Archive for March 2013
Latest Updates

Bolehkah Melakukan Hubungan Seks Semasa Hamil?



Hubungan seks masih boleh dilakukan seperti biasa bersama pasangan anda sepanjang tempoh kehamilan. Tiada halangan untuk melakukan hubungan seks sepanjang tempoh ini. Namun, anda seharusnya lebih berhati-hati untuk melakukan hubungan seks di awal minggu kehamilan iaitu pada 3 bulan yang pertama. Pada waktu itu, kehamilan masih di peringkat permulaan dan kandungan anda masih lagi lemah. Anda disarankan peka dengan sebarang tanda-tanda luar biasa seperti berlakunya kontraksi yang kuat, pendarahan sebelum atau selepas melakukan hubungan seks. Sekiranya ada, anda dinasihatkan supaya tidak meneruskan hubungan seks ketika itu, dan dapatkan rawatan sekira ianya semakin merisaukan anda.


Seks Tidak Membahayakan

Ramai pasangan akan lebih menikmati hubungan seks sepanjang tempoh kehamilan, ini disebabkan hormon yang meningkat dalam tubuh memudahkan nafsu anda dibangkitkan. Bagi pasangan yang menggunakan kaedah merancang sebelum ini, akan merasakan hubungan seks ketika kehamilan lebih tenang dan seronok kerana anda dan pasangan tidak lagi perlu risau mengenai kaedah merancang keluarga ketika itu. Jangan risau! Melakukan hubungan seks sepanjang kehamilan tidak memudaratkan kesihatan serta kandungan anda. Ini merupakan perkara normal yang dilalui oleh setiap pasangan. Namun, anda seharusnya berhati-hati untuk melakukan hubungan seks apabila:

·           Berasa sakit ketika melakukan hubungan seks.
·           Berlaku pendarahan walaupun hanya sedikit.
·           Pernah alami keguguran sebelum kehamilan ini.
·           Mengalami air ketuban pecah.
·           Pernah melahirkan bayi pramatang sebelum ini.


Bolehkah ibu hamil mengadakan hubungan seks sepanjang kehamilan?

Hubungan kelamin boleh dilakukan seperti biasa ke saat ibu hampir bersalin. Ia tidak sama sekali menjejaskan kandungan kerana pertamanya ada cecair yang melindungi serviks yang mencegah jangkitan kuman dan bayi juga terrlindung dalam kandungan ketuban. Bagaimanapun jika ada tanda-tanda luar biasa seperti pendarahan eloklah berbincang dengan doktor sebelum meneruskan hubungan seksual.

Peka Terhadap Penambahan Berat Badan Semasa Hamil



Bagi mengetahui berat badan semasa, anda dinasihatkan agar kerap menimbang berat badan dari masa ke semasa bagi tujuan pemantauan. Selain itu, sewaktu pemeriksaan antenatal berat badan ibu hamil akan ditimbang untuk mencatatkan peningkatan atau penurunan sepanjang kehamilan. Turun naik berat badan akan memberi petunjuk kepada kesihatan yang sedang dialami oleh ibu hamil. Jika terdapat sebarang perkara yang berkemungkinan dikesan melalui turun atau naik berat badan, rawatan yang selanjutnya akan diberikan. Ibu hamil seharusnya menyedari bahawa mengekalkan berat badan ideal sepanjang kehamilan adalah langkah bijak bagi memastikan kelancaran sepanjang kehamilan di samping mengelakkan berlakunya sebarang risiko terhadap diri dan juga kandungan.



Risiko Berat Berlebihan



Secara teorinya ibu hami lyang mengalami berat badan berlebihan masih mampu melalui tempoh kehamilan dan kelahiran bayi tanpa sebarang komplikasi. Namun, berat badan berlebihan ini ada risikonya tersendiri. Antara risiko yang akan dialami seperti:

Mudah menghidap kencing manis (diabetes) atau darah tinggi semasa hamil.

Sukar mendengar degupan jantung bayi serta menentukan saiz uterus·

Sukar bersalin secara normal, berkemungkinan mendapat bayi besar.

Sukar untuk menurunkan berat badan selepas bersalin.

Sakit belakang

Urat timbul dan bengkak kaki

Mudah letih atau semput


Oleh itu, Ibu hamil yang tergolong dalam kategori ini  perlu mendapatkan penjagaan yang khusus sepanjang kehamilan bagi mengurangkan risiko komplikasi. Doktor mungkin menyarankan diet yang bersesuaian serta melakukan beberapa ujian seperti ujian imbasan (ultrasound) bagi menentukan saiz janin, ujian ketahanan glukosa (untuk mengesan kencing manis) serta lain-lain ujian yang bersesuaian bagi memantau tumbesaran bayi dalam kandungan.

Berat Badan Ideal Semasa Hamil



Pertambahan berat badan adalah berbeza untuk setiap ibu hami. Oleh itu, adalah penting untuk anda mengetahui pertambahan berat badan yang ideal semasa kehamilan dengan berat anda sebelum hamil. Ini kerana masalah berat badan yang berlebihan semasa kehamilan berisiko mengundang masalah pelbagai masalah kesihatan. Kenaikan berat badan sepanjang tempoh kehamilan ini bergantung kepada tinggi dan berat badan anda sebelum kehamilan.

Sekiranya berat badan anda kurang sebelum hamil, maka anda dinasihatkan untuk menambahkan berat badan anda sekitar 14 – 20 kg.

Bagi ibu hamil yang mempunyai berat badan ideal sebelum hamil, maka penambahan berat badan yang disarankan sepanjang kehamilan adalah sekitar 12.5 – 17.5 kg.

Dan sekiranya ibu hamil mengalami berat badan yang berlebihan sebelum hamil, maka penambahan berat badan yang disarankan adalah sekitar 7.5 – 12.5 kg sahaja.

Manakala bagi ibu hamil yang hamil kandungan kembar (dua atau lebih), berbincanglah dengan doktor mengenai kenaikan berat badan yang sesuai sepanjang tempoh ini. Ini kerana pertambahan berat badan adalah bergantung kepada jumlah janin di dalam rahim. Secara puratanya ibu hamil akan mengalami pertambahan berat badan antara 1.35 kg pada trimester pertama kehamilan dan meningkat kepada 0.45kg setiap minggu sehingga minggu ke-40.

Pemakanan Sihat



Diet yang sihat dan seimbang seharusnya menjadi amalan ibu hamil di sepanjang tempoh kehamilan. Ini adalah kerana setiap makanan yang diambil oleh ibu juga merupakan makanan untuk tumbesaran dan perkembangan bayi dalam kandungan. Pada trimester kedua, perkembangan janin akan semakin cepat membesar, ini membuatkan ibu hamil perlu membekalkan gizi yang seimbang bagi menampung perkembangan tersebut.

Ibu hamil yang tidak mengamalkan pemakanan yang sihat selalunya akan berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan. Ia juga akan melibatkan bayi anda secara langsung. Bagi ibu, anda mungkin mengalami anemia serta kurang khasiat makanan. Manakala kandungan anda pula, mungkin akan mengalami masalah kurang berat badan, lahir sebelum masa (pramatang) dan lebih serius lagi berkemungkinan berlakunya keguguran.

Ibu hamil seharusnya mengerti bahawa bayi bergantung pada ibunya untuk menerima pelbagai nutrien penting bagi menjamin perkembangan yang sihat. Janin akan menyerap setiap khasiat yang diperlukannya melalui apa yang ibunya makan. Oleh itu, pengamalan diet yang sihat dan seimbang serta lengkap adalah penting. Amalan pemakanan sebegini mampu memberi perkembangan bayi yang sihat serta mempunyai berat badan yang normal.

Kekurangan nutrien, zat dan mineral yang diperlukan oleh bayi sepanjang berada dalam kandungan ibu boleh menjejaskan tumbersarannya. Untuk melengkapkan pemakanan yang seimbang ibu hamil seharusnya mengambil aneka jenis diet yang lengkap seperti karbohidrat, lemak, mineral vitamin, kalsium, protein, dan sebagainya.

Di samping itu, beberapa perkara yang boleh diamalkan adalah:

·         Tambah pengambilan kalori harian. Disarankan antara 200 - 300 kalori.
·         Makan sedikit tetapi makan lebih kerap (5 - 6 kali sehari).
·         Makan makanan dari sumber protein dan karbohidrat.
·         Amalkan pengambilan vitamin dan mineral seperti zat besi.

Mengurus Jenazah Janin Yang Keguguran

Jika janin berusia kurang daripada 120 hari dan tidak didapati tanda-tanda kehidupan ketika dilahirkan seperti bergerak ataupun menangis, maka memadai ia dibalut dengan kain lalu dikuburkan. Tidak perlu dimandikan dan disolatkan.

Jika janin itu berusia empat bulan atau lebih, dan tidak didapati tanda-tanda kehidupan setelah kelahirannya, maka ia wajib dimandikan, dikafankan, lalu dikuburkan tanpa solat jenazah.

Namun, jika didapati ada tanda-tanda ia hidup setelah kelahiran, maka hukumnya seperti orang dewasa iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan lalu dikuburkan.

Sumber : Majalah Al Ustaz
(Uztaz Umar Muhammad Noor)

Pendidikan Bermula Sejak Dalam Kandungan



Dalam Islam, usaha mendidik perlulah bermula sejak bayi dalam kandungan lagi. Selain itu, Islam menyarankan seorang lelaki mencari pasangan hidup (isteri) daripada kalangan orang beriman dan beragama. Dengan itu, bayi yang bakal dilahirkan nanti juga akan menjadi seorang anak yang baik serta beriman.

Pendidikan sejak dalam kandungan, dapat kita lihat melalui pengajaran yang terdapat dalam al-Quran iaitu pengajaran yang boleh dicontohi melalui kisah Nabi Zakaria. Ketika Nabi Zakaria sangat mengidamkan seorang zuriat lelaki yang diharapkan dapat menyambung perjuangannya, beliau telah berdoa kepada Allah. Lalu Allah telah mewahyukan kepada Nabi Zakaria bahawa doanya akan dimakbulkan. Melalui teladan tersebut terdapat pengajaran yang dapat anda ikuti dalam mendidik diri dan bayi sepanjang kehamilan. Dalam Islam, kaedah pendidikan yang bermula dari kandungan ibu, telah lama dipraktik dan dibuktikan kejayaannya. Oleh itu, untuk mendapat anak yang pintar dan baik, maka para ibubapa perlu mengambil perhatian terhadap pembentukan watak dan peribadi anak-anak mereka sejak dalam kandungan lagi.


Cara Mendidik Anak Dalam Kandungan

Antara cara dapat diterapkan semasa kehamilan ialah :

·           Mengamalkan solat wajib dan sunat
·           Mengamalkan zikir
·           Membaca al-Quran
·           Mendengar muzik yang berunsurkan nasyid
·           Banyak membaca buku-buku ilmiah
·           Berkomunikasi dengan bayi dalam kandungan
·           Menjaga tingkah laku dan perasaan
·           Elakkan stres
·           Lakukan senaman ringkas yang mudah
·           Makan makanan dari sumber rezeki yang halal.
·           Jauhi perasaan suka berdendam, dengki, hasutan dan sebagainya.
·           Lapangkan minda dan banyakkan bersabar.
·           Jangan bazirkan masa dengan melakukan perkara yang sia-sia.
·           Jangan berbual kosong.