Archive for May 2012
Latest Updates

Gila Meroyan Selepas Bersalin

Terdapat beberapa gangguan emosi yang ketara sehingga menyebabkan masalah psikologi atau penyakit mental selepas melahirkan anak. Meroyan atau gila meroyan merupakan istilah umum orang Melayu terhadap masalah perubahan emosi selepas bersalin. Walaupun ia lebih sinonim diperkatakan oleh masyarakat Melayu dan lebih banyak dilihat dihidapi oleh wanita biasa, namun ia juga sebenarnya turut menimpa wanita profesional.

Gila meroyan

Gila meroyan adalah gangguan perasaan atau jiwa yang serius. Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah yang dialami wanita sewaktu atau selepas berpantang. Pada tahap ini, seseorang wanita yang mengalaminya mampu melakukan perkara-perkara yang boleh mencederakan dirinya, bayi serta orang di sekelilingnya.

Pendapat terkini mengatakan penyakit gila meroyan postpartum pyschosis juga seperti penyakit psikosis yang dialami oleh pesakit jiwa lain. Mujurlah keadaan ini hanya dialami oleh segelintir sahaja wanita selepas bersalin.

Sebenarnya tiada kaitan yang kukuh antara cara berpantang mengikut orang tua dan risiko untuk mendapat meroyan. Daripada kajian, ada sedikit sebanyak kesan positif bagi ibu-ibu muda yang mengamalkan urutan selepas bersalin dan bertungku semasa dalam pantang kerana ia dapat mengurangkan risiko kemurungan. Kajian tersebut turut mendapati ibu muda berpeluang berbual-bual sambil meluahkan perasaan semasa menjalani prosedur tersebut yang pada kebiasaannya berlangsung selama dua jam sehari dalam jangka masa dua minggu pertama selepas bersalin. Perbualan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan stres yang dialami oleh ibu muda tersebut.

Gangguan perasaan

Gangguan perasaan selepas bersalin sebenarnya dialami oleh ramai wanita iaitu sehingga 85 peratus sewaktu tempoh berpantang. Namun, kebanyakannya hanya mengalami pada tahap yang ringan dan tidak membahayakan. Malah ia berlaku sekejap sahaja, biasanya tidak memerlukan rawatan perubatan. Bagaimanapun, dalam segelintir 10 peratus wanita, gangguan perasaan berlaku lebih mendalam dan berpanjangan.

Dalam bidang perubatan, gangguan perasaan selepas bersalin dikelaskan kepada tiga peringkat mengikut tahap keterukannya iaitu postpartum blues, postpartum depression dan postpartum psychosis (gila meroyan). Postpartum blues adalah masalah perubahan emosi yang normal dan tidak serius. Ia kerap berlaku kepada wanita selepas bersalin. Perubahan emosi ini memuncak pada hari ketiga hingga kelima selepas bersalin. Ia akan berkurangan selepas lebih kurang 10 hari bersalin dan akhirnya emosi mereka kembali kepada sediakala. Ia boleh berlaku selepas kelahiran pertama dan seterusnya kerana setiap kelahiran adalah berbeza. Ibu-ibu yang mendapat perubahan emosi ini mudah merasa penat dan keletihan.

Kemurungan

Gejala kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression pula adalah gangguan psikologi yang perlu mendapat rawatan pakar. Ia lebih teruk dan mendatangkan kesan buruk kepada ibu dan bayi yang baru dilahirkan. Ia boleh berlaku satu dalam setiap lapan (1:8) ibu yang melahirkan anak atau 10 peratus hingga 20 peratus daripada ibu yang mengandung. Ia lebih kerap berlaku pada bulan pertama sehingga selepas setahun kelahiran anak. Malah ia boleh juga berlaku selepas keguguran atau kematian bayi dalam kandungan. Ibu-ibu yang menghidap kemurungan selepas bersalin mengalami perubahan emosi yang lebih teruk dan lebih lama berbanding perubahan emosi pada postpartum blues.

Psikosis

Psikosis selepas bersalin atau postpartum psychosis juga di panggil gila meroyan merupakan peringkat paling teruk yang jarang berlaku selepas bersalin. Ia berbeza daripada masalah psikosis yang biasa berlaku kepada masyarakat umum kerana kaitannya dengan proses bersalin, manifestasi yang lebih mirip masalah emosi dan prognosisnya adalah lebih baik.

Dalam kalangan 1,000 ibu yang melahirkan anak, satu hingga dua orang (1- 2: 1000) boleh diserang psikosis selepas bersalin. Ia biasanya bermula tiga hingga lima hari selepas bersalin dan dua pertiga daripada pesakit mendapat psikosis dalam dua minggu pertama selepas kelahiran.

Gejala psikosis selepas bersalin boleh berlaku sehingga satu atau dua tahun selepas bersalin. Ia bermula dengan gangguan emosi seperti perasaan resah dan tidak tenang. Mereka tidak dapat cukup tidur walaupun bayi tidur lena. Mereka sering merasa keletihan. Kemudiannya, ibu yang menghidap psikosis selepas bersalin ini akan mengalami emosi yang tidak stabil dan berubah-ubah. Terdapat tempoh kemurungan atau kesedihan yang melampau dan sering menangis. Psikosis berlaku apabila mereka mula mempunyai perasaan ragu-ragu, bercelaru, bercakap merapu dan mengeluarkan fakta-fakta yang sukar diterima akal yang waras. Separuh daripada mereka mempunyai pelbagai kepercayaan karut atau delusi.

Ada kalangan pesakit yang beranggapan bahawa bayinya cacat walaupun sebenarnya sihat, bayi yang dilahirkan bukan anak mereka, bayi yang dilahirkan membawa sial dan sebagainya. Satu perempat daripada mereka (25 peratus) mengalami gangguan halusinasi dengan mendengar suara-suara ghaib yang kadang-kadang memburukkan mereka, menyuruh pesakit membunuh bayi dan sebagainya.

Terdapat ibu-ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin tidak mahu menjaga bayi mereka sendiri, membenci bayi tersebut dan ada yang mencuba membunuh bayi infanticide mereka sendiri. Kadar bunuh diri dalam kalangan ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin juga adalah tinggi.

Panduan

Bagi mengurangkan masalah tersebut, pelajarilah tanggungjawab sebagai ibubapa daripada kawan-kawan, keluarga atau bahan-bahan bacaan sebelum mengandung.

Pastikan anda mendapat bantuan daripada suami, ahli keluarga yang lain untuk memberi sokongan emosi jika merasa tertekan. Dapatkan pembantu rumah atau ahli keluarga yang lain untuk menguruskan kerja-kerja seharian dan membantu penjagaan bayi dan anak anda yang lain semasa tempoh berpantang kerana anda masih lemah.

Rehat yang cukup juga adalah penting. Ambil udara segar di luar dan jangan hanya berada di rumah walaupun anda berpantang. Beri masa untuk diri anda sendiri. Pengambilan diet dan pemakanan yang berkhasiat juga penting dititikberatkan untuk kembali cergas.

Pastikan Ibu Hamil Cukup Zat Besi

Pastikan ibu hamil cukup zat besi

PERNAHKAH anda berasa letih, sakit, terganggu atau lemah semasa mengandung? Jangan abaikan gejala ini dengan menganggapnya sesuatu yang 'biasa' semasa hamil.

Tahukah anda bahawa seorang dalam setiap tiga wanita, mengalami masalah ini kerana anemia atau kekurangan zat besi.

Disebabkan masalah kesihatan ini tidak disahkan dan tidak dirawat, ramai ibu dan bayi mengalami kesan kesihatan dalam jangka panjang.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Premitha Damodaran, zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.

Wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri semasa hamil dan selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka. Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada normal (< 12-15mg/dl), wanita menghadapi risiko mengalami jenis anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat besi.

Beliau menjelaskan kekurangan zat besi dalam badan mungkin disebabkan diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan.

KeperluanTambah Dr. Premitha, wanita hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan juga tumbesaran bayi.

Dianggarkan wanita memerlukan kira-kira 50 peratus lebih banyak zat besi semasa hamil, bertambah daripada 15 kepada 27mg/dl sehari.

Malangnya ramai wanita memulakan kehamilan tanpa simpanan zat besi yang secukupnya. Akibatnya, ia berlanjutan walaupun selepas melahirkan anak.

Wanita yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa bersalin, melahirkan anak beberapa kali dan ibu yang menyusukan bayi akan berisiko kekurangan zat besi.

Anemia semasa hamil dan selepas melahirkan anak sering dikaitkan dengan tahap kerumitan serius seperti keguguran, kelahiran pramatang, berat lahir rendah dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia.

Pencegahan Dr. Premitha menasihatkan wanita agar mengubah gaya hidup dan pemakanan.

Tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi seperti ayam, sayur hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, tembikai, labu, bijan dan tauhu.

Dalam kebanyakan kes, doktor akan mengesyorkan pengambilan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.

Golongan berisiko anemia juga boleh mempertimbangkan pilihan zat besi tambahan dengan salutan perasa untuk melindungi rasa logam.

Bagi meningkatkan keberkesanan dan mengurangkan kesan rencatan, ibu-ibu disyorkan agar mengambil zat besi, folat, kuprum dan zink tambahan bersama makanan.

Selain itu, pengambilan vitamin C membantu meningkatkan serapan zat besi manakala teh dan kopi mengurangkan kadar serapan jika diambil satu atau dua jam sebelum mengambil zat besi tambahan.

Dalam kes anemia serius dan mengancam nyawa, wanita mungkin perlu dimasukkan ke hospital, menjalani pemindahan darah dan suntikan zat besi.

Justeru wanita hendaklah sentiasa memastikan kesihatan darah mereka dengan melakukan ujian darah apabila merancang untuk hamil, semasa hamil serta empat hingga enam minggu selepas melahirkan anak.

Mereka boleh mengekalkan kecergasan masing-masing dengan mengambil sejumlah zat besi yang secukupnya daripada makanan dan pemakanan tambahan bagi membantu meningkatkan paras hemoglobin darah.

"Jangan lupa mendapatkan bantuan perubatan serta-merta jika menghadapi simptom anemia," ujar Dr. Premitha.

Sumber : Utusan Malaysia

Bakteria Baik Untuk Ibu Hamil

SEBAGAI seorang wanita, impian bergelar ibu adalah naluri semula jadi yang tidak dapat dinafikan.

Disebabkan itulah, sebaik sahaja disahkan mengandung, bakal-bakal ibu pastinya mengambil berat akan pemakanan mereka sepanjang sembilan bulan agar kesihatan diri serta anak yang dikandung sihat.

Untuk itu, bagi menjamin kesihatan bakal-bakal ibu, mereka digalakkan mengambil produk pemakanan berkhasiat yang baik khusus untuk keperluan pemakanan wanita mengandung.

Di samping pemakanan berkhasiat yang lazim dinasihatkan oleh para doktor, kini ibu-ibu mengandung turut disarankan agar mengambil makanan yang mengandungi probiotik untuk menjamin kesihatan anak yang dikandung.

Dalam masa yang sama, pemakanan yang berkhasiat amat digalakkan agar ia dapat menampung kesihatan bayi sebaik dilahirkan sehingga menjangkau 1,500 hari.

Dipercayai sepanjang tempoh ini merupakan masa kritikal untuk pembentukan serta tumbesaran anak-anak dan ia perlu diberi perhatian serta tumpuan oleh ibu bapa.

Oleh yang demikian, menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Natasha Ain Mohd. Nor, ibu-ibu mengandung digalakkan mengambil pemakanan yang mengandungi probiotik seperti tempe, yogurt, minuman berkultur, miso dan sesetengah minuman jus atau soya.

Ini kerana ulas Dr. Natasha, golongan itu sering menghadapi pelbagai masalah kesihatan seperti sembelit, pedih hulu hati, keputihan, kencing tidak lawas dan sebagainya.

Dengan adanya ‘bantuan’ daripada pengambilan makanan-makanan yang mengandungi probiotik, ia dapat membantu mengurangkan masalah tersebut dengan penambahan bakteria baik di dalam usus.

Ia juga dapat mengekal dan meningkatkan kesihatan ibu-ibu mengandung dan anak yang dikandung kerana lazimnya daya tahan wanita semasa mengandung akan menurun.

“Ibu-ibu yang mengandung digalakkan mengambil makanan yang kaya dengan probiotik melalui diet harian dan memakan suplemen dalam bentuk kapsul, pil atau susu ibu mengandung yang terdapat probiotik.

“Pengambilan probiotik bukan sahaja memanfaatkan kepada ibu malah ia turut memberi kebaikan kepada anak yang dikandung.

“Secara tidak langsung, kebaikan probiotik yang diambil semasa mengandung akan berterusan sehingga anak yang dilahirkan mencecah 1,500 hari," ujarnya ketika ditemui di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, baru-baru ini.

Probiotik ialah bakteria baik yang terdapat pada dinding usus untuk menjadikan badan kuat dan sihat.

Ia menggalakkan kesihatan yang baik, menghasilkan keseimbangan dalam ekosistem usus dan membantu sistem penghadaman berfungsi dengan baik.

Malah sistem ketahanan badan yang baik diperlukan bagi menjaga kesihatan.

Di sinilah probiotik atau ‘bakteria baik’ dalam usus dilihat memainkan peranan penting bagi memperkuatkan lagi sistem imun.

Kekurangan probiotik juga menyebabkan sistem ketahanan badan tidak berkembang dengan baik. Ini boleh membawa kepada gangguan sistem ketahanan, gejala alahan dan obesiti.

Menurut Dr. Natasha banyak kajian klinikal telah dilakukan mengenai makanan tambahan probiotik. Salah satunya oleh seorang profesor dalam bidang perubatan kanak-kanak dari Universiti Turku, Finland, Dr. Erika Isolauri.

Kajian yang dilakukan oleh Dr. Isolauri baru-baru ini telah menemui fungsi terbaru probiotik di mana ia mungkin memainkan peranan penting untuk mengawal paras gula dan juga berat badan bagi ibu-ibu mengandung.

Ini bermakna probiotik mampu mengawal kencing manis dan berat badan wanita ketika hamil dan selepas bersalin.

Bagaimanapun ujar Dr. Natasha, ia masih lagi dalam kajian awal dan kajian seterusnya perlu dilakukan.

Kata beliau, pengambilan probiotik juga adalah untuk maksimumkan kebaikan bayi selain dapat meredakan bayi yang sedang mengalami masalah cirit birit.

Berbicara mengenai jumlah pengambilan probiotik, ulas Dr. Natasha, setiap individu adalah berbeza dan seelok-eloknya mengikut nasihat yang disarankan doktor.

Apabila ditanya mengenai kesan sampingan pula, ulas Dr. Natasha, kajian-kajian saintifik tidak menunjukkan sebarang kesan buruk yang tidak diingini di kalangan wanita mengandung dan bayi.

Dr. Natasha juga percaya orang ramai perlu dididik mengenai manfaat probiotik kerana ia bukan sahaja memberi kebaikan kepada ibu-ibu mengandung serta bayi tetapi juga kepada orang ramai.

Sumber : Utusan Malaysia

Pneumokokal Ancam Kanak-Kanak

Suntikan vaksin mampu mencegah jangkitan pneumokokal.
MESKIPUN kemajuan perubatan telah menyaksikan pelbagai penemuan vaksin tetapi rantau Asia masih ketinggalan dalam kempen pemvaksinan dalam program pelalian.

Akibatnya, ramai kanak-kanak tidak dilindungi daripada penyakit berbahaya.

Di Malaysia sendiri, kira-kira 70 hingga 80 peratus kanak-kanak tidak dilindungi daripada penyakit pneumokokal kerana vaksin itu disenaraikan sebagai tidak wajib dalam Program Pelalian Kebangsaan (NIP).

Kebanyakan daripada kanak-kanak yang mendapat vaksin untuk mencegah penyakit pneumokokal adalah dari sektor swasta.

Menurut pakar penyakit berjangkit kanak-kanak, Profesor Dr. Adriano Arguedas, selain Afrika, Asia turut menanggung beban penyakit pneumokokal paling besar di dunia ini.

Bagaimanapun katanya, hanya sebilangan kecil negara Asia menyedari kesan serius penyakit itu.

“Kerana kekurangan data yang dikumpulkan di rantau ini, kami tidak dapat menonjolkan kesan penyakit ini," ujarnya.

Katanya, kanak-kanak di 15 buah negara disenaraikan berisiko tinggi mati disebabkan oleh pneumonia.

Bangladesh, China, India dan Pakistan merupakan antara negara yang sentiasa berada di kedudukan yang teratas.

Menurutnya, rantau seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang memasukkan vaksin pneumokokul ke dalam NIP mereka telah menunjukkan penurunan mendadak dalam bilangan kes dan penyakit.

“Tiada cara lain untuk menangani ancaman penyakit berjangkit ini kecuali dengan melakukan pemvaksinan yang sebelum ini telah memperlihatkan kejayaan dalam usaha menghapuskan polio, cacar dan rubela," katanya ketika memberikan ceramah mengenai vaksin di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan pelalian sebagai salah satu langkah pencegahan paling berjaya dan menjimatkan kos.

Ia dapat mencegah penyakit dengan vaksin seperti difteria, hepatitis A dan B, campak, polio, rotavirus dan tetanus.

WHO juga menyifatkan program pelalian atau pemvaksinan sebagai satu pelaburan penting bagi semua negara untuk melindungi rakyat mereka.

Di samping itu, manfaat daripada pelalian diperluas kepada remaja dan orang dewasa untuk memberikan perlindungan daripada penyakit seperti influenza, meningitis dan kanser.

Dr. Arguedas berkata, memasukkan pemvaksinan ke dalam NIP boleh mempercepatkan pencapaian wawasan Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020, dengan kadar kematian kanak-kanak setanding dengan negara maju, iaitu tujuh kematian setiap 1,000 kelahiran menurun kepada lima kematian setiap 1,000 kelahiran.

Secara tidak langsung ia akan mencapai matlamat untuk mengurangkan kadar kematian kanak-kanak.

Setakat ini, lebih 50 negara di seluruh dunia termasuk Singapura, Hong Kong dan Macau telah memasukkan vaksin pneumokokus ke dalam NIP mereka.

Pengarah Kanan Hal Ehwal Saintifik (vaksin), Prifizer, Profesor Heinz-josef Schmitt pula berkata, langkah perlu diambil untuk menyakinkan kerajaan bahawa penyakit pneumokokal tidak boleh dipandang ringan.

“Sebahagian daripada masalah adalah kesukaran untuk menyakinkan kerajaan supaya mengambil langkah pemvaksinan," katanya.

Tambahnya, penyakit itu sukar untuk didiagnosis.

Jadi, Menerusi kempen kesedaran ia boleh memberi dan dapat membantu mendidik serta meningkatkan kefahaman tentang gejala penyakit dan penyelesaian penyakit serius ini kepada orang ramai.

10 Panduan Hamil Sihat

Info

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberikan sanjungan kepada ibu atas sumbangan mereka ke arah melahirkan generasi masa depan yang cergas dan sihat. Dianggarkan kira-kira 350,000 wanita dan kanak-kanak perempuan mati akibat komplikasi mengandung dan melahirkan anak setiap tahun, sedangkan kematian itu mungkin boleh dielakkan. Setiap kehamilan adalah indah. Berikut 10 panduan kehamilan sihat dan bersalin selamat yang boleh diamalkan.

1. Semua ibu hamil perlu mendapatkan maklumat berhubung kehamilan dan risiko jangkitan daripada penyakit yang berpunca daripada hubungan kelamin seperti HIV.

2. Memastikan tubuh badan sihat dan cergas, lantaran keadaan itu dapat mengurangkan risiko penyakit sama ada ibu atau bayi dikandung.

3. Semua wanita hamil memerlukan sekurang-kurangnya empat lawatan penjagaan prenatal untuk membantu memastikan kehamilannya kelak selamat dan sihat.

4. Ibu hamil dan ahli keluarga terdekat perlu mengetahui tanda bersalin atau amaran sekiranya berlaku sebarangan komplikasi ketika hamil. Tahu di mana perlu mendapatkan rawatan jika timbul sebarang masalah.

5. Ketika bersalin, ibu hamil dan keluarga terdekat perlu memastikan kelahiran dibantu oleh bidan berkemahiran.

6. Penjagaan yang baik selepas bersalin untuk ibu dan bayi, mengurangkan sebarang risiko dan komplikasi. Bantuan daripada keluarga terdekat, amat diperlukan ketika menyambut kelahiran anak.

7. Keganasan terhadap wanita adalah suatu jenayah. Apabila wanita hamil, keganasan boleh meningkatkan risiko keguguran, kelahiran bayi pra-matang dan tidak cukup berat badan.

8. Merokok, alkohol, dadah dan bahan pencemaran amat berbahaya kepada wanita hamil. Ia boleh mengakibatkan pertumbuhan pada peringkat janin atau bayi terencat.

9. Di tempat kerja pula, kebajikan wanita hamil dan ibu baru bersalin perlu dijaga. Lindungi mereka daripada sebarang risiko kesihatan. Selain mereka perlu diberi peruntukan masa untuk menyusukan bayi atau memerah susu.

10. Wanita hamil atau baru bersalin, mempunyai hak dihormati oleh semua pihak termasuk majikan, pekerja kesihatan dan masyarakat sekeliling.


Sumber : UNICEF

Selamat Datang Ke Alam Kehamilan

Mengetahui bahawa puan hamil adalah saat yang amat menggembirakan bagi puan, suami dan keluarga. Walau bagaimanapun, puan mungkin mempunyai pengalaman dan masalah yang bebeza dengan wanita lain semasa hamil. Jadi, pelbagai persoalan yang bermain di fikiran puan, sama ada pertama kali atau sudah berpengalaman. Oleh sebab itulah, nasihat dan petunjuk sentiasa diharapkan bagi melahirkan bayi yang sihat dengan selamat.

Tanda Awal Kehamilan
Adakah saya hamil?
Terdapat beberapa tanda awal yang menunjukkan puan hamil iaitu:
~ Tidak datang haid
~ Loya dan muntah
~ Sentiasa lapar
~ Kerap buang air kecil
~ Letih lesu
~ Sakit dan tegang pada payudara
~ Perubahan emosi
~ Rasa hendak demam

Kalau saya mengalami tanda-tanda awal kehamilan, apa yang patut saya lakukan?
Jika puan mengalami tanda-tanda awal kehamilan:
~ Segera ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan.
~ Sekiranya disahkan hamil, puan perlu menjalani pemeriksaan secara berjadual di klinik kesihatan atau klinik / hospital swasta secepat mungkin.

Perubahan Fizikal
Boleh ke perubahan fizikal terjadi kepada saya?
~ Warna pada sekeliling puting payudara menjadi lebih gelap
~ Timbul garisan tegak berwarna gelap pada perut (linea nigra)
~ Lain-lain seperti kulit kelihatan gelap, jerawat dan rambut kelihatan lebat.

Perubahan ini hanyalah sementara dan tidak membahayakan. Ia akan hilang selepas puan bersalin.

Pemeriksaan Kehamilan Secara Berjadual (Antenatal)

1. Di mana saya boleh buat pemeriksaan kehamilan (antenatal)?
Puan boleh buat pemeriksaan kehamilan di klinik kesihatan, klinik desa, atau klinik / hospital swasta terdekat. Puan mesti hadir ke klinik mengikut tarikh yang ditetapkan oleh anggota kesihatan.

2. Bila masa yang sesuai untuk saya mula pergi ke klinik bagi pemeriksaan kehamilan?
Puan perlu hadir ke klinik seawal mungkin.

3. Perlu ke saya pergi ke klinik?
Puan perlu hadir ke klinik seawal mungkin sebelum usia kandungan mencapai 12 minggu untu:
~ menilai tahap kesihatan.
~ menjalankan ujian saringan penyakit yang boleh menjejaskan pertumbuhan bayi.
~ diberi suplemen yang sesuai atau vitamin.
~ diberi pendidikan kesihatan.
~ pengesahan awal masalah kesihatan untuk membolehkan puan dirujuk kepada pakar.

4. Mengapa saya perlu jalani pemeriksaan kehamilan secara berjadual?
Pemeriksaan kehamilan perlu dilakukan secara berjadual untuk mengetahui tahap kesihatan ibu dan janin (bayi dalam kandungan).

5. Doktor beritahu ke setiap hasil pemeriksaan kehamilan kepada saya? Kenapa diterangkan kepada saya?
Setiap hasil pemeriksaan kehamilan akan diterangkan dengan jelas kepada puan supaya puan mengetahui tahap kesihatan puan serta bayi. Sekiranya tidak jelas puan perlu bertanya.

6. Berapa kerap saya perlu hadir ke klinik?
Secara lazimnya, jika puan tiada sebarang masalah kesihatan, puan perlu hadir ke klinik untuk pemeriksaan kehamilan seperti jadual di bawah:
~ Awal kehamilan hingga usia kandungan 27 minggu (sebulan sekali).
~ Usia kandungan 28 minggu hingga 35 minggu (2 minggu sekali).
~ Usia kandungan 36 minggu hingga bersalin (seminggu sekali).

* Jika puan mengalami masalah kesihatan semasa hamil, puan perlu hadir ke klinik dalam kadar segera.

7. Ada kesan sampingan tak kepada bayi kalau saya scan bayi saya?
Imbasan ultrasound tidak memberi sebarang kesan sampingan terhadap bayi dalam kandungan.

Tanda-tanda yang memerlukan rawatan segera di klinik / hospital

Apa tanda-tanda yang memerlukan saya bertindak segera semasa hamil?
~ Demam yang tinggi.
~ Loya dan muntah yang teruk.
~ Sakit perut yang luar biasa.
~ Pucat
~ Letih lesu
~ Sesak nafas
~ Sakit kepala
~ Penglihatan kabur
~ Sakit ulu hati
~ Kaki bengkak
~ Tiada peningkatan berat badan
~ Peningkatan berat badan berlebihan
~ Pembesaran rahim tidak sepadan dengan jangkamasa kehamilan
~ Janin kurang bergerak atau tidak aktif
~ Sakit bersalin sebelum masa
~ Pecah mentuban sebelum cukup bulan
~ Darah keluar dari faraj (tumpah darah)
~ Jantung berdebar-debar
~ Tidak berdaya untuk melakukan kerja rumah biasa / rutin harian.

Kalau saya hamil luar rahim, apa tanda-tandanya?
Puan mungkin merasa sakit di bahagian perut dan pinggul serta pendarahan melalui faraj.

Hubungan Seks

Boleh ke saya lakukan hubungan seks semasa hamil?
Boleh, tiada halangan untuk melakukan hubungan seks semasa hamil. Walau bagaimanapun, sekiranya puan mengalami tumpah darah dan kedudukan uri di bawah, sila dapatkan nasihat doktor.

Pemakanan

1. Mengapa saya perlu makan secara sihat semasa hamil?
Puan perlu amalkan pemakanan sihat untuk:
~ memastikan perkembangan bayi yang sihat
~ mengekalkan kesihatan ibu
~ memenuhi keperluan nutrein dan memastikan pertambahan berat badan yang bersesuaian semasa hamil.

2. Jenis makanan macamana yang berkhasiat untuk saya?
Puan perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang mengikut piramid makanan semasa hamil.

3. Berapa kerap saya perlu makan dalam sehari dan jumlah makanan yang perlu diambil?
Puan perlu makan pada setiap kali waktu dengan mengambil makanan yang seimbang.

4. Ada tak makanan yang perlu saya makan lebih semasa hamil?
a. Pilih makanan yang mempunyai tinggi bahan nutrein seperti:
~ Kalsium (susu, keju, dadih, sayuran dedaun hijau dan produk kacang soya)
~ Vitamin A (hati, susu, telur)
~ Vitamin B Kompleks (hati, daging tanpa lemak, ikan dan susu)
~ Vitamin C (jambu, betik dan limau)
~ Asid Folik (sayuran berdaun hijau, hati, kacang)

b. Ambil makanan tambahan (jika disarankan oleh doktor atau pakar pemakanan).

5. Ada tak makanan yang perlu saya elak semasa hamil?
Puan perlu elakkan makanan seperti berikut:
~ Makanan mentah seperti sushi
~ Daging mentah atau separa mentah
~ Makanan yang tercemar dengan merkuri
~ Makanan beralkohol
~ Makanan herba
~ Minuman kafein

6. Boleh ke saya amalkan atau elakkan makanan mengikut kepercayaan adat resam?
Boleh, tetapi jangan sampai membahayakan kesihatan puan dan bayi.

Pakaian

Jenis pakaian dan kasut yang macamana sesuai untuk saya semasa hamil?
Pakaian yang longgar dan selesa amat sesuai untuk puan semasa hamil. Pastikan kasut juga selesa, elakkan kasut yang bertumit tinggi dan pastikan tapak kasut yang mencengkam.

Ubat-Ubatan

Boleh ke semua ubat saya ambil semasa hamil?
Tidak semua ubat puan boleh ambil semasa hamil. Puan perlu rujuk kepada doktor sebelum mengambil sebarang ubat.

Ada tak vitamin yang bagus untuk saya ambil semasa hamil?
Memang ada seperti:
~ asid folik
~ zat besi
~ B complex
~ vitamin C

Rehat

Perlu ke saya rehat secukupnya?
Ya, puan perlu rehat secukupnya bagi mengekalkan tahap kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.

Kebersihan Diri

Perlu ke saya jaga kebersihan diri?
Puan perlu menjaga kebersihan diri bagi mengelakkan jangkitan terhadap ibu dan bayi dalam kandungan. Khususnya kebersihan di bahagian sulit.

Penjagaan Payudara

Kenapa saya perlu menjaga payudara?
Puan perlu menjaga payudara sebagai persediaan untuk menyusu bayi puan kelak.

Macamana saya nak jaga payudara?
Cara terbaik untuk menjaga ialah mencuci puting payudara dengan air bersih dan memakai coli yang sesuai dan selesa.

Penjagaan Emosi

Kenapa saya perlu jaga emosi saya?
Ini betujuan supaya tidak menjejaskan kesihatan diri puan dan bayi.

Macamana saya nak jaga emosi saya semasa hamil?
Puan perlu sentiasa berfikiran positif dan banyak membaca. Bagi orang Islam, tunaikan solat lima waktu dan banyakkan berdoa.

Iklan Bisnes @ Kak Engku Bidan Bersalin

Assalamualaikum...

Alhamdulillah sudah hampir 3 tahun blog Kak Engku Bidan Bersalin bertapak di blogspot, sudah mencecah 500,000 pembaca Blog Kak Engku dan lebih dari 1.750 juta pageview yang telah dibaca. Thanks ye semua, dan tak lupe gak thanks kat blogspot hehehe kerana memberi ruang Kak Engku berblogger.

Sejak awal lagi, ramai pembaca yang menyatakan hasrat ingin menyewa ruangan iklan di blog Kak Engku, namun Kak Engku tidak dapat menunaikannya atas beberapa alasan yang tertentu. Tetapi sejak kebelakangan ini permintaan semakin bertambah, so akhirnya Kak Engku terpaksa mengalah juga dengan permintaan dari para pembaca blog Kak Engku untuk menyediakan ruangan iklan tersebut.

Namun ruangan iklan yang Kak Engku sediakan ini adalah HANYA TERHAD kepada 10 ruangan iklan bisnes sahaja ye, so siapa cepat dia dapat (first come first serve basis la kirenye nie ye hehehe). Dan sekiranya ruangan iklan telah penuh ditempah, Kak Engku akan memberi peluang untuk menunggu giliran yang akan datang ye. Cuma tinggalkan nama, email address dan phone number supaya senang untuk Kak Engku hubungi jika ada kekosongan kelak.

Bagi sesiape yang berminat untuk menyewa ruangan iklan bisnes masing-masing, sudilah kirenye menghantar butiran kepada Kak Engku di bidanbersalin@yahoo.com dan jgn lupe nyatakan:

~ Nama
~ No.Telefon
~ Bisnes Apa? Sebolehnye jgnlah sama bisnes ngan Kak Engku ye huhuhu.

Kak Engku akan menyatakan terma dan syarat ketika Kak Engku reply mesej tu nanti ye.


Berminat, jom beriklan @ Kak Engku Bidan Bersalin, CEPAT ruang iklan terhad, sape cepat dia dapat.

Thanks n jumpe lagi.

Melindungi Kandungan Anda

Kehamilan Yang Gagal
Kandungan yang gagal diselamatkan dalam mana-mana kehamilan diistilahkan sebagai keguguran. Juga dikenali sebagai keguguran spontan. Keguguran adalah perkara biasa, dan lazimnya berlaku dalam lebih kurang 1 kes daripada setiap 4 kehamilan.

Walaupun keguguran sering berlaku, namun perkara ini jarang dibincangkan. Ini menjadikan pengalaman tersebut lebih menyakitkan serta menyebabkan wanita sering mengasingkan diri, terutamanya apabila mereka kekurangan maklumat mengenai punca dan juga kesan terhadap keguguran.

Apakah Punca-Punca Keguguran?
Punca-punca keguguran sememangnya rumit dan biasanya sukar untuk ditentukan. Sebenarnya para doktor mengganggarkan 40 - 60% punca-punca keguguran boleh dikenalpasti dan selebihnya pula tidak boleh dkenalpasti. Punca-punca yang boleh dikenalpasti termasuk masalah genetik, jangkitan, tahap hormon semulajadi dan antibodi tubuh yang tidak normal. Punca-punca yang tidak dapat dikenalpasti selalunya berhubung kait dengan sistem imun ibu dan kesihatan rahimnya - atas sebab-sebab tertentu janin tidak dapat melekat pada lapisan dalam rahim dengan sempurna.

Punca paling lazim keguguran yang dapat dikenalpasti adalah faktor genetik, dan kebiasaannya berlaku dalam tiga bulan pertama kehamilan. Semasa kehamilan, janin akan terbentuk dan mengandungi gen-gen daripada sperma dan telur. Namun, kadangkala kromosom embrio mungkin mengalami masalah seperti kehilangan maklumat gen akibat proses pindah silang yang berlaku sewaktu kehamilan. Keguguran akibat keabnormalan kromosom boleh berlaku secara kebetulan. Keguguran sedemikian tidak dapat dielak dan besar kemungkinan tidak akan berulang.

Masalah Dengan Sistem Imun
Punca paling ketara bagi keguguran yang tidak dapat dikenalpasti adalah masalah pada lapisan dalam rahim ibu. Ini mungkin disebabkan oleh tindakbalas penyekatan dalam sistem imun ibu. Ada kalanya faktor tekanan boleh mempengaruhi tubuh kita daripada berfungsi secara normal disamping faktor-faktor lain seperti diet pemakanan. Oleh sebab itu, penjagaan pra-natal adalah sangat penting, agar doktor dapat mengesan risiko-risiko sedemikian. Dalam kes-kes dimana doktor mengesyaki ada keabnormalan pada lapisan dalam rahim, terdapat terapi dan ubat yang dapat membantu memulihkan kesihatan raim anda.

Tanggapan Salah Mengenai Keguguran
Ramai wanita menyalahkan diri mereka selepas mengalami keguguran dan akan tertanya-tanya sama ada gaya hidup mereka semasa mengandung telah menjejaskan kesihatan janinnya. Pengambilan dadah, merokok dan pengambilan minuman secara berlebihan sememangnya boleh memberi kesan negatif terhadap kehamilan.

Dalam kehamilan yang normal, bersenam, bekerja dan persetubuhan sebenarnya tidak akan meningkatkan risiko keguguran sama sekali. Secara amnya, mengekalkan gaya hidup yang sihat seperi bersenam, mengamalkan pemakanan yang seimbang dan aktiviti seksual secara normal bersama pasangan adalah amat digalakkan.

Tambahan lagi, biasanya wanita yang pernah mengalami keguguran mampu mengandung semula dengan berjaya pada cubaan yang berikutnya. Meskipun proses keguguran menyakitkan, namun tiada sebab bagi anda hilang keyakinan terhadap diri anda serta keupayaan anda untuk melahirkan bayi. Pastikan anda berterus-terang dengan doktor jika terdapat apa-apa kemusykilan yang mungkin dialami.

Apakah Tanda-Tanda Keguguran?
Juga dikenali sebagai keguguran terancam. Tanda-tanda kemungkinan berlakunya keguguran termasuk pendarahan melalui faraj dan kekejangan pada bahagian abdomen, dalam tiga bulan pertama kehamilan. Perdarahan sedikit-sedikit adalah normal dalam kehamilan yang sihat, jadi anda tidak perlu terlalu bimbang sekiranya ini berlaku. Apa yang penting adalah sentiasa berjumpa doktor anda mengikut jadual.

Bagaimana Mengurangkan Risiko Keguguran?
Meskipun dalam kebanyakan kes, keguguran tidak dapat dielakkan, namun bagi wanita hamil yang mengalami keguguran terancam, ada langkah-langkah tertentu yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko keguguran. Aspek paling penting dalam mengekalkan kehamilan yang sihat adalah penjagaan pra-natal, dari masa seseorang mula hamil sehinggalah kelahiran bayi. Penjagaan pra-natal awal dan lengkap boleh memastikan anda mempunyai pengalaman kehamilan yang lebih sempurna disamping menurunkan risiko keguguran. Jikalau terdapat masalah kesihatan, doktor akan dapat mengesan awal serta memberi rawatan yang sewajarnya sebelum anda mengandung semula, demi mengelakkan sebarang komplikasi pada masa hadapan. Dalam situasi keguguran terancam, doktor akan menasihati anda agar megubah gaya hidup ataupun rutin kerja anda, atau menerima rawatan terapi hormon progesteron.

Bagaimana Menangani Keguguran?
Tiada cara paling betul dalam menangani keguguran. Setiap wanita serta pasangannya mengharungi pengalaman yang berbeza. Berduka adalah proses normal. Sebagai rakan ataupun ahli keluarga, berilah sokongan anda kepada mereka tersayang dan bersimpati dengan kehilangan dan kesakitan yang diharunginya.

Walau bagaimanapun, setiap pasangan perlu sedar bahawa mereka tidak perlu takut untuk mencuba lagi. Perlu diingatkan, keguguran kali pertama biasanya tidak dapat dielakkan dan mungkin tidak berulang. Ada juga rawatan yang boleh disyorkan oleh doktor agar membantu anda melalui kehamilan yang sempurna pada masa hadapan.

Perancangan Semula Selepas Keguguran
Ramai pasangan tertanya-tanya sama ada haruskah mereka cuba mengandung semula selepas mengalami keguguran, namun tiada jawapan yang tepat bagi soalan ini. Apa yang penting adalah setiap pasangan seharusnya sihat dan bersedia dari segi mental mahupun fizikal semasa membuat perancangan untuk mengandung semula.

Kesihatan kedua-dua pasangan adalah sangat penting. Oleh itu, minuman keras dan rokok harus dielakkan. Pemakanan seimbang yang terdiri daripada buahan dan sayuran patut diamalkan. Pastikan anda merancang bersama doktor anda sebelum dan selepas kehamilan agar apa-apa masalah dapat ditangani dengan segera. Kajian juga menunjukkan bahawa kehamilan yang sihat lebih sempurna sekiranya wanita yang telah mengalami keguguran mendapat sokongan penuh daripada keluarga serta rakan-rakannya. Mengekalkan tekanan pada tahap minimum dan sentiasa ceria serta bersikap posiif mampu menyempurnakan lagi sesuatu kehamilan.

Soalan-Soalan Lazim

Adakah saya disyaki akan mengalami keguguran?
Jika anda mengalami pendarahan melalui faraj dan kekejangan pada bahagian abdomen, maka ada kemungkinan besar anda disyaki mengalami keguguran terancam.

Apakah tindakan yang akan diambil oleh doktor?
Doktor akan menjalankan pemeriksaan bahagian abdomen dan pelvis untuk memastikan sama ada perdarahan tersebut adalah tanda keguguran atau sebaliknya. Pemeriksaan ultrasound mungkin dijalankan untuk mendapatkan diagnosis yang lebih tepat. Sekiranya anda mengalami keguguran terancam, doktor anda mungkin mengesyorkan ubat seperti Duphaston yang mampu membantu melindungi lapisan dalam rahim anda serta meningkatkan peluang kehamilan yang sihat.

Apa akan terjadi sekiranya saya mengalami keguguran?
Selepas mengalami keguguran, anda perlu banyak berehat. Anda mungkin akan merasa marah, sedih dan mengalami masalah fizikal yang lain seperti sakit kepala dan insomnia. Anda perlu memberikan peluang kepada diri anda untuk bersedih dan beransur pulih, serta menerima sokongan orang lain.

Bilakah saya boleh hamil semula?
Ini bergantung pada anda serta pasangan anda. Ada pasangan yang cuba hamil beberapa minggu selepas perdarahan berhenti, ada pula yang menunggu berbulan-bulan lamanya. Sebelum cuba hamil semula, petua terbaik berbuat demikian adalah apabila anda rasa cukup kuat dari segi mental mahupun fizikal dan jangan berputus asa.