Archive for June 2011
Latest Updates

Merancang Bayi Kedua

Kebanyakkan ibubapa akan tertanya-tanya bilakah masa yang sesuai untuk mereka mendapatkan anak kedua dan seterusnya. Tempoh dua tahun adalah tempoh masa paling ideal bagi seseorang wanita untuk mula memikirkan tentang kehamilan sekali lagi. Hal ini berikutan tempoh berkenaan memadai untuk tubuhnya kembali pulih daripada segala kekurangan yang dialami seperti zat besi, kalsium dan sebagainya.

Perlu anda maklum, kehamilan sebelum tempoh dua tahun memungkinkan anda menghadapi pelbagai masalah seperti anemia, sakit belakang, gigi cepat rosak dan lain-lain lagi. Hal ini bakal terjadi kerana tubuh belum bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk menghadapi satu lagi kandungan.

Malah, anak pertama mungkin masih kecil dan atau menyusu susu ibu. Apabila hamil lagi, anda perlu menguruskan dia. Pada masa yang sama perlu membahagikan kudrat yang ada untuk tanggung jawab terhadap suami, rumahtangga, kerjaya dan lain-lain hal. Ini termasuklah menjaga kandungan dengan sebaik-baiknya. Sekiranya, anak itu berusia 2 tahun ke atas, sudah tentu dia sudah bercerai susu dan lebih berdikari. Jadi, bebanan yang anda perlu tanggung tidak begitu erat jika hamil lagi.

Walau bagaimanapun, jika ditakdirkan anda hamil awal daripada tempoh yang disarankan, langkah penting untuk anda lakukan ialah memastikan paras Hb mencukupi. Sama juga halnya dengan kalsium. Antara lain, lakukan pemeriksaan gigi dan sentiasa menjaga postur badan. Hal ini amat mustahak untuk diteliti agar dapat mengelakkan sebarang komplikasi yang mungkin boleh terjadi semasa hamil.


Bagi yang pernah hamil secara caesarean, usah bimbang. Anda sudah mula boleh memikirkan soal kehamilan kedua selepas dua tahun kelahiran anak pertama. Selepas tempoh dua tahun tempat jahitan pembedahan diyakini sudah sembuh.

Anda juga boleh menimbang untuk cuba bersalin secara normal. Namun, keputusan yang bakal diputuskan oleh doktor perlu bergantung kepda faktor komplikasi sewaktu proses pelahiran yang dihadapi sebelum ini. Lazimnya, masalah yang biasa dihadapi ialah komplikasi bayi besar. Jika ini penyebabnya, perlu anda tahu bahawa bayi kedua mungkin bersaiz besar lalu memungkinkan anda untuk bersalin secara caesarean sekali lagi.


Sebelum Hamil

  1. Pastikan Hb optimum. Jika mengalami anemia, makan ubat untuk mengatasinya.
  2. Makan asid folik 400mcg sekurang-kurangnya sebelum rancang hamil bagi mengelakkan kecacatan bayi seperti bibir sumbing dan spina bifida.
  3. Jumpa doktor terlebih dahulu jika menghidap penyakit tertentu agar semuanya terkawal.
  4. Jika darah tinggi, perlu ambil ubat tertentu. Perlu tahu, ubat semasa dan sebelum hamil adalah berbeza.
  5. Kalau kencing manis, ubat yang diambil sebelum hamil perlu ditukar kepada insulin.
  6. Sekiranya tiriod, ambil ubat yang selamat. Doktor O&G akan pantau kehamilan anda bersama doktor biasa.
  7. Jika mengalami prolapse disc, kena pastikan tulang berada pada tahap yang selamat sebelum rancang untuk hamil. Sewaktu hamil, doktor pakar tulang akan pastikan tulang belakang mampu bertahan untuk menampung kandungan.
  8. Kalau sakit jantung, ada keadaan di mana membolehkan dan melarang kehamilan. Pastikan anda boleh hamil lagi atau sebaliknya. Sewaktu hamil, jantung dan buah pinggang bekerja lebih kuat jadi ia perlu sempurna untuk menghadapi kehamilan.

Selepas Hamil

  1. Lakukan pap smear selepas 2 bulan kelahiran. Pastikan ketika itu anda tidak haid. Seterusnya ujian yang sama perlu disusuli 1 atau 2 tahun kemudiannya untuk memastikan pangkal rahim kekal sihat.
  2. Minta nasihat doktor tentang kaedah perancang keluarga yang sesuai. Kaedah yang bakal dipilih perlu digunapakai sekurang-kurangnya untuk tempoh 2 tahun.


Risiko Kematian Ibu Ketika Bersalin

Hasil daripada perkembangan teknologi perubatan dan pengetahuan tentang pentingnya menjaga kesihatan semasa hamil, kes kematian semasa bersalin semakin berkurangan. Namun, untuk memastikan kejayaan tersebut berterusan, kerjasama semua pihak sangat penting terutamanya daripada ibu hamil itu sendiri.

Untuk pengetahuan, ada banyak faktor yang boleh menjadi penyebab kematian semasa bersalin. Salah satu dariadanya ialah kurangnya kesedaran tentang pentingnya penjagaan diri semasa hamil. Sikap suka melengah-lengahkan pemeriksaan antenatal ketika awal kehamilan sebenarnya mengundang pelbagai risiko bukan sahaja pada ibu tetapi juga pada bayi yang dikandungi.

Ibu hamil perlu sedar bahawa mereka merupakan golongan yang terdedah kepada bermacam-macam komplikasi kesihatan. Oleh yang demikian, pemeriksaan awal dan rawatan susulan perlu dilakukan untuk memantau tahap kesihatan mereka sepanjang kehamilan bagi mengelakkan risiko kematian ibu ataupun bayi semasa proses kelahiran.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati, berjuta-juta bayi mati pada peringkat akhir kehamilan, kelahiran dan pada minggu pertama dilahirkan. Menyedari hakikat ini, WHO menggariskan empat komponen utama berhubung keibuan yang selamat iaitu amalan perancangan keluarga, penjagaan antenatal, kelahiran yang selamat serta bersih dan penyediaan penjagaan obstetrik asas.

Melalui perancangan keluarga, pasangan suami isteri akan dibekalkan dengan pengetahuan tentang cara untuk menjarakkan anak, bilangan anak yang dicadangkan dan masa yang sesuai untuk hamil. Semasa hamil pula, ibu-ibu akan diberikan penjagaan rapi sepanjang kehamilan agar sebarang risiko penyakit dapat dikesan dan dirawat segera. Faktor kelahiran yang bersih dan selamat pula bergantung pada pengetahuan dan kemahiran pembantu kelahiran selain daripada amalan penggunaan peralatan yang telah dibasmi kuman. Manakala, penyediaan penjagaan obstetrik asas amat penting untuk dinikmati oleh semua wanita yang memerlukan. Matlamat yang ingin dicapai di sini ialah setiap ibu hamil dapat melahirkan anak dengan selamat dan kedua-duanya sihat.


Tumpah Darah Penyebab Utama Kematian

Di Malaysia, penyebab utama kematian ibu semasa bersalin ialah pendarahan berlebihan atau tumpah darah selepas bersalin iaitu sekitar 23 peratus. Tumpah darah ini berlaku akibat kekenduran otot-otot rahim terutamanya di kalangan wanita yang terlalu kerap mengandung dan bersalin. Begitu juga dengan wanita yang telah lanjut usia ketika melahirkan anak. Jika tumpah darah berlaku di kalangan wanita yang mengalami masalah kurang darah, sudah tentulah ketahanan badannya menjadi lemah. Keadaan ini boleh membawa maut.

Ada banyak perkara yang menjadi punca kepada masalah kurang darah di kalangan wanita. Antaranya ialah pemakanan tidak seimbang yang menyebabkan kekurangan kandungan vitamin dan zat khususnya besi. Masalah ini juga mungkin berlaku disebabkan oleh kehamilan dan kelahiran yang terlalu kerap dan tidak diatur dengan betul.

Untuk membina darah, seseorang itu perlukan sumber makanan yang kaya protein dan zat besi seperti hati, daging, ayam, ikan, limpa dan sayur. Sebaiknya sebelum hamil seseorang wanita mesti menentukan tahap darahnya menerusi ujian menyukat paras hemoglobin.


Embolisme Paru-Paru Akut Boleh Membawa Maut

Di Malaysia, masalah embolisme paru-paru akut menjadi cabaran getir bagi para pengamal perubatan yang mengendalikan wanita hamil dan baru bersalin. Kajian menunjukkan bahawa lebih kurang 15 peratus kes kematian ibu hamil dan baru bersalin berpunca daripada masalah embolisme paru-paru akut disebabkan oleh dua punca.

Pertama ialah gumpalan darah beku atau deep vein thrombosis yang terbentuk pada betis atau pinggul ibu hamil. Gumpalan darah beku ini terjadi akibat pengaliran darah pada bahagian tersebut tidak lancar disebabkan oleh tekanan kandungan. Risiko ibu hamil mengalami masalah ini empat kali ganda berbanding wanita biasa.

Punca keduanya pula ialah air ketuban yang memasuki saluran darah ibu ketika bersalin atau amniotic fluid embolisme. Keadaan ini tidak menyebabkan salur darah tersumbat secara mutlak sebaliknya reaksi anafilaksis (tindak balas abnormal terhadap antigen tertentu) yang menjadi saluran paru-paru menyempit dan akhirnya tertutup. Kadar kematian akibat masalah ini sangat tinggi dan sehingga kini cara terbaik merawatnya belum dapat dikenal pasti.

Kedua-dua punca di atas menyebabkan ibu hamil yang mengalaminya sesak nafas, tekanan darah menurun, kadar nadi meningkat secara drastik, pucat, tidak bermaya dan tidak sedarkan diri. Atas alasan ini, individu atau suami yang mengiringi ibu hamil semasa bersalin perlu prihatin dan memantau keadaannya semasa dan selepas bersalin.

Jika hal ini berlaku, segeralah dimaklumkan kepada jururawat dan doktor yang bertugas agar rawatan segera dapat diberikan. Akan tetapi, sekiranya masalah ini berlaku di rumah, pastikan ibu tersebut diberikan bantuan pernafasan sementara menunggu bantuan dari hospital tiba.

Bagi ibu hamil, faktor seperti umur, bilangan kehamilan yang banyak, kandungan kembar dan kehadiran penyakit-penyakit lain seperti penyakit jantung akan menambah risiko. Kaedah merawat penyakit ini bergantung pada puncanya. Jika disebabkan oleh gumpalan darah beku, maka rawatan yang akan diberikan ialah dengan cara fibrinolysis iaitu menghancurkan gumpalan darah beku tersebut. Tahap kejayaan penggunaan kaedah ini amat tinggi tetapi perlu disusuli dengan ubat untuk mencairkan darah bagi mengelakkan masalah berulang. Sekiranya disebabkan air ketuban, ibu tersebut akan diberikan bantuan pernafasan ventilasi dan ubat untuk menyokong tekanan darah optimum.


Info

Berdasarkan Laporan Tabung kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada tahun 2009, kira-kira 500,000 wanita di seluruh dunia maut akibat komplikasi mengandung dan melahirkan anak setiap tahun. Di Malaysia, risiko kematian ibu ialah satu dalam 560. Angka ini nyata lebih baik berbanding kebanyakan negara Asia Tenggara yang lain. Misalnya di Indonesia, kematian ibu adalah datu dalam 97, di Filipina, satu dalam 140 manakala di Thailand, satu dalam 500. Semua ini hasil kemudahan kesihatan negara ini yang semaikn baik dari masa ke semasa.

Tingkatkan Penghasilan Susu

Dalam usaha menyusukan bayi, anda perlu sematkan 2B dalam minda iaitu payudara (breast) dan bayi (Baby). Gabungan kedua-duanya sedikit sebanyak membolehkan anda memastikan bekalan susu ibu meningkat dan terus berkekalan sepanjang tempoh berpantang.

Rahsianya mudah sahaja. Sudah semestinya anda memerlukan payudara dan paling penting bayi untuk disusukan. Seperti yang umum sedia maklum, payudara perlu mendapat lebih banyak rangsangan daripada bayi bagi meningkatkan penghasilan susu. Selanjutnya, anda perlu melakukan beberapa perkara penting lain dalam usaha membuahkan hasil seperti yang diimpikan.


1. Kerapkan Menyusu

Susukan bayi sekurang-kurangnya setiap 3 jam pada siang hari. Jika bayi tidur lebih daripada 3 jam, kejutkan dia untuk menyusu. Pada waktu malam pula, kejutkan bayi untuk menyusu tambahan terutamanya jika dia tidur lebih daripada 4-5 jam.


2. Jangan Tunggu Payudara Penuh

Ada sesetengah wanita suka menjadikan payudara penuh sebagai petunjuk bahawa bayinya perlu disusukan. Itu salah! Yakinlah bahawa payudara sentiasa mengandungi susu dan apabila bayi disusukan, ia akan bekerja keras untuk menghasilkan lebih banyak susu. Kajian menunjukkan bahawa tahap lemak dalam susu adalah lebih tinggi apabila tempoh antara satu penyusuan dengan yang lain adalah singkat. Ini bereti, jika anda menyusukan bayi beberapa minit selepas selesai menyusukan bayi (ketika anda beranggapan payudara "kosong"), dia akan memperoleh susu tinggi kandungan lemak yang dapat membantunya menambah berat badan.


3. Menyusu Lebih Lama

Jangan hadkan masa setiap kali menyusukan bayi di sebelah payudara. Biarkan dia menyusu sebelah bahagian sehingga puas sebelum menawarkannya menyusu di bahagian payudara yang lain. Ini akan memberinya peluang untuk mendapatkan susu berlemak tinggi (hindmilk). Jika anda terlalu cepat menawarkan payudara sebelah lagi, dia hanya mendapat foremilk, di mana hanya perutnya sahaja yang penuh tetapi tidak memberi kalori mencukupi untuk tumbesarannya.


4. Penyusuan Dua Kali

Selepas anda menyusukan bayi, sendawakan dia. Langkah ini menjurus ruang di dalam perutnya untuk memuatkan lebih banyak susu. Kemudian, susu dia semula. Cara ini turut merangsang payudara untuk menghasilkan lebih banyak susu.


5. Bogelkan Bayi

Sewaktu menyusu, bogelkan bayi bayi (kecuali lampinnya). Sentuhan kulit ke kulit membantu bayi kekal sedar daripada lena. Untuk memaksimumkan sentuhan kulit, buka coli dan pakai baju yang mempunyai butang di bahagian depan. Bagi mengelakkan bayi kesejukkan pula, selimutkan dia ketika menyusu.


6. Penyusuan Malam

Amalan menyusukan bayi di waktu malam sangat bagus kerana ia merangsang peningkatan susu. Ini kerana di waktu malam, anda berdua lebih relaks lalu membolehkan bayi menyusu lebih lama dan kerap. Penyusuan malam turut merangsang hormon prolaktin yang memainkan peranannya menghasilkan lebih banyak susu.


7. Penyusuan Baby Sling

Bayi memang suka jika berada dekat dengan anda. Secara tidak langsung, ia boleh merangsang dia untuk kerap menyusu. Jadi, gunakan baby sling di antara waktu penyusuan walaupun ketika itu dia sedang tidur. Pasti anda terkejut apabila mendapati dengan cara ini dia menyusu dengan lebih baik.


8. Fikir Bayi Fikir Susu

Ketika menyusu, belailah bayi. Amalan ini dikenali sebagai grooming. Langkah ini tanpa disedari merangsang penghasilan susu. Antara lain, di antara waktu penyusuan dan sejurus sebelum sesi penyusuan bayangkan bayi sedang menyusu di payudara anda. Cara ini, akan merangsang payudara untuk mengeluarkan lebih banyak susu.


9. Urutan

Teknik urutan payudara yang betul akan membantu susu mengalir dengan lancar. Apatah lagi sewaktu anda mengalami bengkak susu ataupun sakit puting. Untuk itu, anda perlu menuam payudara dengan tuala yang telah direndam di dalam air suam. Anda boleh pelajari teknik mengurut menerusi www.breastfeeding.com


10. Minum Air

Pastikan anda minum banyak air sepanjang tempoh penyusuan mahupun pemerahan susu. Anda digalakkan minum 3.1 liter air iaitu kira-kira 13 cawan setiap hari.


Info

Susukan bayi sekerap mungkin iaitu 10 -12 kali dalam temph 24 jam.

Mula perah dari hari ke 4 selepas kelahiran. Namun, hal ini bergantung kepada penghasilan susu matang.

Perah setiap 3 jam. Jika bayi mahu menyusu ketika memerah, berhenti. Susukan dia dan kemudian sambung semula sesi pemerhan susu.

Tidak sesekali memberi bayi, susu perahan menggunakan botol. Sebaliknya hanya susukan terus daripada payudara.

Percaya kepada konsep bekalan dan permintaan. Semakin kerap kosongkan payudara semakin banyak susu dihasilkan.

Berdisplin ketika memerah susu. Jangan sesekali "ponteng" sesi pemerahan.

Kerapkan sesi pemerahan sekitar jam 12 tengah malam hingga 6 pagi. Ini kerana hormon prolaktin banyak dihasilkan ketika ini.

Pastikan bayi disusukan sejam pertama selepas kelahiran. Saat ini amat penting untuk memastikan penghasilan susu seterusnya.

Pengambilan suplemen dibolehkan tetapi pastikan ia daripada bahan alami yang tidak menyebabkan bayi mengalami kembung perut. Antaranya moringay (daun kelo).

Latih diri untuk menyusu dan perah susu serentak menggunakan pam payudara elektrik.

Jadikan teknik Marmet sebagai amalan wajib kerana ia terbukti boleh menghasilkan lebih banyak susu. Dengan hanya menggunakan pam, cuma 60 - 70% susu boleh dikumpul tetapi dengan teknik Marmet selepas menggunakan pam, ia dapat mengoptimumkan pengumpulan susu anda sehingga 100%.

Pastikan payudara benar-benar kosong selepas menyusukan bayi / selepas memerah bagi merangsang otak meghasilkan susu seterusnya. Ia dapat dipastikan dengan hanya titisan susu yang keluar.

Menjarakkan Kehamilan

Menjarakkan kehamilan bukan lagi satu perkara yang menjadi tabu kepada masyarakat di Malaysia kini. Kos sara hidup yang semakin meningkat ditambah dengan kesibukan kerja menyebabkan bilangan ahli keluarga kini semakin mengecil berbanding 20 tahun dahulu.



Lantaran itu tidak hairanlah kebanyakan pasangan suami isteri terutama golongan muda memilih untuk merancang keluarga bagi menjarakkan kehamilan atau pun mengehadkan bilangan anak.



Dengan perkembangan dunia perubatan yang semakin maju, sebenarnya tiada lagi istilah ‘termengandung’ yang biasa digunakan oleh kaum wanita sebagai alasan setiap kali hamil lagi.



Pelbagai kaedah merancang keluarga yang selamat, berkesan, mudah diguna, tiada kesan sampingan dengan kadar kos yang berpatutan mudah didapati kini.



Sama ada kaedah yang digunakan bersifat sementara atau kekal, perancangan keluarga sebenarnya bermanfaat untuk kesihatan ibu dan anak serta memberi kesejahteraan kepada keluarga secara keseluruhannya.



Jika masyarakat dahulu menggunakan kaedah tradisional seperti memakan air rebusan akar kayu atau jamu untuk mengelak hamil, kemunculan pil kontrasepsi dan kondom turut memberi ‘kelegaan’ bagi pasangan yang ingin merancang keluarga. Dan kini dengan hadirnya pelbagai lagi jenis kontrasepsi yang selamat, berkesan, mudah digunakan dan murah menjadikan perancangan keluarga bukan lagi perkara yang sukar.



Antara kaedah terkini yang semakin mendapat perhatian namun belum digunakan secara menyeluruh adalah implanon.



“Implanon adalah alat kontrasepsi berbentuk rod kecil yang dipasang hanya di bawah lapisan kulit (subdermal) di bahagian tengah lengan atas.



Ia boleh menghalang kehamilan sehingga tiga tahun dan tidak memerlukan sebarang tindakan harian,” kata Dr. Hamizah Mohd. Hassan dari Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).



Menurutnya lagi, implanon adalah kaedah halangan yang sangat berkesan dengan kurang daripada satu peratus kegagalan dilaporkan. Kebanyakan kegagalan yang berlaku adalah disebabkan kedudukan implanon yang tidak tepat. Wanita yang memakai implanon akan subur semula selepas tiga minggu alat tersebut dibuka malah implanon juga tidak mengganggu hubungan seks seperti sesetengah kontrasepsi.



Setiap rod implanon mengandungi etonogestrel. Ia bertindak melepaskan hormon progestin pada paras yang tetap sepanjang hayatnya.



“Implanon sesuai untuk ibu-ibu yang sedang menyusukan bayi mereka,” jelasnya.



Kata Dr. Hamizah, implanon juga bertindak dengan cara memekatkan mukus serviks yang mana dengan sendirinya menghalang kemasukan sperma ke dalam tiub fallopian.



Dengan ini, gangguan berlaku di bahagian endometrium sekretori yang mana ia menjadi nipis dan tidak membenarkan ovulasi berlaku.



Mungkin kedengaran agak menakutkan apabila rod implanon perlu dimasukkan di bawah lapisan kulit menggunakan trokar, namun menurut Dr. Hamizah, kaedah ini paling sesuai memandangkan ia kekal sepanjang pemakaian dan tidak memerlukan penjagaan yang melecehkan.



“Kalau dengan cara pil misalnya wanita tersebut mungkin akan terlupa,” katanya.



Namun begitu pemakaian implanon juga mempunyai beberapa kesan sampingan seperti kesan pendarahan atau haid yang tidak dijangka.



Menjawab pertanyaan, Dr. Hamizah berkata, ada ketikanya berlaku kesan pendarahan tidak dijangka ketika penggunaan atau selepas tiga hingga empat bulan penggunaan.



Katanya, 50 peratus pemakai mungkin tidak mengalami haid atau mengalami sedikit sekali-sekala, 40 peratus mendapat pusingan haid yang normal manakala 10 peratus mengalami pendarahan banyak dan membebankan. Jika perkara ini berlaku, doktor akan menasihatkan supaya implanon ditanggalkan.



Implanon juga boleh menyebabkan komplikasi jangkitan setempat sebanyak satu peratus. Kesan-kesan yang biasa adalah berlaku lebam di sekitar kawasan kemasukan. Ada juga komplikasi berlaku ketika implanon ingin ditanggalkan terutama jika rod melebihi sebatang.



Masalah-masalah yang biasa dialami ketika menggunakan kontrasepsi lain seperti pening kepala, jerawat dan pertambahan mungkin juga boleh berlaku kepada pemakai implanon.



Namun sehingga kini belum ada pengesahan sama ada implanon boleh mengubah risiko seseorang wanita terhadap kanser payu dara.



Siapa yang boleh menggunakan implanon?



Wanita yang mahukan kaedah yang mudah, berkesan, mudah dipasang dan ditanggal, mudah kembali untuk subur, kekal di tempat di mana ia dipasang, tidak perlu melakukan sesuatu terhadap kontrasepsi yang dipakai, tidak memakai sebarang kontrasepsi lain dan alah kepada estrogen sintetik.



Siapa yang tidak boleh menggunakan implanon?



Wanita yang mempunyai tumor thromboembolic disorder progestogen dependent (sama ada sudah mengetahuinya atau disyaki), mempunyai sejarah lalu atau semasa penyakit hepatik yang teruk seperti fungsi hati tidak kembali kepada normal, tumor hati benign atau malignant, carcinoma di dada, sedang hamil atau mengalami pendarahan vagina.



Fakta mengenai implanon:



l berbentuk rod sepanjang 4 sm x 2 mm, mengandungi 68 miligram gonane progestin etonogestrel.



l implanon boleh dikeluarkan pada bila-bila masa namun penggunaannya perlu dihadkan sehingga tiga tahun sahaja.



l mula sekali diperkenalkan di Indonesia pada 1998, kemudian diluluskan penggunaannya di 30 negara lain dan kini telah dipakai oleh lebih 2.5 juta wanita seluruh dunia.



Cara pemakaian:



Anestetik disuntik pada bahagian lengan atas dan kemudian alat trokar seperti jarum digunakan untuk memasukkan rod implanon di bawah lapisan kulit. Prosedur ini hanya mengambil masa beberapa minit. Hanya doktor berpengalaman dibenarkan melakukan prosedur ini bagi mengurangkan risiko kerosakan saraf atau diletakkan di tempat yang tidak betul yang akhirnya menyebabkan kehamilan yang tidak diingini. Hanya 3.6 peratus pemakai implanon pernah mengalami komplikasi setempat termasuk bengkak, kemerahan, hematoma dan kesakitan.



Mengapa perlu perancang keluarga?



Kata Dr. Hamizah, kaedah perancangan keluarga adalah untuk menjarakkan kehamilan atau mengehadkan bilangan anak sama ada secara sementara atau kekal.



“Perlu diingat bahawa kaedah perancangan keluarga bukan bererti tidak mahu anak,” katanya.



Menurut Dr. Hamizah, seseorang yang mengamalkan perancangan keluarga adalah bersebab seperti menghidap kanser yang memerlukan rawatan, hamil berisiko, kahwin ketika usia terlalu muda atau usia lewat atau memiliki anak terlalu ramai dengan jarak yang rapat.



Jelasnya lagi, fatwa daripada Majlis Fatwa pada 1981 menetapkan bahawa kontrasepsi untuk mengurangkan bilangan anak adalah haram kecuali atas sebab-sebab yang mengharuskannya dan perlulah dilakukan dengan cara tidak kekal atau tidak memandulkan.



“Keadaan yang diharuskan adalah isteri terlalu lemah atau sakit, pasangan ada penyakit keturunan, isteri mengandung terlalu kerap atau masih menyusu bayi dan kandungan menyebabkan gangguan mental terhadap ibu.



“Merancang keluarga adalah bersifat sementara, menjarakkan anak kerana kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga adalah harus,” katanya menjelaskan mengenai fatwa tersebut.



Jenis-jenis kaedah perancang keluarga:



1. Tradisional



Penggunaan jamu, herba dan ubatan tradisional masyarakat lama.



2. Semulajadi



Mengunakan kaedah masa selamat, suhu badan (masa subur/ tidak subur), mukus serviks (perubahan kepekatan dan warna) dan azal (mencabut zakar sebelum ejakulasi). Peratus kegagalan tinggi kerana sukar menentukan waktu kesuburan yang tepat.



3. Halangan



Penggunaan kondom (lelaki/ wanita), diafram, kap serviks dan spermisid (bunuh sperma). Kegagalan masih boleh berlaku.



4. Hormonal



Pil, suntikan, implanon, tampalan (belum ada di Malaysia) dan gegelang vagina (belum ada di Malaysia). Kesuburan baik pulih selepas kontrasepsi dihenti atau ditanggalkan.



5. Kontrasepsi darurat



Pil mencegah kehamilan selepas satu persetubuhan yang tidak dilindungi. Perlindungan berkesan 72 jam selepas persetubuhan, kurang berkesan selepas itu dan boleh diambil untuk tempoh 120 jam (lima hari).



6. Alat dalam rahim (ADR)



Alat yang dimasukkan dalam rahim dan dibiarkan untuk tempoh tertentu. Diperbuat daripada polietelin dan kuprum. Berkesan antara tiga hingga lima tahun bergantung kepada luas permukaan kuprum. Peratus kegagalan 0.16 kehamilan dalam 100 wanita setahun.



7. Pemandulan



Lelaki (vasektomi- mengikat saluran vas deferens) dan wanita (pembedahan untuk mengikat kedua-dua saluran tiub fallopian).



Menurut Majlis Fatwa pada 1981, memandulkan perempuan atau lelaki adalah haram kerana dianggap kontrasepsi kekal. Namun pengecualian diberi dengan bersebab; wanita itu tidak boleh menggunakan sebarang kaedah lain atas alasan kesihatan yang mana hamil boleh membahayakan nyawanya sendiri.



Nasihat doktor kepada mereka yang ingin merancang keluarga?



Dapatkan rundingan daripada pakar mengenai kaedah yang bersesuaian. Jangan dengar cadangan orang lain selain doktor kerana tidak semua kaedah sesuai dengan semua orang.