Archive for April 2011
Latest Updates

Kurang Penghasilan Susu

1. Corak Pertumbuhan Bayi Yang Menyusu Badan
  • Kebanyakan berat badan bayi akan terus meningkat jika diberi penyusuan ibu sejak dilahirkan
  • Berat badan mungkin turun sehingga 10% pada 3 hingga 4 hari pertama jika penyusuan tidak diberi dengan kerap
  • Dengan penyusuan yang kerap, timbangan akan naik semula dalam jangkamasa 2 hingga 3 minggu
  • Berat badan selalunya naik 18 hingga 30 gram setiap hari untuk 6 bulan pertama
  • 2 kali ganda semasa berumur 5 hingga 6 bulan
  • 3 kali ganda semasa berumur 1 tahun

2. Tanda-Tanda Bayi Mendapat Susu Ibu Dengan Cukup
  • Bayi menyusu susu ibu sekurang-kurangnya 8x dalam masa 24 jam
  • Semasa menyusu, irama menghisap bertukar menjadi perlahan
  • Bayi bertindakbalas terhadap persekitaran dan mempunyai tonasi otot yang baik dan kulit yang sihat
  • Bayi kelihatan puas antara penyusuan
  • Bayi membuang air kencing 6 kali atau lebih dalam masa 24 jam dan air kencing kelihatan cair dan cerah
  • Bayi membuang air besar 3 hingga 8 kali sehari dan ini akan semakin berkurangan apabila bayi membesar
  • Berat bayi meningkat secara konsisten dan puratanya adalah 18 - 30 gram sehari
  • Buah dada ibu merasa penuh sebelum penyusuan dan menjadi lembut selepas menyusu

Sebab-Sebab Bayi Kurang Mendapat Susu

A. Kurang Penghasilan Susu
  • Penyusuan tidak kerap
  • Penyusuan tidak cukup lama
  • Makanan dan Minuman lain diberikan kepada bayi
  • Ibu cepat memberhentikan penyusuan di malam hari

B. Kurang Pemindahan Atau Pengaliran Susu
  • Kedudukan atau lekapan tidak betul
  • Penyusuan yang pendek dan tergesa-gesa
  • Bayi dialihkan dari sebelah buah dada dengan cepat dan menyebabkan bayi tidak mendapat 'Hindmilk'

C. Faktor Ibu
  • Refleks oksitosin kurang baik, malu dan tidak berkeyakinan
  • Menggunakan 'nipple shield'
  • Tidur jauh daripada bayi
  • Mengambil ubat yang mungkin boleh mengurangkan penghasilan susu
  • Keletihan atau sakit
  • Penyakit 'Tiroid'
  • Kurang Zat Makanan
  • Kurang tisu buah dada yang berfungsi

D. Faktor Bayi
  • Bayi mengantuk
  • Sukar melekap atau menghisap
  • Sakit atau mempunyai masalah perubatan seperti penyakit metabolik, sakit jantung, hypotiroidism, jangkitan saluran kencing dan sebagainya

4. Bagaimana Boleh Meningkatkan Penghasilan Susu
  • Meneruskan penyusuan ibu untuk meningkatkan penghasilan kalori
  • Memastikan bayi melekap dengan betul untuk penyusuan yang berkesan
  • Memberi susu dari kedua-dua belah buah dada untuk beberapa kali pada satu penyusuan
  • Memberi susuan ibu lebih kerap dan lebih lama, siang dan malan sekurang-kurangnya 10 hingga 12 kali sehari
  • Berhenti menggunakan botol susu dan puting
  • Menambah pengambilan makanan ibu jika pemakanan ibu tidak mencukupi
  • Ibu perlu rehat lebih
  • Letakkan bayi ke buah dada untuk menenangkan bayi
  • Menggunakan bahan-bahan yang dapat meningkatkan penghasilan susu
  • Memerah susu di antara penyusuan dan memberikannya dengan cawan atau supplementer

5. Menolong Ibu Mengembalikan Penyusuan (Relactation)
Syarat-syarat:
  • Mempunyai motivasi
  • Sokongan dari keluarga dan kakitangan kesihatan
  • Bayi diberikan buah dada dengan kerap untuk hisapan
  • Memerah susu di antara penyusuan
  • Mengurangkan makanan tambahan setelah penghasilan susu meningkat
  • Bayi hanya diberi penyusuan ibu dan menggunakan 'supplementer'

Rawatan Berbengkung Atau Berbarut

Rawatan berbengkung atau berbarut selepas bersalin merupakan amalan klasik yang dipraktikkan oleh wanita berbilang kaum. Bagaimanapun, pada zaman ini, rawatan tersebut dipandang remeh dan menyusahkan sehingga kebanyakan wanita mengabaikannya. Apabila badan mengembang atau membuncit, wanita akan mulai risau dan panik. Dengan demikian, tercetuslah pelbagai rawatan moden untuk melangsingkan tubuh, yang dalam rawatan tersebut dimestikan pula kaedah balutan badan (body wrapping) yang bersamaan fungsinya seperti berbarut atau berbengkung.

Mengikut ilmu perbidanan Melayu, kegunaan bengkung atau barut pada hari yang berikutnya selepas bersalin, terutama bagi ibu bersalin normal adalah untuk mengelakkan kemasukan angin sejuk di liang-liang perut. Selain itu, dapat memudahkan keluaran angin panas dan kotor, iaitu dengan ikatan barut dan ubat yang sempurna. Cara yang betul dan teratur memakainya dimulai dengan ikatan di bawah paras payudara hingga melebihi paras pinggul. Pemakaian sedemikian dititikberatkan bagi mengembalikan bentuk badan yang sempurna. Sekiranya ibu hanya dibarut dari paras pinggang ke bahagian tundun iaitu barut pendek, bahagian pinggul, paha serta belakang bahu berhampiran ketiak akan tertinggal seperti terlebih isi dan akan menjejaskan potongan badan.

Apa yang akan terjadi ialah hanya pinggang yang mengecil, manakala bahagian badan atas dan bawah kelihatan besar. Barut yang pendek juga akan menjejaskan kedudukan rahim kerana pergerakan ibu bangun dan duduk akan membuatkan barut itu menekan rahim ke bawah, seterusnya posisi rahim menjadi rendah.

Oleh yang demikian ambil perhatian terhadap cara memakai barut. Amalkanlah pemakaian barut panjang. Pemakaian barut boleh diamalkan selama sebulan, 44 hari atau 100 hari, mengikut keadaan badan dan perut ibu.

Sebelum mengenakan barut atau bengkung, minyak berubat digunakan sebagai pelembap kulit. Minyak ini diperbuat daripada campuran bahan herba bagi mengecutkan peranakan, mengempiskan perut dan merampingkan pinggang.


Jenis barut Atau Bengkung


Terdapat pelbagai jenis barut atau bengkung yang digunakan oleh ibu Melayu ketika dalam pantang.


Bengkung Roda


Menggunakan satu tali yang panjang sebagai lilitan bagi mengejapkan perut. Bengkung roda mudah dipakai dan dengan itu memudahkan urusan buang air. Dengan merungkai tali pengikat, bengkung dapat dilonggarkan.


Bengkung Tali Kasut


Tali dari sebelah kanan dan kiri dipertemukan dan diikat. Jarak setiap ikatan ialah satu atau dua jari. bengkung tali kasut mempunyai tali yang dijahit berpasangan. Walaupun agak remeh untuk mengenkannya berbanding bengkung roda, hasil pemakaian bengkung ini lebih berkesan dan kemas.


Aturcara Cara Pemakaian Bengkung Tali Kasut


1. Mulakan prosedur berbengkung dengan menyapu ubat barut.

2. Lapik dengan kain batik supaya ubat barut tidak mengenai kain bengkung.

3. Taupkan bengkung dengan kemas.

4. Ikat tali yang berpasangan dengan kejap, tetapi tidak terlampau ketat hingga mengganggu keselesaan.


Bengkung Panjang Atau Bengkung Jawa


Bengkung jenis ini diakui terbaik untuk digunakan oleh ibu-ibu bersalin. Jenis ini turut digunakan oleh orang Inggeris semasa zaman pemerintahan Ratu Elizabeth 1 dan Ratu Victoria. Biasanya, saiz bengkung ini ialah 15 meter (kain sepanjang lima meter dibelah tiga dan dicantumkan).

Untuk menggunakannya, lumur minyak atau barut pada perut. Kenakan barut ringkas atau lapik dengan kain batik bagi mengelakkan bengkung dicemari ubat barut. Ikat hujung kain ke tombol pintu atau boleh juga dipegang oleh seorang pembantu. Hujung kain yang satu lagi dililit ke sekeliling pinggang secara perlahan-lahan. Ibu memusingkan badannya sambil membetulkan kedudukan barut. Lilitan itu semakin lama semakin kejap.

Kedudukan barut yang sesuai ialah yang dimulai dari bawah payudara sehingga melepasi paras pinggul. Walaupun bengkung jenis ini dianggap melecehkan kerana kainnya terlalu panjang, hasilnya amat berkesan dan selesa dipakai. Bagaimanapun, kebanyakan wanita kini mengabaikannya, bahkan mengelak untuk berbengkung kerana menganggapnya menyusahkan. Mereka lebih gemar menggunakan celana girdle atau strap on binder yang mudah didapati di pasaran. Mereka menganggap penggunaan bengkung segera ini serta amalan senaman untuk mengempiskan dan merampingkan perut sudah mencukupi, tanpa menyedari bahawa cara berbengkung tradisional dengan menggunakan ubat barut memberi kesan yang terbaik dari segi mengemaskan dan mengejapkan peranakan.

Suatu hakikat yang selalu dilupakan ialah ikatan bengkung tradisional ini membendung pengambilan makanan berlebihan. Dengan diet yang seimbang, potongan badan akan terpelihara, sekaligus dapat mengalakan masalah kegemukan atau berlebihan berat badan. Bengkung panjang selain dililit kejap mengelilingi tubuh, kaedah memakainya juga dibuat dengan menemukan dua hujung kain lalu disimpulkan, bertingkat-tingkat dari pangkal paha sehingga ke bawah payudara.

Aturcara Pemakaian Bengkung Panjang

1. Mulakan mengikat di bawah punggung, dengan menyimpul mati dua hujung kain yang dibahagi sama panjang.

2. Teruskan melilit kain ke belakang dan simpul dengan kejap di hadapan. Sebaik-baiknya ibu menarik nafas semasa lilitan dan ikatan dibuat bagi mendapatkan ikatan yang kemas kejap.

3. Teruskan mengikat simpulan hingga ke bawah payudara.

4. Hujung kain disisip ke bawah lilitan dengan kemas.

5. Bengkung yang diikat kemas lagi kejap tidak mempunyai lubang atau ruang di celah ikatan atau simpulan. Lubang di celah ikatan turut menandakan perut masih belum kempis.

Mandian Ibu Bersalin

Mengikut petua Melayu, mandian bersalin mesti dilaksanakan sebagai rawatan semasa dalam pantang. Bukan sahaja untuk menyegarkan badan, tetapi dengan persediaan oleh bidan yang mahir, mandian tersebut juga merupakan sejenis rawatan perubatan bagi ibu. Kebanyakan ibu bersalin mengalami perasaan gementar, gelisah, rimas, risau, lemah semangat atau yang lebih serius tekanan jiwa. Ibu yang sedemikian berada dalam keadaan lemah dan mudah diganggu oleh makhluk halus. Jika dibiarkan tanpa rawatan pulih semangat, mereka akan dihinggapi penyakit tekanan jiwa (merian atau meroyan), tekanan darah tinggi atau rendah, susah tidur (insomnia), mudah mengalami mimpi ngeri, murung, sakit kepala, suka bersendirian, dingin dan mudah terperanjat sehingga melatah serta pelupa. Oleh itu, mandian ibu bersalin perlu ditekankan sebagai suatu syarat rawatan penting dalam pantang, yang lazimnya dilakukan selepas rawatan berurut, betuam dan bertungku.

Atur Cara Mandian

Dalam melaksanakan proses mandian, terdapat rawatan lulur yang dilakukan sebelum ataupun selepas mandi. Ibu boleh membuat pilihan yang sesuai mengikut keadaan. Selepas bertuam, teruskan mandian ke seluruh badan ibu secara perlahan-lahan supaya air rebusan herba meresapi liang roma. Di samping itu, lakukan cucian atau cebokan di bahagian alat sulit.


Penjagaan Rambut Dan Kulit Kepala


Petua Melayu melarang ibu-ibu bersalin membasuh rambut menggunakan air panas atau air rebusan mandian yang panas kerana akan menyebabkan keguguran rambut atau sakit kepala. Disyorkan membasuh rambut dengan air biasa, iaitu air perigi atau air paip.


Rawatan Berlulur Atau Berlulut


Lulur, boros atau param digunakan sebelum atau selepas mandian herba, iaitu dengan menggosok anggota badan bagi mengeluarkan daki serta sel mati. Serentak dengan itu, lulur akan meresapi pori-pori dan menghindari kemasukan angin sejuk yang mengakibatkan penyakit kebas serta bisa otot, sendi dan urat saraf. Kebanyakan wanita yang mengalami masalah tersebut lama-kelamaan akan menghidapi penyakit seperti artritis, reumatisme dan bengkak vena.

Rawatan Mandi Wap, Bertangas Dan Ukup Wangi

Mandi wap ialah rawatan yang terkenal dan digemari oleh pelbagai bangsa, lelaki serta perempuan. Rawatan tersebut dilaksanakan dengan pelbagai cara, menggunakan bermacam-macam ramuan pula. Mengikut petua Melayu, wanita bersalin atau selepas setiap kedatangan haid dimestikan merawat alat sulit dengan mandi wap yang dikenali sebagai bertangas. Tujuan mandi wap adalah untuk mengaktifkan pengeluaran peluh sebagai rawatan detoksifikasi (mengenyahkan racun di dalam badan). Bagi ibu bersalin, selain proses detosifikasi, rawatan bertangas juga membantu proses penyembuhan serta pengecutan saluran sulit dan peranakan.

Ketika pantang, amalan bertangas disyorkan selepas 30 hari bersalin, iaitu apabila darah nifas mulai mengering. Demikian juga disyorkan pada hari yang keenam haid, dan dilakukan selama tiga hingga tujuh hari berturutan. Mengikut ilmu perbidanan Melayu, rawatan ini jika diamalkan dapat menghindari pelbagai penyakit puan, seperti keputihan, longgar saluran sulit serta berair, rahim rendah, inkontinansi dan prolaps.


Rawatan Mandi Wap Atau Bertangas


Rawatan ini dilakukan dengan tujuan untuk mengeluarkan darah cair atau darah bayam yang berwarna kuning kehijauan dan berbau tersangat busuk, seperti bau sayur yang busuk atau ikan yang hanyir.

Rawatan bertangas herba yang juga dikenali sebagai bertangas kering, menggunakan ramuan duri semalu bagi membantu mempercapatkan keluaran sisa toksik dan merawat luka-luka pada batu merian dan pangkal merian. Rawatan ini dapat memperkemaskan kedudukan merian dan memantapkan kesihatan batu merian dan pangkal merian.

Aturcara Bertangas

Bertangas dilakukan pada hari ke 31 pantang, selama 3 hari berturut-turut. lazimnya dimulakan dengan penyediaan sepokok suri semalu yang ditumbuk pecah dan digaul dengan segenggam jintan hitam serta air kapur.

Sediakan batu sungai atau batu tanah liat. Bakarlah sehingga betul-betul panas dan masukkan ke dalam periuk tanah. Tuang ramuan pohon semalu di atas batu tersebut. Letakkan periuk tanah di dalam tong tangas atau bangku yang berlubang di tengah. Duduklah di atas bangku berlubang itu sambil membungkus badan dengan kain atau selimut dari paras leher ke lantai bagi mendapatkan wap tangas.

Pada hari ke 34, bahan-bahan ditukar dengan baharu, iaitu ibu kunyit yang dilumatkan dicampurkan jintan hitam dan perahan air limau nipis.

Rawatan ini sebaik-baiknya menggunakan bara api di bawah periuk tanah supaya wapnya dapat bertahan lebih lama. Lakukan selama 7 hari berturut-turut bagi membantu mengeringkan saluran sulit serta batu merian daripada kudis, luka dan air busuk.

Semasa melaksanakan rawatan ini, ibu disyorkan melakukan senaman tarik nafas atau senaman kemutan otot penyokong rahim.


Rawatan Ukup Wangi


Rawatan bertangas wangi atau ukup wangi dipraktikkan pada hari ke 40 dalam pantang bersalin. Mengikut kefahaman ilmu perbidanan Melayu, pada masa ini rahim atau batu merain sudah balik ke sarang dan mengeram di rumahnya di sekitar tulang sulbi.

Lazimnya ukup wangi diteruskan oleh ibu bersalin hingga hari yang ke 100. Rawatan ini akan menghilangkan bau herba dan rempah ratus yang menyerap ke badan ibu selepas rawatan bertangas dan mandi wap pada peringkat awal bersalin. Rumusannya yang mengandungi bunga melur, bunga mawar, limau purut dan air mawar dapat menggalakan keluaran peluh yang beraroma harum dan menyegarkan. Amalan ini menghasilkan daya kelembapan kulit yang mantap dan kejap di sekitar bahagian alat sulit.

Rawatan ukup wangi turut diamalkan oleh wanita Melayu pada setiap kali selepas haid, iaitu selepas menjalani rawatan bertangas herba. Apabila diamalkan, aromanya kekal ke seluruh tubuh hingga ke umbi rambut. Ia juga dapat mengelakan kelesuan kulit, bau badan seperti di ketiak, lapisan payudara, tengkuk, rambut, celah paha, tongkeng, pusat dan faraj. Setiap bahagian yang disebutkan ini sangatlah sensitif bagi wanita yang bersuami. Bagi ibu bersalin yang penuh prihatin, ukup wangi perlu diberi tumpuan utama dalam proses menamatkan rawatan pantang bersalin.


Petua Senaman Kemutan Otot Rahim

Semasa rawatan bertangas dan ukup wangi, ibu dinasihatkan melakukan senaman pada otot rahim. Difahamkan oleh pakar senaman tradisional Melayu, senaman tersebut dilaksanakan dengan aturcara tarik nafas dari bahagian ari-ari, naik ke dada sambil mengemut saluran faraj seperti sedang menahan kencing dan kemutkan dubur seperti manahan kentut atau najis.

Senaman ini membolehkan wap herba disedut masuk ke saluran faraj. Dengan cara sedemikian, pergerakan otot-otot dalaman membantu mempercepat keluaran sisa toksik dan mempermaskan kesihatan serta kedudukan merian. Batu merian akan kembali normal, iaitu kuncup, mencerut dan mengecil.


Rawatan Berdiang

Selain bertangas, wanita pada zaman silam dimestikan rawatan berdiang semasa dalam pantang bersalin. Mengikut kaedah perbidanan Melayu, selepas bersalin, ibu mesti berdiang bagi mengelakkan sakit pinggang, bisa urat asaraf serta otot badan dan mempercepatkan pengecutan merian. Berdiang masih lagi diamalkan oleh wanita Melayu yang patuh kepada petua nenek moyang, terutama dalam kalangan mereka yang tinggal di desa-desa. Telah terbukti bahawa rawatan ini dapat membantu ibu sentiasa awet muda, memiliki tubuh badan yang tegap, mantap, langsing dan gagah ototnya. Berdiang merupakan satu daripada rawatan dalam pantang yang masih diamalkan oleh wanita di Thailand, Burma dan Kemboja.

Bagaimanapun, hari ini rawatan berdiang kurang mendapat sambutan dan digantikan dengan rawatan bertangas atau mandi wap.


Cara Berdiang


Ibu perlu mengiring dengan membelakangkan bara api. Bahagian belakang ibu, dari paras leher ke pinggul, akan disapu minyak berubat oleh pembantu atau bidan setiap kali ibu terasa panas akibat bahang bara. Minyak berubat itu dicampurkan kunyit serta garam. Setiap sejam, ibu akan diberi minum air rebusan halia dengan sukatan suku cawan. Rawatan ini dilakukan setiap hari (sehari suntuk) dalam tempoh pantang iaitu dalam jangka masa 30 - 40 hari.

Variasi bagi rawatan ini turut diamalkan oleh wanita Melayu ialah bersalai. Dalam aturcara bersalai, ibu bersalin akan berbaring di atas pangkin atau ranjang buluh, dan bara diletakkan di bawah ranjang tersebut. Rawatan ini dilaksanakan seawal waktu subuh.

Prosedur ini menghangatkan tubuh dan menyebabkan ibu kehausan. Bagaimanapun, ibu tidak dibenarkan mengambil minuman selain air rebusan halia, dengan jumlah yang terhad mengikut sela waktu yang ditetapkan.


Kenapa Perlu Ujian Ultrasound?

Bagi ibu hamil, ujian ultrasound antara yang dinantikan bagi melihat imbasan bayi dalam kandungan. Ujian ini telah mula diperkenalkan lewat 1950an bagi memperolehi maklumat tentang janin, usia, saiz termasuk mengesan sebarang ketidaknormalan pada tumbesaran janin. Mengapa ujian ultrasound ini diperlukan untuk ibu hamil? Berikut antara sebabnya.
  • Untuk Memastikan Kehamilan - Dengan ujian ini, kehamilan dapat dikesan lebih awal antara minggu keempat dan kelima. Mulai saat ini, embrio sudah kelihatan. Malah ia juga berguna untuk mengesan sebarang kedudukan tidak normal janin.
  • Pendarahan Vagina - Dengan ujian ini, denyutan janin dapat dilihat pada minggu keenam. Namum, jika si ibu mengalami sebarang pendarahan, punca dan rawatan akan segera dikenal pasti dan 95% kemungkinan kandungan boleh diteruskan. Ia juga bagi mengesan sebarang keguguran dan kecacatan pada janin selain mengesan kelainan seperti hamil luar rahim atau hamil kembar.
  • Untuk Menentukan Usia Dan Saiz Janin - Menerusi ultrasound, ukur lilit badan janin dapat diketahui bagi melihat pertumbuhannya normal ataupun tidak. Ia juga boleh menentukan berapakah usia kehamilan anda terutama bagi yang tidak pasti tarikh terakhir haid mereka.
  • Mengesan Sebarang Ketidaknormalan - Melalui imbasan yang dilakukan, sebarang kelainan atau ketidaknormalan pada janin boleh dikesan sejak awal lagi. Dengan ini, ia membantu untuk anda mendapatkan rawatan atau pemeriksaan yang sesuai dengan keadaan kandungan anda.
  • Melihat Kedudukan Plasenta - Dengan ujian ultrasound, kedudukan plasenta atau uri boleh dilihat. Ini penting kerana jika kedudukan uri tidak normal, ia boleh membahayakan kehamilan anda.
  • Hamil Kembar - Kehamilan kembar juga boleh diketahui melalui ultrasound. Daripada sini, lebih mudah untuk dipantau perkembangan janin dan sebarang masalah yang timbul
  • Paras Air Ketuban - Paras air ketuban juga boleh dipastikan menerusi ujian ini. Sama ada air ketuban lebih ataupun kurang dari paras normal, semuanya mempunyai risiko terhadap kehamilan anda.
  • Ketidaknormalan Pada Janin - Selain itu, tujuan lain ujian ultrasound adalah untuk mengesan keadaan seperti kematian janin dalam rahim, keadaan janin yang bermasalah, melihat pergerakan janin ataupun mengesan sebarang ketidaknormalan pada rahim dan pelvik sepanjang kehamilan.

Mencatat Pergerakan Bayi

Secara purata, ibu hamil sudah dapat merasakan pergerakan janin antara minggu ke 18 hingga minggu ke 20 kehamilan. Namum, ada juga yang sudah dapat merasakannya lebih awal daripada itu. Bukan setiap masa bayi anda akan bergerak. Sama seperti kita, bayi dalam kandungan juga perlukan masa untuk rehat, tidur dan bergerak aktif semula. Berikut perkara berkaitan pergerakan bayi yang perlu anda ketahui.

Pergerakan Bayi Adalah Berbeza Antara Setiap Ibu Hamil
Apabila membandingkan pergerakan janin anda dengan ibu hamil yang lain, anda akan dapati ia berbeza. Jangan risau, memang seharusnya tidak sama kerana setiap bayi mempunyai masa aktiviti yang berbeza dalam rahim ibu masing-masing. Yang penting, anda peka dengan pergerakkan atau kebiasaan bayi anda dalam kandungan.

Berapa Banyak Tendangan Yang Boleh Dirasakan Dalam Sehari
Selalunya pergerakan bayi lebih mudah anda rasai apabila anda berada dalam keadaan santai atau sedang berehat berbanding semasa anda sedang sibuk. Walaupun begitu, penting untuk anda mengenali pola pergerakan si kecil anda.

Semakin bertambah usia kehamilan, anda akan semakin faham dengan rentak pergerakan bayi anda. Biasanya anda sudah dapat meneka bila waktu bayi cenderung aktif dan bila masa dia berehat atau tidur. Ambillah waktu yang sama setiap hari untuk mengira pergerakan bayi anda terutama apabila pergerakkannya bertambah aktif. Namum, jika dalam masa 2 jam anda langsung tidak dapat merasakan pergerakan bayi, anda boleh merujuk keadaan ini kepada doktor kerana dikhuatiri sesuatu yang serius boleh menimpa bayi.

Benarkah Pergerakan Bayi Semakin Kurang Apabila Usia Kehamilan Bertambah?
Antara minggu ke 36 hingga sampai waktu bersalin, biasanya bayi sudah membesar dan mengisi hampir keseluruhan ruang rahim anda. Ini membuat pergerakkannya sedikit terbatas. Namum, anda masih dapat merasakan tendangan atau tumbukkannya. Memang pergerakkannya sedikit berkurangan namum bukan bermakna bayi tidak aktif tetapi kerana ruang yang sempit menghadkan pergerakkannya. Yang penting, anda sentiasa peka dengan pergerakkan yang anda rasakan dalam rahim anda.

Perlukah Mencatat Pergerakan Bayi?
Anda memang disarankan mencatat pergerakkan bayi terutama apabila sudah memasuki trimester ketiga. Ini penting bagi memastikan bayi anda sihat di dalam sana. Selalunya, doktor akan memberi tunjuk ajar atau jadual yang memudahkan anda untuk mencatat pergerakkannya. Ini penting bagi mengesan sebarang kelainan yang berlaku. Ada kes di mana bayi sudah agak lama tidak bergerak dan didapati bayi sudah mula lemas di dalam rahim dan berisiko meninggal dalam perut ibu. Oleh itu, sentiasa peka dengan pergerakkan bayi anda.

Penjagaan & Rawatan Selepas Bersalin

"Sikap Isteri yang mengambil ringan tahap kesihatan dan bentuk badan selepas bersalin akan membawa impak kepada perhubungan suami isteri".

Penjagaan kesihatan ibu-ibu selepas bersalin penting dalam mengembalikan bentuk badan dan tahap kesihatan yang setanding dengan keadaannya sebelum mengandung. Ramai antara wanita yang tidak mempedulikan bentuk badan dan kesihatan mereka setelah bersalin. Cara begini salah dan boleh mengundang kepada masalah perhubungan suami isteri. Oleh itu, untuk menjaga kesihatan selepas bersalin, beberapa petua dilampirkan seperti berikut:

Memakan Jamu

Ibu-Ibu selepas bersalin, amat penting sekali menjaga kesihatannya. Terdapat pelbagai cara dilakukan oleh seseorang mengikut bangsa dan keturunan. Kalangan masyarakat Melayu, ubatan tradisional jamu sangat popular. Tambahan pula ubatan tradisional sekarang ini telah diproses dan dipersembahkan secara moden dan mudah didapati di toko-toko perubatan tradisional, moden dan juga di farmasi-farmasi, bahkan di supermarket pun telah ada dijual. (Kalau nak cari Set Bersalin tu...order je lah ngan Kak Engku yek hehehe)

Antara kelebihan memakan jamu tradisional bagi ibu-ibu lepas bersalin adalah dapat memulihkan kembali organ dan saraf di dalam badan, otot-otot luar, mengecutkan peranakan, serta membuang bisa-bisa angin di urat saraf. Jamu juga boleh mengelakkan penyakit "meroyan" kerana jamu boleh memanaskan badan, melancarkan darah, membuang peluh kotor, melangsingkan badan, menegangkan otot yang kendur seperti payudara, menambahkan selera badan dan mengilangkan keletihan serta memulihkan tenaga.

Pemakanan jamu biasanya dilakukan secara teratur selama 40 hingga 60 hari selepas bersalin. Jamu juga baik diamalkan seterusnya selepas tempoh tersebut, kerana dapat menjarakkan anak bagi ibu-ibu yang kerap mengandung dan melahirkan anak.


Bertungku

Selain memakan jamu, bertungku juga dianggap penting. ini disebabkan, amalan bertungku dapat mengecutkan urat-urat serta peranakan yang kembang ketika mengandung dan melahirkan anak.

Bertungku juga boleh mengeluarkan saki-baki darah kotor di dalam rahim. Kepanasan bahang tungku boleh mengeluarkan peluh dan melancarkan darah serta memulihkan tenaga seterusnya menghilangkan kekejangan.


Berbengkung

Berbengkung amat baik bagi mencegah anggota peranakan jatuh dan membantu mengecutkan semula anggota peranakan. Selain itu berbengkung juga boleh mengempiskan perut. Sebelum mengikat bengkung, elok disapu minyak panas atau sebagainya. Masa berbengkung sekurang-kurangnya 44 hari. Bengkung merupakan tradisi turun temurun yang cukup baik diamalkan bagi mengembalikan semula bentuk badan seorang wanita itu.


Memakai Pilis

Pilis ialah ubat tradisional (ramuan herba) yang ditampal pada dahi ibu selepas bersalin. Para ibu selepas bersalin kebiasaannya akan menghadapi masalah pening kepala dan kemungkinan membawa kepada pitam.

Mengikut pengamal perubatan tradisional, terdapat beberapa ramuan untuk mengatasi masalah tersebut. Ramuan itu jika disapu atau ditampal pada dahi, boleh menghilangkan rasa mengantuk dan keletihan. Ini disebabkan, ibu-ibu yang baru bersalin, terutama jika bayi mereka selalu meragam dan menangis waktu malam, menyebabkan si ibu kurang tidur. Akibatnya, si ibu akan terasa mengantuk waktu siang. Rasa mengantuk waktu siang, terutama waktu pagi, seboleh-bolehnya hendaklah dielakkan. Ini adalah kerana, tidur waktu pagi boleh membawa pelbagai penyakit, terutama pada saraf dan tulang. Ini cukup berbahaya kepada ibu yang baru bersalin. Jadi untuk mengatasi masalah itu, hendaklah memakai pilis. Pilis boleh dibeli atau boleh didapati dalam set jamu lepas bersalin. Atau boleh dibuat sendiri dengan campuran ramuan-ramuan seperti bunga lawang, kulit kayu manis, jintan hitam, lada ekor, cucur atap, daun turi atau daun geti.

Menurut bidan tradisional, dengan menampal pilis di dahi, boleh mengelakkan para ibu menghadapi rabun mata pada usia yang muda.

Tanda-Tanda Anda Akan Bersalin

Akhirnya minggu penantian anda telah berakhir dan pelahiran anda akan bermula. Ini merupakan kemuncak kehamilan anda kerana saat anda melihat bayi anda buat kali pertama hanya tinggal bebarapa jam lagi. Anda akan berasa seronok tetapi khuatir tentang perjalanan pelahiran anda. Anda akan berasa lebih yakin sekiranya anda telah menyediakan diri anda dengan baik, oleh itu membolehkan anda memahami apa yang berlaku kepada badan anda setiap tahap pelahiran dan dapat menjangka apa yang akan berlaku. Melahirkan bayi boleh jadi suatu pengalaman yang sungguh bermakna. Sekiranya anda bertenang dan relaks, anda akan lebih menikmatinya. Berlatihlah teknik merehatkan diri dan bernafas sebelum pelahiran untuk membantu anda berkeadaan tenang semasa kontraksi dan menghadapi kesakitan anda. Jangan kecewa jika pelahiran anda tidak sebaik yang anda jangkakan.


Menyedari Anda Sedang Menghadapi Pelahiran
Anda mungkin berasa risau yang anda tidak akan mengenali saat pelahiran apabila tiba masanya. Ini hampir tidak mungkin berlaku. Walaupun anda mungkin keliru antara kontraksi pelahiran yang pertama dengan kontraksi yang mungkin anda alami pada minggu-minggu akhir kehamilan, anda berkemungkinan mengetahui masa untuk pelahiran kerana pelahiran disusuli oleh beberapa tanda.


Tanda Pelahiran

Satu Penunjuk
Mukus penyumbat yang tebal dan berdarah yang menyekat leher rahim semasa kehamilan, biasanya keluar dari faraj, sama ada sebelum atau pada tahap pelahiran yang awal.

Perkara Yang Perlu Dilakukan

Penunjuk ini mungkin berlaku beberapa hari sebelum pelahiran bermula. Oleh itu, tunggu sehingga anda berasa sakit perut atau sakit belakang yang kerap atau tetuban anda pecah, sebelum anda menelefon hospital atau bidan anda.


Tetuban Anda Pecah
Tetuban yang mengelilingi bayi anda boleh pecah bila-bila masa semasa pelahiran. Air ini mungkin melimpah dengan tiba-tiba tetapi biasanya dilihat sebagai lelehan cecair kerana kepala bayi telah turun dan ini mengahalang cecair melimpah keluar.

Perkara Yang Perlu Dilakukan

Hubungi pihak hospital atau bidan dengan serta merta. Anda perlu ke hospital walaupun kontraksi belum bermula kerana terdapat risiko jangkitan. Pada masa yang sama, pakailah tuala wanita untuk menyerap cecair itu.


Kontraksi
Ini mungkin bermula sebagai sakit belakang yang tidak begitu mencucuk atau anda mungkin berasa sangat sakit pada bahagian paha. Seterusnya anda mungkin mendapat kontraksi dalam perut, seakan-akan sakit kedatangan haid yang teruk.

Perkara Yang Perlu Dilakukan

Apabila kontraksi menjadi kerap, ambil selang masanya,. Sekiranya anda fikir anda mengalami pelahiran, panggil doktor atau bidan. Anda tidak perlu pergi ke hospital dengan segera kecuali kontraksi berlaku dengan sangat kerap (setiap 5 minit) atau anda berasa sangat sakit. Pelahiran yang pertama biasanya berlaku selama 12 hingga 14 jam dan sering kali lebih baik jika anda menghabiskan beberapa jam daripada masa ini di rumah.

Bergeraklah ke sana ke mari dengan perlahan dan berehatlah apabila perlu. Barangkali anda boleh merehatkan diri dengan mandi air panas, sekiranya tetuban anda belum pecah, atau makan snek ringan. Pihak hospital mungkin akan menasihatkan anda supaya menunggu sehingga kontraksi menjadi agak kuat dan berlaku kira-kira setiap 5 minit sebelum anda meninggalkan rumah.


Permulaan Palsu
Rahim mengecut sepanjang kehamilan. Pada minggu yang akhir, kontraksi Braxton Hicks menjadi lebih kuat. Oleh itu, anda mungkin fikir kelahiran anda telah bermula. Akan tetapi, kontraksi pelahiran yang sebenar berlaku dengan tetap dan bertambah kuat dan kerap. Oleh itu, anda sepatutnya dapat mengetahui masa pelahiran yang sebenar bermula.

Adakalanya, kontraksi bermula dan kemudian hilang. Teruskan bergerak kerana kontraksi ini akan bermula semula.


Mengukur Masa Kontraksi
Ukur masa kontraksi selama sejam. Perhatikan bila masa setiap satu bermula dan berakhir. Kontraksi ini sepatutnya menjadi lebih kuat dan kerap, dan berlanjutan selama sekurang-kurangnya 40 saat apabila pelahiran disahkan.

Nasihat Berguna Untuk Ibu

  • Proses stimulasi adalah penting untuk meneruskan laktasi atau pengaliran susu, adalah penting ibu terus menyusu bayi pada masa ibu berada di rumah dan pada hujung minggu dan hari-hari kelepasan, anda akan merasa kepenuhan atau lebihan takungan susu setiap selepas hari kelepasan/cuti. JANGAN mengharapkan dengan memerah susu sahaja boleh mengekalkan bekalan susu ibu.
  • Perahan susu ibu sebaiknya diberikan oleh pengasuh
  • Perahan susu ibu boleh diberikan kepada bayi dengan menggunakan sudu kecil/cawan.
  • Minum air secukupnya dan makan makanan seimbang
  • Cuba mengambil masa untuk berehat kerana ini penting untuk penghasilan susu ibu.
  • Bangun dari tidur lebih awal (20 minit) dan susukan bayi walaupun di asedang tidur atau separuh tidur, ini membuatkan bayi kenyang dan tenteram sementara ibu bersiap untuk pergi bekerja.
  • Bersarapan dengan makanan yang mengeyangkan dan susukan bayi sekali lagi sebelum keluar bekerja.
  • Sementara menunggu ibu pulang, beritahu pengasuh supaya susu sekadar mencukupi keperluannya untuk menghilangkan dahaga. Ibu mungkin akan mengalami rasa 'kepenuhan' di kedua-dua buah dada dan mengharapkan bayi akan menghisap sepuasnya sejurus sampai di rumah
  • Ibu harus susukan bayi secepat mungkin (30 minit) sebaik sampai di rumah
  • Susukan bayi pada kedua-dua belah buah dada. Ini adalah amalan yang sangat digalakkan
  • Bila tiba-tiba terdapat tumpahan susu dan membasahi baju. Gunakan 2 jari dan beri tekanan bahagian puting buah dada beberapa minit. Gunakan alas bayu dalam (nursing pads) dan amalkan menukarnya selalu bila basah. Ini boleh mengelakkan daripada sakit puting. Ketumpahan susu boleh juga berlaku apabila ibu teringatkan bayi
  • Jangan biarkan buah dada djpenuhi susu lebih dari 3 jam tanpa memerah susu. Ini boleh membuatkan ibu tidak selesa dan terjadinya bengkak susu (engorgement). Perahkan susu keluar sambil mengurut perlahan-lahan untuk melegakan rasa keperitan, jika perlu lakukan demahan sejuk (untuk hilangkan sakit) dan lakukan demahan panas (untuk galakkan pengaliran susu)


Memerah Susu
  • Ia menyebabkan bekalan susu ibu tidak putus
  • Ia merupakan makanan terbaik untuk bayi
  • Ia mengurangkan risiko bayi terdedah kepada pelbagai penyakit dan alahan
  • Ia mengelakkan dan mengurangkan bengkak buah dada
  • Ia mengelakkan infeksi atau terjadinya radang buah dada (mastitis)

Ibu-ibu yang sudah biasa memerah susu mereka boleh memperolehi susu yang banyak dalam 15 - 20 minit. Kuantiti susu yang diperolehi berbeza-beza pada setiap masa perahan yang dibuat. Umur dan berat badan bayi juga menentukan kuantiti susu yang perlu ditinggalkan untuk bayi.

Di tempat kerja memerah susu boleh dilakukan di mana-mana, asalkan tidak menarik perhatian ramai.
  • Di ruang pejabat bertutup
  • Dalam bilik stor yang bersih
  • Dalam surau atau bilik sembahyang
Sekiranya anda terpaksa memerah di tempat yang ada kebersihannya, gunakan pump susu dimanas susu ibu akan terus masuk ke dalam botol. Ini untuk menjamin kebersihan dan mengelakkan daripada terdedah kepada pertumbuhan bakteria.

Memerah dengan tangan untuk mengurut buad dada bagi memerah susu, tekankan kedua-dua belah tangan secara mendatar di atas kedua-dua buah dada. Lengan mestilah tegak ke tepi sambil menekan dengan kuat, gerakkan jari dengan perlahan ke bahagian puting dan areola. Untuk mengeluarkan susu dari laktiferous sinus. Tekan dengan perlahan-lahan bahagian areola menggunakan ibu jari dan jari telunjuk.

Susu perlu diperah ke dalam bekas yang telah dibersihkan. Gunakan bekas yang berlainan setiap perahan dibuat. Bila menggunakan pump susu pastikan bahagian pump yang bersentuhan dengan susu mestilah dibersihkan setiap kali digunakan. Harus juga berhati-hati supaya pump yang digunakan dengan sedutan yang kuat. Ini boleh menyebabkan puting terasa sakit.

Ibu akan merasa selesa sekiranya mereka berpakaian yang longgar serta mudah ditutup dan diangkat dari bahagian depan. Pakaian yang berzip atau berbutang dibelakang adalah tidak sesuai untuk memerah susu. Contoh baju kurung, baju kedah atau pakaian sepasang seperti blaus dan skirt adalah bersesuaian.

Reflek 'let down' atau pancutan susu adalah penting untuk ibu mendapatkan susu yang banyak semasa memerah. Takungan susu tidak akan keluar sekiranya keadaan ibu tidak tenteram dan releks. Proses 'let down' akan berlaku bila ibu menggambarkan wajah bayinya sedang menghisap susu semasa memerah susu.

Cara untuk mendapatkan reflek 'let down':
  • Releks dan perah susu di tempat yang sunyi dan jauh daripada kebisingan
  • Letakkan tuala suam (demah) atas buah dada
  • Urut buah dada perlahan-lahan dan cuba bayangkan wajah bayi anda sedang menyusu. Jika memerah susu dirumah tunggu sehingga 30 - 40 minit selepas anda menyusui bayi sebelum membuat perahan. Perahan ini memberi masa untuk kilang susu membuat tambahan.
Cara yang mudah untuk melarutkan perahan susu ibu yang beku, letakkan bekas dilaluan air terus (air dari paip) kemudiah barulah direndam di dalam mangkuk yang berisi air suam. Jangan menggunakan air terlalu panas kerana ini boleh membuat susu berbintil.

Adalah lebih mudah jika bekas yang berisi perahan susu ibu yang beku diletakkan di bahagian penyejuk (bahagian bawah) kira-kira 6 - 8 jam sebelum digunakan. Cara ini akan memudahkan untuk melarutkan susu beku ini.

Pastikan susu yang telah dipanaskan mencapai suhu badan, uji suhunya dengan menitik beberapa titik susu dibahagian lengan.

Jangan memasak perahan susu, tidak digalakkan memanaskan didalam ketuhar gelombang mikro (microwave oven), kemungkinan akan kehilangan khasiat susu ibu dan juga kepanasannya tidak menentu. Ini akan membahayakan jika diberi kepada bayi.

Susu yang mendap akan menjadi 2 lapis, ini adalah perkara biasa. Anda hanya perlu menggoncangkan botol sebelum digunakan.

Simpan perahan susu ibu dengan kadar kuantiti yang sedikit (70 - 80 ml) dalam setiap botol/bekas. Cara ini akan mengelakkan daripada pembaziran kerana susu yang telah dipanaskan harus dihabiskan dalam masa satu jam.

Susu mudah terdedah dengan jangkitan pertumbuhan bakteria. Pastikan semua botol/bekas sudu/cawan kegunaan bayi terjamin bersih. Basuh tangan sebelum menyusui bayi atau selepas menyalin lampin.

Keibuan Yang Selamat

Kehamilan adalah saat yang mengembirakan NAMUN segelintir ibu hamil mungkin tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi. Di mana kesihatan ibu dan kandungannya mungkin terancam. Keadaan-keadaan tersebut boleh dikenalpasti dan dirawat melalui penjagaan kesihatan ibu hamil yang sempurna dan teratur oleh anggota kesihatan terlatih.

Adakah Anda Berisiko?
  1. Kandungan Pertama
  2. Mengandung kali ke enam atau lebih
  3. Umur kurang dari 18 tahun
  4. Umur lebih dari 40 tahun
  5. Kandungan sulung pada umur 35 tahun atau lebih
  6. Jarak Kehamilan kurang dari 2 tahun atau lebih dari 5 tahun
  7. Riwayat buruk kandungan yang lalu
  8. Penyakit-penyakit sebelum dan semasa hamil
  9. Pendarahan semasa hamil
  10. Kandungan Kembar
  11. Kedudukan Janin Luar Biasa
  12. Anaemia
  13. Kelahiran tidak cukup bulan(pramasa)
  14. Pecah Mentuban sebelum masa

Kenapa Keadaan Ini Meningkatkan Risiko Ibu Hamil?

1. Kandungan Pertama:
  • Ibu tidak berpengalaman dan tidak pernah melalui proses bersalin
2. Mengandung kali Ke Enam atau Lebih:
  • Para Ibu yang mengandungkan anak yang ke enam atau lebih didapati lebih mudah mendapat komplikasi seperti pucat, tekanan darah tinggi, kedudukan janin yang tidak tetap dan pendarahan
3. Faktor Umur:
  • Usia semasa hamil juga mempengaruhi kesihatan ibu. Seseorang ibu yang hamil pada lingkungan usia remaja atau usia yang telah menjangkau melebihi dari 35 tahun lebih kerap menghadapi komplikasi kehamilan
4. Jarak Kelahiran:
  • Bayi yang sihat bergantung kepada kesihatan ibu. Taraf kesihatan ibu dan anak dapat dipertingkatkan sekiranya jarak antara tiap-tiap kelahiran ialah dua atau tiga tahun
5. Perihal kandungan Lalu yang bermasalah:
  • Keadaan yang sama boleh berulang lagi pada kandungan semasa. Oleh itu berikanlah maklumat ini kepada anggota kesihatan yang memeriksa anda.
6. Penyakit-penyakit sebelum dan semasa hamil:
  • Para ibu yang hamil perlu memberikan maklumat berkaitan dengan masalah kesihatan yang dialami seperti penyakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi, sakit buah pinggang, lelah dan sebagainya.
  • Penyakit ini akan menjadi semakin teruk semasa hamil dan anda memerlukan pengawasan lebih teliti
7. Pendarahan semasa hamil:
  • Sebarang pendarahan semasa hamil adalah luar biasa.
  • Segeralah mendapatkan pemeriksaan kesihatan anda dan bayi dalam kandungan
8. Kandungan kembar:
  • Para ibu yang hamil kembar kerap mengalami kelahiran tidak cukup bulan dan tumpah darah selepas bersalin
9. Kedudukan Janin Luar Biasa:
  • Ibu akan melalui proses kelahiran yang sukar sekira kedudukan janin luar biasa seperti kedudukan songsang dan melintang
10. Anaemia:
  • Pucat kerana sel darah merah tidak memperolehi zat besi dan zat folat yang mencukupi. Juga boleh disebabkan oleh peristiwa seperti tumpah darah akibat keguguran atau terlalu kerap mengandung
  • Elakkan anaemia dengan mengambil makanan seimbang dan jika perlu ditambahkan dengan pengambilan vitamin, zat besi dan folat mengikut nasihat anggota kesihatan terlatih
11. Kelahiran tidak cukup bulan:
  • Kedua-dua ibu dan bayi memerlukan rawatan rapi di hospital
12. Pecah Mentuban sebelum masa:
  • Keadaan ini mendedahkan ibu dan bayi kepada jangkitan kuman
  • Sila ke hospital segera jika berlaku untuk dapatkan rawatan

Tanda-tanda AMARAN semasa HAMIL

AWAS sekiranya berlaku tanda-tanda berikut:
  • Demam yang tinggi
  • Sakit bersalin sebelum masa
  • Pecah mentuban bila-bila masa
  • Bengkak kaki
  • Letih lesu
  • Sesak nafas
  • Sakit kepala
  • Pucat
  • Penglihatan kabur
  • Sakit ulu hati
  • Loya dan muntah-muntah yang teruk
  • Tiada peningkatan berat badan
  • Peningkatan berat badan yang berlebihan
  • Janin kurang bergerak atau tidak aktif
  • Pembesaran rahim tidak sepadan dengan jangkamasa kehamilan
  • Darah keluar dari faraj

Langkah-langkah yang patut diambil sekiranya terdapat TANDA-TANDA AMARAN
  • Sekiranya terdapat tanda-tanda amaran, dapatkan pemeriksaan kesihatan segera
  • Ikuti dengan sepenuhnya semua nasihat dan panduan yang diberikan oleh doktor dan jururawat
  • Dapatkan keterangan yang lebih lanjut dari klinik atau hospital berkaitan masalah kesihatan yang puan alami
  • Bersalin di Hospital

*Mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal dan mendapatkan khidmat dari anggota kesihatan adalah penting untuk Keibuan Yang Selamat