Archive for July 2011
Latest Updates

Jenis-Jenis Dan Faedah Bertungku

Tungku merupakan kaedah rawatan tradisi yang biasanya dikaitkan dengan wanita dalam pantang. Namum ia sebenarnya sesuai dan boleh diamalkan oleh semua orang bagi penjagaan kesihatan dan kesegaran badan.

Terdapat beberapa jenis tungku seperti tungku batu, tungku pasir herba, tungku bijirin herba, tungku besi, tungku layor (daun dan buah), tungku abu, tungku garam bukit dan tungku moden.

Tungku batu amat popular di kalangan wanita dalam pantang. Beberapa jenis batu boleh digunakan seperti batu sungai, batu gunung, batu bata merah dan batu kelikir. Batu ini dibakar sehingga merah dan dimasukkan ke dalam kain yang berlapikkan daun mengkudu, bunga kantan, halia dan halba. Ia bertujuan mengeluarkan darah beku, mengecutkan peranakan, menghilangkan kebas-kebas kaki serta buasir.

Tungku pasir pula lebih ringkas. Pelbagai jenis pasir boleh digunakan seperti pasir sungai, pasir laut, campuran lumpur, tanah bukit atau pasir bukit. Pasir disangai (digoreng tanpa minyak) terlebih dahulu sehingga betul-betul kering. Sediakan kain belacu yang dialas daun pisang, daun mengkudu, lada hitam, hirisan daun pandan dan pucuk kecubung. Tuang pasir di atas kain dan tuam di bahagian pinggul, bahu, belikat, perut dan tapak kaki. Elok bagi wanita yang mengalami senggugut dan meroyan.

Tungku bijirin digunakan oleh sesetengah bidan kampung sebagai terapi bersalin, menyusutkan bengkak dan nanah dan boleh dituam di bahagian pinggul. Bijirin yang digunakan ialah jagung, kacang hijau, lada hitam, halba, lada ekor, ketumbar, daun kantan, daun pandan, halia bara dan lengkuas.

Tungku besi terkenal di negeri-negeri utara iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Tungku ini dibuat daripada besi dan berbentuk laras. Cara penyediaannya sama juga dengan tungku lain di mana daun kecubung, lengkuas, daun dan kulit limau purut diletakkan di atas kain. Tungku dipanaskan dan dibungkus dengan kain yang berisi daun-daun tersebut.

Tungku layor pula menggunakan dua jenis bahan sama ada daun atau buah. Daun yang sesuai ialah daun kantan, lengkuas, mengkudu, jambu batu hutan, sirih, kecubung dan kaduk. Tungku buah pula menggunakan buah mengkudu. Daun dan buah dilayorkan (diletakkan di atas api perlahan sehingga daun layu) dan dibungkus dengan sapu tangan.

Tungku abu amat unik dan sukar diperoleh pada masa kini kerana tidak ramai lagi yang memasak menggunakan kayu api. Abu daripada kayu api yang masih suam dibalut dengan daun mengkudu atau kain. dan digunakan bagi meredakan bengkak di dahi, bisul, kuping kulit dan mengeringkan kudis.

Tungku moden adalah inovasi terbaru tungku yang satu ketika dahulu bersifat tradisional kini di perbaharui untuk kemudahan penggunaannya. Diperbuat daripada bahan anti-kuman yang mengandungi cecair, tungku moden ini bersih dan mempunyai unsur perubatan yang tersendiri. Tungku ini hanya perlu dicajkan selama 5 - 8 minit dan lampu akan terpadam secara automatik. Tungku ini akan menjadi panas sehingga 70 - 80 darjah celcius dan suhu ini akan bertahan antara 1 - 2 jam.

Panduan Penjagaan Ibu Bersalin Secara Pembedahan

Kelahiran secara pembedahan (Caesarian) sudah menjadi sesuatu yang biasa pada masa kini. Ada yang terpaksa melaluinya kerana masalah posisi bayi ataupun bentuk tulang kajang yang sempit dan sukar memberi laluan kepada bayi untuk dilahirkan secara normal.

Ada juga ibu-ibu hamil membuat pilihan bersalin secara pembedahan kerana mahu mengelakkan rasa sakit mengisi ketuban. Tidak kurang pula yang memilihnya kerana beranggapan bersalin dengan cara tersebut dapat memelihara serta mengekalkan keadaan saluran vagina supaya tidak longgar.

Akibat kedangkalan pengetahuan berkaitan dunia kehamilan dan kelahiran, ramai ibu yang bersalin secara pembedahan tidak mengambil berat tentang penjagaan ketika dalam pantang. Walaupun bayi dilahirkan tanpa melalui pintu rahim atau faraj, keadaan rahim tetap bengkak, malah lebih serius akibat luka-luka pembedahan yang dilakukan ke atasnya. Luka-luka itu bukan sahaja di bahagian rahim tetapi juga lapisan demi lapisan kulit yang dibelah. Oleh yang demikian, penjagaan ibu bersalin dengan kaedah ini selalunya mengambil masa yang lebih lama. Dengan itu, tempoh pantangnya juga lebih panjang daripada ibu-ibu yang bersalin secara normal.

Ibu yang bersalin secara pembedahan perlu menjaga pantang pemakanan selama 100 hari dan pantang berjimak sekurang-kurangnya 50 hari. Petua-petua ini sangatlah penting diamalkan dengan tekun kerana keberkesannya telah terbukti. Amalan berpantang dapat mempertahankan kesegaran ujud anggota seseorang wanita agar kembali awet muda. Rata-rata telah terbukti bahawa ibu-ibu pengamal herba dan rawatan tradisional tampak lebih sihat serta anggun daripada gadis!.

Penjagaan Dan Rawatan Luaran

Mereka yang bersalin secara pembedahan lebih mudah mengalami masalah pengumpulan dan penyekatan angin, atau banyak angin. Akibatnya tubuh menjadi lembik, kendur dan tidak mantap walaupun melakukan banyak senaman. Mungkin secara fizikal kelihatan cantik serta langsing, tetapi otot dan sendi lazimnya mengalami penyakit angin sejuk atau panas seperti artritis, kebas-kebas sendi dan reumatisme. Saluran sulit menjadi longgar, kurang daya kemutan, berair atau terlalu kering dan mudah berpenyakit keputihan yang boleh menyebabkan hakisan mulut rahim dan ketumbuhan kecil seperti sista atau polip.

Lazimnya ibu yang melahirkan secara pembedahan lambat mendapat bentuk badan yang asal, terutama di bahagian perut dan pinggang. Untuk itu, rawatan secara tradisional harus dilakukan dengan sempurna dan teratur agar dapat mengembalikan keadaan ibu balik perawan. Amalan ini adalah untuk mengelakkan daripada bentan urat peranak serta keracunan luka pembedahan. Minuman herba juga dapat mempercepatkan proses penyembuhan. Ibu dalam pantang bersalin pembedahan perlu mengikut pantang larang pemakanan sebagimana ibu bersalin normal.

Panduan Cucian Bahagian Sulit

Ibu bersalin secara pembedahan perlu mengamalkan cucian di bahagian sulit sebagaimana ibu-ibu yang melahirkan secara normal. ini kerana walaupun tiada luka jahitan, ibu-ibu tetap mengalami keluaran darah nifas. Penjagaan kebersihan serta kesihatan diri adalah amat penting bagi mengelakkan jangkitan kuman, bau busuk atau hanyir di bahagian sulit, selain menjaga kesegaran tisu-tisu faraj.

Panduan Rawatan Tuaman Batu Atau Besi

Rawatan tuaman dan berbengkung dapat memecahkan angin dan lendir serta melancarkan aliran darah. Sebaik-baiknya tuaman dilakukan dua kali sehari pada waktu pagi sebelum masuk tengahari dan pada sebelah petang selepas waktu zuhur. Rawatan tuaman dilakukan ke atas seluruh badan, termasuk di bahagian perut serta luka pembedahan dengan hanya meletakkan batu tuam atau tungku besi secara lembut tanpa perlu menekan atau mencungkil urat.

Panduan Mandian

Sebelum mandi, lakukan rawatan berlulur seperti mana ibu bersalin normal. Selepas itu, lakukan mandian dengan air rebusan daun-daun yang mudah didapati pada masa kini.

Panduan Berbarut Atau Berbengkung

Ibu dalam pantang bersalin secara pembedahan perlu mempraktikkan rawatan berbengkung atau berbarut yang ringan ikatannya, atau boleh juga mengenakan strap on binder. Pemakaiannya harus dimulakan pada hari yang berikutnya selepas bersalin.

Mula-mula sapu minyak urut herba di bahagian perut dan di atas jahitan, di bahagian pinggang serta pinggul. Lakukan rawatan berbarut ini selama dua minggu berturutan walaupun masih terasa jahitan pembedahan.

Selepas ini selama dua minggu yang berikutnya perketat ikatan barut atau binder. Selepas empat minggu bolehlah digunakan barut dan sapuan ubat bersalin secara normal. pakai barut itu selama dua minggu iaitu hingga hari ke 44. Boleh juga digunakan barut sehingga 100 hari.

Tujuan berbarut adalah untuk membantu mempercepatkan proses mengecutkan rahim dan memecahkan angin lendir bertoksik. Selain itu, ketulan darah nifas dapat dikeluarkan dengan sempurna. Dengan cara ini, ibu bersalin pembedahan akan dapat mengelakkan daripada terasa sengal atau pedih di bahagian luka jahitan, ketegangan pada bahagian pelvis dan ngilu atau sengal apabila berjimak selepas tempoh berpantang kelak.

Tanpa rawatan ini, ibu-ibu bersalin secara pembedahan mudah mengalami keadaan perut buncit dan menggeleber serta berasa sakit atau lenguh di bahagian pinggang atau pinggul sehingga boleh melarat ke bahagian betis dan tumit. Jikalau dibiarkan dengan hanya rawatan moden, iaitu diberi suntikan dan ubat penahan sakit, lazimnya penyakit tersebut akan berulang kembali pada hari kemudian.

Ini mudah dijelaskan kerana suntikan dan ubat penahan sakit hanya menahan atau melegakan rasa sakit buat seketika atau merawat tanda-tanda penyakit, dan bukan merawat punca yang sebenarnya. Sebaliknya penyakit yang sedia ada itu akan melarat ke bahagian lutut serta pinggang, yang menandakan keadaan sudah menjadi lebih serius. Keadaan ini mengganggu pergerakan fizikal dan seterusnya mempercepat penuaan sebelum masa. Penyebab penyakit ini berpunca daripada ketegangan dan pembengkakan di bahagian urat peranak, ari-ari dan celahan paha.

50 Rahsia Si Manja Cerdas

Ingin tahu rahsia si manja anda seorang yang cerdas? Meh ikuti 50 pelbagai aktiviti dan panduan yang menunjukkan si manja seorang yang cerdas.

1. Kenal Wajah Anda - Dia merenung anda sambil dan memegang wajah anda. Dia sebenarnya sedang membina memorinya.

2. Berbual dengannya - Dia menunjukkan reaksi apabila anda berbual dengannya. Dia akan melihat anda seakan memahami apa yang anda cakapkan.

3. Memberi senyuman - Anda senyum kepadanya dan dia pun akan tersenyum kepada anda. Sudah mulai menunjukkan perkembangan emosinya.

4. Bertindak balas kepada permainan kesukaan - Asyik bermain dengan permaianan kesukaannya. Cuba anda ambil barang itu, dia pasti akan menjerit.

5. Tahu apabila namanya dipanggil - Anda memanggil namanya dan dia memandang ke arah anda. Panggillah nama yang biasa anda ucapkan setiap hari.

6. Mencapai objek - Kemahiran motor kasarnya semakin baik. Dia boleh mencapai dengan tangan objek permainan dengan mudah.

7. Berminat objek yang terang - Warna terang seperti merah, hijau, oren dan kuning adalah warna kegemaran si manja. Letaklah objek atau permainan yang berwarna seumpama ini, dia akan pantas mencapainya.

8. Suka merenyukkan objek lembut - Ia adalah perkembangan positif buat si manja apabila suka memegang dan meramas objek atau permainan kain yang mengeluarkan bunyi seakan plastik.

9. Ketawa bersama - Si manja suka anda menggeletek badannya, bahkan menciumnya. Dia akan ketawa apabila anda berbuat demikian.

10. Boleh membuka dan menutup genggaman tangan - Cubalah permainan seperti 'cak cekur' sambil menunjukkan cara bagaimana tangan digenggam dan dibuka. Dia akan melakukan bila-bila masa dia berasa selesa, bahkan semasa minum susu.

11. Bergerak dengan yakin - Masih belum boleh merangkak, tetapi sudah mula menunjukkan usaha untuk mencapai objek yang disukai dengan hanya mengesot. Si manja sudah mula menunujkkan sikap terujanya.

12. Tepuk tangan - Bersama si manja menyanyi dan menepuk tangan sambil mengerakkan badannya ke kanan dan kiri. Dia akan tersenyum gembira dengan aktiviti ini.

13. Tidur dengan lena - Si manja tidur dengan lena dalam tempoh yang lama antara 2 hingga 3 jam. Selepas bangun tidur, si manja dibiarkan bermain sendirian dan dia tidak merengek.

14. Suka mandi - Sayang jom mandi! Suka menyentuh air semasa mandi dan tersenyum gembira. Begitu juga selepas mandi semasa memakainya pakaian.

15. Urutan - Bayi suka badannya diurut. Lakukan secara rutin. Urut bahagian kaki, badan, tangan dan mukanya. Jika dilakukan secara rutin, si manja mudah tidur dengan lena.

16. Suapan sayang - Si manja dengan mudah makan makanan pejalnya apabila anda memujuknya seperti "vroom, vroom, kereta nak masuk gua, aaa buka mulut sayang!". Pastinya si manja membuka mulut.

17. Aksi spontan - Cara santai untuk bermain dengan si manja dengan meniup perut, muka dan lehernya perlahan-lahan. Cuba lihat tindak balasnya. Pastinya dia akan ketawa!.

18. Mari berdansa - Peluk dan dukung bayi mengikut irama muzik yang rancak. Pasti si manja teruja dan ketawa.

19. Kenalkan buku - Duduk bersamanya membaca buku. Baca buku berulang kali. Pakar mendapati bahawa bayi seawal lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca berulang kali.

20. Bermain dengan abangnya - Biarpun masih kecil, si manja turut mempunyai perasaan ingin berkawan. Biarkan abangnya mengagahnya. Si manja ketawa apabila abangnya membuat muka lucu.

21. Permainan sorok - Sorokkan barangan permainan kesukaannya. Si manja akan seronok melihat objek yang hilang dan muncul kembali. Ia akan membuatkannya ketawa.

22. Bermain dengan makanan - Sediakan makanan dengan tekstur berbeza termasuk lobak yang direbus dan dihiris halus, bijirin, pasta atau cebisan ayam yang dikisar atau hirisan ikan. Cara ini si manja dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

23. Menonton tv - Si manja suka menonton rancangan kegemarannya. Bunyi dan warna-warni yang dilihat dalam kaca televisyen akan membuatkan dia asyik seketika.

24. Permainan tekan dan bunyi - Sediakan permainan yang mengeluarkan bunyi apabila ditekan. Si manja pasti teruja apabila dia tertekan pada permainan itu dan mengeluarkan bunyi.

25. Bergolek ke sana sini - Pantang tinggal sekejap, si manja yang belum boleh berjalan akan bergolek di merata tempat. Pastikan ruang dalam keadaan bersih dan tiada objek yang tajam supaya si manja bergerak dengan selamat.

26. Nyanyikan lagu - Nyanyilah apa sahaja lagu sama ada yang anda reka (mari kita pakai baju, pakai baju...) atau didapati di internet. Lagu membuatkan bayi semakin aktif dan ceria.

27. Sentuhan dan rasa - Sediakan satu kotak kain dengan tekstur yang berbeza-beza seperti kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.

28. Petik bunga - Sambil dukung bayi, bawalah dia ke taman bunga. Biarkan dia menghidu bau haruman bunga-bungaan. Dia akan menyukai suasana yang mendamaikan ini, lebih-lebih lagi di bawa bercuti ke kawasan peranginan.

29. Jatuh dan angkat - Bayi memang suka menjatuhkan objek yang dipegangnya dari kerusi makanannya yang tinggi. Anda angkatkan dan berikan kepadanya. Kemudian dia menjatuhnya kembali. Sebenarnya bayi sedang belajar dengan persekitarannya.

30. Membebel - kadang kala, bayi mengeluarkan suara yang tinggi dan membebel. Biarkan dia begitu. Dia sedang belajar tentang bunyi atau mungkin teruja dengan sesuatu objek.

31. Bina laluan halangan - Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, atau permainan di atas lantai. Kemudian tunjukkan kepada bayi bagaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.

32. Ikut mimik muka dan bunyi - Ajak si manja anda mengikut muka mimik anda. Buat pelbagai aksi lucu atau bunyi yang bayi boleh tiru dengan mudah.

33. Aksi lucu - Kembungkan pipi dan suruh kanak-kanak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, proof! Tiupkan ke mukanya. Pasti dia suka aksi lucu ini.

34. Masa untuk bercerita - Sebelum tidur, bacalah cerita dongeng kegemarannya. Buat suara dan aksi semasa membaca cerita itu. Malah anda boleh tukarkan nama watak utama ke nama si manja supaya dia seronok.

35. Lihat diri dalam cermin - Biarkan si manja merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain.

36. Taman permainan buatan - Anda baring dan si manja akan memanjat dan merangkak di atas anda. Kemudian dia akan mencium pipi anda. Permainan yang menyeronokkan anda dan si manja.

37. Mari mengira 123... - Usia si manja hampir satu tahun. Dia boleh berjalan. Jadi mari belajar mengira dengan jumlah anak tangga dalam rumah anda. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.

38. Kenali wajah ahli keluarga - Letakkan gambar wajah ahli yang penting dalam kehidupan si manja anda. Sebutkan nama-nama wajah yang dikenalinya. Semakin si manja membesar, semakin dia mengenali orang disekelilingnya.

39. Golek bola - Golek bola dengan perlahan kepada si manja. Pilih bola jenis lembut supaya tidak mencederakannya. Si manja akan belajar untuk menangkap bola yang bergolek.

40. Kenali rakan sebaya - masa untuk mengenali dunia luar dengan membawa dia ke rumah teman yang mempunyai anak seusia anak anda. Biarkan dia bermain bersama rakan sebayanya.

41. Menjerit - pernah mendengar si manja tiba-tiba menjerit! Ya. Ia berlaku apabila si manja begitu seronok dengan apa yang dilakukannya, walaupun hanya bermain seorang diri.

42. Berdikari - Apabila minum susu, si manja sudah boleh memegang botol susu dengan sendiri. Malah sambil menonton rancangan televisyen kegemarannya.

43. Kenali anggota badan - Masa menukar lampin pun boleh digunakan untuk belajar. Gunakan waktu itu untuk mengajar bahagian badan atau pakaian.

44. Pegang tangannya - Sentuhan amat berkesan untuk memberi keyakinan kepada si manja. Pegang tangannya sambil mengerakkan jari kemrinya. Si manja suka akan aktiviti ini.

45. Tambah perbendaharaan kata - Bawa bayi berjalan-jalan dan beritahu semua perkara yang dilihat semua perkara yang dilihat padanya. Cara itu boleh menyediakan bayi dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.

46. Pelukan - pelukan akan membuatkan bayi berasa selamat. Dia akan merasa selesa dan selamat semasa dalam pelukan ibunya.

47. Bermain buai bersama - Bersama si manja bermain buaian di hadapan rumah. Duduk bersamanya sambil bercakap perkara yang menggembirakannya.

48. Segar - Sentiasa dedahkan si manja dengan udara yang segar. Elakkan membawa si manja di kawasan yang sesak dengan orang ramai dan udara yang tercemar.

49. Kesihatan yang stabil - Sentiasa memantau kesihatan si manja supaya badannya tidak mudah dijangkiti penyakit. Dengan ini, si manja akan sentiasa aktif bermain untuk merangsang mindanya.

50. Rehat - baring bersama si manja setelah seharian bermain. Baring di lantai yang bersih atau di atas tilam. Lihat aksi si manja anda. Dia sudah tentu akan meneroka apa yang yang ada berhampirannya.


Meh Kongsi Pengalaman Anda

Assalamualaikum, khas untuk pembaca setia blog Kak Engku. Tetiba je terlintas di fikiran nie untuk mengadakan ruangan "Meh Kongsi Pengalaman Anda". Sekiranya pembaca blog Kak Engku ingin berkongsi pengalaman sepanjang kehamilan, semasa bersalin, semasa berpantang dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan kehamilan, meh la citer pengalaman anda kat ruang ini ye. Mungkin dapat juga dijadikan panduan dan info kepada ibu-ibu hamil yang lain. InsyaAllah bagi pengalaman yang terbaik nanti Kak Engku akan kasi hadiah misteri hehehe.

Kak Engku harap setiap pengalaman yang dikongsikan ini biarlah pengalaman yang membina dan dapat dikongsi bersama. Jadi marilah kita semua memanfaatkan ruangan ini sebaiknya.

Terlebih dahulu Kak Engku minta maaf sekiranya terdapat salah dan silap dari Pembaca Setia Kak Engku, kerana yang baik itu datangnya dari Allah swt, manakala yang kekurangan itu adalah kealpaan dari Kak Engku sendiri, InsyaAllah Kak Engku akan perbaikinya dari masa ke semasa...InsyaAllah.

Akhirkata dari Kak Engku.....Selamat Bercerite ye hehehe....Bye N Jumpe Lagi.

Masalah Penyusuan

Banyak halangan yang mungkin perlu anda tempuh sepanjang usaha menyusukan bayi. Sebagai persediaan awal, ketahui panduan berkaitan jika anda ditimpa masalah penyusuan.

Bengkak Susu

Masalah bengkak susu akan berkurangan jika ibu menyusukan bayi. Antara simptom bengkak susu iaitu payudara nampak berkilat, sakit, tegang, keras dan rasa agak panas bila dipegang. Keadaan puting agak leper, bengkak dan merekah. Selain itu bayi anda akan sukar menyusu, hisapan kurang efektif kerana pengaliran susu yang tidak lancar. Punca berlaku pembengkakan susu ialah ibu jarang menyusukan bayi, menghadkan masa menyusu atau penyusuan yang terlalu singkat, tidak menyusukan pada waktu malam. hisapan kurang efektif atau ibu mula memberi anak minuman lain pada awal kelahirannya. Cara mengatasi masalah ini:
  • Betulkan posisi semasa mendakap bayi untuk disusukan.
  • Susukan bayi dengan kerap tanpa had siang dan malam.
  • Perah susu jika berpisah sekurang-kurangnya 6 kali sehari dan sekali pada waktu malam.
  • Kejutkan bayi yang sedang tidur untuk menyusu sekurang-kurangnya 2 jam sekali.
  • Tuam dan urut perlahan-lahan payudara sebelum menyusukan.
  • Mula menyusukan bayi sebaik sahaja payudara keras dan penuh.
  • Minta bantuan sesiapa untuk mengurut bahagian tengkuk sebelum menyusukan bayi.

Saluran Susu Tersumbat

Masalah ini terjadi apabila satu atau lebih saluran susu tersumbat. Mungkin payudara anda kelihatan biasa tetapi bila disentuh ada ketulan di bahagian tertentu dan terasa sakit. Selain itu, payudara kelihatan agak kemerahan. Bila menghadapi situasi tersebut anda perlu:
  • Membetulkan posisi dan dakapan untuk memastikan pengaliran susu yang lebih efektif.
  • Urut perlahan-lahan di sekeliling payudara hingga puting sebelum dan semasa penyusuan atau memerah.
  • Sokong payudara dengan telapak tangan.
  • Elak tidur meniarap dan memakai baju dalam yang ketat.

Mastitis

Masalah ini perlu diberi perhatian! Antara simptom yang dialami termasuk demam selesema, payudara akan berasa hangat, merah dan bengkak serta sakit. Puncanya sama seperti bengkak susu dan saluran susu tersumbat. Cara mengatasi masalah ini:
  • Periksa payudara untuk melihat simptom tisu rosak dan puting merekah. Perbetulkan pengaliran susu dengan memperbaiki posisi dan dakapan.
  • Kerap menyusu. Sekurang-kurangnya setiap 2 hingga 2 1/2 jam.
  • Ambil ubat segera jika berlaku apa-apa jangkitan.
  • Amalkan pemakanan berkhasiat dan banyak minum air.
Jika simptom semakin jelas dan berlaku rekahan, kerap demam dan pengaliran susu yang kurang sempurna, rawat dengan antibiotik. Jika bimbang mengenai perkara ini, dapatkan rawatan awal dan berterusan selama 10 hari.


Tidak Cukup Susu

Tidak cukup susu menjadi alasan untuk ibu berhenti menyusukan bayi. Anggapan pengaliran susu tidak mencukupi untuk bayi adalah salah. Antara punca susu tidak cukup ialah dakapan yang lemah hingga menyebabkan hisapan kurang efektif dan pengaliran susu menjadi kurang. Antara lain, masa penyusuan terlalu singkat, tidak mempunyai susu akhir, jarang menyusu kurang daripada 8 kali dalam tempoh 24 jam, tidak menyusu di waktu malam dan banyak lagi. Jika terasa susu kurang, ibu boleh menambahnya dengan:
  • Perbetulkan posisi semasa menyusu.
  • Lebih kerap menyusu sekurang-kurangnya 10 kali dalam tempoh 24 jam.
  • Tidur berdekatan bayi dan susukan dia di awal pagi ketika tahap prolaktin tinggi.
  • Perah susu ibu selepas setiap kali penyusuan.
  • Tanamkan keyakinan bahawa anda boleh menyusu dan mengeluarkan bekalan susu yang cukup untuk keperluan bayi.

Puting Bengkak Dan Sakit

Jika payudara atau puting mengalami rasa sakit atau tidak selesa, pengurusan penyusuan mesti dinilai semula. Penyusuan tdak sepatutnya menyakitkan. Simptom seperti tidak selesa (gatal, rasa panas), sakit, merekah, ruam (dermatitis, herpes), kemerahan, kulit berkeping, kulit berkilat dan sakit selepas menyusu adalah tanda puting payudara bengkak dan sakit.

Punca masalah tersebut disebabkan oleh faktor dakapan dan posisi kedudukan yang tidak betul, bengkak susu, salah hisapan, bayi keliru antara hisapan puting botol susu dengan penyusuan ibu atau jika makanan tambahan telah diberi. Cara mengatasi masalah ini:
  • Mengurangkan bengkak susu di sekeliling puting dan aerola. Jika perlu perah dengan jari secara lembut.
  • Jika sakit semakin terasa, ambil ubat seperti paracetamol (panadol).
  • Jika rekahan puting semakin teruk, perah susu dengan tangan dan beri kepada bayi selama 1 hingga 2 hari.
  • Sebelum menyusukan bayi, tuam payudara untuk merangsangkan pengaliran susu. Mulakan penyusuan di sebelah payudara yang kurang sakit.
  • Susui bayi secara lebih kerap, mengikut keperluan bayi, elak daripada menghadkan penyusuan.
  • Selepas menyusu, perah sedikit susu akhir yang berlemak dan sapu pada puting. Biarkan sehingga kering.
  • Elak guna sabun dan alkohol untuk mencuci puting.

Masalah Susu Meleleh

Hal ini berlaku kerana payudara penuh dengan susu. Jadi, cuba tekap tapak tangan pada puting selama 1 atau 2 minit. Tukar pad coli bila lembap dan perah lebih kerap.

Marmet


Apa Itu Teknik Marmet?

Teknik Marmet adalah satu cara pengeluaran susu ibu menggunakan tangan semata-mata tanpa menggunakan sebarang alatan lain terutamanya pam.

Sekiranya teknik ini diamalkan dengan cara yang betul, kadar pengosongan kilang susu adalah jauh lebih baik daripada menggunakan pam. Ini kerana, kita lebih mengenali tubuh badan kita sendiri dan tahu di mana kunci atau pun aliran khusus yang perlu diperah.

Di samping itu, Teknik Marmet ini juga sebenarnya mampu menghasilkan lebih banyak pengeluaran susu berbanding menggunakan bantuan pam. Mengapa ini berlaku? Ini kerana, apabila kita menggunakan tangan, maka berlakulah 'sentuhan kulit ke kulit' yang mana mampu merangsang penghasilan susu. Seterusnya membantu kita mendapat lebih banyak bilangan 'let down reflex' iaitu situasi di mana susu memancut keluar dengan kadar yang banyak dan laju tanpa perlu usaha yang banyak. Pada waktu ini, payudara kita akan mengalami rasa yang agak berdenyut dan membengkak.

Berbanding dengan pam yang semestinya berunsurkan plastik ataupun getah, menyebabkan tubuh badan kita tidak bertindak balas dengan sewajarnya bagi menghasilkan susu. Paling penting, Teknik Marmet tidak cerewet dan mudah diuruskan kerana ia hanya memerlukan tangan untuk memerah ;)


Bahaya Amalan Teknik Yang Salah

Apa jua yang kita lakukan, pasti bakal mengundang padah jika tidak dilakukan dengan betul. Begitu juga dengan Teknik Marmet.

Teknik Marmet yang tidak dipraktiskan dengan baik bakal merosakkan jaringan ataupun aliran-aliran susu pada payudara. Ia juga boleh membuatkan payudara kita menjadi melecet, merah mahupun bengkak. Selain itu, kita sendiri pasti serik untuk memerah menggunakan tangan pada masa akan datang dek rasa sakit dan perit yang kita alami.


Cara Memerah

1. Teknik Marmet hanya memerlukan 3 jari iaitu ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah.

2. Jari-jari ini perlu diletakkan di atas kawasan aerola (sedikit atas, lebih kurang 1cm dari kawasan aerola).

3. Letakkan ibu jari di bahagian atas aerola (kita panggil situasi pukul 12). Letakkan jari telunjuk dan jari tengah di bahagian bawah aerola (pukul 6).


Dapat dilihat, jari telunjuk dan jari tengah perlu berada setentang dengan ibu jari. Apabila jari telunjuk dan jari tengah berada pada kawasan 'pukul 5' sedangkan ibu jari di kawasan 'pukul 12', ia adalah salah. Begitu juga apabila jari bawah itu berbentuk melingkari payudara ia juga salah. Pastikan dengan teliti kedudukan ketiga-tiga jari ini.

4. Tanpa meregangkan jari, dorong jari-jari tadi ke arah dada. Individu yang mempunyai payudara yang bersaiz agak besar, perlu angkat payudara dahulu sebelum mendorong ke arah dada. Lakukan dalam gerakan memutar dan lembut seperti sedang menggeletek. Lakukan dari kawasan atas menuju sehingga ke aerola. Payudara juga boleh digoncang dengan lembut secara memutar.

5. Sewaktu jari-jari berada jauh dari kawasan aerola, gerakan ini dipanggil PUSH dan apabila jari-jari berada di kawasan aerola, ia dipanggil ROLL. Tekan kilang-kilang susu menggunakan jari dengan lembut sehingga kosong. Teknik yang betul tidak akan mendatangkan rasa sakit kepada anda. Pastikan anda menggunakan TIGA JARI yang dinyatakan tadi, bukan jari-jari lain mahupun tapak tangan.

6. Ulangi langkah secara berentak seragam, mengikut rythm. Push, roll, posisi jari yang tepat, push dan roll semula. Ulang sehingga kilang susu kosong.

7. Putar gerakan mengikut arah jam atau berlawanan. Pastikan kedudukan jari di dalam kedudukan 12-6, 11-5, 10-4 dan seterusnya. Jalani setiap putaran sehingga kilang susu kosong.

8. Gunakan tiga jari utama itu pada tangan bersamaan setiap payudara. Contohnya payudara kanan, gunakan tiga jari tangan kanan. Bagi payudara kiri, gunakan tiga jari daripada tangan kiri.


Elakkan!

1. Menekan sambil mendorong/mengheret jari jemari anda. Tindakan ini boleh membuatkan payudara melecet.

2. Menarik-narik puting payudara. Tindakan ini boleh merosakkan lapisan-lapisan lemak pada aerola.

3. Meramas-ramas payudara (squeeze). Tindakan ini akan melukai payudara anda dan memberi kesan kepada kilang susu anda. Payudara juga cenderung bengkak apabila anda melakukannya.

Mengapa Bayi Menangis

Tahukah anda, setiap tangisan bayi mempunyai maksud tersendiri untuk mengungkap keinginannya. Kerana itu perlu untuk anda fahami apakah maksud di sebalik tangisan bayi agar lebih mudah untuk anda menanganinya.

Tangisan merupakan salah satu cara untuk bayi berkomunikasi. Tangisannya tidak semestinya sama sepanjang masa. Anda perlu belajar memahami suara tangisan tersebut agar lebih mudah untuk anda tahu apa yang diinginkan oleh si kecil anda.

Berikut panduan yang boleh anda ikuti untuk memahami tangisan bayi.
  • Lapar - Salah satu sebab mengapa bayi menangis. Tangisan lapar selalunya berpanjangan dan iramanya teratur. Jika dibiarkan, tangisan tersebut akan menjadi semakin kuat. Jika bayi menangis begini terutama setelah anda memberinya makan atau menyusuinya kira-kira satu atau dua jam sebelumnya, ini bermakna bayi anda sudah mula haus atau lapar semula.
  • Lampin Basah - Lampin yang terlalu basah atau sudah kotor dengan najis juga akan membuatkan bayi berasa tidak selesa. Dan mereka hanya dapat menyatakan rasa tidak selesa itu melalui tangisan. Tangisannya lebih kurang sama dengan tangisan lapar, namum tidak terlalu kuat. Jika anda cuba memberinya susu dan dia tidak mahu namum masih menangis, periksalah lampinnya kerana ia mungkin penyebab mengapa bayi anda menangis.
  • Kesejukan - Bayi yang baru lahir akan terasa tenang dan selesa apabila dibedung kerana ia membantu memberi kehangatan pada tubuhnya seperti sewaktu di dalam rahim ibunya. Kerana itu apabila anda membuka bajunya, dia mungkin akan menangis sebagai tanda bahawa dia berasa sejuk dan hilang kehangatan yang diperlukan tubuhnya. Tangisannya kedengaran seperti rintihan. Apabila anda telah membedungnya semula, barulah dia mula berhenti menangis.
  • Tidur Dalam Pelukan - Bayi sudah mula mengenal ibunya sejak dari dalam rahim lagi. Dia mula cam akan suara ibunya, bau tubuh ibunya malah degupan jantung si ibu termasuk bau susu badan anda. Kerana itu bayi senang jika setelah disusui. dia tertidur dalam pelukan anda. Jika menangis setelah dimandikan atau disusui, cubalah dukung dalam pelukan anda untuk mendodoikannya.
  • Keletihan - Bayi yang masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan persekitarannya mudah membuat waktu rehatnya terganggu. Kadangkala gangguan di sekelilingnya juga membuat tidurnya kerap terganggu. Ini membuat bayi berasa letih kerana tidak dapat tidur dengan tenang dan menyebabkannya sentasa menangis dan meragam. Cuba hindari gangguan tersebut dan sebaiknya tempatkan bayi dipersekitaran yang tenang agar tidak mengganggu tidurnya.
  • Banyak Gangguan - Bayi yang kecil dan comel memang mudah menjadi perhatian orang disekelilingnya. Selain anda, ahli keluarga yang lain juga pasti mahu turut sama untuk melayan sikecil anda. Sebentar dia didukung oleh orang ini dan sebentar kemudian beralih ke tangan lain pula. Keadaan ini boleh menyebabkan bayi berasa tidak selesa dan terganggu yang akhirnya menyebabkan dia menangis kerana stimulasi yang berlebihan daripada ramai orang yang tidak dikenalinya. Tenangkan si kecil anda dengan membawanya ke tempat yang tenang untuk membataskan gangguan daripada orang lain.
  • Bosan - Bayi menangis bukan semestinya kerana lapar atau lampin yang basah. Tahukah anda, bayi juga boleh berasa bosan dengan rutin dan persekitaran yang sama dilaluinya setiap hari dan menzahirkannya melalui tangisan. Kerana itu tidak salah jika anda sering membawa bayi keluar berjalan. Persekitaran yang penuh dengan warna warni mudah menarik perhatiannya.
  • Sakit - Tangisan sakit berbeza daripada tangisan lapar. Tangisan sakit kedengaran lebih kuat. Bayi menangis dengan keras dan nada tinggi dan adakalanya seperti menahan nafas kerasa rasa sakit yang dirasakannya. Anda sendiri boleh kenal bahawa si kecil anda menangis kerana sedang menahan kesakitannya. Bawa segera berjumpa doktor.
  • Kolik, Kembung Perut - Secara purata, satu daripada lima bayi akan mengalami kolik pada 3 bulan pertama usianya. Ia menyebabkan bayi asyik menangis hingga 3 jam sehari. Mukanya menjadi kemerahan, perutnya terasa tegang dan menangis sambil menarik atau menegangkan kakinya. Ia lebih kurang sama jika bayi masuk angin atau mengalami kembung perut dan menyebabkannya menangis. Menangani keadaan ini memang agak sukar dan memerlukan kesabaran. Cubalah tenangkannya dengan mendodoikannya sambil mengusap lembut badannya atau menepuk-nepuk punggungnya. Anda juga boleh menyapukan minyak telon pada perutnya.