Archive for September 2011
Latest Updates

Risiko Tersedak Susu

Kecuaian ibubapa, pengasuh tak endah teknik penyusuan botol punca tragedi.

Kes Maut Mangsa Tersedak Susu
  • Kes 1 - Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia selepas dipercayai tersedak susu, ketika berada di pusat jagaan kanak-kanak di Taman Impian Emas, Johor bahru, Mei lalu.
  • Kes 2 - Bayi perempuan sembilan bulan, Noramirah Shahrulnizam, mati akibat tersedak susu ketika dalam jagaan pusat asuhan di Putrajaya, 20 September lalu.
  • Kes 3 - Bayi berusia tiga bulan, Farisha Nur Hazreen Mohd Fairuz, maut akibat tersedak susu di pusat asuhan lain di Putrajaya, 21 September.
Tiga kes membabitkan mangsa berlainan tetapi berkongsi punca sama - kematian akibat tesedak susu. Kejadian itu sudah pasti membimbangkan ramai ibubapa, khususnya yang terpaksa bergantung harap kepada perkhidmatan pusat jagaan kanak-kanak.

Ibubapa mana yang dapat menerima berita buruk apabila permata hati yang baru mengenali dunia, hilang sekelip mata. Lebih dikesali, kematian insan tersayang akibat punca yang sememangnya boleh dielakkan andai semua pihak, khususnya yang menjaga bayi berkenaan, lebih bertanggungjawab menjaga bayi itu.

Namum, perlu diingat kejadian seumpama itu tidak hanya membabitkan pusat jagaan, sebaliknya boleh berlaku di mana-mana. Apalagi ia membabitkan risiko ketika memberi susu botol kepada si kecil berkenaan.

Persoalannya, bagaimanakah kejadian tersedak susu itu boleh berlaku? Bayi sememangnya berisiko untuk tersedak ketika menyusu terutama jika berusia di bawah setahun. Semakin kecil usia mereka, semakin tinggi riiko untuk tersedak ketika menyusu. Dua fakta yang utama, sistem pertahanan tubuh yang belum matang dan kecuaian ibubapa atau pengasuh mengenai keselamatan anak-anak menyumbang kepada kejadian tersedak susu ini.

Walaupun ia bukan kes yang terlalu kerap dilaporkan tetapi kecuaian boleh menyebabkan ia terjadi. Setiap bayi sememangnya berisiko untuk mengalami masalah ini. Selain itu, bayi juga tidak hanya berisiko tersedak susu tetapi juga pelbagai jenis makanan lain. Ini seperti kekacang, ketulan daging atau ikan yang dipotong dalam saiz besar atau disediakan dengan tidak sempurna seperti tidak dihancurkan sebaiknya hingga menyukarkan mereka untuk menelan.

Berbanding orang dewasa, sistem pertahanan tubuh bayi juga belum terbentuk dengan sempurna. Dan bagi kes tersedak susu, ia membabitkan pembentukan 'cough reflex' yang belum cukup matang. "Cough reflex' merujuk komponenan sensori dan motor, iaitu sebahagian daripada mekanisme pertahanan badan yang sangat penting. Sistem pertahanan tubuh ini memungkinkan reseptor batuk dalam epithelium di laluan pernafasan sangat sensitif pada stimulasi mekanikal ataupun kimia.

Stimulasi pada reseptor batuk bertindak mengeluarkan bahan asing daripada sistem pernafasan sebelum ia sampai ke paru-paru. Keadaan itu menyebabkan bayi sukar untuk mengeluarkan bahan asing atau yang tidak dikehendaki, termasuklah cecair seperti susu daripada tekak. Otot mereka masih kecil untuk bertindak sedemikian.

Sehubungan itu, tiada cara yang lebih berkesan bagi mengelakan permasalahan atau risiko itu kecuali ibubapa atau pengasuh bersikap lebih prihatin dalam penjagaan bayi. Jangan sesekali tinggalkan mereka sendirian ketika menyusu. Walaupun anda berada di sebelah bayi itu sekalipun, jangan biarkan mereka menyusu dengan bertindak menjadikan bantal sebagai bahan penyendal atau penahan botol susu.

Sebaliknya, cara terbaik adalah memegang botol susu itu. Pada masa sama, pantau sesi penyusuan itu. Ibubapa juga perlu prihatin aspek pemilihan puting botol susu yang digunakan. Lubang puting yang besar menyebabkan susu mengalir terlalu laju yang memudahkan mereka tersedak.

Begitu juga ketika memberi mereka makan, ibubapa atau pengasuh perlu peka untuk melihat keupayaan anak sama ada si kecil itu sudah berupaya mengunyah makanan dengan baik atau sebaliknya. Tidak semua makanan mesti dihancurkan sebelum disuap kepada anak. Sebaliknya, potong makanan dalam saiz kecil yang bersesuaian dengan keupayaan anak untuk mengunyah atau menelan.


Info - Cara Betul Teknik Menyusu Bayi
  • Ini bergantung pada cita rasa dan pilihan anda. Anda boleh menyusu sambil duduk, berbaring atau serong sebelah.
  • Tentukan kedudukan anda betul. Bermakna cara anda duduk atau baring, memegang bayi dan bagaimana bayi menyesuaikan mulutnya apabila menyusu.
  • Bayi perlu diampu dengan baik. Anda boleh duduk bersandar di atas katil dengan kepala bayi di atas lengan atau duduk bersandar di kerusi.
  • Jangan bersandar terlalu jauh daripada bayi sehingga susah ia mencapai puting payudara anda. Jangan terlalu membongkok sehingga terlalu rapat dengan bayi.
  • Gunakan sesuatu seperti bantal, kusyen atau bahan yang lembut tapi kukuh untuk bersandar atau merehatkan kaki agar dapat menyokong anda dan bayi.
Perkara Yang Perlu Dielak
  • Jangan sekali-kali tinggalkan bayi sendirian ketika menyusu.
  • Jangan jadikan bantal atau kusyen sebagai penahan atau penyendal botol susu yang diberi kepada si kecil, sebaliknya pegang botol susu itu.
  • Pantau sesi penyusuan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
  • Jangan pandang remeh pembelian puting susu. Sebaliknya, peka kepada aspek lubang puting itu kerana lubang besar juga berisiko menyebabkan bayi tersedak susu.

Alahan Jerebu Pada Kanak-Kanak

Apabila dikaitkan dengan pencemaran udara dan jerebu, dua masalah kesihatan iaitu pernafasan dan alahan kulit memang sukar dielak.

Bagi orang dewasa yang mempunyai daya ketahanan badan atau imuniti lebih tinggi, sistem mekanisme badannya mungkin boleh menangkis penyakit bawaan jerebu itu. Namun tidak bagi kanak-kanak.

Sebab itu bukan sesuatu yang menghairankan jika klinik, hospital kerajaan dan swasta menerima banyak kes di kalangan kanak-kanak berkaitan dua masalah tersebut.

Pakar kanak-kanak dari Pusat Perubatan Taman Desa, Dr. Eric Lee Kim Hor berkata, memang banyak kes berkaitan masalah alahan dan pernafasan dilaporkan di kalangan kanak-kanak yang dimasukan ke wad kecemasan akibat pernafasan dan batuk setiap kali berlakunya jerebu.

Malah ketika negara dilanda jerebu paling teruk sekitar tahun 1997 dulu jumlah kes berkaitan alahan pernafasan dan kulit telah meningkat lebih kurang 20 peratus.

Ini kerana kedua-dua masalah tersebut amat sensitif dengan perubahan kualiti udara persekitaran mereka.

"Secara umum alahan sebenarnya satu subjek yang besar, umpama satu segi tiga yang ada dalamnya ialah asma, alergi rhinitis (sinus) dan ekzema.

"Penyebabnya adalah satu saja iaitu Ige sejenis imuniti yang ada dalam badan manusia.

"Biasanya bagi kes alahan, satu hingga tiga bayi yang baru dilahirkan akan mengalaminya. Ia mungkin akan lebih buruk kepada bayi yang tidak menyusu badan kerana sistem imuniti badan yang rendah," jelasnya yang ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Menurut Dr. Eric, ibu bapa perlu dari semasa ke semasa memantau keadaan anak mereka apatah lagi dalam keadaan udara yang tercemar seperti jerebu.

Anak-anak perlu dibawa berjumpa doktor untuk mengenal pasti sama ada mereka mempunyai penyakit asma atau ekzema dan resdung kerana tiga penyakit itu amat berkaitan.

"Jika dilihat, alahan yang berlaku pada kanak-kanak sebenarnya bersifat sementara. Memang banyak kes alahan di kalangan kanak-kanak yang pulih dalam masa dua hingga tiga bulan sahaja.

"Mungkin yang akan kekal ialah resdung sahaja. Dalam kes yang teruk mungkin alahan akan bertukar kepada lelah," katanya.

Dr. Eric mengingatkan bahawa ibu bapa perlu peka dengan keadaan anak, kerana lelah dan batuk adalah dua perkara yang berbeza.

"Salah satu cara untuk mengenal pasti sama ada anak lelah atau tidak ialah dengan mendengar pernafasan mereka iaitu pernafasan mereka berbunyi.

"Katakan jika sudah diberi ubat pun masih batuk, mungkin anak anda sudah dijangkiti virus. Biasanya apabila anak mencecah umur tiga tahun imunisasi mereka akan meningkat dan sekali gus mengurangkan risiko untuk terkena penyakit tersebut dengan lebih kerap lagi," ujarnya.

Bagi masalah ekzema pula, kata Dr. Eric, alahan itu tidak boleh dipulihkan namun boleh dikawal.

Kawalannya pula bergantung kepada apa yang menjadi penyebab masalah tersebut.

"Jika rumah, maka kena pastikan semuanya bersih supaya anak tidak mendapat serangan kegatalan kulit yang kronik

"Memang ruam adalah satu perkara yang biasa, bintik-bintik merah di muka, namun bila bayi tidak menyusu badan, agak susah untuk sistem imunitinya sendiri bertindak, jadi ibu bapa perlu prihatin dengan memberikan susu yang sesuai yang bersifat hipo allergenic ataupun susu soya," jelasnya.

Justeru, ibu dan bapa perlu sedar bahawa bayi baru lahir mempunyai sistem imunisasi yang rendah, jadi setiap kelainan pada bayi perlu diberi perhatian," jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Latihan Memerah Susu Ibu

Diingatkan kepada semua ibu-ibu yang bekerja dan ingin memulakan pemberian perahan susu ibu kepada bayi, hendaklah dimulakan dalam tempoh 14 hari SEBELUM BEKERJA.

Jadual Latihan Pemberian Perahan Susu Ibu Perahan kepada Bayi:


Hari 1 - 3


Waktu Penyusuan :
a) Sarapan Pagi (07.30 - 09.30am)

1. Beri Susu Ibu Perahan
2. Perah dan Simpan Susu


Hari 4 - 6

Waktu Penyusuan :
a) Sarapan Pagi (07.30 - 09.30am)
b) Pertengahan Pagi (10.30 - 11.30am)

1. Beri Susu Ibu Perahan
2. Perah dan Simpan Susu


Hari 7 - 9

Waktu Penyusuan :
a) Sarapan Pagi (07.30 - 09.30am)
b) Pertengahan Pagi (10.30 - 11.30am)
c) Makan Tengahari (01.30 - 02.30pm)

1. Beri Susu Ibu Perahan
2. Perah dan Simpan Susu


Hari 10 - 12

Waktu Penyusuan :
a) Sarapan Pagi (07.30 - 09.30am)
b) Pertengahan Pagi (10.30 - 11.30am)
c) Makan Tengahari (01.30 - 02.30pm)
d) Makan Petang (04.30 - 06.30pm)

1. Beri Susu Ibu Perahan
2. Perah dan Simpan Susu


Nota: Pastikan ibu terus menyusukan bayi sebaik sahaja berada bersama bayi dan sepanjang malam. Kepada yang ada masalah dalam penyusuan bayi.......tak faham jadual di atas, alami bengkak susu, atau ape-ape je ......... bolehlah menghubungi Kak Engku.....hehehe

Penyusuan Badan : Baik Untuk Ibu Dan Bayi

Semua insan bersetuju yang penyusuan susu badan pada bayi adalah makanan permulaan terbaik dan juga merupakan detik-detik intim di antara ibu dan anak. Selain daripada jalinan perhubungan, susu badan juga mempunyai zat-zat pemakanan mencukupi serta sesuai untuk bayi. Susu badan juga dapat melindungi anak daripada penyakit-penyakit tertentu. Penyusuan badan bayi adalah satu anugerah terbaik yang mengeratkan lagi kasih sayang dan juga menjana kesihatan yang baik untuk bayi dan juga ibu. Penyusuan ini adalah sifat semulajadi, kemahiran meningkat dengan amalan praktis berterusan.

Kebaikan susu ibu

Tidak perlu dinafikan yang susu badan adalah yang terbaik untuk bayi. Ianya mengandungi nutrisi yang optimum untuk tumbesaran bayi, dari segi perkembangan minda dan juga fizikal badan. Ia juga mengandungi zat-zat pertahanan badan bagi melindungi kelemahan pertahanan badan untuk peringkat awal kehidupan.

Kebaikan susu badan pada ibu

Penyusuan juga memanfaatkan ibu yang menyusu. Di antara faedah yang diterima adalah seperti:

1. Kesesuaian, susu telah sedia ada, tanpa dibeli, tanpa penyediaan dan sudah pun berada pada suhu yang sesuai untuk bayi.

2. Apabila bayi menyusu, rembesan hormon oksitosin dikeluarkan, menyebabkan berlakunya kontraksi seperti mana dialami selepas sahaja bersalin (rengat), ini mencepatkan lagi pengembalian rahim ke saiz dan bentuk asal sebelum mengandung. Pendarahan juga menjadi sedikit dan pendek tempohnya.

3. Penyusuan turut mengurangkan risiko kerapuhan tulang dan juga sesetengah kanser.

4. Perlu diingatkan yang berat badan ibu akan bertambah dibandingkan dengan sebelum bersalin. Jadi aktiviti penyusuan dapat membantu mengurangkan berat badan dengan membakar lebih kalori.

5. Tidak perlu berbelanja lebih dengan membeli susu formula.

6. Menjalinkan hubungan yang istimewa di antara ibu dan bayi.

Semasa mengandung, mungkin sedikit kolustrum akan dikeluarkan dari puting payudara ibu. Sebaik sahaja kelahiran, badan memberikan isyarat supaya payudara membina dan membuat susu, kemudiannya susu ini akan menggantikan kolustrum. Amat penting supaya anak menghisap puting payudara kerana ini akan mengisyaratkan pada otak ibu supaya mengeluarkan hormon-hormon tertentu untuk susu dikeluarkan dan seterusnya pengeluaran susu dari puting.

Payudara ibu akan membengkak, rasa berat dan sensitif pada sentuhan, mungkin juga sakit sehinggalah susu dihisap oleh bayi. Susu bukan lagi kolustrum, yang keluar pada mula-mulanya mengandungi lebih air dan manis rasanya, ini memberikan kepuasan dari kehausan dan juga tenaga dari gula, protein serta mineral. Kemudiannya susu menjadi lebih berkrim dan pekat. Semua ini sesuai untuk tumbesaran bayi.

Permulaan penyusuan badan

Mungkin anda beranggapan yang penyusuan badan akan datang secara semulajadi, tanpa memerlukan tunjuk ajar dan sokongan. Sebenarnya tidaklah sebegitu, sebab itulah ramai ibu yang mengabaikan penyusuan badan atas pelbagai sebab yang boleh menjejaskan kesihatan bayi yang sensitif. Sebenarnya amalan penyusuan ini mengajar kesabaran, pada ibu dan juga pada bayi yang mungkin pada awalnya menunjukkan kegelojohan.

Sebaiknya semasa lawatan antenatal, maklumkan kepada doktor yang anda ingin mengamalkan penyusuan badan sepenuhnya. Doktor akan memeriksa payudara dan juga puting supaya tidak ada keabnormalan. Doktor juga akan menjawab segala kemusykilan anda.

Semasa proses bersalin di bilik bersalin, sebagai contohnya di Hospital USM, jururawat-jururawat akan meletakkan bayi bersama ibu di bahagian dada untuk penyusuan badan kerana pada peringkat ini bayi telah pun bersedia untuk menghisap susu dan juga ianya masih segar dan tegar. Sekiranya tidak dilakukan sedemikian, bayi anda mungkin akan tidur.

Pemakanan harian ibu menyusu

Secara fisiologi, semasa mengandung badan ibu akan menyimpan zat-zat dan lemak tambahan, sebagai persediaan untuk aktiviti penyusuan badan. Selepas kelahiran, badan ibu memerlukan lebih air, tenaga serat zat untuk penyediaan serta pengeluaran susu.

Semasa penyusuan:

* Pemakanan ibu perlulah seimbang. Tambahan 500 kalori sehari diperlukan, maknanya kalori keperluan sehari sekarang menjadi 2,500 kalori berbanding 2,000 kalori pada kebiasaannya.

* Vitamin tambahan juga diperlukan, pastikan zat kalsium sebanyak satu gram diambil setiap hari.

* Perhatikan bayi anda dari segi kesedaran dan juga najisnya, sekiranya bayi tiba-tiba menjadi tidak selesa dan juga kelainan pada najis, mungkin minuman ataupun makanan yang anda ambil menyebabkan alahan pada bayi.

* Banyakkan meminum air, sekurang-kurangnya lapan gelas setiap hari.

* Memastikan bayi mendapat susu yang mencukupi

* Berat badan bayi bertambah, selepas minggu pertama, berat akan mula meningkat.

* Pertukaran lampin pakai buang sekurang-kurangnya enam kali sehari, air kencing jernih. Pada bulan pertama kehidupan, pembuangan air besar sekurang-kurangnya tiga kali setiap hari. Najis sepatutnya lembut dan kekuningan.

* Payudara ibu sebelum penyusuan bengkak dan tidak selesa.

* Bayi menjadi lebih senyap dan mengantuk selepas penyusuan.

* Kekerapan penyusuan antara lapan hingga 12 kali setiap hari, iaitu setiap dua jam, selama 10 hingga 15 minit pada setiap payudara.

Kembali bekerja

Kalau boleh, pastikan bayi anda mendapat penyusuan dada sepanjang enam bulan per tama tanpa gangguan. Penyusuan tidak semestinya melalui hubungan fizikal payudara dan bayi, anda juga boleh mengamalkan perahan susu, sama ada dengan menggunakan tangan dan juga pam. Susu ini disimpan, kemudian dihangatkan untuk penggunaan selanjutnya. Mungkin di tempat kerja anda, ada bilik untuk perahan susu dilakukan.

Penyimpanan susu

Di dalam peti sejuk, gunakan susu yang disimpan dalam masa dua hari.

Sekiranya dibekukan, gunakan susu tersebut dalam masa tiga bulan.

Sekiranya susu tersebut telah dihangatkan dan disimpan kembali ke dalam peti sejuk, gunakan dalam masa 24 jam.

Untuk menghangatkan susu perahan, rendamkan botol tersebut di dalam air panas, jangan gunakan kaedah ‘microwave’ dan juga ‘merebus’ kerana ini akan menghancurkan zat-zat pertahanan dan imuniti yang diperlukan bayi. Awas juga suhu panas boleh mencederakan bayi.

* Kesihatan payudara ibu menyusu

Anda mungkin akan mengalami permasalahan pada payudara, seperti:

Pembengkakan.

* Kesakitan pada puting kerana cengkaman mulut bayi pada puting yang mungkin menyebabkan berlakunya luka.

* Puting tersumbat, jadi pengaliran susu terbantut.

* Keradangan payudara akibat daripada jangkitan bakteria pada kelenjar susu.

Segeralah berjumpa dengan doktor sekiranya anda mengalami petanda-petanda berikut:

* Demam

* Kemerahan pada payudara

* Pembengkakan setempat dan bukannya menyeluruh pada payudara.

* Kelainan pada kulit

* Pendarahan

* Kesakitan

Penjagaan kesihatan payudara boleh mengekalkan amalan penyusuan badan. Di antara tip-tip yang dinasihatkan:

* Gunakan teknik penyusuan yang betul.

* Gunakan jari untuk memberhentikan cengkaman vakum hisapan sebelum mengalihkan ke payudara bersebelahan.

* Cuci payudara selepas penyusuan, pastikan ianya kering dan bersih.

* Gunakan coli yang boleh menyokong saiz payudara yang menjadi lebih besar, gunakan coli yang berlapikkan kapas, tukar dengan segera sekiranya pelapik menjadi basah.

* Lembutkan puting payudara dengan krim pelembut seperti cocoabutter, lanolin, olive oil dan sebagainya.

* Jangan gunakan sabun ataupun krim pewangi untuk membasuh puting.

* Gunakan payudara yang satu lagi sekiranya payudara menjadi tidak selesa dan sakit.

* Perancangan keluarga (kontraseptif)

Anda juga harus memikirkan kaedah perancangan keluarga sebelum berfikir untuk melakukan hubungan kelamin. Penyusuan badan dapat mengurangkan kebarangkalian mengandung tetapi bukannya 100 peratus, ada yang tidak datang haid semasa penyusuan tiba-tiba didapati mengandung.

Sebagai panduan, sekiranya mengamalkan penyusuan badan sepenuhnya (termasuklah penggunaan botol melalui perahan susu badan), tanpa menggunakan punca susu luar, perlindungan secara pasti selama tiga bulan sahaja selepas kelahiran. Tetapi, sekiranya penyusuan badan ditambah dengan susu punca luar, perlindungan hanya pasti untuk pada tempoh tiga minggu sahaja.

Kaedah kontraseptif yang tidak menggunakan hormon adalah yang terbaik kerana tidak mengganggu penghasilan susu badan. Sebagai contoh, kondom dan juga alat dalam rahim (IUCD). Sekiranya kaedah hormon yang digunakan, pada bulan-bulan awalnya, hanya hormon progesteron sahaja yang digunakan sebab ianya tidak mengganggu pengeluaran susu.

Pil perancang yang mengandungi estrogen tidak digalakkan sebab estrogen membantutkan pengeluaran susu. Ianya boleh digunakan sekiranya jumlah dan pengaliran susu menjadi stabil dan berlebihan.

Panduan Penjagaan Bayi Jaundis

BAYI yang baru lahir berisiko menghidap demam kuning atau dikenali sebagai jaundis, sama ada bersifat normal atau patologi.

Lebih kurang 50 ke 60 peratus bayi yang lahir cukup bulan mengalami jaundis pada minggu pertama hingga ke minggu kedua selepas dilahirkan.

Jaundis juga biasanya berlaku kepada bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan.

Pada sesetengah bayi, ia berlaku hanya sekejap, tidak merbahaya dan akan hilang sendiri atau dengan rawatan yang ringkas. Tetapi dalam kes-kes tertentu, ia boleh menjadi serius dan perlu diberi perhatian.

Jaundis boleh dikesan dengan melihat tanda-tanda seperti bahagian putih mata dan juga kulit yang bertukar warna kekuningan.

Kesan itu dapat dilihat dengan jelas apabila ditekan. Ia bermula dari bahagian kepala dan semakin menurun ke bahagian bawah badan. Bayi jaundis juga akan kerap tidur.

Biasanya bayi yang lahir mengalami warna kekuningan ini disebabkan pigmen kuning atau lebih dikenali dengan nama bilirubin yang meningkat dalam darah.

Bilirubin ini berlaku akibat pemecahan sel-sel darah merah sewaktu bayi lahir. Ketika bayi dalam kandungan, bilirubin dibuang melalui plasentra dan seterusnya oleh organ. Hati dari ibu akan diolah menjadi bilirubin untuk dibawa ke usus dan seterusnya dibuang melalui proses tinja.

Namun setelah bayi lahir, proses tadi akan dilakukan oleh hati bayi itu sendiri. Disebabkan fungsi hati belum sempurna, proses itu lebih lambat menyebabkan bilirubin tetap tinggi dalam bayi.

Bilirubin inilah yang masuk ke jaringan kulit sehingga bayi kelihatan kuning pada keseluruhan tubuh dan matanya.

Bagi bayi normal, setelah tiga atau empat hari kelahirannya, kadar bilirubin akan menurun perlahan-lahan seiring dengan pertambahan fungsi hatinya.

Biasanya bila umur mencecah tujuh hari, bayi sudah tidak kelihatan kekuningan lagi. Inilah penyakit kuning yang bersifat fisiologi atau normal dan tidak berbahaya bagi bayi.

Namun, berbeza pula bagi yang menghidap penyakit kuning patologi. Ia timbul lebih cepat dan biasanya 24 jam setelah kelahiran dan peningkatan kadar bilirubin di dalam darah bayi juga berlaku dengan lebih cepat.

Jenis penyakit kuning seperti ini boleh disebabkan oleh jangkitan pada bayi, ketidaksesuaian jenis darah ibu dan bayi, serta kes yang jarang berlaku disebabkan kekurangan enzim G6PD (glukosa 6 Phosphate Dehidrogenase). Enzim ini terdapat di dalam dinding sel darah merah yang berfungsi untuk mencegah sel-sel darah merah.

Apa perlu dilakukan

Pemeriksaan akan dibuat dengan menekan kulit bayi atau mengambil darah untuk mengukur tahap bilirubin.

Untuk memeriksa sendiri, bagi kulit bayi berkulit cerah, boleh diletakkan di tempat banyak cahaya atau lampu. Tekankan kulit secara lembut dengan jari anda di bahagian hidung, dahi atau dada, jika terdapat kesan kekuningan apabila jari diangkat bermakna bayi anda mengalami jaundis.

Bagi bayi berkulit gelap, boleh periksa gusi atau mata putih.

Biasanya ia tidak memerlukan rawatan. Jika memerlukan rawatan, ia dirawat menggunakan phototerapi iaitu menggunakan cahaya. Bayi dibogelkan, mata ditutup dan diletakkan di bawah cahaya bililight.

Jika ditahap yang terlalu tinggi, penukaran darah akan dilakukan.

Kebanyakan kes jaundis ini tidak memerlukan rawatan phototerapi. Berikut disenaraikan langkah yang boleh dibuat untuk mengelak atau merawatnya.

Menyusukan bayi dari awal dan dengan kerap.

Kolostrum akan bertindak sebagai laksatif dan kekerapan membuang najis akan merendahkan tahap bilirubin.

Elakkan mengambil air tambahan. Hanya dua peratus bilirubin keluar melalui air kencing dan 98 peratus keluar melalui najis. Kolostrum dan susu yang mengandungi lemak akan menstimulasikan pergerakan membuang air besar. Jika bayi anda kenyang dengan air dia akan kurang menyusu.

Galakan bayi anda berjaga dan menyusu setiap dua jam.

Jika bayi tertidur ketika menyusu badan dan membuang air besar kurang dari tiga kali sehari, cuba perah susu anda menggunakan tangan atau pam dan beri kepada bayi anda.

Dedahkan kepada cahaya secara tidak terus kerana kulit bayi sensitif. Buka pakaian serta lampin dan letak di dalam bilik yang ada banyak cahaya.

Merokok Jejas Kesihatan Bayi

Syabas. Anda adalah seorang wanita yang amat prihatin. Isu peningkatan wanita merokok kembali menjadi topik hangat.

Pelbagai faktor menjadi punca dan penyebab kepada pertambahan golongan hawa ini merokok. Faktor fizikal merupakan penyebab utama. Alasannya yang tidak munasabah di kalangan wanita yang menganggap bahawa merokok dapat mengurangkan berat badan. Ada antara mereka percaya bahawa merokok juga boleh mengawal selera makan.

Selain itu, faktor psikologi yang dikaitkan dengan merokok ialah dapat menangani perasaan rendah diri dengan cara mengasingkan diri dari orang ramai dan menjadikan rokok sebagai teman di kala diri gundah gulana. Manakala faktor lain pula ialah faktor persekitaran dan sosial. Golongan muda lebih terpengaruh dengan pengaruh luar dan rakan sebaya yang menyumbang untuk merokok.

Ada juga yang mengikut arus semasa yang berpendapat golongan wanita hari ini mempunyai persamaan taraf dengan golongan lelaki. Mereka percaya dengan merokok, taraf mereka sama dengan golongan lelaki. Bagi mereka, adalah menjadi suatu kebanggaan dan kehebatan jika seseorang wanita boleh melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh kaum lelaki.

Merokok bukan sahaja memberi kesan yang buruk kepada wanita itu sendiri. Malahan ia juga dapat memudaratkan bayi yang dikandung. Kepentingan gaya hidup ibu-ibu yang hamil seperti merokok tidak boleh dipandang remeh. Wanita hamil yang merokok lebih banyak melahirkan bayi yang meninggal dunia bila dibandingkan dengan wanita hamil yang bukan perokok. Seandainya bayi itu lahir normal, maka bayi wanita perokok lebih sering meninggal pada bulan-bulan pertama kehidupannya. Dalam daun tembakau umumnya terdapat 1-3 peratus dadah nikotin. Bayangkanlah apa yang mampu dilakukan oleh nikotin terhadap janin. Asap daripada setiap batang rokok mengandungi tar asapdan apabila meluap mengandungi pelbagai bahan kimia, termasuk sesetengah yang menyebabkan penyakit kanser. Nikotin akan menyebabkan ketagihan dan karbon monoksida sejenis gas yang mampu membunuh dengan mengurangkan keupayaan darah membawa oksigen.

Tambahan lagi, nikotin juga boleh berpindah kepada bayi secara langsung melalui susu badan. Bahaya merokok boleh memberi kesan kepada pertumbuhan janin disebabkan oleh penurunan aliran darah ke dalam plasenta, peningkatan kadar kematian janin (semasa peringkat perinatal), kecacatan kepada bayi seperti kecacatan kepada bibir dan lelangit (cleft lip dan palate), peningkatan risiko untuk mengalami sawan, kelahiran sebelum tempoh matang (atau tidak cukup bulan), keguguran, penurunan berat badan bayi sebanyak 150-200 gram dan perkembangan sistem saraf yang tidak normal. Bayi juga berisiko tinggi untuk mendapat asma dan sindrom kematian bayi mengejut (cot death). Kesemua risiko di atas lebih besar kemungkinan berlaku ke atas wanita atau ibu yang merokok berbanding dengan yang tidak merokok. Alangkah tidak adilnya jika wanita yang merokok yang memilih untuk menderita juga ‘mendera’ bayi dalam kandungannya. Jika bayi ini terus hidup, tempoh penderitaan bayi tersebut mungkin akan berpanjangan.