Archive for November 2011
Latest Updates

Susu Ibu Cukup Untuk Si Kembar

Cabaran

Menyusu bayi kembar adalah cabaran bagi ibu bapa yang istimewa dan hebat. Sebaik mengetahui kandungan adalah bayi kembar, ibu-ibu (dan juga bapa-bapa) perlu bersedia dari segi fizikal dan mental menerima kehadiran dua bayi serentak, bersedia kemungkinan bayi lahir pramatang, bersedia kemungkinan kelahiran secara pembedahan caesarean dan membuat perancangan corak penyusuan kepada bayi.

Persediaan mental juga adalah sangat penting bagi ibu yang bercadang memberikan penyusuan eksklusif untuk bayi kembar kerana akan timbul persoalan tentang "susu tidak cukup". Ramai menganggap susu ibu akan tidak cukup lebih-lebih lagi pada hari-hari awal kelahiran, maka salah seorang atau kedua- duanya secara bergilir mungkin akan diberi susu formula! Ini adalah suatu persepsi yang salah.

Para ibu harus sedar dan yakin bahawa berapa ramai pun kembar yang dilahir serentak, susu ibu pasti cukup untuk mereka. Beberapa panduan yang boleh diamalkan adalah dengan menyusu bayi seawal satu jam pertama dilahirkan. Ramai ibu sudah sedia maklum tentang keperluan menyusu seawal satu jam pertama ini untuk merangsang penghasilan susu ibu. Sekiranya ibu melahirkan bayi pramatang dan kurang berat badan, penyusuan ibu adalah 'ubat' paling mujarab untuk menambah berat badan bayi. Ini kerana susu ibu memang dicipta untuk bayi baru lahir walau berapa pun usianya ketika dia lahir. Sekiranya ibu melahirkan bayi secara pembedahan caesarean, mintalah bantuan jururawat untuk memperbaiki posisi ibu ketika menyusu pada jam pertama. Sebaiknya berbincang terlebih awal dengan doktor atau jururawat yang bertugas agar hasrat ibu untuk menyusu pada 1 jam pertama dapat diimplementasikan.

Panduan seterusnya adalah dengan menyusu bayi sekerap mungkin. Secara puratanya bayi baru lahir menyusu antara lapan hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam. Bagi bayi kembar, ibu-ibu boleh menyusu kedua-duanya serentak pada masa yang sama atau secara bergilir mengikut keselesaan ibu. Pada minggu-minggu pertama mungkin ibu-ibu akan merasakan bayi menyusu agak kerap dan keadaan ini akan meletihkan ibu. Ia adalah perkara normal sebelum bayi menunjukkan pola penyusuannya selepas usianya sebulan. Malah perkara ini harus diterima secara positif oleh ibu kerana ia menandakan keperluan bayi untuk menyusu tinggi maka ia akan menghantar isyarat ke otak bahawa penghasilan susu ibu harus ditingkatkan. Susukan bayi sebelum dia menangis. Pada hari-hari awal kelahiran, biasakan rutin menyusu setiap setengah jam. Jika ibu menyusu bayi seorang demi seorang aturkan masa menyusu supaya si kembar tidak menangis ketika yang seorang lagi sedang menyusu.

Rehat

Ibu juga perlu perbanyakkan rehat. Ibu-ibu perlu berehat dengan secukupnya untuk mengurangkan stres yang akan mengganggu penghasilan susu ibu. Ibu boleh tidur dan berehat apabila bayi tidur. Sesetengah ibu selalu menjadikan masa tidur bayi sebagai masa ibu untuk membuat kerja. Ini adalah kurang tepat kerana ibu juga perlu berehat dan menenangkan fikiran. Suami harus memainkan peranan membantu menguruskan perkara-perkara lain sementara ibu menumpukan lebih perhatian kepada menguruskan bayi.

Minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Air adalah komponen penting dalam penghasilan susu ibu. Amalkan minum air sambil menyusu atau selepas menyusu sekurang-kurangnya segelas air, jus atau susu. Ibu menyusu perlu makan makanan berkhasiat secukupnya untuk menampung kehilangan kalori semasa penyusuan. Ibu-ibu juga digalakkan makan vitamin, kalsium dan zat besi seperti yang diambil semasa hamil.

Anda perlu mengehadkan pelawat. Perkara ini mungkin agak sukar untuk dilakukan kerana ramai pelawat yang terdiri daripada rakan-rakan, jiran dan saudara mara ingin berkongsi kegembiraan dengan kehadiran bayi kembar. Namun begitu ibu masih perlu memperuntukkan masa bersama bayi terutama privasi ketika menyusukan bayi. Minta pelawat tinggalkan bilik ketika masa menyusu telah tiba, ambil masa privasi anda kerana ia penting untuk memastikan kelangsungan produksi susu ibu.

Seks Selepas Bersalin

Ramai di kalangan wanita lepas bersalin berasa gentar untuk mengadakan hubungan seks bersama suami. Malah, ada di antaranya berasa terganggu dengan kehadiran bayi mereka.
Kehangatan hubungan seks selama ini tidak lagi seperti selalu. Suami pula merungut kerana mereka tidak dilayan dengan sewajarnya lagi.

Biasanya doktor pakar berpendapat bahawa hubungan seks boleh dilakukan seperti sedia kala sebaik sahaja kesan luka ketika bersalin telah sembuh dan kedua-duanya menginginkan hubungan seks.

Tetapi ada kalangan wanita berasa sakit terutama di bahagian faraj ketika hubungan seks mula dilakukan kembali. Hal ini menyebabkan hubungan seks terganggu.

Keadaan ini terjadi disebabkan bekas jahitan episiotomi masih lagi belum sembuh. Jahitan memerlukan masa untuk sembuh seperti biasa sekurang-kurangnya selama dua minggu.

Selain itu, jika penurunan paras hormon berlaku terutama kekurangan estrogen, menyebabkan kekurangan rembesan daripada faraj. Ekoran dari itu, kelembapan faraj berkurangan dan hubungan seks dalam keadaan kurang selesa.

Lepas pantang
Keletihan, sakit dan kurang bernafsu membuatkan wanita kurang bersemangat untuk melakukan hubungan seks. Rasa simpati daripada suami amatlah perlu ketika ini. Layanan dan luahan kasih sayang amat penting.

Semasa tempoh ini, pasangan tersebut perlu berbual-bual dan memberi tahu tentang perasaan dan keperluan masing-masing iaitu berkomunikasi dengan cara yang cukup lembut.

Ketika inilah anda perlu memberi layanan istimewa untuk mengukuhkan perhubungan suami dan isteri. Jika berlaku sebaliknya, suami boleh terasa seperti diabaikan.

Untuk menambah kasih sayang, suami isteri haruslah berkongsi menjaga anak. Dengan cara ini ia akan mengukuhkan lagi ikatan di antara mereka.

Malah, ramai di kalangan suami mula memainkan peranan terutama dalam menjaga anak. Kehadiran cahaya mata tidak harus mengabaikan hubungan seks. Sebaliknya, anda perlu mengeratkan lagi hubungan seperti di awal berumah tangga dulu.

Demam Sawan

Anda perlu tahu bagaimana demam yang melebihi 40° celcius boleh menyebabkan anak terkena demam sawan atau febrile fits. Maklumat ini untuk membantu anda sekiranya menghadapi situasi anak terkena demam sawan.

APA ITU DEMAM SAWAN
Secara definisinya ialah sawan yang belaku akibat demam. Ia boleh terjadi kepada kanak-kanak di dalam lingkungan usia 3 bulan sehingga 6 tahun. Ia juga dikenali sebagai sawan tarik yang mudah berlaku jika suhu badan naik melebihi 40°C dalam tempoh hanya satu atau dua hari selepas demam bermula. Kanak-kanak yang pernah mengalami sawan demam ini juga berisiko mengalami masalah serupa kelak. Namun, sawan ini akan hilang dengan peningkatan usia berikutan sawan demam tidak berlaku di kalangan orang dewasa. Sawan akibat demam boleh menyebabkan otak terencat atau kematian akibat kekurangan bekalan oksigen ke otak jika dibiarkan berpanjangan (dikatakan tempoh lebih 30 minit).

Ciri-ciri
Sawan adalah keadaan di mana kanak-kanak tidak sedarkan diri dan biasanya diikuti oleh kekejangan atau penyentakan kaki dan tangan, mulut berbuih, mata hitam akan memandang ke atas dan pada tahap tertentu boleh termuntah, terkencing atau terbuang air besar.

Punca
Ia selalunya berpunca daripada sebarang penyakit bersama demam yang tinggi seperti batuk, selsema, jangkitan bahagian atas salur pernafasan, jangkitan telinga (penyakit otitis media) atau jangkitan kuman virus. Pada amnya, jangkitan ini adalah ringan dan tidak berpunca daripada jangkitan selaput otak (meningitis). Sawan ini bukan penyakit keturunan. Namun ada segelintir mengalami sawan tarik kerana mempunyai anggota keluarga yang mengalami sawan tarik.

Rawatan Lanjut
Untuk mendapat pemeriksaan lanjutan bagi memastikan bahawa anak anda tidak menghidap meningitis atau jangkitan selaput otak. Ini adalah kerana 17% kes demam sawan adalah positif untuk meningitis dan perlu diingatkan ia boleh membawa maut dan menyebabkan kecacatan kekal otak, tubuh dan lumpuh.

TINDAKAN ANDA BILA BERLAKU DEMAM SAWAN
Elakkan sawan berlaku Lap badan dengan kain basah yang menggnunakan air paip untuk menurunkan suhu badannya yang panas itu. Juga beri anak minum ubat secara konsisten seperti sirap paracetamol mengikut sukatan yang betul. Boleh juga memberi satu suppository voren 12.5mg (anak kecil) atau 25 mg (3 tahun ke atas) ke dalam punggung untuk mengurangkan demam mengikut nasihat doktor. Juga pakaikan pakaian yang nipis dan awasi selalu anak jika ia tidur di dalam buaian (udara panas terperap ketika di dalamnya). Pastikan bilik tidak terlalu panas dan sentiasa monitor suhu badan anak walaupun anda terpaksa berjaya malam!

Ketika Sawan
Jangan Panik! Tetapi bertindak pantas! Ingat jangan biarkan sawan ini berlaku lebih daripada 1 atau 3 minit sehingga 5 minit. Pantas baringkan anak anda mengiring ke kiri. Ia untuk mengelak muntah atau lendir masuk ke dalam paru-paru. Segera melonggarkan segala pakaiannya. Ada juga pendapat mengatakan langkah pertama segera masuk bilik air dan basahkan seluruh badannya untuk menurunkan suhu badan yang mendadak tinggi dan apabila anak kecil sudah sedar dari kejang dan mula menangis, segera lap badannya (berdoalah ketika ini pada tuhan supaya anak anda selamat).

Jangan beri minum air atau ubat ketika anak sawan. Juga jangan ambil sudu atau bahan-bahan keras dan meletakkannya di dalam mulut. Ini boleh menyebabkan luka yang teruk di dalam mulut. Ia juga boleh menyebabkan tercekik objek asing sekiranya patah. Jangan cuba sedarkan anak anda dengan menampar, menggoncang atau mengurut badannya.Usah cuba mengawal pergerakan anak sewaktu dia sawan kerana ini boleh mencederakan otot atau tulangnya. Pada masa yang sama cuba lihat jam pukul berapa ia berlaku dan pukul berapa ia tamat. Ini adalah kerana doktor perlu tahu berapa lama sawan itu berlaku. Kemudian segera bawa ke klinik untuk pemeriksaan doktor untuk memastikan tiada jangkitan di otak atau lain-lain penyakit untuk mencari dan merawat penyebab demam.

TIP MUDAH
1. Tanggalkan pakaian anak.
2. Baringkan mengiring untuk mengelak bendalir atau air liur memasuki peparu.
3. Mandikan dengan air paip untuk menurunkan suhu badannya dan jangan letakkan objek keras di dalam mulutnya.
4. Jangan biarkan sawan berlaku 3 hingga 5 minit. Segera bertindak!
5. Apabila anak sudah kembali sedar, segera bawa ke klinik untuk kecemasan ini.

Gigi Pertama

Melihat gigi pertama bayi merupakan saat yang menggembirakan. Namun untuk menjaga giginya itu perlu dilakukan sejak kecil lagi. Percaya atau tidak, itulah hakikat yang mesti anda akui bahawa gigi mula terbentuk sejak bayi berusia beberapa bulan.

Kebanyakan bayi mulai tumbuh gigi sekitar usia enam bulan. Malah ada juga sesetengah bayi mulai tumbuh gigi pada usia 4 bulan dan ada juga yang tumbuh gigi pertama selepas berumur 1 tahun. Manakala dalam sesetengah kes, ada bayi yang dilahirkan sudah mempunyai gigi. Ia dikenali sebagai gigi neonatal. Gigi ini telah tumbuh dan hadir dalam mulut bayi semasa bayi dilahirkan. Ia amat jarang berlaku.

Reaksi
Apabila gigi susu tumbuh, jangan hairan jika anak anda menunjukkan perubahan sikap. Antara perubahan sikap atau reaksi yang biasa ialah :

Kegatalan gusi
Ini boleh dikurangkan dengan memberi teether atau tuala sejuk untuk digigit agar bayi lebih selesa.

Gusi sakit
Ini boleh dilihat dengan gusi kelihatan berwarna merah dan terasa panas. Bayi juga mungkin banyak merengek dan menangis kerana tidak selesa.

Demam
Ada juga bayi yang mungkin demam setiap kali tumbuh gigi. Ini boleh diatasi dengan memberikan bayi ubat tahan sakit seperti paracetamol. Namun pastikan dos yang diberi betul dan tidak melebihi had maksimum dalam sehari.

Kurang makan
Selera makan bayi juga akan kurang. Jika bayi tidak mahu makan, pastikan dia mendapat cukup cecair. Berikan lebih susu dan air.

Atasi masalah ketika tumbuh gigi
1.Cuba memberinya sesuatu yang keras untuk di kunyah, seperti kepingan keju atau lobak merah atau gegelang gigi pertama yang sejuk. Jangan tinggalkan anak anda seorang diri ketika dia sedang mengunyah bedan keras, dikhuatiri jika ia tercekik.

2.Jika gusi bayi merah dan bengkak, urut lembut dengan jari anda atau ketulan kecil ais (tapi awas, bayi boleh mendapat frost bite). Cuba gunakan sedikit gel theeting bebas gula.

3.Jika si manja kelihatan sakit ketika tumbuh gigi, cecair paracetamol boleh membantu. Berikan mengikut nasihat doktor. Jangan berikan aspirin untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

4.Dakap dan tenangkannya. Dukung dan bawanya berjalan-jalan atau bersiar-siar dengan kereta.

5. Sekali sekala bawa dia mengunjungi doktor gigi. Doktor gigi akan memberikan nasihat yang betul bagaimana untuk menjaga gigi pertama.

Penjagaan gigi dengan berus gigi yang lembut
Setelah gigi tumbuh, gigi perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Gunakan tuala basah yang lembut untuk membersihkan gigi. Terdapat juga berus gigi bayi yang lembut di pasaran. Bayi yang kecil tidak tahu meludah jadi penggunaan ubat gigi tidak perlu untuk bayi pada umur begini.

Masalah gigi
Menyentuh masalah pergigian yang serius boleh dialami oleh kanak-kanak ialah karies rampan (rampant caries). Keadaan ini adalah di mana gigi kanak-kanak menjadi reput dan hancur dan akhirnya tinggal tunggul-tunggul sahaja. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak sentiasa sakit gigi akibat infeksi dari gigi dan gusi. Ia diakibatkan oleh kehadiran gula dari susu, susu formula dan jus yang sentiasa bertakung dalam mulut bayi untuk masa yang lama.

Juga berlaku apabila bayi tidur dengan botol susu dalam mulut semalaman atau penggunaan botol susu untuk jangka masa yang lama sepanjang hari. Tindak balas bakteria dalam mulut terhadap gula ini akan menyebabkan kerosakan gigi berlaku

Jika merujuk kepada masalah nursing bottle caries ini lebih ketara selepas bayi berusia tahun. Jadi langkah-langkah pencegahan mesti diambil awal iaitu sejurus selepas gigi tumbuh.

Sementara itu amalan pemakanan sihat perlu diamalkan. Berikan makanan yang seimbang. Lebihkan pemberian buah-buahan dan sayur-sayuran untuk pembentukan tulang, gigi dan kulit yang sihat. Elakkan dari memberikan bayi sebarang makanan yang manis pada umur semuda ini. Jangan lupa bahawa bayi dan kanak-kanak gemar meniru gelagat ibu bapa. Jadikan proses pembersihan gigi satu aktiviti yang dibuat bersama.

Puting Sakit

Soalan:

SAYA ibu yang menyusu bayi pertama berusia sebulan. Seringkali puting saya sakit ketika menyusukan bayi, tambahan pula bayi saya baru tumbuh gigi, kini sukar untuk saya menyusukan bayi dengan selesa. Adakah ia perkara biasa? dan bagaimanakah cara untuk mengurangkan rasa sakit tersebut?

* SJ-Johor

Jawapan:

Sebagai seorang wanita yang bergelar ibu, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kepada Puan SJ kerana berusaha menjadi seorang ibu yang berjaya dalam penyusuan. Susu ibu adalah hak setiap anak yang perlu ditunaikan oleh seseorang ibu. Kejayaan seseorang ibu menyusui anaknya sehingga berusia sekurang-kurangnya dua tahun akan menjadikan anda seorang ibu yang cukup sempurna.

Menyusui bayi adalah satu tuntutan yang amat digalakkan oleh setiap agama dan kepercayaan. Penyusuan susu ibu adalah tuntutan yang diutamakan dalam agama Islam. Terdapat banyak ayat Al-quran yang menyebut tentang kepentingan menyusui anak, sama ada oleh ibu yang melahirkan anak ataupun ibu susuan. Seruan untuk menyusui anak telah disebut melalui firman Allah di dalam Al-quran melalu surah Al-Baqarah ayat ke 233 yang bermaksud: "Ibu-ibu hendaklah menyusui selama dua tahun genap bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan".

Menyusui bayi dengan susu ibu bukanlah sesuatu yang payah, ia juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Pengetahuan tentang penyusuan akan membantu meningkatkan keyakinan ibu dan seterusnya mendorong ibu untuk mengatasi dugaan dan rintangan seperti mana yang sedang puan hadapi.

Terdapat ibu yang mencerai susu ketika mereka rasa bayi mereka akan mula tumbuh gigi, tetapi menyusu badan pada peringkat ini adalah suatu yang normal dan semula jadi. Keperluan nutrisi bayi dipenuhi terutamanya dengan susu untuk sekurang-kurangnya tahun pertama. Ramai bayi yang diberi susu badan akan ada gigi dan kebanyakan tidak akan menggigit ibu mereka.

kesakitan

Tetapi jika pada kali pertama dia menggigit, iaitu jika bayi anda tergigit payu dara anda, barangkali anda akan menjerit kesakitan. Reaksi anda yang kuat itu mungkin akan memeranjatkan bayi anda sehingga dia tidak berani mengulanginya. Sesetengah bayi boleh menjadi begitu terkejut atau takut akibat reaksi kuat sehingga mereka menolak penyusuan badan.

Jika gigitan berterusan, anda masih tidak perlu mencerai susu bayi anda kecuali jika anda mahu. Mengetahui apa yang menyebabkan dia menggigit dan cuba memuaskan keperluan bayi anda untuk menggigit menggunakan cara lain boleh menyelesaikan masalah ini dengan cepat.

Kebanyakan ibu mendapati penyusuan badan tetap pengalaman yang baik apabila mereka dapat hentikan kejadian menggigit ini. Sebab-sebab lain mengapa bayi anda menggigit adalah ketika tertidur, sesetengah bayi menggigit pada penghujung penyusuan apabila mereka terlelap.

Oleh itu, perhatikan pemerlahanan dan pelemahan pergerakan rahangnya dan alihkan bayi anda sebelum dia terlena. Justeru itu, jika bayi anda kelihatan seperti hampir hendak menggigit, masukkan jari kelengkeng anda ke dalam sudut mulut di antara gusinya. Dia patut menggigit jari anda dan bukan puting anda. Jangan tariknya sementara dia sedang menggigit - anda hanya akan mencederakan diri. Perhatikan penegangan rahangnya sebelum dia menggigit dan cepat-cepat alihkannya. Anda mungkin perlu singkatkan waktu menyusu secara am sehingga fasa ini berakhir.

Cara-cara lain untuk menghentikan bayi yang menggigit adalah dengan mengatakan "tidak" dengan tegas, merenung ke dalam matanya dengan marah dan hentikan penyusuan.

menggigit

Dia perlu mengaitkan menggigit dengan kehilangan puting - kebanyakan bayi tidak suka dengan perpisahan ini. Jika dia teruskan juga, letakkannya di atas lantai untuk seketika sebaik saja dia menggigit.

Untuk kanak-kanak yang boleh berjalan dan suka menggigit, lakukan sesuatu yang baik apabila dia tidak menggigit.

Berikannya banyak pelukan, ciuman dan pujian. Jika anda rasa dia inginkan perhatian, berikan perhatian sepenuhnya semasa penyusuan. Belajar menyedari bila dia sudah hampir selesai. Anda juga jangan menyusukannya kecuali dia betul-betul lapar. Hentikan penyusuan jika dia mula terlelap. Berikannya gegelang gigit sebelum dan atau selepas penyusuan.


*Sumber : Utusan Malaysia