah ini juga mungkin berlaku disebabkan oleh kehamilan dan kelahiran yang terlalu kerap dan tidak diatur dengan betul.

Untuk membina darah, seseorang itu perlukan sumber makanan yang kaya protein dan zat besi seperti hati, daging, ayam, ikan, limpa dan sayur. Sebaiknya sebelum hamil seseorang wanita mesti menentukan tahap darahnya menerusi ujian menyukat paras hemoglobin.


Embolisme Paru-Paru Akut Boleh Membawa Maut

Di Malaysia, masalah embolisme paru-paru akut menjadi cabaran getir bagi para pengamal perubatan yang mengendalikan wanita hamil dan baru bersalin. Kajian menunjukkan bahawa lebih kurang 15 peratus kes kematian ibu hamil dan baru bersalin berpunca daripada masalah embolisme paru-paru akut disebabkan oleh dua punca.

Pertama ialah gumpalan darah beku atau deep vein thrombosis yang terbentuk pada betis atau pinggul ibu hamil. Gumpalan darah beku ini terjadi akibat pengaliran darah pada bahagian tersebut tidak lancar disebabkan oleh tekanan kandungan. Risiko ibu hamil mengalami masalah ini empat kali ganda berbanding wanita biasa.

Punca keduanya pula ialah air ketuban yang memasuki saluran darah ibu ketika bersalin atau amniotic fluid embolisme. Keadaan ini tidak menyebabkan salur darah tersumbat secara mutlak sebaliknya reaksi anafilaksis (tindak balas abnormal terhadap antigen tertentu) yang menjadi saluran paru-paru menyempit dan akhirnya tertutup. Kadar kematian akibat masalah ini sangat tinggi dan sehingga kini cara terbaik merawatnya belum dapat dikenal pasti.

Kedua-dua punca di atas menyebabkan ibu hamil yang mengalaminya sesak nafas, tekanan darah menurun, kadar nadi meningkat secara drastik, pucat, tidak bermaya dan tidak sedarkan diri. Atas alasan ini, individu atau suami yang mengiringi ibu hamil semasa bersalin perlu prihatin dan memantau keadaannya semasa dan selepas bersalin.

Jika hal ini berlaku, segeralah dimaklumkan kepada jururawat dan doktor yang bertugas agar rawatan segera dapat diberikan. Akan tetapi, sekiranya masalah ini berlaku di rumah, pastikan ibu tersebut diberikan bantuan pernafasan sementara menunggu bantuan dari hospital tiba.

Bagi ibu hamil, faktor seperti umur, bilangan kehamilan yang banyak, kandungan kembar dan kehadiran penyakit-penyakit lain seperti penyakit jantung akan menambah risiko. Kaedah merawat penyakit ini bergantung pada puncanya. Jika disebabkan oleh gumpalan darah beku, maka rawatan yang akan diberikan ialah dengan cara fibrinolysis iaitu menghancurkan gumpalan darah beku tersebut. Tahap kejayaan penggunaan kaedah ini amat tinggi tetapi perlu disusuli dengan ubat untuk mencairkan darah bagi mengelakkan masalah berulang. Sekiranya disebabkan air ketuban, ibu tersebut akan diberikan bantuan pernafasan ventilasi dan ubat untuk menyokong tekanan darah optimum.


Info

Berdasarkan Laporan Tabung kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada tahun 2009, kira-kira 500,000 wanita di seluruh dunia maut akibat komplikasi mengandung dan melahirkan anak setiap tahun. Di Malaysia, risiko kematian ibu ialah satu dalam 560. Angka ini nyata lebih baik berbanding kebanyakan negara Asia Tenggara yang lain. Misalnya di Indonesia, kematian ibu adalah datu dalam 97, di Filipina, satu dalam 140 manakala di Thailand, satu dalam 500. Semua ini hasil kemudahan kesihatan negara ini yang semaikn baik dari masa ke semasa.

Tip Meneran Ketika Bersalin



Meneran? Pasti yang terbayang di benak Ibu hamil adalah perjuangan hidup dan mati di bilik bersalin. Bagaimanapun meneran ketika proses melahirkan bayi tidaklah seseram yang digambarkan terutama jika ibu yang bersalin menguasai cara meneran yang baik dan betul.


Waktu Mula Meneran

Sebaiknya dilakukan setelah pembukaan lengkap berlaku (10cm) iaitu ketika kepala janin sudahpun turun ke dasar pinggul. Ia ditandakan dengan anus (dubur) mula terbuka sewaktu kontraksi.


Posisi Meneran Yang Tepat

Berbaringlah dengan lutut berlipat dan kedua kaki dibuka.Kedua tangan memeluk paha dengan cara melingkarkannya ke bawah paha. Meneran juga dapat dilakukan dengan berbaring mengiring sama ada sebelah kiri ataupun kanan.


Cara Meneran

Sebaiknya dilakukan apabila kontraksi sampai ke puncaknya. Waktu ini doktor akan meminta anda untuk menarik nafas panjang iaitu menahannya dengan mulut tertutup kemudian meneran ke arah bawah dengan memastikan punggung tetap berada di atas tempat tidur (katil). Ketika meneran dagu diletakkan di dada supaya anda dapat melihat perut anda.

Bagaimanapun ramai juga ibu hamil yang melakukan kesilapan ketika meneran. Ada yang meneran sebelum proses pembukaan sempurna. Ia akan menyebabkan berlakunya Edema (pembengkakan di mulut rahim) yang seterusnya akan menyukarkan proses bersalin selanjutnya.

Di samping itu ada juga ibu hamil yang silap meneran dengan meneran ‘di leher’ dan bukannya di perut. Mata akan nampak merah setelah bersalin dan kadang-kadang disertai dengan kebutaan sementara kerana pembuluh darah kecil di mata pecah akibat teranan di bahagian leher.

Diharap dengan sedikit tip ini para ibu hamil dapat mempraktikkannya dirumah agar ketika bersalin nanti ibu hamil sudahpun bersedia sepenuhnya….selamat bersalin.

Bersalin Normal


Apabila anda tiba di hospital dalamkeadaan fasa pelahiran aktif, jururawat akan memasang alat ECG untuk memantau degupan jantung bayi sekarang tiba saat untuk dilahirkan. Apabila serviks anda sudah terbuka sebanyak 10cm dan kepala bayi juga mula kelihatan, proses pelahiran bermula. Proses bersalin begini bergantung pada kudrat anda sendiri untuk meneran keluar bayi dengan bantuan doktor. Peralatan seperti forsep atau vakum mungkin digunakan bagi membantu menarik bayi keluar jika si ibu sudah keletihan dan tidak mampu untuk meneran bayi.


Induksi

Kaedah ini digunakan jika anda mengalami masalah pre-eklampsia, kelahiran kembar, proses bersalin terlalu perlahan, ketuban pecah terlalu awal yang mendedahkan bayi kepada jangkitan atau bayi terlalu besar.


Episiotomi

Jika laluan keluar bayi agak sempit, doktor akan membuat insisi pada perineum bagi membuka laluan lebih luas. Bahagian yang akan dipotong biasanya dibius terlebih dahulu, kecuali jika ibu sudah diberikan epidural. Episiotomi dapat mengelakkan koyakan tidak seragam pda faraj yang lebih sukar untuk dipulihkan.

Kaedah ini digunakan jika perimeum meregang terlalu besar untuk bukaan faraj, si ibu tidak dapat mengawal teranan, bayi lemas atau jika ibu perlu bersalin menggunakan forsep atau vakum.

Guntingan kecil di bahagian perineum iaitu kulit di antara faraj dan anus akan dilakukan jika berlaku komplikasi seperti saiz bayi besar. Dan kebanyakkan ibu yang pertama kali melahirkan perlu menjalani episiotomi. Kesan daripada guntingan ini anda mungkin mengalami ketidakselesaan untuk tempoh beberapa minggu sehinggalah luka jahitan benar-benar sembuh. Sakit akan lebih terasa jika luka dijangkiti kuman. Masalah sembelit turut menyukarkan keadaan apabila anda ingin membuang air besar. Jika kesakitan berlarutan, segera dapatkan rawatan doktor.


Forsep

Alat ini digunakan untukmenarik keluar kepala bayi terutamanya jika anda sudah keletihan untuk terus meneran. Sekiranya bayi menunjukkan tanda-tanda murung, forsep akan digunakan. Sebelum alat ini digunakan, anda perlu dibius.Setelah itu, alat tersebut akan diletakkan di kepala bayi dan perlahan-lahan menariknya keluar. Anda boleh membantu memudahkan proses ini dengan meneran.


Vakum

Alat bantuan kelahiran yang turut dikenali sebagai ventouse ini juga popular. Ia melibatkan proses menyedut kepala bayi menggunakan sejenis cawan logam yang bersambung pada sebuah vakum. Seharusnya alat ini digunakan sebelum serviks sepenuhnya terbuka sedangkan forsep hanya boleh digunakan setelah serviks terbuka 10cm. Kedua-dua alat bantuan ini boleh menyebabkan kepala bayi membengkak dan lebam tetapi iaakan hilang dalam tempoh yang singkat dan jarang mendatangkan mudarat kepada bayi.

Teknik Kurangkan Sakit Bersalin



Proses melahirkan bermula dengan kontraksi. Kontraksi yang berlaku menyebabkan anda berasa tidak selesa. Bagi mengurangkan ketidakselesaan, terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan.


TANPA BANTUAN UBAT


Berkedududkan Tegak

Semasa kontraksi awal, sokong diri pada permukaan yang berhampiran. Contohnya dinding, kerusi atau katil hospital. Berlutut jika perlu.


Duduk Ke Hadapan

Duduk berhadapan belakang kerusi dan bersandar di atas dengan menggunakan kusyen atau bantal. Rehatkan kepala pada lengan yang disilangkan.


Melutut Ke Hadapan

Melutu dalam keadaan kaki anda terpisah dan rehat ke hadapan di atas himpunan bantal. Cuba berasa dalam keadaan seselesa mungkin.


Posisi Merangkak

Melutut dalam keadaan tangan dan lutut di lantai. Condongkan pelvik anda ke hadapan dan ke belakang. Namun, jangan lengkungkan badan.


Meniup

Jangan meneran jika jururawat mendapati rahim anda belum terbuka sepenuhnya. Sebut ‘huf..huf..’ seperti meniup untuk mengurangkan rasa sakit kontraksi. Berlutut dan bersandar ke hadapan, rehatkan kepala atas tangan dan arahkan punggung ke atas.


MENGGUNAKAN UBATAN


Suntikan Narkotik

Kebiasaannya suntikan ini dilakukan di bahagian punggung. Suntikan pethidine yang digabungkan bersama maxalon (ubat lawan muntah) diberi ketika tahap pertama proses bersalin. Kelebihan penggunaan suntikan ini ialah ibu boleh beristirehat ataupun tidur. Ini kerana suntikan ini merupakan sedatif dan membuat rasa mengantuk. Suntikan ini paling bagus diberi jika anda terlalu cemas. Namun, anda boleh mengalami kesan sampingan jika menerima suntikan satu hingga empat jam sebelum melahirkan. Anda dan bayi akan mengantuk dan mengalami masalah perbafasan. Akibat terlalu mengantuk juga, anda mungkin gagal meneran dengan baik. Walau bagaimanapun, jika bayi mengantuk selepas dikeluarkan, antidot narcan akan digunakan untuk mengatasinya.


Epidural

Suntikan yang dilakukan di bahagian tulang belakang ini baik jika anda tidak tahan sakit, melahirkan anak pertama, proses kelahiran mengambil masa yang panjang, mengalami tekanan darah tinggi dan pernah melahirkan kembar secara pembedahan. Suntikan ini diberi oleh doktor pakar bius setelah kontraksi yang dialami semakin kuat. Dengan menggunakannya, anda dapa bertenang dan tidak stress. Namun, akibat terlalu selesa, anda mungkin sukar untuk meneran dengan baik dan boleh meningkatkan risiko penggunaan vakum dan forsep untuk mengeluarkan bayi.


Entonox

Kaedah menahan sakit ini menggunakan topeng yang akan disalurkan dengan campuran gas nitrius oksida dan oksigen. Anda perlu menghidu gas menggunakan topeng ketika awal hingga lewat tahap pertama proses bersalin. Jika anda tidak menyedut dengan betul, rasa sakit tidak dapat dihilangkan. Sebetulnya topeng mesti dipekap ke bahagian muka sehingga tiada ruang rongga. Hidu gas sedalam-dalamnya dan kemudian tarik dan hembus seperti biasa. Jika dilakukan dengan betul kesannya dapat dirasai selepas 15 saat. Setiap kali kontraksi berlaku, lakukan langkah yang sama. Oleh kerana kesannya akan hilan dalam tempoh seminit selepas dihidu, jadi anda perlu kerap menghidu topeng entonox.