Archive for January 2013
Latest Updates

Sebab Bayi Muntah Semula Makanan

Bayi anda mengeluar atau memuntahkan semula makanan yang dimakannya, anda jangan bimbang. Sebagai ibubapa anda harus tahu apa puncanya. Masalahnya mungkin berkaitan dengan mulut kerana anak mungkin mempunyai masalah untuk menelan sehingga tidak menyukai makanan tersebut.

Jika ini puncanya, anda tidak perlu bimbang. Masalah sedemikian tidak berlarutan. Biasanya berlaku di peringkat awal bayi mengenal makanan semi pepejal dan pepejal yang anda berikan kepadanya. Jika bayi memuntahkan semula makanan setelah beberapa ketika makan, misalnya setengah jam, ia mungkin disebabkan masalah penghadaman makanan yang anda berikan kepadanya.

Berikut beberapa sebab bayi memuntahkan semula makanannya.
  • Tidak Boleh Menelan Dengan Baik. Biasanya di peringkat awal bayi mengenal makanan separuh pepejal dan pepejal, bayi mungkin tidak mampu untuk menelan dengan baik. Oleh itu jika anda ingin memperkenalkannya dengan makanan, letakkan di hujung lidahnya, bayi akan menjulurkan lidah untuk menelannya. Namum tidak bermakna makanan itu sudah ditelan sepenuhnya, mungkin ia akan dikeluarkan semula.
  • Diberi Makan Secara Paksa. Ada ketikanya, bayi kecewa kerana tidak boleh menelan hingga menangis. Jika anda terus memberinya secara paksaan, mungkin dia akan memuntahkan semula makanannya. Keupayaan bayi untuk menelan makanan akan berlaku secara semulajadi, bergantung kepada keupayaan bayi, biasanya bermula seawal usia enam bulan.
  • Bayi Belum Mampu Menelan Dengan Baik. Bila bayi belum mampu menelan dengan baik makanan separuh pepejal dan pepejalnya, ia boleh diatasi dengan cara mencairkan sedikit makanannya itu sehingga mudah menelannya. Contohnya jika bubur nasi agak pekat, ia boleh dicairkan dengan mengisarkan bubur tersebut dan menambah sedikit sup. Sebaiknya lakukan secara berperingkat-peringkat, misalnya pada permulaan, anda memberikannya dengan bubur nasi yang dikisar selama 2 minit untuk selama 2 minggu, selepas itu dikisar satu minit, makin lama makin kurang masa anda mengisar makanannya dan akhir sekali dia mula serasi dengan bubur nasi yang hanya disediakan secara merebusnya sahaja, tidak perlu dikisar lagi.
  • Tak Kenal Dengan Makanannya. Jika bayi tidak kenal atau tidak suka makanannya, sudah tentu dia akan menolak dengan cara memuntahkannya semula kerana sebelum ini makanan yang diterimanya dalam bentuk cairan. Tiba-tiba diberikan makanan lain seperti bubur nasi, sudah tentu ditolak. Jika ini reaksinya, cairkan sedikit makanannya itu. Jangan memaksa bayi makan makanannya kerana ia boleh menyebabkan dia trauma sehingga setiap kali melihat mangkuk makanan dia akan menangis dan takut disuapkan makanan. Anda harus melatih bayi menerima makanan pepejal, sehingga dia mengenal makanan pepejal. Bila usia menjangkau setahun ke atas, bayi tidak bergantung sepenuhnya kepada susu sebagai sumber makanannya, ia tidak mencukupi. Anda jangan jemu memperkenalkan makanan pepejal, sekali menolak, esok lusa cuba lagi. Jika mencapai usia setahun, ajak anak duduk bersama ketika anda dan ahli keluarga lain sedang makan di meja makan. Jangan diberikannya makanan, kecuali dia meminta. Asalkan tidak pedas, berikan saja, jangan melarang.
  • Rasa Yang Berbeza. Ada bayi menolak bubur nasi kerana rasa yang pelbagai. Jangan lupa, sepanjang 6 bulan pertama, bayi hanya kenal rasa manis. Bila diberi bubur nasi rasanya tawar tidak sama dengan rasa susu, dengan sendirinya bayi menolak. Usahakan supaya bayi mengenal rasa, variasikan rasa makanan, misalnya tambahkan glukos dalam bubur nasinya, atau kicap manis. Kemudian perlahan-lahan tukar kepada pelbagai variasi rasa lainnya.
  • Terlalu Kenyang. Muntah juga mungkin disebabkan bayi terlalu kenyang dengan makanan atau minuman.

Kelebihan Susu Ibu

Susu manusia (ibu) amat baik sekali untuk bayi yang baru lahir dibandingkan dengan susu haiwan, sama ada yang segar atau yang telah diproses di dalam tin dan sebagainya. Susu manusia dijadikan Allah sesuai untuk anak manusia dan susu haiwan sesuai untuk anak haiwan. Oleh sebab itu, hikmah Allah menjadikan pembinaan susu bagi seseorang wanita ketika lepas bersalin adalah sebagai persiapan untuk bayinya. Jadi, tidak patut sekali seseorang ibu mengeringkan susunya, kononnya jika memberi susu kepada anaknya menyebabkan payudaranya tidak cantik, kendur dan sebagainya. Hakikatnya, dengan menyusu anak, boleh mencantikkan payudara seseorang wanita.

Antara kelebihan-kelebihan susu ibu adalah seperti berikut:

1. Susu manusia (ibu) sesuai untuk manusia, seimbang dan sterile atau terpelihara dan bebas daripada kuman.

2. Susu manusia kurang protein dan kasein berbanding dengan susu lembu. Kasein ialah protein yang dimendakkan daripada susu dan merupakan asas keju dan plastik tertentu.

3. Susu manusia mudah dihadam kerana lembut dan cair, berbanding susu haiwan yang pekat dan susah dihadamkan, khususnya bagi bayi.

4. Susu manusia lebih banyak mengandungi laktase, vitamin dan zat galian yang seimbang. Laktase ialah sejenis enzim yang menukarkan gula dalam susu menjadi glukosa (gula ringkas) dan galaktosa (gula ringkas yang kurang larut dan kurang manis daripada glukosa).

5. Walaupun kini para saintis pemakanan telah mencipta "susu formula" yang dihasilkan daripada susu lembu, yang hampir menyamai susu manusia, namun susu itu memerlukan perhatian yang teliti ketika dicampur dan disimpan bagi mengekalkan keadaan sterile (bersih dari kuman) dan selamat untuk bayi.

6. Dari segi psikologi, aksi bayi ketika menyusu merapatkan rangsangan kasih sayang kedua-dua pihak, ibu dan bayi. Hisapan itu membawa pelepasan hormon dari hipotalamus dalam otak yang meningkatkan kepantasan dan kecekapan involusi atau pengecutan semula rahim.

7. Susu ibu mengandungi kandungan protein yang dikenali sebagai lactoferrin yang berkemampuan menghalang pembiakan kuman pada sistem usus bayi dan ini mengurangkan cirit-birit.

8. Najis bayi yang menerma susu ibu, akan menjadi asid dan ini menyebabkan ketidaksesuaian untuk pembiakan kuman dalam sistem usus.

9. Susu ibu juga mempunyai sel yang datangnya daripada ibu. Susu ibu berupaya membasmi jangkitan kuman serta virus selain mengandungi enzim penting untuk menolong sistem penghadaman bayi.

10. Secara purata, seseorang ibu mampu mengeluarkan 400-900 mililiter (ml) susu setiap hari. Daripada jumlah ini, terdapat 80.9% protein, 2.13% lemak dan 6.9% - 7.2% laktos. Kandungan garam seperti natrium dan kalsium pula rendah.

11. Bayi berupaya menyerap kandungan zat besi daripada susu ibu dengan lebih sempurna berbanding susu lembu.

Oleh itu bagi ibu-ibu yang sedang menyusu, digalakkan memakan makanan yang berkhasiat agar bayi yang disusunya menerima pati makanan yang terbaik. Antaranya ialah ikan, telur, ayam, sayur-sayuran dan sebagainya. Ibu juga perlu memastikan sumber yang diterima adalah dari rezeki yang halal.

Kelebihan Anak Yang Disusui Dengan Susu Ibu

Para ahli kesihatan merumuskan hasil daripada penyusuan susu ibu (susu badan) telah memberi kesan yang amat baik berbanding susu lain. Antara rumusan yang didapati adalah :

1. Watak anak lebih lembut
2. Emosi bayi lebih stabil
3. Anak lebih mengasihi ibunya serta adik-beradik
4. Anak berasa terjamin, yakin dan lebih berani
5. Anak tidak mudah ditimpa tekanan jiwa
6. Minda anak lebih cemerlang
7. Fizikal anak lebih kebal dari penyakit

Persediaan Rohani

Bagi wanita atau ibu yang mengandung, hendaklah sentiasa memikirkan masa depan anak yang bakal dilahirkan. Adakah dia menginginkan anak yang baik atau sebaliknya. Tentu sekali setiap ibu bapa amat menginginkan anak yang baik. Tapi berapa orang yang bukan hanya sekadar menginginkan sahaja, tetapi berusaha untuk membentuk sifat-sifat baik anaknya sejak dalam kandungan lagi?

Ketika anak masih dalam kandungan, sewaktu telah ditiupkan roh (setelah berumur 120 hari atau 4 bulan), hendaklah ibu bapanya melakukan sesuatu yang boleh mendidik rohani anak mereka dalam kandungan. Antara amalan yang baik yang patut diamalkan oleh kedua-dua ibu bapa ialah :

1. Memperbanyakkan Taubat dan Istighfar

Ibu bapa yang banyak melakukan taubat dan istighfar, Allah sentiasa mengasihi dan merahmati kedua-duanya dan juga segala isi dalam rumahtangga termasuk anak dalam kandungan.

2. Berpuasa Sunat

Khusus untuk suami, banyak berpuasa atau sekurang-kurangnya seminggu dua hari atau sehari pada hari Isnin dan Khamis atau salah satu daripada hari-hari berkenaan atau pada hari-hari putih (13, 14 dan 15 bulan Hijrah).

Perlu diingatkan, amalan puasa sunat cuma digalakkan dilakukan oleh suami atau bapa (bagi anak) sahaja seperti mana dilakukan oleh Nabi Zakaria a.s. Bagi ibu, sekiranya tidak memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan bolehlah diamalkan.

3. Tidak Bercakap Yang Sia-Sia

Ketika isteri sedang mengandung, suami seboleh-bolehnya tidak bercakap yang sia-sia, lebih-lebih lagi yang boleh mendatangkan dosa, seperti mengumpat, memfitnah dan sebagainya. Sebaliknya basahilah lidah dengan berzikir dan bertahmid atau bercakap yang mendatangkan faedah.

Suatu peristiwa terjadi kepada Nabi Zakaria a.s ketika isterinya mula mengandung anaknya, Nabi Yahya a.s. Nabi Zakaria dibisukan oleh Allah selama tiga hari, bertujuan mendidiknya agar tidak bercakap sesuatu yang sia-sia. Selama tiga hari itu beliau menghabiskan masa dengan berzikir dan bertasbih serta bertahmid pagi dan petang. Kisah itu diceritakan Allah dalam Surah Ali Imran ayat 38-41.

4. Banyakkan Membaca Al-Quran

Sebagai contoh, Imam Syafie semasa dalam kandungan ibunya, ibunya sentiasa membaca surah Al-Fatihah dan surah Yaasin dan menyeru kandungannya supaya memahami apa yang dibacanya. Sebab itu, tidak hairanlah Imam Syafie boleh menghafal Al-Quran 30 juzu' sejak umurnya tujuh tahun, kerana sejak dalam kandungan lagi beliau telah belajar Al-Quran.

5. Banyak Berdoa

Sentiasalah berdoa agar Allah kurniakan anak yang soleh atau solehah. Sekurang-kurangnya setiap kali lepas sembahyang, bacalah doa khusus bagi ibu yang sedang mengandung. Doanya adalah seperti berikut :

"Ya Allah, peliharalah anakku selama di dalam kandunganku dan sembuhlah segala penyakit. Sesungguhnya Engkau Maha Penyembuh dan tiada sembuhan melain dengan penawar-Mu. Ya Allah, lahirkankah dari kandunganku ini dengan kelahiran yang mudah dan sejahtera. Ya Allah, jadikanlah anakku ini sihat, sempurna, cerdik, berakal dan berilmu serta beramal soleh. Ya Allah, elokkanlah perangainya, fasihkanlah lidahnya dan merdukanlah suara untuk membaca al-Quran dengan berkat Nabi Muhammad s.a.w".

Pensterilan & Kebersihan yang Baik

Susu merupakan asas pembiakan yang sesuai bagi bakteria yang menyebabkan gastroenteritis, sejenis penyakit yang boleh mengancam nyawa bayi muda. terdapat beberapa perkara petunjuk yang perlu anda ikut dengan berhati-hati. Tetapi yang paling utama ialah peraturan penting, iaitu anda mesti membasuh dan mensterilkan semua peralatan sebelum digunakan. Peraturan ini mesti dipatuhi selagi anda menyusukan bayi anda menggunakan botol. Pada akhir penyusuan, bilas botol dan puting susu dan ketepikan. Anda perlu membasuh dan mensterilkan botol tersebut serta menyediakan penyusuan yang baru apabila hanya tinggal dua botol penyediaan tersedia di dalam peti sejuk anda.


Membasuh
  • Letakkan semua botol, puting susu, penutup, gegelang, cakera, corong, sudu dan pisau yang telah dibilas ke dalam air sabun panas. Basuh dengan sempurna.
  • Gosok bahagian dalam botol tersebut dengan berus botol untuk mengasingkan semua kesan susu. Gosok dengan cermat di sekeliling leher botol serta jalur skrunya.
  • Sapukan garam di bahagian dalam puting dan gerakkan ke sekeliling dengan cara memicit dan mengurut hujungnya, tindakan mengikis mengasingkan kesan susu.
  • Bilas botol, puting susu dan peralatan lain dengan sempurna di bawah air yang mengalir. Gunakan pin untuk membersihkan lubang-lubang pada puting susu.

Mensteril
  • Isikan tangki (bekas) dengan air sejuk dan tambahkan pil atau cecair pensterilan. Apabila pil tersebut telah larut, letakkan peralatan ke dalamnya dengan memenuhkan botol dengan air supaya botol tidak terapung.
  • Goyang semua benda ke sekeliling sehingga anda tidak melihat sebarang gelembung udara. Di mana sahaja udara terperangkap, peralatan tidak akan menjadi steril. Letak bekas apungan ke dalam dan tutup tangki (bekas).
  • Biarkan sekurang-kurangnya masa yang minimun, kemudian keluarkan peralatan apabila diperlukan dan bilas dalam air mendidih. Keringkan di atas kertas dapur.
Nota:
  • Biarkan semua peralatan di dalam air dengan meletakkan bekas apungan.
  • Pastikan tidak ada gelembung udara terapung di dalam botol.
  • Letakkan puting susu secara terbalik ke dalam. jika tidak, udara akan terperangkap di dalam puting dan puting tidak akan menjadi steril.

Kurangkan Komplikasi Semasa Meneran

Jika anda terfikir bahawa kalsium hanya penting untuk kanak-kanak dan orang tua, ternyata anda silap. Kalsium sepatutnya diambil secara berterusan terutamanya bagi golongan wanita mengandung.

Apabila bercakap mengenai kepentingan kalsium, kebanyakkan daripada kita sering kali merujuk zat itu hanya untuk kanak-kanak sebagai sumber tumbesaran tulang. Bagi orang tua pula, ia penting bagi mengelakkan pereputan tulang. Jarang sekali orang muda atau yang berada di usia pertengahan mengambil berat mengenai pengambilan kalsium dalam struktur diet harian mereka.

Selain diperlukan golongan dewasa yang aktif, tahukah anda bahawa kalsium adalah zat yang amat penting bagi ibu-ibu hamil? Kekurangan pengambilan kalsium atau kealpaan dalam memberi tumpuan terhadap zat kalsium sebenarnya boleh menyebabkan komplikasi semasa meneran saat-saat melahirkan anak. Lebih buruk, kesannya akan berterusan sehingga usia tua.

Kalsium dilihat sebagai satu zat yang penting disamping zat besi, folik, potasium dan lain-lain. Semua ibu hamil seharusnya tidak memandang remeh keperluan kalsium juga berharap agar golongan suami turut mengambil peranan mengingatkan pasangannya. Apabila berjumpa doktor dalam sesi pemeriksaan, pasangan dinasihatkan agar jangan segan untuk meminta pil kalsium di samping mengamalkan diet tinggi zat kalsium.

Sebanyak 75% ibu-ibu hamil tidak mengambil keperluan kalsium yang mencukupi dan ketidaksedaran ini akan memberi kesan kepada mereka khususnya pada semester ketiga mereka mengandung dan saat-saat melahirkan anak. Ibu hamil lazimnya memerlukan 1,200 hingga 1,300 miligram kalsium sehari iaitu tambahan 300 hingga 500 miligram zat yang diperlukan orang dewasa.

Ia bermakna seseorang itu perlu mengamal pengambilan susu segar sebanyak satu liter setiap hari. Ibu-ibu sekarang kurang mengamalkan pengambilan susu, sama ada tidak meminatinya atau ada pula yang mempunyai masalah tidak boleh bertoleransi dengan laktosa. Jika ibu-ibu hamil tidak suka mengambil susu, terdapat banyak susu berperisa di pasaran khas untuk mereka. Pengambilan keju, dadih dan makanan yang berkaitan dengan susu juga boleh diamalkan bagi menggantikan susu.

Selain produk tenusu, ibu-ibu hamil bileh mengambil makanan pejal yang tinggi zat kalsium termasuk sayuran, buahan dan ikan bilis, salah satu makanan yang mempunyai kalsium yang tinggi.

Diet Sumber Asli

Walaupun ibu-ibu itu dibekalkan dengan pil kalsium, mereka tetap perlu mengamalkan diet sumber asli seperti yang disenaraikan itu. Kalsium yang diambil itu amat berguna untuk kekuatan tulang khususnya bagi ibu-ibu yang memerlukan zat tersebut bagi kekuatan menanggung berat bayi secara fizikal.

Selain itu, kalsium juga penting untuk pembekuan darah, menstabilkan transmisi impuls saraf dan untuk merehatkan otot sewaktu berlakunya kontraksi. Banyak penyelidikan dan kajian atau lebih tepat kira-kira 14 kajian yang disenarai dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika mendapati kalsium yang tidak mencukupi meningkatkan risiko praeklampsia iaitu gejala tekanan darah tinggi.

Keadaan itu dikatakan berlaku selepas 20 minggu kehamilan bersama dengan masalah lain. Difahamkan juga praeklampsia berpotensi membawa maut bagi ibu dan bayi akibat kenaikan tekanan darah tinggi.

Secara amnya, kalsium yang sedia dimiliki ibu akan diserap oleh bayi semasa dia membesar terutamanya dalam proses pembentukan tulang. Kesan paling ketara adalah ibu hamil akan kekurangan kalsium pada jumlah yang besar khususnya di akhir tempoh kehamilan.

Kegagalan menggantikan kalsium yang diserap oleh bayi boleh menyebabkan ibu-ibu kehilangan gigi pada usia yang lebih muda daripada sepatutnya. Mereka juga berisiko tinggi menghidap osteoporosis. Mereka yang mempunyai ketumpatan jisim tulang yang sangat rendah akibat kekurangan kalsium dan berat tulang yang kecil berpotensi besar menghidap osteoporosis dan pada kadar lebih cepat.

Untuk mengesan jisim dan densiti tulang, mereka boleh membuat pemeriksaan di hampir semua klinik umum. Dicadangkan agar pemeriksaan itu dilakukan sebagai langkah memahami lebih lanjut keadaan tulang badan.

Kehilangan Kalsium

Kehilangan kalsium dalam kalangan ibu hamil secara relatif lebih banyak iaitu sekitar tiga hingga 10 peratus berbanding wanita menopaus yang kehilangan satu hingga tiga peratus. Itupun sudah dikira banyak. Bayangkan dengan kehilangan lebih tujuh peratus? Kehilangan ini berpunca daripada permintaan yang tinggi terhadap kalsium oleh bayi.

Jika ada orang yang berpendapat pengambilan kalsium boleh dikurangkan selepas bersalin. Itu juga satu tindakan yang salah. Sebenarnya ibu-ibu khususnya yang menyusukan anak perlu terus mengekalkan pengambilan kalsium pada kadar yang sama. Kalsium diperlukan untuk mengiringi proses merehatkan otot rahim yang mengecutkan semula mahupun sewaktu kedatangan haid.

Selain itu, pengambilan kalsium yang secukupnya didapati boleh mengelakkan masalah kekejangan sewaktu proses bersalin. Kekurangan zat itu juga boleh mengakibatkan masalah kesejukan dan kekejangan pada bahagian kaki. Kekejangan yang berlaku itu boleh menganggu emosi ibu selain proses bersalin itu sendiri, komplikasi ini sangat digeruni ibu-ibu hamil.

Oleh yang demikian, ibu-ibu yang merancang hamil, sedang hamil mahupun yang sudah melahirkan anak supaya mengekalkan mengambil kalsium sama ada berbentuk supllemen mahupun daripada sumber semula jadi.