Archive for July 2012
Latest Updates

Bersiar Bersama Bayi

Mahu didukung sahaja atau perlu bawa kereta sorong? Perkara ini ada kalanya menjadi dilema kepada ibubapa yang ingin membawa bayi atau anak keluar dari rumah. Ada masanya anak itu lebih mudah didukung sahaja, dan ada kalanya membawa kereta sorong lebih memudahkan.

Pilihan ini bergantung pada tujuan atau tempat anda keluar. Sekiranya ingin keluar dalam jangka masa yang agak panjang, mungkin membawa kereta sorong lebih memudahkan kerana anda tidak akan berasa penat mendukung bayi. Selain itu, bayi juga dapat berehat atau tidur dengan selesa di atas kereta sorong.

Bagaimanapun, bagi perjalanan yang singkat atau memerlukan anda banyak naik turun tangga atau ekskalator, barangkali lebih mudah jika bayi didukung sahaja. Apatah lagi jika perjalanan itu hanya dilakukan berdua, anda dan bayi sahaja.


Mendukung

Bayi yang masih kecil barangkali lebih senang didukung daripada dibawa dengan kereta sorong. Bagaimanapun, jika tempoh keluar itu agak lama, anda mungkin berasa sedikit kepenatan, selain pergerakan terhad sedikit kerana adanya bayi itu serta beg barangan bayi yang perlu dibawa. Ini akan lebih dirasai jika tiada pasangan atau rakan yang boleh bergilir-gilir mendukung bayi anda.

Namun sekiranya anda memilih untuk mendukung bayi, ada kelengkapan bantuan yang boleh memudahkan anda melakukannya seperti kain bedung (sling) atau kantung membawa bayi.


Bedung Bayi (Sling)

Kain ini disandang di bahu dan bayi dikendung di dalamnya seakan buai. Kain ini mudah disimpan bila tidak diperlukan dan pergerakan anda juga agak bebas kerana kedua-dua tangan tidak perlu memegang bayi.


Kantung Bayi

Bayi diletakkan di dalam kantung di bahagian depan badan anda. Pergerakan dan penglihatan bayi agak terbatas, tapi dia mungkin berasa selesa dan selamat kerana bersentuhan dengan anda.


Beg Membawa Bayi

Beg ini digalas di bahagian belakang badan anda seakan menggalas backpack. Ia lebih sesuai digunakan untuk bayi yang lebih besar - yang kepalanya tidak lagi perlu disokong. Kelebihannya, bayi mungkin seronok kerana bebas memandang sekelilingnya. Ketika membawa bayi dalam cara ini, anda perlu pastikan kakinya bebas bergerak, tidak tersepit atau tersekat.


Panduan Memilih Beg Membawa Bayi

~ Beg membawa bayi sepatutnya mempunyai tali yang menghalang bayi daripada terjatuh atau bolos keluar.

~ Pilih penyokong kepala yang kukuh dan beralas.

~ Sesuaikan beg itu dengan saiz dan berat bayi anda dan pastikan ia cukup panjang untuk menyokong belakang bayi dan bukaan kakinya tidak terlalu besar sehingga anak anda boleh bolos.

~ Pastikan beg itu mudah digunakan. Ada kalanya tali yang terlalu banyak pada beg itu menyukarkan anda menggunakannya.

~ Uji keselesaan menggunakan kantung bayi ini dengan bayi di dalamnya dan juga tanpa bayi.


Tip Keselamatan

~ Jangan gunakan kantung membawa bayi berangka sehingga bayi anda berusia 4 atau 5 bulan.

~ Gunakan tali keselamatan bayi (jika ada) pada setiap masa.

~ Ketika ingin membongkok, membongkok dari bahagian lutut dan bukannya aras pinggang bagi menggelakkan bayi terjatuh dari beg itu.

~ Sentiasa memeriksa beg membawa bayi itu berada dalam keadaan baik dan tidak ada jahitan yang terkoyak atau terdapat kancing yang longgar.


Beg Barangan Bayi

Sediakan beg khas untuk membawa barangan bayi supaya tidak ada barangan keperluan yang tertinggal sewaktu anda ingin keluar bersama bayi anda. Antara barangan yang perlu ada dalam beg bayi ialah :

1. Lampin - 2 atau 3 keping.
2. Sepasang baju.
3. Tisu basah (wet wipes).
4. Botol susu, susu dan botol air panas (jika memberi susu formula).
5. Pelapik payudara (jika anda menyusu badan).

Apabila anak anda semakin besar, anda perlu membawa bersama snek dan minuman kegemarannya serta barang mainan supaya dia tidak bosan.

Bila Bayi Enggan Menyusu

Biasanya bayi anda tidak akan menolak apabila tiba masa menyusu, tapi kali ini dia tidak mahu menyusu langsung. Mogok menyusu banyak berlaku pada bayi yang berumur 3 bulan ke atas tanpa sebarang sebab. Tabiat berhenti menyusu secara semulajadi amat jarang berlaku dalam tempoh setahun pertama, dan ia lazimnya berlaku secara perlahan-lahan. Bayi juga tidak mempamerkan rasa gelisah semasa berhenti menyusu secara semulajadi.

Mogok menyusu ini boleh berlaku selama beberapa hari, malah oleh berlanjutan selama seminggu dua. Ada ibu yang memilih untuk berhenti menyusu dalam tempoh mogok ini, tapi biasanya bayi boleh dipujuk untuk menyusu kembali. Yang penting, ibu perlu ada kesabaran dan kesungguhan untuk menjayakannya.

Bayi juga mungkin menunjukkan keengganan menyusu sebelum dia mempamerkan kemahiran perkembangannya seperti merangkak, berdiri atau berjalan.


Cara Memujuk Bayi Kembali Menyusu

~ Sebelum menyusu, pam atau perah payudara anda supaya pengaliran susu lebih lancar dan puting lebih panjang. Bayi mungkin suka cara lebih mudah ini.

~ Latih bayi menghisap jari telunjuk atau jari kelingking anda beberapa minit sebelum menyusu. Ini akan melatih dia menjatuhkan lidahnya untuk menyusu.

~ Menyusu secara kerap - sekerap yang anda mampu. Susui bayi anda sebelum dia terlalu lapar atau sebelum dia menangis.

~ Cuba menyusukan bayi anda ketika dia mengantuk atau baru terjaga dari tidur. Sesetengah ibu mendapati bayi mereka secara semulajadi akan menyusu sebelum tidur.

~ Ubah kedudukan anda ketika menyusu. Cuba menyusu sambil berbaring bagi mengurangkan gangguan. Lakukannya di dalam bilik yang sunyi dan malap.

~ Menyusu sambil bergerak, berjalan, mendodoi, berayun, mengenjut dan sebagainya.

~ Berikan sentuhan kulit ke kulit sekerap yang boleh. Buka pakaian bayi dan baju anda (jika boleh).

~ Titiskan susu dada yang telah diperah ke atas puting di sudut mulut bayi anda semasa menyusu.

~ Andainya mogok itu berlanjutan selama beberapa hari, bayi mungkin lebih bersedia menyusu jika aliran susu cepat dan tetap.

~ Sekiranya bayi membuat ragam ketika anda cuba memujuknya menyusu, hentikan usaha anda dan tenangkan bayi dahulu sebelum anda mencuba lagi sekali.


Apa Yang Boleh Anda Lakukan

Semasa bayi mogok menyusu, anda masih perlu memerah susu seperti mana anda biasa menyusu untuk mengekalkan bekalan susu anda. Jika mogok itu berlanjutan lebih sehari, cuba gunakan pam yang boleh memerah kedua-dua payudara anda serentak bagi meningkatkan hormon yang menghasilkan susu.

Apabila memberikan susu yang telah diperah kepada bayi anda, Gunakan peralatan lain seperti cawan, sudu, picagari atau penitis ubat. Elakkan daripada menggunakan botol. Jika terpaksa menggunakan botol, guna puting yang perlahan alirannya supaya bayi terpaksa bekerja keras untuk minum daripada botol, jadi dia akan beralih untuk menyusu badan.


Punca Bayi Enggan Menyusu

* Gigi mula tumbuh
* Sakit
* Lepuh dalam mulut bayi
* Rasa susu berubah
* Takut akan reaksi ibu apabila puting digigit.
* Perpisahan yang lama antara ibu dan anak.
* Kekerapan menggunakan botol atau puting.
* Bekalan susu yang kurang.


Cukup Atau Tidak?

Bayi biasanya kurang menyusu dalam tempoh 24-36 jam pertama, namun kalau ia berpanjangan, anda perlu mengesan masalahnya. Barangkali dia sukar bernafas ketika menyusu kerana payudara anda menutup hidungnya, atasi masalah ini dengan membetulkan kedudukan bayi dan menarik sedikit bahagian atas payudara anda.

Anda juga mungkin risau bayi anda tidak cukup kenyang ketika menyusu. Usah bimbang, bayi anda tahu bila dia kenyang. Oleh itu jangan memaksanya menyusu, terutama kalau anda menggunakan susu formula. Patuhi sukatan susu formula yang diberi. Sukatan berlebihan boleh menyebabkan bayi anda obes dan masalah ini mungkin berterusan sehingga dia dewasa.

Bila Si Abang Atau Si Kakak Berasa Cemburu

Bagi anak pertama, lambakan kasih sayang dan perhatian kedua-dua ibubapanya secara tidak langsung akan tergugat dengan kehadiran adik baru. Ada masanya tumpuan yang diberikan ibubapa terhadap bayi yang baru dilahirkan menyebabkan si kakak atau si abang berasa tersisih dan terpinggir.

Cara Menangani

Memarahi mereka bukanlah penyelesaian untuk mengatasi masalah cemburu di kalangan kanak-kanak. Mungkin agak sukar buat si kecil memahami yang dia sekarang sudah mempunyai seorang lagi saudara baru. Perasaan jauh hati mungkin terbit dalam sanubari si anak dan dia merasakan kedua-dua ibubapanya lebih sayangkan adik baru daripada dirinya.

Sebenarnya ibubapa boleh meredakan rasa cemburu si anak sejak si ibu mula disahkan hamil lagi. Libatkan anak anda dalam kehidupan bakal adiknya. Keraplah mengajak si abang atau si kakak berkomunikasi dengan adiknya di dalam perut anda dan jelaskan statusnya yang bakal bergelar abang atau kakak tidak lama lagi.

Terangkan kepada anak anda tanggungjawab ringkas sebagai abang dan kakak. Sekiranya anda membeli-belah barangan bayi, beri peluang kepada anak anda untuk memilih pakaian atau warna yang menarik untuk bakal adiknya. Apabila si adik lahir, libatkan anak anda sewaktu aktiviti memandikan adik atau menyiapkan si adik selepas mandi.

Jauhkan sifat suka membandingkan si abang atau si kakak dengan adik barunya. Kerjasama daripada suami amat perlu untuk membantu memadamkan api cemburu anak yang lebih dewasa.


Tindakan Ibubapa

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan rasa cemburu anak anda iaitu:

1. Tetapkan peraturan.
Jangan menjerit, mengejek atau menghempas pintu.

2. Jangan samakan.
Setiap anak anda adalah unik dan istimewa, jangan jadikan mereka semua sama. Yang tua akan mempunyai hak istimewa seperti tidur lebih lewat daripada yang muda.

3. Masa istimewa untuk semua.
Luangkan masa bersendirian bersama setiap anak anda selama 10-15 minit setiap hari. Ini boleh membuatkan mereka rasa istimewa dan disayangi.

4. Jangan berpihak
Jangan sesekali membandingkan anak-anak anda kerana ini akan menimbulkan rasa marah dan dendam di kalangan adik-beradik. Ia juga akan menegangkan hubungan anda dan anak-anak anda.


Tanda Anak Cemburu

~ Seboleh-bolehnya anak yang lebih tua akan menarik perhatian anda dengan pelbagai tingkah laku yang ada masanya boleh menaikkan kemarahan anda.

~ Menangis tidak berhenti-henti tanpa semena-mena.

~ Memprotes apabila disuruh membuat aktiviti yang lazimnya boleh dilakukan sendirian.

~ Ada masanya bertindak mencederakan adiknya.


Punca Bergaduh

Selain cemburu, anak-anak anda juga mungkin bergaduh kerana:

1. Perhatian
Anda mungkin sibuk dengan kerja dan bayi baru. Bergaduh mungkin adalah satu cara untuk anak yang merasa terpinggir mendapatkan perhatian anda.

2. Perlu Berkongsi
Bila sudah ada adik-beradik, lazimnya ada barang yang perlu dikongsi. Selalunya yang lebih kecil mempunyai masalah untuk berkongsi dengan kakak atau abangnya.

3. Ragam Unik
Perangai, perasaan, daya penyesuaian dan keperibadian unik anak-anak memainkan peranan dalam keharmonian hubungan adik-beradik. Ragam yang jauh berbeza oleh mencetuskan pergaduhan.

4. Keadilan
Setiap anak mahukan anda bersikap saksama dengan mereka. Tidak ada yang dilebih-lebihkan. Abang atau kakak yang perlu menjaga adik mungkin tidak menyukai tanggungjawab ini manakala adiknya mungkin tidak suka apabila dia tidak boleh melakukan apa yang dilakukan oleh abang atau kakaknya.

Panduan Penyusuan Ketika Berpuasa

Meneruskan amalan penyusuan ketika berpuasa adalah selamat. Pada asasnya, amalan berpuasa sama sekali tidak akan mengganggu pengeluaran susu ibu. Ia tidak bergantung kepada amalan pemakanan seharian. Sebaliknya bersandarkan kepada keupayaan anda mengosongkan payudara efektif sekerap yang boleh, menerusi penyusuan terus atau pemerahan payudara.

Perlu anda maklum bahawa dalam menjayakan penyusuan susu ibu, ia melibatkan hormon prolaktin dan oksitosin. Prolaktin merupakan hormon yang menghasilkan susu ibu manakala oksitosin pula merembesnya keluar. Dalam pada itu, Feedback Inhibitor Of Lactation (FIL) adalah salah satu lagi faktor dalam menentukan usaha anda menjayakan impian menyusukan bayi sepanjang berpuasa.

FIL merupakan sejenis protein yang terdapat dalam susu ibu yang terkumpul di dalam payudara. Ia sering memberi tindak balas negatif kepada proses penghasilan susu apabila banyak FIL berkumpul di dalam payudara akibat kurangnya rangsangan penyusuan daripada bayi mahupun disebabkan oleh payudara tidak dikosongkan dengan efisyen.

Tahap FIL yang tinggi akan memberi isyarat kepada otak agar penghasilan susu ibu dikurangkan, kesan kekurangan permintaan. Hal sebaliknya berlaku apabila payudara anda sering dikosongkan. Jumlah FIL dalam payudara menjadi rendah dan seterusnya menghantar isyarat supaya lebih banyak susu ibu perlu dihasilkan.


Susu Kering

Tiada persediaan khas yang perlu anda lakukan dalam memastikan bekalan susu ibu kekal sepanjang menjalani ibadah puasa. Apa yang penting ialah anda perlu kekal berfikiran positif, terus menanam azam jitu bagi meneruskan penyusuan sepanjang berpuasa dan pada masa yang sama memastikan diri mengamalkan pemakanan seimbang dan menyihatkan.

Perlu diingatkan agar anda tidak khuatir dengan terlalu memikirkan amalan berpuasa bakal mengganggu penghasilan susu dan menjadikannya kering. Kebimbingan melampau akan menimbulkan perasaan tertekan yang akhirnya mendorong kemerosotan bekalan susu ibu.

Pengeluaran susu ibu yang berkurangan bukan disebabkan oleh ibadah puasa. Sebaliknya tekanan yang anda alami itu mengahalang refleks pengeluaran susu (let down). Cara terbaik mengatasinya mudah sahaja iaitu anda perlu sentiasa bertenang dan tidak terlalu memikirkan hal ini.

Sehubungan itu, untuk makluman amaun susu ibu mungkin berkurangan pada hari pertama berpuasa. Namun, jangan endahkan hal ini. Sebaliknya anda perlu lebih kerap mengosongkan payu dara. Jika bersama bayi, susukannya secara terus. Jika bekerja pula, perah dan kosongkan payudara dengan sebaik mungkin dengan mengepam susu di setiap dua atau tiga jam sekali.

Biarpun berpuasa, pemerahan payudara perlu berlangsung seperti biasa. Walau bagaimanapun, sebaik-baiknya mulakan rutin ini di awal pagi iaitu ketika bersahur. Hal ini kerana aman susu ibu pada waktu ini masih banyak. Sama juga halnya selepas anda berbuka puasa.


Dehidrasi

Dehidrasi boleh menyebabkan susu ibu berkurangan. Oleh yang demikian, ambil perhatian sewajarnya bagi mengelakkan keadaan ini berlaku dengan memastikan anda minum air secukupnya ketika bersahur dan berbuka puasa.

Masalah dehidrasi yang teruk boleh menyebabkan tekanan darah rendah, letih, menggigil, loya, pening dan rasa haus melampau. Sekiranya keadaan ini berlaku, adalah lebih baik untuk anda berbuka puasa agar tidak menjejaskan tahap kesihatan diri.

Walaupun begitu, meminum air bergaram mampu mengembalikan keseimbangan bendalir badan yang terhidrat. Hal ini disebabkan garam penting dalam mengembalikan kandungan sodium dan potasium dalam tubuh. Anda boleh mencuba meminum air bergaram untuk mengatasi dehidrasi. Cara membuatnya ialah campurkan sedikit garam dan gula bersama air sejuk. Untuk mendapat rasa yang lebih enak, letakkan sedikit perasa ke dalam minuman ini.


Panduan Pemakanan

1. Minum Air Mencukupi
Anda perlu minum air yang mencukupi ketika sahur dan berbuka bagi mengelakkan dehidrasi yang bakal menjejaskan penghasilan susu. Seelok-eloknya minum dua liter atau bersamaan dengan lapan gelas air sehari.

2. Jangan Abai Bersahur
Usah sesekali meninggalkan waktu bersahur. Namun, anda digalakkan untuk melambatkan makan sahur. Makanlah makanan yang kaya dengan protein dan apa sahaja makanan berbentuk sup. Dalam pada itu, anda perlu kurangkan pengambilan makanan bergoreng dan berminyak kerana ia boleh mengurangkan nutrisi makanan yang diambil.

3. Makan Kurma Ketika Berbuka
Berbukalah dengan memakan kurma terlebih dahulu sekurang-kurangnya tiga biji. Amalan sebegini dapat membekalkan tenaga segera selepas berpuasa sepanjang hari.

4. Banyakkan Buah Dan Sayur
Makanlah buah dan sayur yang ternyata mengandungi banyak khasiat yang bukan sahaja baik untuk tahap kesihatan anda malah bagus untuk bayi juga.

5. Ambil Lebih Lemak Sihat
Jumlah lemak di dalam susu ibu berkurangan apabila anda berpuasa. Untuk itu, anda perlu mengambil makanan yang mengandungi lemak sihat mencukupi. Ini dapat dilakukan dengan mengambil susu dan produk tenusu seperti keju, susu dan sebagainya.

6. Amalkan Madu
Anda sangat digalakkan untuk memakan madu setiap hari sepanjang berpuasa kerana ia merupakan sumber tenaga semulajadi. Selain daripada menambah stamina, ia mampu meningkatkan kadar serapan kalsium dalam tubuh.

7. Elakkan Minuman Bikarbonat
Anda sememangnya digalakkan untuk minum banyak air ketika berpuasa tetapi hindari pengambilan minuman yang mengandungi banyak gula seperti air bikarbonat. Sama juga halya dengan minuman berkafein. Ketahuilah bahawa kandungan gula dan kafein boleh mengganggu penghasilan susu ibu jika diambil berlebihan.


Info

Penyusuan anak lelaki memerlukan lebih tenaga. Jadi, makan lebih banyak nasi ketika bersahur. Bagi anak perempuan pula, anda boleh kurangkan pengambilan nasi tetapi melebihkan buahan dan sayuran.

Pil Perancang Tanpa Estrogen

RAMAI wanita hari ini, sama ada suri rumah atau berkerjaya, menjalani kehidupan yang sibuk dan sangat mencabar.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Dr. Jamiyah Hassan, senario tersebut menyebabkan wanita terlupa memakan pil tepat pada waktunya atau terlupa memulakannya semula selepas hari-hari bebas pil.

Kini, dengan pelancaran Cerazette, wanita diberi suatu lagi pilihan pencegah kehamilan yang melebihi 99 peratus keberkesanannya namun tetap sesuai bagi wanita yang tidak ingin, tidak boleh atau tidak sepatutnya memakan estrogen. Itulah mesej utama yang disampaikan semasa pelancaran Cerazette baru-baru ini.

Cerazette bertindak seperti pil perancang gabungan (combined oral contraceptive atau COC), iaitu menghalang ovulasi (pelepasan telur) dan juga memekatkan mukus serviks1.

Dalam kajian klinikal, Cerazette berjaya meringankan atau tidak menimbulkan kesan-kesan sampingan yang terkait dengan estrogen seperti sakit kepala dan payu dara serta loya-loya.

"Pil ini pilihan yang sesuai bagi wanita yang menyusukan bayi, perokok, wanita yang obes dan menghidap migrain serta hipertensi," jelas Pengerusi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, University Hospital Basel, Switzerland, Profesor Dr. Johannes Bitzer, yang hadir semasa majlis pelancaran tersebut.

Memilih kaedah perancang keluarga adalah pilihan peribadi dan patut dibuat dengan pengetahuan dan pemahaman yang mencukupi supaya pilihan serasi dengan badan, sejarah perubatan dan gaya hidup seseorang.

Untuk mendapatkan maklumat selanjutnya tentang Cerazette, jumpalah pakar sakit perbidanan dan sakit puan yang berdekatan.

Panduan Berpuasa Bagi Ibu Lepas Berpantang

Bagi ibu-ibu yang baru habis tempoh berpantang pasti sudah boleh menjalankan ibadah berpuasa seperti biasa. Melahirkan bayi merupakan proses yang menggunakan banyak tenaga dari dalam tubuh badan seorang wanita. Oleh itu, wanita yang melahirkan bayi perlu menjaga pemakanan dan diri mereka untuk mengembalikan tenaga yang telah hilang.

Oleh yang demikian, diet seseorang ibu selepas bersalin memberi kesan penting bagi membantunya sembuh kembali dan pulih daripada kepenatan bersalin, dan juga untuk penghasilan susu ibu.

Kebanyakkan ibu-ibu patuh kepada peraturan berpantang tradisional turun-temurun. Budaya berlainan mempunyai pilihan makanan berpantang mereka sendiri. Memang tidak dinafikan ada kebaikan mengamalkan berpantang dari segi penjagaan diri dan pemakanan mengikut cara alami tetapi perlu diingat janganlah ia memudaratkan ibu dan bayi yang disusukan.

Menjelang bulan Ramadhan, ibu yang sudah bebas daripada darah nifas wajib mengerjakan ibadah berpuasa. Biarpun berpuasa wajib ke atas setiap orang islam sama ada mengandung dan menyusukan anak, tetapi kelonggaran diberi untuk tidak berpuasa berdasarkan keadaan ibu dan bayi dan boleh menggantikan puasanya atau membayar fidyah.

Namun jangan jadikan pengecualian itu sebagai alasan untuk tidak menunaikan rukun islam yang ketiga itu kerana sebenarnya ibu selepas melahirkan anak mampu untuk berpuasa asalkan dia mengatur diet yang seimbang bagi memastikan pengeluaran susu dari badan tidak berkurangan.


Persediaan Puasa Ibu Menyusu

Jadual pemakanan teratur dan berkesan yang mementingkan pengambilan makanan berkhasiat perlu diamalkan oleh ibu sepanjang masa terutama ketika berpuasa. Amalan bersahur menjadi kemestian bagi ibu-ibu selepas bersalin. Ini kerana sekiranya ibu berpuasa tanpa pengambilan sahur yang betul, ia boleh memungkinkan ibu mengalami gejala hipoglisemia (kekurangan gula badan). Hipoglisemia ini dibahagikan kepada dua. Rungutan yang berkaitan dengan pengaktifan sistem autonomik serta rembesan epinefrin seperti berpeluh, terketar-ketar, berdebar-debar, denyutan nadi meningkat, rasa cemas, lemah loya dan rasa loya-loya serta muntah-muntah.

Kategori rungutan kedua bersabit dengan kekurangan penggunaan glukos oleh otak, lama-kelamaan penurunan gula menjadi lebih teruk dan rendah. Biasanya mereka ini akan mengalami sakit kepala, penglihatan kabur, letih lesu, tidak bermaya, mudah terganggu serta sensitif, kurang fokus, kekeliruan, mengantuk, kehilangan keupayaan intelek, dan perubahan personaliti.

Justeru itu, ibu yang baru melahirkan anak perlu berdisplin mengamalkan panduan berikut bagi mengelakkan kemudaratan kepada diri sendiri dan anak.
~ Melewatkan sahur
~ Berbuka di awal waktu dengan mengambil makanan sihat seimbang dan minum secukupnya air.
~ Memerah susu di awal hari
~ Berdoa
~ Bertawakal

Ibu tetap boleh menyusukan seperti biasa selagi tidak mengalami dehidrasi. Oleh itu pengambilan cecair yang mencukupi pada sebelah malam dan waktu sahur perlu dilakukan bagi menggantikan air yang sudah hilang semasa berpuasa. Amat penting untuk menjaga dan mengawal dehidrasi daripada berlaku. Tanda-tanda dehidrasi yang teruk adalah seperti berikut:
~ Berasa hendak pitam terutama selepas mengepam dan menyusukan bayi.
~ Berasa sakit kepala dan seperti hendak demam.
~ Air kencing menjadi pekat dan berbau kuat.
~ Terasa loya dan ingin muntah.
~ Rasa menggigil.
~ Berasa lemah dan sakit otot.
~ Mudah marah dan emosi yang tidak stabil.

Untuk mengelakkan dehidrasi yang teruk, ambillah makanan/ minuman yang mengandungi jumlah cecair yang banyak. Sekurang-kurangnya dua liter air sehari diperlukan bagi menjaga keseimbangan bendalir badan.


13 Tip Kembali Berpuasa Selepas Bersalin

1. Banyakkan pengambilan cecair. Dua liter sehari sangat perlu. Mulakan minum bermula waktu berbuka sehingga sahur dan menjelang imsak.

2. Makan buah-buahan, bubur, sup dan makanan berkuah dan mengandungi air. Kurangkan mengambil terlalu banyak makanan bergula dan bergaram kerana ia boleh menarik keluar air daripada sel.

3. Ibu yang menyusukan amat digalakkan makan madu setiap hari kerana selain menambah stamina, ia berupaya meningkatkan kadar serapan kalsium dalam badan. Malah ia merupakan sumber tenaga yang hebat dan semulajadi. Juga berfungsi sebagai nutrisi lengkap untuk meningkatkan dan melancarkan air susu ibu.

4. Berehat secukupnya, Elakkan melakukan aktiviti berat dan lasak.

5. Berbuka puasa dan bersahur dengan makanan seimbang yang kaya dengan protein, glukos dan cecair.

6. Banyakkan memakan kurma kerana ia mampu memberi tenaga segera kepada badan dan makanan penambah susu seperti sayuran hijau, buahan, oat dan sebagainya.

7. Elakkan minuman berkafein dan minuman gas.

8. Lebihkan sesi menyusu secara terus dan mengepam pada waktu malam. Pam dan menyusu secara serentak.

9. Pentingkan diet yang mengandungi protein berkualiti daripada ikan, ayam, itik, daging merah dan legum. Pastikan pengambilan kalsium yang mencukupi, daripada susu dan produk susu.

10. Tambah pengambilan makanan berserat ke dalam diet anda dengan mengambil lebih banyak buahan dan sayuran segar bagi mengelakkan sembelit.

11. Jika anda rasa menghadapi kesulitan untuk menyediakan makanan berkhasiat untuk diri sendiri, pertimbangkanlah untuk mengambil suplemen vitamin dan mineral dalam diet anda.

12. Jangan berhenti menyusukan bayi atau mengepam susu kerana semakin banyak susu keluar, semakin kerap payudara dikosongkan maka semakin banyak susu ibu yang akan dihasilkan.

13. Kurangnya pengeluaran susu bukan disebabkan ibu berpuasa tetapi kurang rangsangan sama ada menyusu terus bayi atau memerah susu.


Info

Ibu yang sedang menyusukan masih boleh menghasilkan susu yang banyak ketika berpuasa tetapi jumlah lemak dalam susu badan akan berkurangan. Ini bukanlah satu masalah tetapi akibatnya bayi akan mudah berasa lapar dengan lebih cepat dan ingin menyusu dengan lebih kerap. Boleh diminimakan dengan memastikan diet ibu mengandungi lemak yang mencukupi. Tambahkan keju di dalam diet, gunakan mentega atau sebaiknya minum susu atau coklat suam sebelum tidur.