Archive for May 2011
Latest Updates

Petunjuk Kesuburan

Ketahui bagaimana anda dapat mengenal pasti hari subur bagi melancarkan usaha merancang kehamilan. Kitaran haid antara seorang wanita dengan wanita yang lainnya tidak sama. Ini kerana isu berkaitan haid dapat dikategorikan sebagai suatu fenomena yang kompleks. Oleh kerana itulah, tidak seorang pun dapat mengetahui bilakah sebenarnya hari subur bagi setiap individu.

Terdapat 3 Perkara Yang Perlu Anda Ketahui Dalam Usaha Untuk Hamil

1. Waktu subur iaitu waktu di mana anda mengeluarkan benih iaitu ovum supaya dapat disenyawakan dengan benih suami yang dikenali sebagai sperma.

2. Suami perlu mempunyai sperma yang sihat dan berkualiti.

3. Saluran tiub fallopio anda mestilah tidak tersumbat dan dapat berfungsi dengan baik agar dapat menemukan sperma dan ovum.

Dalam pada itu, waktu subur ialah waktu di mana ovum dikeluarkan daripada ovari. Proses pengeluaran tersebut dikenali sebagai ovulasi. Setelah berlakunya ovulasi, struktur jejari tiub fallopio akan mengaut masuk ovum ke dalam saluran supaya ia dapat bertemu dengan sperma bagi memulakan proses persenyawaan.

Ovum hanya mampu hidup selama 24 jam sebelum gugur setelah tiada persenyawaan berlaku. Atas alasan inilah, anda digalakkan untuk melakukan hubungan intim pada hari berlakunya ovulasi. Untuk membantu anda mengetahui hari subur terdapat beberapa tanda atau direct indicator yang oleh menentukan hari subur.


Perubahan Suhu Basal Badan

Ini dapat anda lakukan dengan mencatat suhu basal badan (BBT). Ia adalah bacaan suhu badan yang diukur pada waktu awal pagi. Langkah ini lebih mudah jika disertai dengan penggunaan alat jangka suhu digital. Kebanyakkan alat jangka suhu digital dibekalkan dengan graf yang sesuai untuk mencatatkan BBT. Untuk makluman, alat jangka suhu raksa tidak sesuai digunakan kerana ia sukar dibaca. Bacaan yang kurang tepat akan menyukarkan anda mencari waktu subur yang tepat. Anda boleh mula mencatatkan suhu badan pada hari pertama haid. Ukuran hendaklah dibuat sebaik sahaja anda bangun dari tidur sebelum memberus gigi ataupun berkumur.

Pada hari berlakunya ovulasi, suhu badan anda akan melonjak sehingga 36.7 darjah selsius (atau lebih daripada itu) dan tidak akan turun lagi daripada suhu berkenaan. Inilah yang dikatakan petanda hari subur. Hari ini jugalah dikatakan amat sesuai untuk anda berdua berusaha mendapatkan cahaya mata.

Namum, hari ovulasi akan berubah-ubah dari satu bulan ke bulan yang lainnya mengikut kitaran haid setiap wanita. Sementara itu, catatan BBT tidak akan tepat jika anda mengalami demam, tidak cukup tidur atau mengalami penyakit tertentu seperti thyrooxiicosis. Catatan BBT juga bukanlah 100% tepat bagi setiap wanita. Ini kerana suhu badan wanita berkenaan mungkin tidak melonjak naik biarpun pada hari berkenaan adalah hari ovulasi berlaku.

Bagi wanita yang mengalami masalah kesuburan, BBT akan menunjukkan suhu badan yang rendah setiap pagi. Jika mengalami kes sebegini, anda perlu merujuk kepada doktor pakar sakit puan.


Pemeriksaan Bendalir Pangkal Rahim

Biasanya, ketika waktu subur, bendalir pangkal rahim anda akan menyerupai putih telur mentah. Ia dihasilkan dalam jumlah yang banyak dan jernih (tanpa warna).

Setelah ovulasi selesai, bendalir pangkal rahim akan menjadi semakin pekat, kental dan berwarna keputihan dan kuantitinya semakin berkurangan. Anda dapat melakukan pemeriksaan ini dengan melihat kehadiran bendalir berkenaan yang melekat di atas seluar dalam ataupun dari kawasan faraj.


Pemeriksaan Posisi Pangkal Rahim

Pemeriksaan ini dapat anda lakukan dengan menyentuh pangkal rahim sendiri. Apa yang perlua anda lakukan ialah memasukkan jari hantu (pastikan ia benar-benar bersih) ke dalam faraj. Ketika hari subur, pangkal rahim terletak tinggi di dalam faraj dan terasa lembut. Namum, jika anda kurang yakin dengan pemeriksaan ini, jangan lakukannya sendiri.


Penggunaan Alat Clear Plan

Lazimnya, alat ini digunakan oleh wanita yang sedang menjalani rawatan kesuburan. Harganya agak mahal dan seharusnya digunakan setelah mendapat nasihat daripada doktor pakar. Clear plan didatangkan dalam bentuk urine stick iaitu setiap satu keping digunakan untuk menguji air kencing pada setiap pagi sepanjang proses rawatan dilakukan. Ia bagi menguji tahap hormon LH di dalam ai kencing anda.

Hormon LH dari kelenjar pituitari akan meningkat sekali dalam sebulan pada hari subur. Peranan hormon LH ialah memberitahu ovari untuk mengeluarkan ovum apabila tiba masa untuk ovulasi. Kebiasaannya ovulasi berlaku selepas 36 jam. Oleh itu, apabila Clear plan menunjukkan keputusan positif, ini menandakan hormon LH telah meningkat dan ovulasi dianggarkan akan terjadi dalam tempoh 36 jam kemudiannya. Walau bagaimanapu, penggunaan alat ini boleh terjejas keputusannya jika anda sedang menyusukan bayi atau mengalami penyakit organ hati, ginjal atau polycystic ovarion syndrome.


Fasa Kitaran Haid

Hari 1 - 4
Merupakan fasa pengeluaran darah haid. Biasakan diri untuk mencatat hari pertama hingga terakhir haid pada kalendar, diari atau buku catatan terutamanya jika merancang hamil.

Hari 5 - 13
Fasa di mana hormon estrogen mula meningkat. Darah akan berkumpul di dinding rahim dan menebal sebagai persediaan kehamilan. Ovum yang berada di dalam ovari kini semakin matang.

Hari 15 - 28
Fasa di mana ovuk dilepaskan. Begitu juga dengan hormon progestron yang menyebabkan dinding rahim semakin menebal. Jika tidak berlaku persenyawaan, hormon progestron berkurangan dan dinding rahim akan runtuh sebagai haid.


Rujuk link ini bagi anda yang merancang kehamilan
1. Rahsia Mudah Hamil
2. Panduan Senang Hamil

Idealkah Berat Bayi Anda?

Melihat bayi yang sihat atau montel memang membuat kita rasa geram. Namum pernahkah anda terfikir apakah berat tubuh bayi anda adalah berat yang ideal dan bersesuaian dengannya? Jangan terlalu asyik dan suka bila melihat tubuh bayi semakin montel kerana jika alpa, bermakna anda membiarkan risiko obesiti menghampiri bayi anda.

Berat Ideal

Berat bayi yang normal sewaktu lahir adalah 2.5 kilogram ke atas. Jika kurang dari angka itu, bermakna bayi lahir dengan berat tubuh yang kurang. Kenaikan berat tubuh bayi yang normal dan sihat boleh dilihat dalam 3 bulan pertama. Pada usia 1 hingga 3 bulan, kenaikan berat tubuh yang normal adalah antara 150 - 250 gram seminggu. Pada usia 4 - 6 bulan pula, kenaikan berat badannya haruslah antara 350 - 450 gram sebulan. Pada usia antara 10 hingga 12 bulan pula, berat badan si kecil sebaiknya bertambah antara 250 - 350 gram sebulan.

Antara 1 hingga 6 bulan, pertambahan berat tubuh bayi biasanya berlaku dengan cepat. Apabila masuk usia 6 bulan ke atas, pertambahannya akan mula perlahan. Salah satu faktornya kerana bayi sudah mulai aktif bergerak. Hati-hati jika bayi yang berusia lingkungan 4 bulan hanya mengalami pertambahan berat tubuh kurang dari 200 gram seminggu, itu bermakna bayi mungkin menghadapi masalah kurang makan.

Bayi Sihat Vs Obesiti

Selalunya orang menyangka bayi yang montel dan berisi adalah bayi yang sihat tanpa disedari bahawa bayi itu berisiko menuju ke arah obesiti. Bayi akan menjadi gemuk jika jumlah makanan yang diambil melebihi dari keperluan tubuhnya. Kalori yang berlebihan akan terkumpul dan tersimpan menjadi lemak. Sel-sel lemak ini akan membesar dan melebihi dari jumlah yang dimiliki oleh bayi dengan berat tubuh yang normal.

Selalunya, si kecil yang tergolong gemuk mempunyai selera makan yang tinggi kerana telah diajari dengan tabiat pemakanan sebegitu. Kerana itu si kecil yang berat tubuh berlebihan selalunya sukar untuk turun berat badan kerana mempunyai nafsu makan yang tinggi.

Anda perlu risau dengan fenomena ini kerana obesiti berisiko menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan dan penyakit. Si kecil yang obesiti berisiko mendapat hipertensi (darah tinggi), diabetes dan gangguan ortopedik.

Diet Pada Bayi

Sebaiknya bayi yang baru lahir hingga berusia 6 bulan diberi susu ibu berbanding susu formula. Ini kerana susu lembu mempunyai kadar lemak yang lebih tinggi dari susu ibu. Diet pada anak yang berusia 1 tahun ke bawah seeloknya dilakukan setelah mendapat konsultasi doktor. Mengurangkan jumlah makanan yang diambil bukanlah satu tindakan bijak kerana si kecil sedang dalam proses tumbesaran dimana dia amat memerlukan gizi yang baik untuk tubuhnya.

Sebaiknya berikan anak makanan yang mengandungi serat yang tinggi dan paling penting, elakkan dari makanan yang manis, berlemak dan juga makanan segera.

Keguguran

Tidak semua kehamilan berakhir seperti yang dirancang. Ada banyak kes yang janin tidak mampu bertahan lama dalam kandungan atas sebab-sebab tertentu. Oleh itu, bersedialah dengan segala kemungkinan yang bakal datang.

Keguguran secara umumnya dianggap sebagai kematian janin secara tiba-tiba iaitu tanpa disengajakan. Masalah ini biasanya berlaku dalam tempoh 20 minggu pertama kehamilan (ada pendapat yang menyatakan 24 minggu pertama). Untuk pengetahuan, keguguran adalah satu perkara yang sudah terlalu biasa. Dalam setiap empat orang wanita yang disahkan hamil, seorang daripada mereka ada potensi untuk mengalami keguguran.

Dianggarkan, antara 15 hingga 20 peratus kehamilan berakhir dengan keguguran yang kebanyakkannya berlaku ketika trimester pertama dan awal trimester kedua. Masalah ini juga sering berlaku kepada wanita yang tidak sedar dirinya hamil.

Hakikatnya, penyebab utama masalah ini masih belum diketahui secara spesifik. Namun, diakui ada banyak faktor yang boleh menjadi penyumbang. Dan antaranya ialah:
  • Peningkatan usia terutamanya setelah berusia 35 tahun dan ke atas.
  • Pernah mengalami keguguran lebih daripada dua kali sebelum ini.
  • Mengambil nonsterroidal anti-inflammatory drug (NSAID) pada peringkat awal kehamilan.
  • Merokok semasa hamil.
  • Minum minuman keras dan mengambil dadah ketika hamil.
  • Terdedah kepada bahan kimia berbahaya seperti aesenic, benzene atau formaldehyde sebelum ataupun semasa hamil.
  • Terlalu banyak minum minuman berkafein keika mengandung.
  • Berhadapan dengan penyakit atapun jangkitan semasa hamil.
  • Trauma fizikal.
  • Sistem imun badan menolak kehamilan.
  • Kandungan asid folik yang terlalu rendah.
Tanda-tanda berlakunya keguguran ialah pendarahan dan sakit pada bahagian abdomen. Kesakitan yang dirasai bermula pada bahagian bawah belakang badan dan kemudiannya bahagian abdomen akan terasa kejang.


Keguguran Separuh

Adakalanya keguguran tidak menunjukkan tanda yang ketara. Hanya keluar sedikit darah dari faraj. Akan tetapi, apabila pemeriksaan ultrasound dilakukan terdapat gumpalan daging tetapi tanpa denyutan jantung.

Dalam keadaan ini, gumpalan daging itu perlu dikeluarkan dan rahim perlu dicuci melalui proses D&C (Dilatation and Curettage). Kaedah ini turut dilakukan bagi kes sebahagian sahaja tisu kandungan yang keluar semasa terjadinya keguguran.


Keguguran Sempurna

Terdapat juga keguguran yang mana kesemua kandungan telah keluar daripada uterus. Lazimnya, jika masalah ini berlaku, anda akan dapat merasakan kesakitan yang melampau pada bahagian abdomen. Pada masa yang sama, terdapat ketulan darah dan tisu badan keluar daripada faraj. Setelah pemeriksaan ultrasound dilakukan, tiada lagi kantung dalam uterus.

Jika berlaku pendarahan dan bahagian abdomen anda berasa kejang, segeralah berjumpa doktor. Anda dinasihatkan agar menyimpan tuala wanita yang sudah dipakai untuk memudahkan doktor memeriksa apakah yang sebenarnya keluar dari faraj anda. Selain itu, pemeriksaan ultrasound turut memainkan peranan dalam memastikan adakah anda benar-benar mengalami keguguran ataupun tidak.


Pencegahan Semulajadi

Dalam sesetengah kes, keguguran adalah satu cara pencegahan semulajadi terhadap kelahiran janin yang tidak sempurna. Keguguran juga boleh disebabkan oleh masalah kesihatan tertentu. Sememangnya, kehamilan seterusnya tidak akan terjejas. Akan tetapi, atas faktor kesihatan, anda dinasihatkan agar berehat sekurang-kurangnya selama enam bulan sebelum merancang untuk hamil lagi.


Kelemahan Pangkal Rahim (Cervical Incompetence)

Bukan semua wanita bernasib baik yang mana kandungannya tidak mempunyai masalah sehingga melahirkan. Antara masalah yang dihadapi dalam tempoh kehamilan adalah kelemahan pangkal rahim (cervical incompetence). Dalam keadaan biasa, leher rahim berkeadaan tertutup sehingga tiba masanya untuk melahirkan. Akan tetapi, keguguran kerap terjadi selepas bulan ketiga kehamilan yang mungkin disebabkan oleh rahim yang lemah. Keadaan ini juga dikenali sebagai kelemahan pangkal rahim (cervical incompetence).

Rahim yang bermasalah boleh menyebabkan keguguran antaranya ialah rahim yang mengalami banyak kecederaan atau parut sekali gus mungkin menghadapi risiko masalah kelemahan pangkal rahim.

Kecederaan pada dinding rahim menjadikan ia sukar untuk menampung janin dengan kuat. Keguguran yang disebabkan oleh kelemahan pangkal rahim boleh dikesan dengan beberapa tanda amaran. Sesetengah wanita menunjukkan simptom-simptom sakit pada bahagian belakang atau lelehan yang banyak pada faraj tetapi ia mungkin tidak banyak atau tiada pendarahan atau kesakitan.


Sebab-Sebab Berlaku
  • Pernah mengalami kelemahan pangkal rahim sebelum ini.
  • Kecederaan daripada pembedahan sebelum ini.
  • Pembedahan pangkal rahim.
  • Pernah melakukan D&C (cuci rahim).
Jika pangkal rahim rosak pula, ia tidak boleh bertahan ketika anda mengandung. Rahim membesar tanpa pengecutan atau kesakitan, kadangkala ia terbuka sepenuhnya dan mengakibatkan bayi lahir sebelum tiba waktunya.


Rawatan

Seseorang wanita yang mengalami keadaan ini perlu segera mendapatkan nasihat doktor untuk mengetahui apakah rawatan yang perlu diambil untuk menyelamatkan dia dan bayinya.

Umumnya, doktor akan melakukan rawatan melalui pembedahan yang dikenali cerclage (menjahit rahim agar tidak terbuka). Jahitan ini adalah untuk memastikan rahim tertutup rapat.

Kebiasaanya ia dilakukan selepas minggu ke12 kehamilan jika wanita itu berkemungkinan mengalami keguguran. Tetapi rawatan ini tidak boleh dilakukan jika membrane pecah atau terdapat jangkitan. Selepas pembedahan, pemeriksaan dan pemantauan dilakukan untuk mengelak sebarang masalah jangkitan. Jahitan akan dibuka semula sebaik sahaja kontraksi bermula pada minggu-minggu terakhir kehamilan.


Susu Ibu Khasiat Terbaik

Susu ibu adalah makanan yang terbaik bagi bayi anda. Kolostrum yang dihasilkan oleh payudara ibu pada beberapa hari pertama akan membekalkan antibodi buat bayi anda melawan jangkitan.

Proses penyusuan adalah suatu kepuasan. Memutuskan sama ada hendak memberikan bayi susu botol atau susu badan adalah terletak di tangan anda. Hanya anda yang layak menentukannya.

Sekiranya anda berura-ura memberikan susu botol kepada bayi yang bakal dilahirkan, seeloknya lupakan hasrat tersebut kerana anda tidak akan mampu mengubah cara penyusuan botol kepada kaedah penyusuan ibu kerana tanpa rangsangan penyedutan dari bayi anda, payudara akan berhenti menghasilkan susu.

Penyusuan pertama bayi akan dimulakan dengan menjilat, hisap dan berhenti sebentar. Pola hisapan sebegini biasa berlaku pada beberapa jam dan adakalanya beberapa hari. Susu ibu mengandungi semua bahan berkhasiat seperti protein, karbohidrat, lemak, vitamin, mineral dan air. Malah nutrien yang terkandung dalam susu ibu dapat melancarkan proses penghadaman.

Bayi 0-6 bulan yang diberi susu ibu mungkin kurang berisiko mendapat penyakit kronik dan akut termasuk cirit-birit, jangkitan saluran pernafasan, jangkitan telinga, alahan dan sebagainya.

Malah, susu ibu juga mengandungi spesifikasi biologi dan amaun nutrien yang terkandung di dalam susu ibu akan berubah-ubah mengikut keperluan tubuh badan bayi anda. Kuman-kuman yang ada di persekitaran bayi turut terdedah pada ibu menyebabkan ibu menghasilkan antibodi untuk melawan kuman tersebut. Antibodi yang terhasil turut diberikan kepada bayi melalui proses penyusuan.

Menyusukan bayi pada bulan pertama adalah saat yang paling sukar tapi anda tidak akan berdepan dengan sebarang masalah pada bulan berikutnya jika anda berjaya melepasi tahap ini. Proses penyusuan juga membantu merawat uterus dan menghentikan pendarahan. Proses ini juga adalah kaedah yang terbaik bagi ibu mendapatkan kembali bentuk tubuh yang asal (diet semulajadi).

Jadual cadangan pengambilan susu untuk bayi 0 - 12 bulan.

0 - 3 bulan - setiap 1 - 3 jam (susu ibu) / 18 -40 oz (susu formula)
4 - 5 bulan - setiap 2 - 4 jam (susu ibu) / 24 - 45 oz (susu formula)
6 - 8 bulan - setiap 3 - 4 jam (susu ibu) / 24 - 37 oz (susu formula)
9 - 12 bulan - setiap 4 - 5 jam (susu ibu) / 24 - 31 oz (susu formula)

Fizikal - Bayi anda pada enam bulan pertama akan memberikan pelbagai reaksi ketika sedang disusukan. Jika dia berasa lapar, dia akan membuka mata dan memandang sekeliling seolah-olah mencari-cari sesuatu. Malah dia juga akan meletakkan genggaman tangannya ke mulut. Seeloknya anda tidak menunggu hingga bayi akan menangis untuk disusukan, ia hanya akan menggalakkan bayi anda menggunakan tangisan sebagai cara untuk menarik perhatian.

Bantu Anak Anda Tidur

Bayi punya pelbagai ragam, ibu bapa pula punya pelbagai gaya hidup. Bermulanya episod tidur bagi si kecil bermakna bermulalah "mimpi ngeri" bagi anda. Tidur anda pasti tidak nyenyak lagi berbanding dulu.

Bukan salah anda bayi tidak dapat tidur lena, ini kerana terdapat pelbagai faktor yang mendorong bayi kerap tejaga pada waktu malam. Antaranya, wujud rasa tidak selesa atau kesakitan yang lazimnya terjadi akibat proses pertumbuhan gigi, lampin yang terlalu basah, kelaparan, hidung tersumbat, kepanasan atau kesejukan, ruam lampin mendorong bayi "mencemarkan" waktu lenanya.

Bayi yang menghadapi masalah kesihatan seperti demam, jangkitan telinga, alahan, kembung perut, kecacingan dan sebagainya turut menjadi faktor bayi kerap menangis dan terjaga pada waktu malam.

Perkembangan peringkat demi peringkat yang dialami oleh si kecil juga sedikit sebanyak menyumbang kepada gangguan tidurnya. Sama ada belajar meniarap, duduk dan menggangkat kepala, aktiviti yang dilakukan sepanjang hari itu mengganggu tidur malamnya.

Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan bagi menidurkan bayi antaranya melakukan urutan, menyanyi dan membacakan buku untuknya. Jadualkan rutin harian aktiviti bayi anda dan corak tidurnya dan pastikan bayi anda tidur pada waktu yang sama setiap hari.

Anda perlu tahu tanda-tanda yang menunjukkan bayi telah memasuki episod tidur lena sebelum memindahkannya ke tempat tidur yang lebih selesa. Sekiranya bayi anda merengek pada waktu malam, tunggu sehingga beberapa minit untuk memastikan sama ada dia kembali tidur atau tidak.

Jika tangisan berlanjutan, cuba tepuk dan usap belakang badannya. Elakkan daripada mendukung bayi anda kecuali jika dia tidak mampu mengawal dirinya. Letak dan berundur dari bilik si kecil setelah dia kembali senyap. Ulang perbuatan ini hingga bayi anda lena semula.

Ketika tidur bayi mungkin sibuk merenggut, menyentak, menghisap atau tersenyum. Keadaan ini merupakan perkara biasa kerana bayi sebenarnya sedang tidur lena. Pergerakan ini berlaku kerana bayi anda berada dalam kedaan tidur REM atau bermimpi. Tabiat tidur bayi banyak dipengaruhi kebolahan dan kebijaksanaan ibubapa mempengaruhi persekitaran tidur yang lebih selesa. jangan memaksa sebaliknya cipta suasana tidur untuknya.

Pendengaran - Moro refleks yang berlaku dalam tidur bayi banyak menyakinkan bahawa sistem saraf bayi anda sedang berfungsi dengan baik. Keadaan ini akan hilang ketika bayi berada di sekitar usia empat bulan. Daripada membiarkan bayi anda terlena ketika dibuai atau disusukan, seeloknya anda nyanyikan atau bercakap dengan suara lembut sambil membelainya sehingga dia tertidur.

Fizikal - Sekali-sekala bayi yang tidur akan tersentak tiba-tiba. Ia dipanggil Moro refleks (releks terkejut). Ia berlaku tanpa sebab yang jelas walaupun sering disebabkan oleh bunyi yang kuat seperti hentakan.

Minda - Definisi "tidur lena" bagi bayi biasanya adalah untuk jangka masa lima jam. Jangka waktu tidur mereka lebih pendek berbanding orang dewasa. Pada seawal usia enam bulan pertama, bayi kerap terjaga dua atau tiga kali semalam.