Archive for January 2012
Latest Updates

Bantu Bayi Tidur Lena

BANGUN malam akibat tangisan bayi adalah satu keadaan normal bagi pasangan suami isteri yang beranak kecil.

Puncanya mungkin si kecil kembung perut, lampin basah atau diganggu makhluk halus?

Bagaimanakah ibu bapa dapat membendung masalah ini?

Kajian tidur antarabangsa yang dijalankan oleh Johnson & Johnson dan Asia Pacific Paediatric Sleep Alliance (APPSA) pada akhir tahun lepas mendapati seramai 997 ibu bapa melaporkan bayi mereka mengalami kesukaran untuk tidur lena.

Sebanyak 47 peratus atau hampir setengah daripada ibu-ibu yang terlibat dalam kajian tersebut memberitahu, mereka tidak mempunyai rutin waktu tidur yang sama bagi kebanyakan malam.

Sebanyak 45 peratus atau hampir setengah ibu bapa pula berpendapat bayi mereka mempunyai masalah tidur manakala 20 peratus lagi mengadu bahawa waktu untuk menidurkan bayi adalah terlalu sukar.


Waktu Tidur

Pakar Perunding Kanak-kanak Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Norzila Mohamed Zainudin berkata, waktu tidur kanak-kanak di negara ini secara puratanya pada pukul 9 malam ke atas. Ia sebenarnya mengganggu waktu tidur bayi.

Berbeza dengan negara seperti Australia dan United Kingdom, kanak-kanak akan tidur sebelum 8 malam atau secara puratanya, 13 jam.

Di Jepun dan Korea pula, kebanyakan ibu bapa melakukan rutin khusus untuk menidurkan bayi.

"Kekurangan rutin waktu tidur teratur dan menikmati tidur yang baik dalam jangka masa panjang akan menjejaskan daya ingatan, kebolehan belajar dan kesihatan bayi," katanya.

Dr. Norzila menambah, kepentingan rutin waktu tidur yang tetap adalah bertujuan membantu kanak-kanak mengenali waktu malam serta menetapkannya sebagai masa untuk berehat dan tidur.

Selain itu, bayi memerlukan tidur yang berkualiti untuk membantu tumbesaran dari segi perkembangan sosial, kongnitif dan fizikal.

Katanya, waktu tidur bayi yang baru lahir adalah selama 16 hingga 20 jam, manakala bayi yang berusia dua hingga tiga bulan menikmati waktu tidurnya lebih kurang 12 hingga 14 jam.

Justeru itu, Dr. Norzila menasihatkan ibu bapa supaya menidurkan anak lebih awal iaitu sebelum 9 malam dan melakukan rutin tidur untuk bayi.

"Kebanyakan ibu bapa pada hari ini bekerja. Kesesakan lalu lintas dan kekangan masa akan menyebabkan mereka sampai lewat di rumah. Kebanyakan bayi pula akan menghabiskan masa dengan bermain, merangkak dan berjalan ketika ibu bapa mereka di rumah. Justeru, si ibu perlu memainkan peranan penting dalam mencari masa yang sesuai untuk menidurkan mereka," ujarnya.

Tambah Dr. Norzila, waktu menidurkan bayi sebenarnya bergantung kepada rutin ibu bapa itu sendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu menidurkan mereka sebelum melakukan kerja-kerja rumah. Dalam pada itu, tiga langkah boleh dilakukan dalam rutin menidurkan bayi.

Tiga cara mudah iaitu mandian air suam atau mengelap bayi dengan menggunakan kain lembap suam. Kemudian, lakukan urutan lembut untuk merehatkan bayi dan diakhiri dengan aktiviti waktu tidur bayi yang sunyi seperti menyanyi, bercerita atau bercakap dengan perlahan.


Menikmati

Tujuan utama tiga langkah ini diwujudkan adalah untuk memudahkan bayi menikmati waktu tidur malam yang berkualiti tanpa ada sebarang gangguan.

Amalan rutin tiga langkah ini sememangnya memberi kesan mendalam terhadap perkembangan minda dan tumbesaran bayi pada masa hadapan.


Sumber : Utusan Malaysia


Pneumokokal Boleh Bawa Maut

RAMAI yang kurang prihatin terhadap masalah penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak. Perkara ini harus dipandang serius kerana kira-kira dua juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun mati setiap tahun. Antara penyakit berjangkit dan kematian utama yang semakin disedari di seluruh dunia adalah pneumokokal (PnD).

PnD merupakan penyakit pembawa maut yang paling mudah berjangkit pada hari ini. Dianggarkan seorang bayi meninggal dunia setiap seminit di seluruh dunia akibat jangkitan bakteria pneumokokus.

Anggaran yang dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu mendapati, setiap tahun PnD menyebabkan kematian lebih sejuta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di negara membangun.

Menurut Pakar Runding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr. Musa Mohd Nordin, lebih separuh kejadian dan kematian akibat PnD berlaku di rantau Asia Pasifik.

Ia merangkumi 28 peratus daripada kematian berkaitan pneumokokus global.

"Kita perlu mendidik ibu bapa dan orang ramai tentang cara melindungi kanak-kanak daripada penyakit. Kesan PnD adalah amat buruk tetapi sebenarnya boleh dielakkan. Kaedah pencegahan berkesan perlu disediakan untuk semua kanak-kanak di Malaysia," ujar beliau yang juga ahli pengasas Pakatan Strategik Asia bagi Pencegahan Penyakit Pneumokokal (ASAP).

Walaupun PnD menyebabkan kematian,WHO menjelaskan, ia masih boleh dicegah dengan vaksin.

Dr. Musa memberitahu, imunisasi melalui suntikan vaksin boleh dianggap sebagai cara paling cekap dan menjimatkan kos untuk mengurangkan penyakit dan kematian PnD.

Vaksinasi

Dalam pada itu, Pengurus Negara Pfizer Malaysia dan Brunei, Angel Choi menjelaskan, vaksin pneumokokus pertama diperkenalkan pada tahun 2000 untuk memberi perlindungan tujuh jenis bakteria pneumokokus.

Tambahnya, kemajuan dalam bidang penyelidikan vaksin penyakit ini berjaya memberi perlindungan daripada 13 bakteria pneumokokus yang utama.

"Menyedari hakikat ini, lebih 50 negara telah memperkenalkan Vaksin Konjugat Pneumokokus (PCV) dalam Program Imunisasi Kebangsaan termasuk di Hong Kong, Singapura dan Macau.

" Pfizer telah bekerjasama dengan beberapa buah negara dari seluruh dunia untuk mengasaskan program pencegahan penyakit PnD bagi melindungi 22 juta kanak-kanak di seluruh dunia," katanya yang turut melancarkan sebuah laman web baru, www.abc4pneumococcal.com.

Laman web ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang PnD dan menekankan hakikat bahawa penyakit ini boleh dicegah menerusi vaksinasi. Ia mengandungi pelbagai maklumat tentang segala perkara yang berkaitan dengan penyakit ini dan bagaimana ibu bapa boleh melindungi anak mereka daripada jangkitan.

Selain itu, ibu bapa dan individu digalakkan untuk menandatangani ikrar sokongan bagi menyeru agar vaksinasi PnD disenaraikan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Pengalaman pesakit

Presiden dan Pemimpin Serantau Asia Pasifik bagi Persekutuan Organisasi Meningitis (CoMO), Bruce Langoulant hampir sahaja kehilangan anaknya kerana PnD.

Bruce berkata, anak perempuannya, Ashleigh menghidap penyakit pneumokokal ketika berusia enam bulan.

Penyakit ini menyebabkan Ashleigh meningitis dan seterusnya pekak sepenuhnya, sawan dan kurang upaya dari segi intelektual.

"Saya salah seorang daripada beribu-ribu ibu bapa dan keluarga yang mengalami kesan penyakit yang mengancam nyawa ini tetapi penyakit tersebut boleh dicegah. Kita tidak harus mengekang kelantangan suara kita apabila berusaha mewujudkan masyarakat yang selamat dan sihat.

Dengan menandatangani ikrar ini, ibu bapa berpeluang berganding bahu untuk tujuan murni dan berusaha menjadi daya penggerak demi meningkatkan tahap kesihatan semua kanak-kanak di Malaysia," ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Stigma Wanita Tidak Subur

LAZIMNYA, berkeluarga, mengandung dan beranak adalah perjalanan hidup yang perlu dilalui oleh seorang wanita.

Namun hakikatnya tidak semudah itu. Ramai wanita yang berdepan cabaran untuk mendapatkan cahaya mata pertama, malahan tidak kurang yang mencuba bertahun-tahun lamanya tetapi masih gagal memperoleh hasil yang diharapkan.

Malangnya tidak kira di negara maju atau membangun, isu kesuburan masih menjadi topik perbincangan yang cuba dielakkan sama ada oleh lelaki mahupun wanita.

Wanita yang sukar mendapat anak sering kali berasa tidak selesa untuk berkongsi masalah itu dengan doktor malahan dengan pasangan hidup mereka.

Merumitkan keadaan, terdapat doktor keluarga pula yang berasa segan untuk memulakan perbincangan mengenai isu kesuburan kerana melihat ia lebih bersifat peribadi.

''Ramai wanita yang mengalami masalah kesuburan cuba mengelak daripada berbincang mengenainya, tidak kurang yang enggan mendapatkan rawatan profesional. Ini kerana mereka takut sekiranya doktor mengesahkan mereka tidak subur dan tidak boleh dirawat. Justeru wanita sering memikul beban psikologi seperti ini dan enggan berjumpa doktor," kata Pengurus Besar Kesihatan Wanita, syarikat farmaseutikal Merck & Co. Inc. (Merck), Terrie Curran.

Menurut Curran, kajian antarabangsa melibatkan wanita daripada pelbagai latar budaya menunjukkan ramai yang mengalami kesukaran mendapatkan anak lebih cenderung untuk terus mencuba daripada berjumpa doktor.

''Wanita ini akan terus mencuba untuk hamil dan mengharapkan sesuatu 'keajaiban' akan berlaku, mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka hanya akan menyukarkan keadaan. Ini kerana tahap kesuburan mereka akan merosot setahun demi setahun," katanya sambil memberitahu tahap kesuburan wanita menjunam mendadak sebaik sahaja mereka melepasi umur 35 tahun.

Tambahnya, wanita yang mengalami masalah kesuburan tidak patut memendamkan masalah itu dalam hati tetapi perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin sebelum tahap kesuburan mereka menurun.

''Wanita yang berumur di bawah 35 tahun wajar menemui doktor setelah mereka mencuba dan gagal mengandung dalam tempoh setahun. Bagi wanita yang berumur 35 tahun ke atas pula, mereka perlu berjumpa doktor lebih awal iaitu selepas enam bulan mencuba," katanya.

Punca masalah

Walaupun ramai yang menyedari tentang masalah kesuburan dihadapi pasangan, tidak ramai pula yang betul-betul memahami punca berlakunya keadaan ini.

Sesetengahnya mungkin berpendapat persekitaran yang semakin tercemar serta proses urbanisasi menyumbang kepada masalah kesuburan lelaki atau wanita.

Curran bagaimanapun berkata, usaha perancangan keluarga untuk melengahkan kehadiran cahaya mata pertama turut menjadi penyebab utama kepada peningkatan masalah kesuburan di dunia.

''Semakin ramai wanita bekerja tidak mahu berkahwin atau melahirkan anak pada usia muda. Apabila tiba masanya mereka mahu mengandung, tahap kesuburan wanita itu telah menurun," katanya.

Tambahnya, setakat ini belum ada kajian yang membuktikan kaitan antara pencemaran alam dengan kesuburan tetapi tekanan atau stres telah dikenal pasti sebagai antara punca yang menyebabkan wanita gagal mengandung.

''Masalah berat badan juga antara salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah kesuburan. Wanita yang mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) yang tinggi menghadapi lebih banyak kesukaran untuk mengandung.

''Jadi sekiranya seseorang wanita mengidamkan kehadiran anak, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengurangkan berat badan," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia


Vaksin Mencegah Penyakit

MEMANG terbukti pemberian vaksin kepada bayi dan kanak-kanak di Malaysia telah banyak mengurangkan kes kecacatan serta meningkatkan perlindungan terhadap penyakit berjangkit dan penyakit bahaya lain.

Apabila Kementerian Kesihatan mewajibkan pengambilan vaksin seperti BCG, Hepatitis B, DPT dan MMR terhadap bayi yang baru lahir, telah berjaya melindungi berjuta rakyat daripada penyakit seperti polio, tetanus, difteria, meningitis dan banyak lagi.

Malah kes seperti kecacatan kaki akibat polio juga amat jarang dilihat kini, semuanya kerana inisiatif yang telah diambil oleh pihak ibu bapa dan kerajaan dalam memberikan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat.

Namun ada sesetengah golongan di peringkat antarabangsa yang giat mempromosikan gerakan anti vaksin.

Dan dengan hebahan yang diadakan menerusi Internet dan sebagainya telah sedikit sebanyak berjaya menghakis segelintir pandangan ibu bapa tentang kebaikan vaksin ini.

Perunding kesihatan kanak-kanak dari Hospital Pakar An-Nur, Dr. Khairul Azman Mohd. Khalid berkata, vaksin secara umumnya memang halal.

"Ada fatwa sudah dikeluarkan dan mengatakan bahawa beberapa jenis vaksin yang dulu diragui halal kini sudah disahkan halal seperti rotavirus.

"Memang vaksin tiada mengandungi unsur babi dan fatwa mengatakan kita boleh mendapatkan vaksin tanpa was-was," jelasnya.

Menurut Dr. Khairul Azman, kurangnya pengetahuan di kalangan ibu bapa menyebabkan mereka meragui kebaikan suntikan vaksin untuk anak-anak.

Malah ada yang mempersoalkan tentang kesan sampingan pengambilan vaksin yang dikatakan mempunyai kesan mudarat untuk jangka masa panjang.

"Memang ada kesan sampingan tapi terlalu sedikit seperti demam atau tempat suntikan membengkak. Melalui kemajuan dalam bidang perubatan, ahli sains telah menghasilkan vaksin dengan kesan sampingan yang sangat minimum," katanya.

Dr. Khairul juga menangkis tanggapan mengatakan bahawa apabila anak demam selepas disuntik bermakna vaksin memberikan tindak balas positif.

"Itu tidak benar, kemajuan dalam penyelidikan dan penghasilan vaksin telah meminimumkan kesan sampingan pada anak-anak hingga mereka tidak demam atau berasa tidak selesa selepas disuntik vaksin," ujarnya.

Tegas Dr. Khairul Azman, vaksin sebenarnya meningkatkan sistem imunisasi kanak-kanak, dengan itu mereka akan menjadi lebih aktif dan boleh mengikuti pelajaran dengan lebih berkesan.

Sesetengah vaksin hanya perlu diambil sekali untuk seumur hidup sebagai contoh kanak-kanak yang mengambil vaksin cacar (chicken pox).

"Bayangkan manfaatnya, selepas mengambil vaksin tubuh badan mereka terlindung daripada virus tersebut dan jika alaminya pun tidaklah seteruk tanpa vaksin," jelasnya.

Tambah Dr. Khairul, tanggapan sesetengah ibu bapa yang mengatakan anak-anak lasak di kampung kurang terkena jangkitan penyakit dan lebih sihat berbanding di bandar adalah kerana faktor keadaan sekeliling.

"Pengudaraan ibu yang menjaga anak sendiri di rumah berbanding dengan di pusat jagaan di bandar adalah amat berbeza.

"Adalah salah jika membandingkan kanak-kanak di luar bandar lebih sihat berbanding di bandar walaupun mereka tidak mengambil vaksin," katanya.

Tambah Dr. Khairul lagi, kanak-kanak yang tidak mengambil vaksin di waktu kecil tetap boleh mengambilnya apabila remaja atau dewasa.

Cuma ada vaksin seperti rotavirus yang ada peringkat umur dan jika terlepas tidak boleh mendapatkannya kembali.

Bagi sesetengah kanak-kanak yang menghidapi penyakit seperti Down Sindrom amat disarankan pengambilannya.

Begitu juga dengan bayi yang lahir pra matang, bayi berpenyakit jantung, lelah juga sebaiknya memiliki pelalian ini.

"Bila ada imuniti yang diambil menerusi vaksin maka sistem imunisasi kanak-kanak ini akan menjadi lebih kuat.

"Ibu bapa perlulah menambah ilmu. Memang saya tidak nafikan adanya pergerakan yang melarang pengambilan vaksin ini secara besar-besaran, bukan sahaja di luar negara malah di Malaysia juga.

"Ibu bapa perlu tahu bahawa tidak mengambil sebarang pelalian menyebabkan anak-anak berpotensi untuk mendapat penyakit yang mencacatkan mereka.

"Memang vaksin yang kerajaan sarankan sudah cukup namun bagi ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak di bandar perlu mengambil inisiatif untuk mendapatkan pelalian tambahan kepada anak-anak.

" Dengan pencegahan ini kita bukan sahaja mendapatkan ketenangan fikiran malah dapat menyelamatkan anak-anak daripada penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa. Perlu juga ingat, kos rawatan lebih mahal daripada imunisasi yang diambil," ujarnya.


Sumber : Utusan Malaysia