Archive for August 2011
Latest Updates

Bersalin Tambah Risiko Rahim Jatuh

UTERUS atau dalam bahasa harian lebih senang disebut rahim, mungkin boleh dilambangkan sebagai kasih sayang bagi seorang wanita.

Di dalam organ inilah, 'benih' cinta antara dua individu bersatu, membesar selama 40 minggu dan apabila sampai masanya, menyingkap dunia melalui frasa yang cukup istimewa.

Sebagai organ yang mempunyai fungsi ajaib melahirkan cahayamata, pastinya tugas berat tersebut sedikit sebanyak membebankan dan boleh mendatangkan masalah di kemudian hari.

Rahim jatuh atau uterovaginal prolapse adalah satu daripadanya. Ia berlaku apabila rahim turun atau jatuh daripada kedudukan anatomi asalnya di aras tonjolan tulang iskium (ischial spine).

Punca utamanya ialah kelemahan otot-otot dan ligamen-ligamen sokongan rahim serta lantai pelvis yang disebabkan oleh beberapa perkara.

Otot-otot lantai pelvis atau saraf pudendal iaitu saraf yang menjadi penyambung di bahagian tersebut boleh tercedera ketika proses kelahiran. Tambahan lagi kepada wanita yang melalui proses kelahiran lebih daripada empat kali, mereka sangat terdedah kepada risiko mengalami rahim jatuh.

Faktor lain seperti kekurangan tisu kolagen sama ada sejak lahir atau disebabkan oleh menopaus dan masalah keabnormalan tulang belakang seperti 'spina bifida' juga mengundang masalah ini.

Dianggarkan sekitar 30 peratus wanita berusia mengalami masalah rahim jatuh tetapi peratusan sebenarnya tidak diketahui dengan tepat kerana ramai yang malu untuk berjumpa doktor.

Walaubagaimanapun, terdapat juga wanita muda yang mengalami masalah ini tetapi ia jarang berlaku. Jika berlaku sekali pun mungkin berpunca daripada masalah saraf pudendal yang wujud secara semula jadi sejak lahir atau akibat kecederaan saraf tunjang atau penyakit saraf seperti gullain-barre dan poliomyelitis.

Individu yang mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, sembelit dan batuk yang berpanjangan serta selalu mengangkat beban berlebihan atau berpanjangan untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan otot lantai pelvis lemah.

Biasanya masalah rahim jatuh akan diiringi masalah organ-organ pelvis lain seperti pundi kencing, faraj, uretra (salur kencing), rektum (usus besar) dan usus kecil yang dipanggil pelvic organ prolapse (POP).

Antaranya masalah cystocoele ( pundi kencing jatuh / bonjolan pundi kencing ke dalam faraj) dan rectocoele (usus besar rektum jatuh / bonjolan rektum ke dalam faraj).

Selain daripada itu ia juga diiringi oleh masalah kencing seperti stres inkontinens (kebocoran akibat batuk, bersin atau ketawa dan masalah pundi kencing terlalu aktif.

Kategori rahim jatuh:

  • Peringkat pertama : serviks turun dari kedudukan normalnya sehingga bukaan faraj tetapi rahim masih di dalam faraj
  • Peringkat kedua : serviks dan sebahagian rahim turun dari kedudukan normalnya sehingga melepasi bukaan faraj tetapi fundus rahim masih di dalam faraj
  • Peringkat ketiga (procidentia) : serviks dan keseluruhan rahim termasuk fundusnya dan dinding faraj turun melepasi bukaan faraj.

Simptom-simptomnya:

  • Terasa sesuatu terkeluar di bahagian faraj
  • Ketulan pada faraj
  • Sakit pelvis / ari-ari (dragging pelvic pain)
  • Sakit belakang
  • Sakit semasa hubungan seks
  • Pendarahan faraj selepas menopaus
  • Inkontinens kencing
  • Sukar buang air kecil / besar

Rahim Jatuh Jejas Hubungan Seksual

RAHIM, merupakan bahagian trek pembiakan wanita di dalam pelvis yang disokong oleh pelbagai otot, tisu dan ligamen agar tetap pada kedudukan asalnya.

Kewujudannya khusus untuk membenarkan embrio melekat pada dinding dalamnya dan membekalkan makanan yang berkhasiat kepada janin yang sedang membesar dari darah ibu.

Rahim yang tidak hamil berbentuk buah pear berukuran kira-kira 7.5 sentimeter panjang dan terampai di dalam kaviti pelvis.

Bahagian atasnya disambungkan ke dua tiub fallopio manakala bahagian bawahnya pula menyambungkan faraj kepada serviks.

Ada ketikanya, proses kehamilan dan kelahiran ataupun sebarang kesukaran yang dialami ketika bersalin menyebabkan otot-otot lantai pinggul menjadi lemah.

Kehilangan hormon estrogen secara semula jadi menyebabkan rahim seseorang wanita itu jatuh ke dalam faraj dan kadangkala terkeluar dari saluran faraj.

Keadaan ini dikenali sebagai rahim jatuh (prolaps) di mana rahim seakan-akan melorot ke bawah melalui saluran faraj. Walaupun prolaps tidak mengancam nyawa namun keadaannya yang teruk berupaya menjejaskan kualiti kehidupan pesakit seperti mengalami kesukaran berjalan.

Prolaps merangkumi beberapa peringkat:

* Peringkat awal; hanya jatuh sedikit daripada kedudukan biasa

* Peringkat kedua; pintu rahim jatuh sampai ke permukaan faraj

* Peringkat akhir; keseluruhan rahim terkeluar daripada saluran dan permukaan faraj turut dikenali sebagai tombong.

Ada pelbagai faktor yang menyumbang kepada prolaps terutamanya disebabkan oleh faktor usia dan proses melahirkan anak.

Selepas menopaus, proses atropi atau kekecutan pada tisu, ligamen dan otot dalam jangka panjang akan menyebabkan prolaps akibat ketandusan hormon estrogen.

Prolaps yang teruk sering berlaku pada wanita berusia lebih 60 tahun yang mengalami menopaus,'' katanya.

Kekurangan hormon yang menimbulkan kelemahan pada otot dan ligamen peranakan juga, ujar beliau, boleh berlaku ekoran pembedahan pembuangan ovari akibat penyakit-penyakit tertentu.

Selain itu, kehamilan dan kelahiran juga boleh menyebabkan berlakunya kekenduran atau kelemahan pada semua tisu di sekeliling peranakan, khususnya otot lantai punggung yang biasanya memegang faraj dan mendukung rahim.

Kelahiran yang memakan masa lama dan sukar sehingga memerlukan ibu meneran dengan kuat mungkin menyumbang kepada berlakunya prolaps.

Kelahiran normal atau menggunakan alat bantuan seperti penyepit iaitu forsep atau vakum juga berupaya merosakkan ligamen-ligamen dan otot di sekeliling faraj.

Faktor lain termasuklah kekoyakan semasa bersalin yang tidak dijahit terutamanya jika wanita bersalin di rumah.

Bebanan yang berlebihan seperti semasa kehamilan mahupun ketumbuhan fibroid sekali- pun kecil, mampu memberikan tekanan kepada rahim untuk jatuh ke bawah.

Malah, tekanan pada perut yang dicetuskan oleh batuk kronik, sembelit, mengangkat bebanan yang berat serta obesiti turut menjadi penyumbang prolaps.

Dalam pada itu, sesetengah wanita akan mengalami masalah ini jika ada di kalangan saudara-mara mereka khususnya ibu, ibu saudara atau nenek mengalami masalah yang sama.

Kekenduran atau kelemahan otot dan tisu ini juga boleh dipengaruhi oleh tahap pemakanan dan kesihatan pesakit yang agak rendah berbanding mereka yang sihat.

Wanita yang mengalami masalah otot-otot rahim yang kendur boleh mengalami beberapa gangguan lain seperti:

* Gangguan kencing; kerap kencing, sukar hendak kencing dan paling ketara adalah sulit mengawal kencing di mana air kencing keluar dengan sendirinya.

Contohnya apabila bersin, batuk atau sebarang peningkatan tekanan dalam perut seperti ketawa berdekah-dekah, semput, batuk kronik dan lain-lain.

* Menjejaskan hubungan kelamin; kelonggaran faraj khususnya pada otot yang memegang faraj iaitu otot lantai punggung mengakibatkan kekuatannya untuk mencekang atau mengemut dalam proses hubungan seksual mungkin terganggu sedikit.

* Ketidakselesaan kerana rahim terkeluar daripada farajnya ketika berdiri atau banyak berjalan

* Sakit pinggang; rahim yang jatuh menarik otot dan turut menarik bersamanya urat di bahagian pinggang

* Gangguan kesihatan; dalam kes prolaps yang teruk di mana keseluruhan rahim terkeluar, sering kali pintu rahim tergesel pada seluar dalam menyebabkan luka.

Luka ini sering kali dijangkiti kuman menyebabkan keputihan atau pengeluaran lendir yang banyak.

Dalam jangka panjang, ada juga kes di mana berlaku ketumbuhan akibat daripada pergeseran yang berpanjangan malah ada sesetengah kanser pangkal rahim timbul daripadanya.

Rawatan dan langkah pencegahannya:

Pencegahan terbaik adalah dengan tidak mempunyai anak tetapi sudah tentu ini bukanlah satu saranan yang praktikal kerana semua wanita inginkan zuriat.

Mengelakkan tempoh bersalin yang berlanjutan dan peralatan bantuan seperti forsep dan vakum mungkin langkah yang terbaik.

Tisu badan khususnya tisu ligamen dan otot yang memegang faraj dan rahim yang menjadi longgar dan lemah selepas proses kehamilan dan kelahiran sememangnya tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, pemulihan, walau tidak seratus peratus, boleh dicapai jika seseorang wanita itu mengamalkan senaman menguatkan otot-otot di sekeliling faraj dan lantai punggung seperti senaman kegel.

Di kalangan wanita Barat khususnya golongan profesional dan berpelajaran tinggi, menguatkan otot perut dan lantai punggung ketika hamil dan selepas bersalin sudah menjadi satu tabiat.

Senaman ini boleh dilakukan sewaktu hamil dan sejurus selepas bersalin tanpa perlu menunggu setelah habis tempoh berpantang.

Otot di sekeliling faraj akan menjadi lebih kuat seperti sedia kala jika diamalkan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, terapi penggantian hormon yang digunakan oleh wanita menopaus yang mengalami proses atropi juga dapat mengurangkan berlakunya prolaps.

Rawatan prolaps bergantung kepada tahap keterukannya di mana pada tahap yang lebih lewat, hanya pembedahan yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah kekenduran faraj dan prolaps.

Contohnya, pembedahan histerektomi atau Manchester untuk membuang rahim melalui saluran faraj, biasanya disertai dengan pembetulan dinding depan dan belakang faraj.

Kes-kes prolaps yang teruk mahupun di kalangan wanita yang telah meningkat umur juga membabitkan pembedahan untuk membetulkan saluran faraj.

Bagi pesakit yang lebih muda dan masih bercadang untuk meneruskan zuriatnya, pembedahan bagi menguatkan atau membetulkan saluran faraj boleh dilakukan.

Bagaimanapun, pembedahan merupakan jalan terakhir setelah lain-lain usaha seperti senaman dan penggunaan kaedah rawatan lain gagal memulihkan pesakit.

Kaedah lain yang dimaksudkan termasuklah penggunaan PSX iaitu sejenis alat bertujuan membantu wanita melakukan senaman atau kaedah rangsangan elektrik pada otot dan lantai punggung mengalami kegagalan.

Sementara itu, dalam kes-kes di mana pembedahan tidak dapat dijalankan terutamanya bagi wanita yang berumur dan mengalami masalah prolaps yang teruk, pesari menjadi pilihan.

Ia merupakan sejenis alat yang dimasukkan oleh pakar sakit puan ke dalam faraj wanita, lazimnya, pesari berbentuk cincin bagi mencegah rahim daripada jatuh ke bawah.

Pesari yang telah lama digunakan secara meluas perlu ditukar setiap dua hingga tiga bulan sekali.

Dalam setiap pemeriksaan, pakar sakit puan akan memeriksa sebarang perubahan faraj dan ulser kulit jika ada, menandakan pesari mungkin tidak lagi sesuai digunakan.

Justeru, ujarnya, wanita yang menggunakan pesari perlu menjaga kebersihan faraj untuk mencegah jangkitan kuman.

Tambahnya, jika seseorang itu secara perubatannya adalah sihat untuk menjalani pembedahan, kaedah itu (bedah) adalah lebih baik berbanding penggunaan pesari.

Pembedahan bagi merawat prolaps adalah selamat dan berkesan dan dengan pakar-pakar berpengalaman, komplikasi boleh dikatakan sangat jarang berlaku.

Pesakit juga tidak mengalami banyak kesakitan selepas bedah dan majoriti daripada mereka akan sembuh dengan cepat dan berupaya meningkatkan kualiti hidup mereka dengan ketara.

Pesakit dinasihatkan agar mengawal berat badan dan pemakanan serta rajin bersenam kerana kegemukan boleh menjadi pencetus prolaps.

Atasi Masalah Bengkak Susu

Bercerita tentang laktasi pasti kita tidak dapat mengelak daripada berbicara tentang payu dara. Menyusukan bayi dengan susu ibu memang satu pengalaman yang indah. Tetapi ada kalanya ia merupakan dilema dan pengalaman buruk bagi ibu. Terutamanya bila berhadapan dengan masalah bengkak susu.



Payudara bengkak adalah perkara semulajadi kerana banyak susu dihasilkan pada minggu pertama kelahiran. Bagaimanapun pembekalan (engogement) boleh membawa kepada masalah kesihatan dan perlu dirawat.



Pembengkakan berlaku kerana penahanan susu dalam alveoli iaitu tempat susu disimpan. Alveoli akan mengembang hingga menghalang sistem limfa dan saluran darah. Selain itu, ia akan menyebabkan pengumpulan darah dalam saluran darah pada payudara. Payudara akan terus membengkak, keras dan sakit. Pembengkakan tanpa rawatan akan menyebabkan rasa sakit kerana saluran tersumbat dan mastitis.



Untuk membolehkan bayi menyusu dengan selesa, kedudukannya perlu betul dan puting payudara menonjol bagi membolehkan bayi menghisap dengan betul supaya bayi dapat menghisap dengan betul dan mudah.



Bagaimanapun, semasa pembengkakan berlaku, puting tidak dapat menonjol dengan betul menyebabkan penyusuan sukar. Percubaan untuk menghisap payudara yang sedang bengkak adalah ibarat menghisap seketul batu. Pembengkakan sebenarnya ada 2 tahap iaitu biasa / normal dan luar biasa.



Pembengkakan biasa tidak mengganggu proses penyusuan kerana tisu-tisu payudara masih mudah ditekan oleh mulut bayi. Umumnya masalah ini akan berlaku pada hari kedua iaitu sama anak tidak dapat menghisap dengan sempurna atau saluran tersumbat. Pembengkakan akan menimbulkan rasa sakit dan payudara menjadi merah hingga menyebabkan susu badan ibu meningkat.



Mengatasi Masalah Pembengkakan



Perkara yang paling utama ialah kedudukan dan pelekapan bayi perlu diperiksa dan diteliti. Kadang kala oleh sebab kedudukan dan pelekapan bayi tidak betul menyebabkan bayi tidak dapat mengosongkan payudara secukupnya yang akan menyebabkan pengumpulan susu. Bagaimanapun ia akan berulang selepas 12 hingga 48 jam.



Ketika pembengkakan bayi sukar melekap secara optimum. Sebaiknya ibu perlu mengeluarkan susu untuk melembutkan aerola dan payudara supaya bayi boleh menghisap dengan mudah. Perah susu anda sebanyak yang mungkin atau selang selikan dengan waktu memerah dengan waktu menyusukan anak untuk keselesaan.



Penggunaan bahan haba sebelum menyusukan dapat membantu susu mengalir dengan lebih baik. Mandi dengan air suam atau balutan tuala suam dan berhaba. Urutan lembut pada payudara turut membantu pengaliran susu dengan lebih lancar.



Ubat paracetamol sehingga 1000ml, contohnya 2 biji paracetamol 500ml sebiji dapat membantu mengurangkan rasa sakit. Bungkusan ais ketul dan daun kubis pun boleh mengurangkan rasa sakit. Selain bungkusan ais ketul, beg sayuran beku atau lampin pakai buang yang dilembapkan dan dibekukan selama 20 minit turut berkesan. Rawatan bahan-bahan sejuk ini boleh dilakukan selama 15 hingga 20 minit selepas anda menyusukan bayi.



Masitis (Tanda-Tanda)

  • Tanda merah pada payudara biasa dalam bentuk tiga segi.
  • Payudara rasa bengkak
  • Simptom selesema seperti demam, sakit, tegang, letih dan mudah terasa emosional.
Anda boleh lakukan pelbagai cara di atas untuk meredakannya. Tetapi jika dalam tempoh 12 hingga 24 jam simptom-simptom tadi masih ada, anda patut bertemu doktor. Doktor mungkin akan memberikan anda antibiotik yang selamat untuk ibu yang menyusukan bayi.



Apa yang ada boleh lakukan untuk membantu?

  • Teruskan menyusu
  • Susukan bayi sekerap mungkin
  • Susukan pada bahagian yang bengkak terlebih dahulu.
  • Bertenang jika ada simptom selesema
  • Rangsang aliran susu dengan bersenam, mengayun tangan, mengelap tingkap atau menggosok lantai (gerakan tangan membantu aliran susu anda).
Jika mastitis anda berulang, minta doktor periksa tekak bayi anda. Mungkin dia telah mengalami infeksi yang akan berterusan menjangkiti payudara anda.



Info (Menyusu Bayi Pramatang)



Jika anda melahirkan bayi pramatang, menyusukannya mungkin agak sukar berbanding bayi normal. Sewaktu di hospital, jururawat akan membantu anda untuk menyusukannya. Dia mungkin akan minum melalui tiub, sudu dan sebagainya. Setelah dia dibenarkan pulang, anda sudah boleh menyusukannya seperti biasa.



Rangsanglah pengaliran susu anda dengan menggunakan pam atau perahan tangan. Ini untuk memastikan yang susu anda tidak kering atau payudara anda bengkak. Doktor mungkin akan mencadangkan anda susu formula (khas untuk bayi pramatang) jika anda tidak bersedia menyusukannya.