Archive for March 2011
Latest Updates

Berpantang Selama 44 Hari

Berpantang selama 44 hari memang menjadi amalan yang amat popular dalam kalangan masyarakat orang Melayu sejak zaman berzaman. Mengikut panduan perubatan moden, tempoh berpantang bersalin atau puerperium adalah dalam lingkungan 42 hari atau enam minggu. Tempoh ini dianggap sebagai tempoh pemulihan fungsi kewanitaan daripada segala gejala kecederaan serta tekanan jiwa dan mental. Pada ketika ini juga rahim mulai menguncup, mencerut dan mengecil seperti keadaan sediakala. Proses ini digelar involusi.

Mengikut ilmu perbidanan Melayu, pantang bersalin dimestikan genap 44 hari kerana itulah tempoh yang mencukupi bagi memulihkan organ kewanitaan "balik seperti sediakala". Selepas 42 hari, rahim telah mengecut dan pulang ke "sarang" iaitu balik ke rumahnya di bahagian pelvis atau di sudut ari-ari di atas tundun, tetapi mulut rahim atau pintu servik masih mentah, bengkak dan tersembul.

Disamping itu, urat peranak di bahagian faraj masih sengal dan ngilu. Angin darah kotor atau angin merian masih berlegar-legar di salur darah di dalam rahim dan jika berjimak pada masa ini boleh menyebabkan angin merian berputar di seluruh sendi anggota. Kesan sampingannya akan dikesali oleh wanita itu sendiri, iaitu mudah alah pada persekitaran dan pemakanan, mudah uzur dan tertekan. Untuk mendapatkan kemantapan dan keselesaan fungsi organ kewanitaan, petua Melayu mengesyorkan sanggama hanya dimulakan secara aktif dan agresif selepas lapan minggu.

Setelah genap 44 hari, di rumahnya, rahim sudah pun pulih dan mulutnya kembali normal. Dengan atur cara rawatan dalam pantang yang cermat di sepanjang tempoh itu, kesihatan ujud anggota terpelihara serta dipertingkatkan. Pada hari ke 45, kewanitaan ibu bersalin pulang pulih seperti sediakala, bahkan lebih kemas daripada anak dara.

Pengabaian Penjagaan Diri Ibu Semasa Pantang

Akibat mengabaikan penjagaan diri semasa pantang bersalin, ramai ibu moden menghidap pelbagai penyakit. Antaranya, bisa tulang, bisa badan, kebas dan bengkak otot dan sendi, sakit pinggang dan ari-ari, keluluran rahim, hakisan mulut rahim, keluaran atau lelehan berlebihan, ketumbuhan pintu rahim, longgar saluran sulit, tiada daya kemutan, lemah tenaga batin dan dingin.

Walaupun berjaya melangsingkan badan serta mengempiskan perut menerusi senaman, apabila dilihat tanpa pakaian, kulit perut menggeleber kendur dan berjalur, bahagian payudara pula kecut dan lembik.

Terdapat ibu moden yang sengaja memilih cara kelahiran melalui pembedahan bagi mengelakkan kelonggaran saluran sulit atau luka terkoyak di faraj. Tanggapan tersebut lahir daripada pengetahuan mereka yang dangkal tentang peranan rahim atau peranakan yang mengambil tempat utama dalam kesihatan kewanitaan. Jikalau rahim masih bengkak atau luka, tentulah kesihatan saluran faraj akan terjejas, yang mengakibatkannya longgar dan berair.

Sebagai jalan mudah, ramai ibu moden yang berkemampuan menjalani pembedahan bahagian sulit untuk merapatkan kembali saluran faraj kerana kononnya mahu menjadi gadis sepanjang hayat. Pembedahan seperti ini telah menjadi buah mulut kaum lelaki yang mengatakan kesan berjimak adalah seperti meniduri getah yang dijahit rapat. Tiada lagi kemutan semula jadi kerana pembedahan itu telah mematikan urat saraf.

Walau bagaimanapun, teknologi baharu itu merupakan suatu kejayaan bagi kaum ibu untuk mempertahankan aset kewanitaannya. Tetapi seyogia diingatkan agar jangan hanya mengharapkan saluran yang rapat sahaja untuk membantu memelihara keharmonian rumahtangga. Sebenarnya penjagaan rapi anggota dalaman ialah aspek terpenting bagi setiap wanita kerana pintu rahim ialah asas kebahagian seorang perempuan sebagai isteri.

Bagaimana rapat rapi pun saluran faraj, jikalau bahagian rahim menghidap sakit puan, maka lemahlah saluran faraj. Apabila rahim kendur, wajah seorang wanita akan kelihatan lebih berusia daripada umur sebenarnya. Apabila bahagian ujud anggota uzur, maka proses penuaan berlaku dengan lebih cepat.

Muka dan anggota luaran dapat diubah dengan cara pembedahan plastik, tetapi malangnya prosedur sedemikian tidak dapat dilakukan ke atas rahim. Kehilangan rahim akan mengganggu hormon wanita. Gangguan hormon ialah sesuatu yang sukar diatasi, melainkan diberi rawatan atau bekalan hormon tumpangan yang direka khas untuk wanita putus haid. Rawatan ini akan memberi kesan sampingan kepada wanita yang tidak tahan atau alah. Walaupun kebanyakan pakar perubatan menafikan wujudnya kesan sampingan rawatan hormon tersebut, yang jelas dapat dikesan ialah peningkatan berat badan yang sukar dikawal.

Rawatan tradisional dan petua orang tua-tua dahulu ada banyak faedahnya jika diamalkan dengan penuh kesabaran dan teratur. InsyaAllah kaum wanita tidak akan terperangkap dalam keadaan yang menyedihkan ini. Sangatlah rugi jika seseorang wanita itu angkuh serta sombong dan tidak mahu mempratikkan cara-cara yang dipandang rendah dan tidak setaraf dengan kehidupan masa kini, sedangkan masyarakat sedunia hari telah beralih pandangan kepada kaedah semulajadi dan alami menerusi rawatan perubatan herba serta bebas daripada bahan dadah dan kimia tiruan.

Oleh yang demikian, sejarah telah membuktikan petua orang tua-tua dahulu memang berguna dan beruntunglah kaum wanita sekarang yang dapat mengamalkannya dengan penuh keyakinan dan kesabaran.

Penyakit Meroyan

Mengikut ilmu perbidanan Melayu, penyakit meroyan atau merian hendaklah diberi perhatian kerana penyakit ini akan berlarutan seumur hidup sekiranya dibiarkan tanpa rawatan. Salah satu punca penyakit tersebut ialah darah bantal yang tidak keluar dengan sempurna atau teratur, yang seterusnya akan terjadi darah beracun. Darah beracun ini akan menguasai urat saraf dan mengganggu keseimbangan hormon wanita.

Gila Meroyan

Sekiranya darah bantal tidak keluar dengan sempurna, bahagian sulit akan berbau busuk. Bau itu tidak dapat diatasi walaupun dicuci dengan apa cara sekalipun. Ini kerana darah busuk yang berbau sperti bangkai masih tertinggal dan melekat atau tersangkut seperti ketulan kecil atau besar di dalam lapisan tisu rahim (endometrium).

Keadaan tersebut mungkin menjadi punca pengeluaran haid yang tidak teratur atau tidak lawas. Bahkan, sekiranya berlarutan sepanjang tempoh pantang bersalin, darah busuk itu akan menjadi punca sakit kepala, kemurungan dan seterusnya membawa kepada sakit angin meroyan, angin kotor dari rahim atau disebut juga sebagai mother's blues. Terdapat beberapa jenis penyakit meroyan yang dikenal pasti oleh pakar perubatan tradisional Melayu.

Meroyan Api

Dinamakan meroyan api kerana semasa dalam pantang, ibu akan menjadi bengis, garang, cepat marah sehingga boleh sampai ke tahap menjerit-jerit dan lupa. Kemarahan adalah melampau, adakalanya menyebabkan ibu tersebut menghempas atau membaling anak kecilnya (yang selalu menangis).

Meroyan Kentung (Kertung)

Ibu akan menjadi murung, hiba, sayu, mudah menangis, perasa dan adakalanya kelihatan seperti bodoh sehingga apabila berlarutan tidak dapat membezakan antara anak dengan bantal.

Meroyan Urat

Ibu mengalami ketegangan urat saraf sehingga sentiasa mengeraskan diri seperti mengalami kekejangan otot atau disebut oleh masyarakat di utara Semenanjung sebagai "kediang badan".

Meroyan Lendir

Ibu sentiasa kelihatan pucat, lesu, mata pudar dan keguguran rambut serta badan menjadi susut.

Meroyan Tinggal

Ibu sentiasa berleter, bercakap seorang diri dan mengambil peluang untuk lari dari rumah. Ibu yang mengalami masalah ini mungkin tidak mahukan bayinya sendiri. Dia sering tertawa, mengilai seperti dirasuk atau dalam kes yang teruk tidak mengenali suaminya sendiri.

Meroyan Bulu

Ibu sentiasa berasa seram sejuk, bulu roma sentiasa berdiri tegak dan adakalanya menggeletar kesejukan sehingga menyebabkan kancing gigi. Adakalanya mereka akan kelihatan seperti terkena sampuk.

Meroyan Kulit

Ibu berasa gatal serta miang seluruh badan dan tergaru-garu seperti kelakuan kera. Akibat sering menggaru itu, seluruh badan seperti sedang mengalami penyakit kulit.


Kaedah Rawatan Penyakit Meroyan

Para ibu disyorkan mengamalkan perubatan herba dan rempah ratus khusus bagi rawatan semasa dalam pantang. Satu kajian yang dijalankan mendapati kandungan cekur dalam ubat herba bersalin mempunyai potensi untuk menghindari penyakit murung. Manakala satu kajian lagi tentang kunyit, mendapati herba tersebut mempunyai ciri antioksidan dan antibengkak. Secara tradisional halia, serai, jerangau dan rempah ratus diyakini mampu mengeluarkan sisa racun akibat pemakanan agar darah kembali bersih. Sesungguhnya gabungan bahan-bahan tersebut dapat membantu ibu-ibu mengelak daripada dihinggapi penyakit meroyan. Selain itu, ramuan ini dapat membantu membersihkan rahim daripada pengumpulan angin, lendir dan darah beracun daripada darah bantal yang tertinggal sekali gus dapat mempercepatkan pengecutan rahim, mengimbangi hormon, melegakan sakit urat saraf dan membantu melangsingkan badan.

Mengangkat Dan Meletak Bayi

Sebagai ibubapa baru, anda mungkin berasa kekok dan gementar untuk mengendalikan bayi. Mengangkat dan meletakkan bayi memerlukan teknik yang betul. Pengendalian yang cermat mengelakkan bayi anda dari tercedera.

Fontenal lembut yang terletak di atas kepala bayi anda mempunyai membran kuat yang bertindak melindungi fontenal itu. Namum begitu, sekiranya anda mengangkatnya secara tiba-tiba, bayi anda mungkin akan terperanjat. Akibatnya, dia akan bertindak melemparkan dirinya ke luar atau berasa takut kerana memikirkan dia akan terjatuh.

Namum, situasi cemas dan berhati-hati ini hanya akan dilalui dalam satu tempoh yang singkat. Rasa yakin dalam diri anda dapat membantu memudahkan cara mengendalikan bayi. Malah, semakin bayi meningkat dewasa, dia sudah mampu mengawal otot-ototnya dan suka diangkat tinggi.

Ketika memindahkan kedudukan dari satu posisi yang lain, pastikan anda sentiasa berkomunikasi dengannya. Dengan cara ini anda dapat memupuk keyakinan diri pada bayi kerana dia sudah biasa dengan suara anda.

Bayi kurang dari umur lapan minggu masih belum mampu mengawal kepala dan otot-ototnya. Oleh itu, anda perlu sentiasa menyokong badannya sepanjang masa supaya kedudukan kepalanya dan anggota badan yang lain tidak terjuntai. Ikuti langkah mengangkat dan meletakkan bayi seperti di bawah.


Teknik Mengangkat Bayi


Langkah 1 : Ketika kedudukan bayi dalam posisi menelentang, masukkan sebelah tangan anda ke sebelah belakang di bahagian bawah badan dan punggungnya. Lakukan ia dengan lembut dan perlahan agar bayi anda selesa dan tidak terkejut.

Langkah 2 : Dari sebelah arah bertentangan, masukkan sebelah lagi tangan anda ke bawah leher dan kepalanya. Ia bagi menyokong leher bayi agar lebih kukuh dan kepalanya tidak akan terjuntai.

Langkah 3 : Angkat bayi anda dengan perlahan dan cermat supaya badan dan kepala bayi anda dapat disokong. Senyum dan bercakap-cakap dalam nada yang lembut dengan bayi anda sekiranya ketika itu dia terjaga.

Langkah 4 : Ubah kedudukan kepala bayi anda ke bahagian melengkok di siku atau bahu anda supaya sokongan kepalanya menjadi lebih kukuh. Bayi anda akan berasa amat selesa dalam kedudukan seperti ini.


Cara Meletakkan Bayi

Langkah 1
: Ubah kedudukan kepala bayi anda ke bahagian melengkok di siku atau bahu anda supaya sokongan kepalanya menjadi lebih kukuh. Bayi anda akan berasa amat selesa dalam kedudukan seperti ini.

Langkah 2 : Tarik tangan anda keluar dari bawah punggung bayi dan gunakan tangan ini untuk mengangkat kepalanya supaya anda dapat menarik tangan anda yang sebelah lagi dengan mudah. Secara perlahan-lahan letakkan kepalanya di atas atau bantal. Jangan biarkan kepala anak anda terhentak atau terjatuh di atas sesuatu permukaan dan pastikan anda tidak menyentak keluar tangan yang menyokong kepala dan badan bayi dengan cepat. Tindakan ini akan memeranjatkannya dan mungkin juga akan mendatangkan kecederaan.


Kaedah Membuai Bayi

Langkah 1
: Bayi akan berasa lebih selesa dan selamat jika anda membuainya dalam lengkungan siku anda. Dalam posisi ini, kepala dan anggota tubuh bayi anda disokong dengan baik.

Langkah 2 : Dukung bayi mukanya ke bawah. Satu posisi yang menarik untuk bayi anda! Sesekali posisi dukungannya perlu juga diubah. Dia mungkin suka jika didukung dalam keadaan muka menghadap ke bawah. Dalam keadaan ini, dagu dan pipinya akan direhatkan pada lengan anda. Buailah bayi anda perlahan-lahan, tentu dia akan seronok.

Langkah 3 : Dukung bayi pada bahu. Dalam posisi ini, bayi berasa lebih yakin dan selamat. Berat badan bayi dapat diampu dengan baik dengan meletakkan satu tangan di bawah punggungnya. Manakala tangan yang satu lagi bertindak menyokong kepalanya. Nyanyikan lagu sambil membuai tubuh anda agar bayi dapat tidur lena.


Cara Angkat Bayi Dari Tepi

Cara 1
: Posisi ini sesuai untuk bayi yang tidur di dalam buai mahupun di atas tilam bayi. Cara paling selamat bagi bayi adalah jika baring mengiring. Untuk mengangkatnya, masukkan sebelah tangan anda ke bawah leher dan kepalanya. Manakala tangan sebelah lagi dimasukkan ke bawah punggungnya bagi mendapatkan sokongan yang lebih stabil.

Cara 2 : Tatang bayi anda perlahan-lahan. Pastikan kepalanya tidak terjuntai. Setelah bayi berada dalam posisi yang selesa, angkat bayi anda perlahan-lahan.

Cara 3 : Rapatkan bayi anda pada badan anda, kemudian sisipkan lengan anda ke bawah kepalanya.

Cara 4 : Sekarang, bayi anda berada dalam posisi selamat, yakni kepalanya disokong di dalam lengkungan siku anda. Dia pasti tidur lebih lena kerana berasa selamat dalam dakapan anda.

Memakai Dan Menanggalkan Pakaian Bayi

Kesukaran memujuk bayi untuk berpakaian sudah pasti menuntut kesabaran. Untuk mengatasi keadaan ini, sebelum menyalin dan menanggalkan pakaian anda boleh membelainya sambil memandang mesra ke wajah dan mengusap lembut seluruh badan bayi.

Cara Memakaikan Pakaian Bayi

Disamping itu, anda boleh membuatkan aktiviti ini suatu perkara yang menyeronokkan dengan cara mengesel-geselkan kepala, mendakap, mencium dan berbual sebanyak mungkin ketika memakaikan pakaian kepadanya. Secara psikologinya, si kecil akan berasa dekat dan selamat bersama anda. Dia akan mula berasa selesa dan mudah sekali untuk anda memujuknya untuk berpakaian. Seterusnya ikuti panduan cara berpakaian:

Langkah 1 : Pujuk bayi anda sebelum memakai baju. Pastikan dia dalam keadaan tenang. Baringkan bayi anda di atas tilam nipis menyalin pakaian. Kemudian pegang baju tersebut dan kumpulkannya di dalam kedua-dua belah tangan anda. Letakkan pinggir belakang baju pada bahagian atas kepalanya untuk memudahkan anda memakai bajunya.

Langkah 2 : Dengan lembut, turunkan pinggir hadapan baju tersebut ke dagu bayi anda. Pegang semua kain baju yang terkumpul bersama dan regangkannya selebar yang anda boleh supaya tidak bergesel pada muka bayi.

Langkah 3 : Sebelah tangan digunakan untuk mengangkat kepala supaya bahagian belakang baju berada disekeliling lehernya dan terletak di belakang bahunya. Dengan perlahan-lahan, angkat kepala dan bahagian belakang bahunya supaya baju mudah disarungkan ke lehernya. Kemudian turunkan kepalanya semula ke tilam menyalin pakaian dengan berhati-hati untuk mengelakkan kepalanya terhantuk.

Langkah 4 : Jika baju itu berlengan panjang, masukkan semua jari sebelah tangan anda ke dalam lengan baju yang pertama dan regangkan dengan lebar supaya tangan bayi dapat melalui ruang lengan baju itu. Pegang buku lima bayi anda dengan tangan anda sebelah lagi untuk memudahkan baju itu dipakaikan.

Langkah 5 : Pegang tangan bayi anda dengan tangan anda yang pertama dan dengan menggunakan tangan anda yang sebelah lagi, lalukan lengan baju ke dalam tangan bayi anda. Tarik baju ke bawah di bawah tangannya. Lakukan perkara yang sama dengan lengan baju yang satu lagi.

Langkah 6 : Tarik baju menutupi bahagian perutnya. Angkat bahagian bawah badannya dengan memegang kedua-dua buku lalinya dan tarik bahagian belakang bajunya tersebut. Butangkan bahagian bawahnya dengan kemas.


Cara Menanggalkan Pakaian Bayi


Dalam tempoh menyalin baju bayi anda, sediakan sehelai tuala untuk membalut badan bayi atau salinkan pakaiannya dengan cepat. Berikan keselesaan kepadanya ketika menyalin baju. Baringkan bayi pada tikar menyalin pakaian. Bercakaplah kepadanya ketika menanggalkan bajunya supaya dia berasa selesa. Usah tergopoh-gapah, lakukan dengan lembut. Ikuti langkah seterusnya.

Langkah 1 : Buka butang tekan bajunya dengan berhati-hati. Kemudian angkat bahagian bawah badannya dengan cara memegang kedua-dua pergelangan kakinya. Tarik baju ke atas supaya mudah anda menanggalkannya.

Langkah 2 : Pegang sikunya dalam baju dengan sebelah tangan dan luncurkan seluruh kain melalui genggamamnya. Lakukan perkara yang sama pada tangan yang sebelah lagi.

Langkah 3 : Kumpulkan kain baju dalam kedua-dua belah tangan anda supaya tiada bahagian kain yang bergesel pada muka bayi apabila mengeluarkan baju nanti.

Langkah 4 : Regangkan bukaan selebar yang boleh, kemudian dengan satu pergerakan yang cepat, tarik baju ke atas melalui muka bayi anda, ke bahagian atas kepalanya.

Langkah 5 : Masukkan tangan ke bawah kepala dan leher bayi serta angkat bahagian atas badannya supaya anda dapat menarik keluar baju tersebut.

Memakai Lampin Fabrik

Selain menggunakan lampin pakai buang, anda juga boleh menggunakan lampin fabrik sebagai alternatif. Lampin fabrik yang digunakan harus bersih dan siap sedia dilipat agar mudah digunakan apabila perlu. Ikuti beberapa langkah mudah memakai lampin fabrik dengan lipatan penyerap tiga.

Langkah 1 : Angkat kaki bayi dengan memegang buku lalinya. Kemudian luncurkan lampin fabrik di bawah punggung bayi hingga pinggang atas lampin berada selari dengan kedudukan pinggang bayi.

Langkah 2 : Bawa lipatan lampin fabrik yang di tengah ke atas di kelangkangnya dan halakan zakar bayi anda (bayi lelaki) ke bawah bagi mengelakkan air kencingnya membasahi kawasan pinggang. Pegang bahagian lipatan tersebut sementara anda melipat sedikit fabrik di sisi kiri bayi. Bawa bucu lampin yang dilipat tadi ke atas dan balutkan di sekeliling pinggang bayi. Tarik lampin itu sedikit bagi menegangkannya. Pegang lampin pada kedudukan itu sementara anda melipat pinggir panjang yang satu lagi ke atas.

Langkah 3 : Sambil memegang penjuru yang pertama, bawa penjuru lampin kedua ke hadapan dan tarik lampin sehingga ketat. Bahagian lipatan ini akan menjadi longgar setelah anda mengenakan pin.

Langkah 4 : Masukkan jari anda di antara lampin fabrik dengan perut anak anda supaya anda tidak tertusuknya, kemudian pin semua lapisan lampin agar ia tidak terbuka. Pin secara mendatar dan klip penutupnya. Lampin fabrik yang baik dapat muat dengan selesa di sekeliling pinggang dan kaki bayi anda. Seperti biasa, uji ikatan lampin dengan jari anda. Biasanya lampin fabrik akan semakin longgar apabila bayi anda bergerak-gerak. Oleh itu, buka pin dan pakaikan semula lampinnya.

Lagkah 5 : Kemudian, pakaikan seluar plastik berikat bagi menggelakkan kulit punggung bayi anda merah dan sakit. Seluar plastik seperti ini membenarkan sedikit peredaran udara tetapi kebocoran kerap juga berlaku. Masukkan lampin kain yang terkeluar di sekeliling pinggang dan kaki bayi agar dia berasa selesa.

Info : Lampin fabrik kapas juga mampu menyokong pinggul bayi dengan baik.


Memakai Lampin Pakai Buang

Apabila ingin memakaikan lampin pada bayi anda, peraturan yang harus diikuti adalah memastikan punggung bayi anda sentiasa kering. Lampin yang lembap dan kotor akan menggalakkan jangkitan pada bayi.

Bayi yang berkeyakinan tidak akan duduk diam ketika anda memakaikan lampin untuknya. Walau bagaimana sekalipun kelakuan bayi anda, anda masih perlu membersihkannya. Jadikan masa menyalin lampin sebagai aktiviti yang menyeronokkan sama ada dengan menggeletek bayi anda atau memberikan permainan untuk dipegang.

Langkah 1 : Bentang lampin pakai buang dan pastikan bahagian berpita pelekat berada di bahagian atas. Kemudian, angkat kaki bayi dengan memegang buku lalinya. Ketika ini satu jari anda berada di antara kedua-dua belah kaki bayi yang dipegang. Luncurkan lampin tersebut di bawah punggung bayi sehingga bahagian atas lampin berada segaris dengan punggungnya.

Langkah 2 : Pegang bahagian hadapan lampin dan bawa ke atas. Jika anda sedang memakaikan lampin bayi lelaki, pastikan zakarnya menghala ke arah kakinya, jika tidak dia mungkin akan membuang air kecil ke dalam ikatan pinggangnya. Juga standby dengan kain lampin untuk menutup zakarnya kalau kalau dia memancutkan air kencingnya ketika sedang menukarkan lampin hehehe.

Langkah 3 : Pegang satu penjuru lampin pada kedudukannya dan guna tangan sebalah lagi untuk membuka dan menarik pita pelekat ke depan dan lekatkan di hadapan. Pastikan kedudukan pita pelekat selari dengan tepi lampin.

Langkah 4 : Ulang langkah yang sama pada sisi yang satu lagi sambil memastikan lampin terletak kemas di sekeliling kaki bayi anda dan tidak berlipat.

Langkah 5 : Lampin pakai buang yang digunakan harus muat secukupnya di sekeliling pinggang bayi anda. Jika diuji dengan jari, ia boleh memuatkan hanya satu jari anda sahaja. Kemudian, periksa muat lampin, jika terlalu longgar buka semula pita dan lekatkan semula pada kedudukan yang sesuai.

Info : lampin pakai buang membolehkan bayi anda kelihatan lebih kemas. Jangan biarkan bayi anda terlalu lama berada dalam lampin yang basah atau kotor.

Mengelap Badan Bayi

Jangan terkejut jika bayi anda tidak sukakan air. Cara terbaik untuk membersihkannya adalah dengan menggunakan tuala. Bayi yang boleh mengangkat kepalanya ke atas amat sesuai dimandikan dengan kaedah ini.

Sebelum mula mengelap tubuh bayi anda, pastikan anda membaringkannya dahulu di atas sebuah tikar beralas. Kemudian lap bahagian mata, muka dan telinga dengan kepingan kapas bersih. Cari tempat yang sesuai dan letakkan barang-barang keperluan berhampiran anda. Ia bagi memudahkan anda menjangkaunya tanpa perlu bergerak jauh. Setelah bersedia, alaskan sehelai tuala di ribaan dan dudukkan bayi di atas riba anda. Kemudian teruskan dengan langkah seperti di bawah:

Bersihkan Bahagian Atas

Langkah 1: Tanggalkan bahagian atas pakaian anak anda. Basahkan tuala dan perah hingga agak kering. Cuci bahagian leher bayi anda, pastikan daki di bahagian pelipat kulitnya dibersihkan dan lakukan dengan lembut. Kemudian, keringkan bahagian leher dengan sehelai tuala kering.

Peralatan Yang Anda Perlukan:

1. Semangkuk kecil air suam untuk mengelap bahagian muka.

2. Semangkuk air suam yang ditambah sedikit cecair mandian bayi.

3. Kapas dan tuala muka yang lembab.

4. Tuala kering yang bersih.

5. Peralatan untuk menyalin lampin.


Langkah 2 : Teruskan berkomunikasi dengannya dan terangkan apa yang ada sedang lakukan. Sambil itu, celup tuala ke dalam air sekali lagi dan basuh pula keseluruhan bahagian dada dan perut bayi anda. Setelah itu, keringkan dengan sehelai tuala bersih.

Langkah 3 : Pegang sebelah tangan bayi anda ke atas untk meratakan lipatan kulitnya, cuci dan keringkan bahagian ketiak dan bawah lengan. Kawasan ini merupakan tempat debu dan peluh berkumpul. Kemudian cuci dan keringkan pula bahagian atas lengannya dengan cermat. Sekiranya anak anda menunjukkan minat untuk mencelup tangan ke dalam bekas air, biarkan sahaja agar dia faham bahawa bermain air adalah menyeronokkan.

Langkah 4 : Condongkan sedikit badan bayi anda ke hadapan, biarkan lengan anda menyokong berat badannya. Kemudian bersihkan dan keringkan bahagian bahu dan belakang badannya. Pastikan anda memerah tuala dengan betul, dia tentu tidak suka jika ada air yang menitis dan mengalir di bahagian belakang badannya.

Bersihkan Bahagian Punggung Dan Kaki

Cara 1 :
Tanggalkan pula seluar dan stoking bayi anda. Ambil tuala lembap dan bersihkan bahagian kakinya dan celah-celah jarinya. Kemudian lap dengan sehelai tuala kering pada bahagian tersebut.

Cara 2 : Akhir sekali, tanggalkan lampin dan bersihkan bahagian perut, kemaluan dan punggung sama seperti yang biasa anda lakukan. bagi bayi lelaki, bersihkan punggungnya dengan lebih sempurna kerana air kencing bayi lelaki biasanya akan terpancut ke semua tempat.



Mandikan Bayi

Bayi akan beransur-ansur suka dimandikan. Untuk memegang bayi yang masih kecil bukan kerja yang mudah. Tambahan pula bagi ibu bapa yang baru mendapat cahayamata pertama.

Bayi mempunyai kulit dan bahagian tulang belakang yang lembut perlu dipegang dengan berhati-hati. Berlatih memandikan bayi memerlukan kemahiran. Ini kerana ketika ini bayi yang baru lahir mungkin mempunyai perasaan yang bercampur aduk yang menyebabkan dirinya berasa tidak selesa apabila dimandikan.

Sebelum bayi bersedia untuk dimandikan, pastikan bilik tidak sejuk, anda dalam posisi melutut, duduk atau berdiri. Pastikan anda dalam keadaan selesa ketika memegang bayi anda. Sebagai panduan ikuti langkah seterusnya:

Langkah 1 : Pilih tempat yang bersih untuk memandikan bayi. Isikan air paip di dalam tempat mandi, tambahkan air panas dan sesuaikan kepanasannya (sedikit suam). Uji dengan menggunakan siku. Pastikan barang mandian seperti sabun dan kain tuala diletakkan berhampiran anda. Jangan kelam kabut.

Langkah 2 : Secara perlahan tanggalkan pakaian bayi dan lampinnya. Sambil itu, bercakap dengan bayi dengan suara yang lembut dan beritahu kenapa anda menanggalkan pakaiannya dengan menjelaskan bahawa dia akan dimandikan sebentar lagi.

Langkah 3 : Balut bayi dengan tuala. Lap mata dan mukanya dengan bulu kapas yang dicelup ke dalam air suam yang telah disejukkan. Lakukan dengan berhati-hati kerana bahagian ini kulit bayi agak sensitif.

Langkah 4 : Sebelum badannya dimandikan, basuh dahulu rambutnya. Pegang kepalanya menggunakan sebelah tangan dengan bahagian belakangnya berada di sepanjang lengan dan kakinya di bawah siku anda. Dengan menggunakan tangan, siram air dari tempat mandi ke atas kepalanya dengan perlahan.

Langkah 5 : Kemudian angkat bayi dan secara perlahan masuk ke dalam tempat mandi. Sokong kepala dan lehernya di atas lengan dengan tangan anda memegang sekeliling bahu dan pastikan bahagian atas lengannya jauh dari anda. Letak tangan anda yang sebelah lagi di bawah punggung dan pahanya.

Langkah 6 : Curahkan air ke badannya dengan lembut. Lakukan dengan perlahan sekiranya bayi anda kelihatan resah. Mandikan seluruh badannya. Jangan lupa bahagian belakang telinga, leher dan bawah lengan serta semua bahagian anggota badannya termasuk kaki dan jari tangan dan kaki. Bersihkan juga di sekitar celah-celah punggungnya. Serta jangan lupa untuk membersihkan bahagian belakang badannya.

Langkah 7 : Dua tiga minit memadai bayi di dalam air. Angkat bayi dengan meluncurkan tangan ke bawah punggungnya. Dukung bayi dengan behati-hati. Keringkan bayi anda. Sebahagian bayi suka dan berasa selesa apabila dirinya dibalut dengan tuala yang membuatkan dirinya menjadi kering. Keringkan di bahagian lipatan kulitnya.

Langkah 8 : Sekarang masa untuk pakaikan lampin dan baju yang bersih. Berikan senyuman kepada anak anda setelah menguruskannya.