Archive for 2011
Latest Updates

Kesan Fibroid Terhadap Kehamilan

Fibroid ialah ketumbuhan biasa atau ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim.

Bagi wanita, mengetahui sesuatu yang asing sedang tumbuh dan membesar di dalam rahimnya merupakan perkara yang merunsingkan. Ketumbuhan fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di bawah umur 50 tahun.

Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus wanita dalam lingkungan usia subur, iaitu 30 hingga 40 tahun menghidap fibroid.

Kehamilan dan fibroid

Fibroid biasanya terdapat dalam kalangan wanita pada usia subur. Maka tidak hairanlah fibroid ditemui dalam kalangan wanita hamil. Kadang-kadang fibroid boleh menimbulkan kesan yang tidak dijangka semasa seseorang itu hamil. Ada fibroid yang dapat menimbulkan masalah dan ada yang tidak. Akan tetapi, kebanyakan fibroid tidak akan membesar ketika hamil. Pembesaran fibroid bergantung pada aras hormon estrogen di dalam badan. Kesan kehamilan terhadap fibroid mungkin bergantung pada faktor genetik dan juga aras faktor pertumbuhan yang terdapat di dalam darah yang mungkin boleh mengawal pertumbuhan fibroid tersebut.

Mengikut laporan kajian yang dijalankan ke atas wanita hamil yang menghidap fibroid, imbasan ultrabunyi menunjukkan lebih kurang 70 peratus wanita hamil tersebut tidak mengalami pembesaran fibroid semasa hamil.

Sebanyak 30 peratus wanita pula menghadapi pembesaran fibroid, dan fibroid ini didapati membesar dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan. Hal ini mungkin juga disebabkan oleh pengaruh hormon estrogen yang berada pada aras yang tinggi ketika awal kehamilan.

Hanya segelintir wanita hamil yang diketahui mempunyai fibroid ketika menjalani ujian imbasan ultrabunyi dan kebanyakan wanita yang menghidap fibroid jarang mengalami masalah ketika hamil. Walaupun fibroid didapati membesar ketika hamil, kaum wanita tidak perlu gusar kerana fibroid biasanya akan mengalami pengecutan selepas kelahiran anak.

Pasti ramai di kalangan wanita hamil akan tertanya-tanya adakah fibroid akan menyebabkan kehamilan mereka menghadapi masalah.

Wanita hamil yang menghidap fibroid memerlukan pengawasan berkala. Perkara ini penting untuk memastikan pembesaran janin berlaku dengan baik. Ia juga untuk membantu ibu supaya tidak mengalami keguguran dan kesakitan semasa hamil serta menghindari kelahiran bayi pramatang. Ibu juga berpeluang mempunyai cara terbaik bagi kelahiran bayinya dan tidak mengalami perdarahan yang teruk selepas kelahiran bayi.

Apabila wanita hamil dan menghidap fibroid, beberapa masalah mungkin berlaku. Antaranya termasuklah kehamilan itu berisiko untuk mengalami keguguran, meningkatnya risiko untuk kelahiran pramatang, pembesaran fibroid, kelahiran yang tidak normal dan mengalami perdarahan yang banyak selepas melahirkan bayi.

Keguguran

Hal ini berlaku disebabkan oleh kesan fibroid jenis submukosa yang membesar di dalam kaviti (rongga) rahim. Apabila pembesaran berlaku, fibroid ini akan menyebabkan lapisan rahim, iaitu bahagian bagi penempelan janin menjadi nipis dan menghalang bekalan darah yang mencukupi untuk tumbesaran janin tersebut. Selain itu, fibroid juga akan menyebabkan inflamasi di lapisan penempelan dan mengakibatkan janin tidak dapat menempel dengan baik dan hal ini akan menyebabkan keguguran.

Kelahiran pramatang

Keadaan ini berlaku kerana fibroid yang makin membesar semasa janin dalam kandungan membesar akan menyebabkan rahim membesar pada masa yang sama. Keadaan ini lebih kerap berlaku bagi fibroid yang berada di bahagian bawah rahim yang pada masa yang sama boleh menekan kepala bayi yang belum matang. Keadaan ini boleh menyebabkan wanita tersebut mengalami kontraksi (kesakitan bersalin) lebih awal sebelum waktu yang sepatutnya.

Pembesaran fibroid

Ketika hamil, kebanyakan hormon akan dihasilkan oleh uri (plasenta) dan kebiasaannya menyebabkan peningkatan aras hormon estrogen. Peningkatan aras hormon estrogen yang tinggi akan menyebabkan pembesaran fibroid yang mungkin secara mendadak.

Jika pembesaran fibroid berlaku terlalu cepat, salur darah yang membekalkan nutrien kepada fibroid mungkin tidak boleh membekalkan oksigen yang mencukupi kepada tisu fibroid.

Jadi, sebahagian fibroid yang tidak mendapat bekalan darah akan mengalami degenerasi atau dikenal sebagai 'degenerasi merah' (red degeneration).

Proses degenerasi ini akan menyebabkan wanita yang sedang hamil mengalami kesakitan. Biasanya, kesakitan ini akan hilang dalam jangka masa yang pendek tanpa rawatan dan tidak akan mendatangkan masalah kepada kandungan.

Bagi wanita yang tidak dapat menahan kesakitan, mereka boleh diberikan ubat penahan sakit jika perlu.

Kelahiran yang tidak normal

Kelahiran normal terganggu jika fibroid berada pada bahagian bawah rahim. Bentuk rahim juga mungkin akan berubah disebabkan kewujudan fibroid. Hal ini akan meningkatkan risiko kedudukan bayi tidak normal seperti melintang atau songsang.

Bayi yang berada dalam keadaan melintang atau songsang terpaksa dilahirkan melalui pembedahan Caesarean. Wanita yang mempunyai masalah sebegini akan diberikan tarikh tertentu bagi pembedahan Caesarean secara terancang.

Pendarahan yang banyak selepas melahirkan bayi

Rahim akan mengalami masalah untuk mengecut. Keadaan ini merupakan salah satu penyebab utama tumpahan darah selepas bersalin. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, pakar perbidanan akan memberikan suntikan ubat yang kuat untuk memastikan rahim tersebut dapat mengecut.

Rawatan fibroid ketika hamil

Bagi wanita hamil, doktor hanya akan memberikan rawatan seperti ubat penahan sakit, jika perlu. Ubat penahan sakit selalunya diberikan dalam bentuk suntikan. Pembedahan untuk membuang fibroid tidak akan dilakukan semasa hamil. Jika kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan caesarean, sebarang pembedahan membuang fibroid (miomektomi) tidak dilakukan pada masa yang sama.

Perdarahan yang banyak ini mungkin agak sukar dikawal. Keadaan ini berlaku kerana ada saluran darah yang agak banyak dan besar di bahagian rahim ketika hamil berbanding sewaktu tidak hamil.

Pembedahan hanya boleh dilakukan selepas ibu melahirkan anaknya, sekiranya fibroid tersebut berbahaya jika tidak dibuang. Oleh itu, lazimnya saiz fibroid akan diawasi lagi selepas tempoh pantang apabila aras hormon kembali normal.

Kualiti Ereksi Gambarkan Tahap Kesihatan

SEBELUM ini ada laporan pernah mendedahkan ramai wanita menganggap aktiviti seks hanya untuk mendapat zuriat tanpa perlu memikirkan soal kepuasan.

Hakikatnya, seks lebih daripada itu. Ia lebih daripada sekadar mendapatkan zuriat. Sebab itu dalam setiap perlakuan seks perlu mengambil kira kemuncak kepuasan bagi setiap pasangan.

Walaupun kebanyakan wanita menganggap soal kepuasan seks merupakan perkara biasa, tetapi sebenarnya ia juga adalah hak mereka.

Bagi kebanyakan lelaki pula, mereka percaya aspek fizikal dalam hubungan seks seperti kualiti ketegangan atau ereksi dapat memberi kepuasan kepada pasangan masing-masing.

Sebenarnya perkara ini merupakan sesuatu yang serius untuk diperbincangkan bagi kebanyakan pasangan iaitu ketegangan atau ereksi bukanlah sesuatu yang dianggap enteng.

Menurut kaji selidik Seks Yang Ideal Pfizer 2011, pasangan Asia bersetuju sepenuhnya bahawa kualiti ereksi serta kebolehan untuk mengekalkan ketegangan adalah kriteria penting dalam mencapai pengalaman seks yang ideal.

Menurut Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ong Teng Aik, ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan secukupnya.

Tambahnya, saluran darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan tahap ereksi.

“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat.

“Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah,” ujarnya ketika ditemui ketika sesi bersama media yang dianjurkan oleh Pfizer bagi membincangkan keputusan Kaji Selidik Seks Ideal 2011 baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, kepuasan seks merupakan satu yang begitu subjektif dan berbeza-beza kepada setiap pasangan mengikut umur.

Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun pula berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.

Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.

“Sebenarnya, dalam situasi ini, sekiranya setiap pasangan memenuhi keinginan seks, mereka akan rasa lebih disayangi.

“Tetapi perlu diingatkan usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar. Malah selagi pasangan sihat anda akan merasai kepuasan seks.

“Tidak kira tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” ujarnya.

Begitupun, hari ini, apabila membicarakan mengenai tahap kepuasan seks bagi setiap pasangan, mungkin ramai yang tidak mengetahui terdapat satu ukuran untuk menentukan ereksi iaitu menerusi Skala Ketegangan Ereksi atau EHS (Erection Hardness Scale).

Ukuran ini dapat menentukan sama ada seseorang lelaki itu mengalami masalah disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk. EHS digunakan untuk menyukat ketegangan ereksi semasa hubungan seks.

Gred 4 merupakan keadaan ereksi paling optimum yang memberikan kepuasan seks sebenar untuk pasangan mereka.

Dalam pada itu, golongan doktor juga sering menggunakan ukuran ini bagi memantau hasil rawatan ke atas setiap pesakit mereka.

Ketegangan paling maksimum dapat dicapai pada Gred 4 iaitu zakar tegang dan keras sepenuhnya.

Kualiti ereksi sebenarnya melibatkan nilai dan harga diri untuk lelaki dan wanita. Apabila kedua-dua lelaki dan wanita mendapat kepuasan seks, keperluan emosi dan psikologi mereka juga turut dicapai.

Lelaki Malaysia yang meletakkan mereka di gred yang teratas mengikut skala EHS mempunyai keyakinan dan imej diri tiga kali ganda lebih daripada rakan yang kurang bertenaga dan berkebolehan di negara lain.

Tetapi bagaimana pula mereka yang tidak mencapai ketegangan tahap yang memuaskan?

Menurut kaji selidik tersebut, 25 peratus daripada kaum lelaki Malaysia menilai ketegangan mereka pada gred 3 EHS.

Ini menunjukkan keadaan kesihatan yang lemah atau sederhana jika dibandingkan 17 peratus responden dengan penilaian gred 4.

Penemuan itu penting kerana ketegangan separa optimum selalu dikaitkan dengan penyakit jantung ischemic.

Kebanyakan orang tidak menyedari kualiti ereksi lemah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung.

Akibat peningkatan tahap kolestrol dan kencing manis, saluran darah akan disekat oleh bahan berlemak di sepanjang permukaan arteri.

Saluran menjadi keras dan sempit mengakibatkan kurang pengaliran darah kepada organ-organ penting yang lain.

Lagi pula saluran darah yang sampai ke organ seks lelaki adalah lebih kecil dibandingkan dengan saluran lain.

Oleh itu apabila ia mengalami kesulitan, bahagian tubuh yang lain juga akan turut terjejas terutamanya di bahagian jantung.

Mengambil kira kualiti ereksi dan mendapatkan rawatan awal menerusi perundingan dengan pakar perubatan bukan sahaja dapat meningkatkan pengalaman seks bahkan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.

Sekiranya berhadapan dengan masalah ini, setiap pasangan perlu membincangkannya secara terbuka.

Isu ereksi berkualiti tidak harus ditolak begitu sahaja kerana selain menjejaskan hubungan intim ia boleh mengganggu kesejahteraan emosi dan kesihatan.

Kerap Hamil Jejas Tulang

MEMILIKI zuriat yang ramai selalunya mampu memberikan kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga.

Namun, kehamilan yang kerap dan dalam jarak masa yang singkat turut mengundang risiko kepada ibu mengandung.

Seorang pakar perubatan rehabilitasi dari Fakulti Kedoktoran, Universiti Indonesia, Dr. Siti Annissa Nuhonni berkata, bayi di dalam kandungan memerlukan kalsium yang banyak untuk proses pembesarannya.

Kalsium tersebut disumbangkan oleh ibu dan kuantitinya perlu dikongsi bersama. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu hamil memerlukan kuantiti kalsium yang tinggi berbanding biasa.

Selain itu, setelah proses melahirkan anak, kuantiti kalsium yang banyak masih diperlukan untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan seorang ibu memerlukan jumlah kalsium yang lebih berbanding keadaan biasa,” jelasnya.

Tambah Annissa, jarak kehamilan dan kelahiran yang dekat akan turut menyebabkan ketidakseimbangan kandungan hormon estrogen di dalam tubuh.

Ketidakseimbangan hormon penting wanita tersebut secara tidak langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang.

“Estrogen penting untuk penyerapan kalsium. Jadi, apabila ia terganggu, struktur tulang juga akan terganggu akibat kekurangan kalsium,” ujar Annissa.

Lebih memburukkan keadaan apabila darah kehabisan kandungan kalsium dan ia mula menyerapnya daripada tulang dan gigi pula.

Ini kerana sebanyak 80 peratus kandungan kalsium dalam badan terdapat pada bahagian itu.

Setelah banyak kalsium diserap keluar, ia akan mengganggu struktur tulang dan gigi. Ia akan mengurangkan kepadatan struktur itu yang akhirnya mengundang penyakit berkaitan tulang.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Pemulihan Perubatan WQ Park, Dr. Tunku Nor Taayah Tunku Zubir menjelaskan bahawa kekurangan kalsium di dalam badan boleh menyebabkan masalah kerapuhan tulang.

Berpantang

“Kalsium adalah elemen terpenting dalam pembentukan tulang. Justeru ia diperlukan dalam kuantiti yang mencukupi untuk mengekalkan kekuatan tulang.

“Apabila kurang kalsium, ia akan menyebabkan masalah osteoporosis yang sering menyerang wanita terutamanya yang sudah menopaus,” katanya kepada Jurnal.

Ibu hamil digalakkan minum banyak susu dan mengambil sumber kalsium lain seperti keju, yogurt dan sayur berdaun hijau sebagai cara untuk mengoptimumkan jumlah kalsium dalam badan.

Sebagai langkah untuk membantu mengekalkan kesihatan tulang dalam kalangan wanita, Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Dr. Mohd. Ismail Tambi menasihatkan mereka yang berisiko agar menjarakkan tempoh kehamilan.

Sambil merujuk kepada kepentingan amalan berpantang selepas bersalin, Ismail menjelaskan bahawa wanita perlu menjaga kesihatan reproduktif sepanjang tempoh mengandung sehingga melepasi waktu bersalin.

“Amalan berpantang adalah penting kerana ia merangkumi tempoh seseorang wanita yang baru bersalin untuk pulih dari segi mental dan fizikal.

“Jarak masa yang lama sebelum kembali mengandung dapat digunakan oleh ibu untuk mengembalikan kalsium dalam badan dan menghilangkan trauma kelahiran,” katanya.

Seseorang ibu bukan sahaja memerlukan tempoh pantang sebelum kembali mengandung bahkan masa yang lebih lama sebagai langkah menjaga kesihatannya.

Sambil menyebut saranan Islam supaya wanita menjarakkan kehamilan selama dua tahun, Ismail menasihati pasangan agar merancang kehamilan dengan pelbagai kaedah.

“Terdapat banyak cara untuk mengelakkan kehamilan berlaku. Ini termasuk mengambil hormon dan pil selain menggunakan kondom atau IUCD iaitu alat pencegahan kehamilan dalam rahim,” katanya.


Sumber : Kosmo

Masalah Biasa Dalam Pemberian Makanan Bayi

Dari masa ke semasa, setiap bayi akan menghadapi masalah berkaitan dengan pemberian makanan. Masalah tersebut mungkin membimbangkan serta menyusahkan ibu bapa dan seisi keluarga. Misalnya, mereka tidak dapat tidur dengan lena; bayi cerewet dan tidak ingin makan ataupun bayi mengalami masalah penghadaman.

Namun, masalah pemberian makanan dan masalah gastrousus adalah normal dan mudah diuruskan sekiranya anda mengenali tanda-tandanya.

Di harap maklumat dan tip-tip ini dapat membantu anda menikmati setiap detik keemasan dengan bayi anda

Menjaga bayi juga bererti memberikan mereka permulaan yang paling baik dalam hidup dari setiap aspek. Ini termasuk menyediakan persekitaran yang terbaik dari segi kesihatan, pemakanan dan pendidikan untuk membolehkan bayi membesar, berkembang dan belajar.


Pemakanan Yang Baik Penting Untuk Sistem Penghadaman Yang Sihat

Pemakanan, kesihatan dan sistem penghadaman mempunyai perkaitan yang sangat penting. Tanpa sisitem penghadaman yang sihat, zat-zat akan hilang melalui keadaan seperti cirit birit dan sembelit, dan ini akan menjejaskan kesihatan keseluruhan.

Banyak faktor dalam diet bayi anda memberi sumbangan kepada sistem penghadaman yang sihat, terutamanya faktor-faktor yang menyokong pertumbuhan bakteria bermanfaat Bifidobakteria, yang menduduki usus anak anda.

Susu ibu memberikan bayi permulaan yang terbaik. Justeru, penyusuan ibu secara ekslusif disarankan untuk sekurang-kurangnya 6 bulan yang pertama.

Akhir sekali, jangan salahkan diri anda apabila menghadapi masalah pemberian makanan. Kebanyakan masalah itu berlaku untuk tempoh sementara sahaja dan bukan masalah kesihatan yang serius. Tetapi, jika masalah berterusan, berulang dengan kerap ataupun anda berasa risau, jumpalah doktor atau professional kesihatan dengan segera.

Masanya Dah Tiba Untuk Bersalin

Inilah masa yang dinanti-nantikan. Sama ada anda akan bersalin pada minggu 36, 37, 38, 39 atau 40. Topik ini amat penting bagi anda. Jadi, ikuti pengalaman yang menakjubkan ini. Sebagai ibu yang menanti untuk saat melahirkan seharusnya anda bersedia daripada pelbagai sudut. Ada beberapa situasi yang perlu anda awasi dan fahami sebelum melahirkan. Perkara di bawah ini adalah tanda-tanda awal kelahiran:
  • Berlaku kontraksi dan terdapat sedikit darah keluar dari faraj. Kontraksi mungkin berlaku secara tiba-tiba.
  • Cirit birit dan diikuti dengan memulas pada bahagian perut.
  • Sakit belakang yang agak teruk dan tidak menentu.
  • Sakit seperti senggugut di bawah perut.
  • Cairan amniotik atau air ketuban keluar sedikit demi sedikit. Kontraksi berlaku makin kerap.
Masa Melahirkan

Tempoh masa melahirkan dibahagikan kepada tiga tahap. Jika bakal ibu belum pernah ada pengalaman bersalin, proses bersalin akan berlaku dalam jangka masa 12 jam hingga 16 jam. Manakala ibu yang sudah berpengalaman hanya mengambil masa kurang 12 jam.

A. Tahap Pertama

Tahap pertama proses kelahiran bermula:

Rasa sakit di bahagian belakang akibat aktiviti pengecutan rahim dan pengembangan serviks. Rasa sakit ini akan beralih ke hadapan sehingga pada bahagian bawah abdomen (rongga perut). Keadaan ini berlangsung dalam tempoh tertentu dan sakit makin bertambah setiap kali diserang kontraksi.

Wujud tanda-tanda atau petunjuk misalnya keluarnya mukus yang bercampur darah dari vagina. Keadaan ini berlaku disebabkan mukus mulai memenuhi serviks. Pada tahap ini, bakal ibu disuruh berbaring tanpa diberi makan dan hanya sedikit minuman. Proses kelahiran diperiksa dengan memerhatikan keadaan kepala bayi dan bukaan pada pintu rahim. Dalam masa yang sama, doktor atau bidan bertauliah akan memeriksa jantung janin dan direkodkan selang sejam. Keadaan ibu juga diperiksa. Paras air dalam badan, tekanan darah, tahap kesakitan akan diperiksa dengan teliti. Sekali setiap jam, suhu badan, degupan nadi ibu akan direkodkan juga.

Kesakitan pada tahap pertama tidak teruk. Ia dinamakan sebagai fasa pendam. Anda masih boleh bersembang, membaca, menonton televisyen dan sebagainya. Keadaan ini boleh berlaku selama lapan hingga sembilan jam. Apabila pengecutan menjadi semakin hebat, serviks akan bertukar menjadi pendek.

Proses menipis serviks ini dinamakan sebagai efasmen serviks. Dalam keadaan ini serviks menjadi pendek, lembut dan menjadi satu saluran pendek yang dinamakan sebagai serviks matang. Penekanan ke atas serviks ini memaksa saluran serviks terbuka. Situasi ini membuatkan kepala bayi turun ke bahagian pelvis. Namum, lapisan pundi ketuban masih lagi teguh. Apabila kesakitan semakin terasa, ia menandakan kesakitan ke tahap aktif.

Ketika ini, pengecutan rahim menjadi semakin kuat dan bertambah kerap. Serviks terus terbuka dan janin akan menurun. Bagi ibu yang belum pernah bersalin, jumlah bukaan berlaku dengan kadar bukaan satu sm sejam. Manakala, bagi wanita yang pernah bersalin akan membuka serviks 1.5 hingga 2 sm sejam.

Ketika ini ibu akan merasa kemuncak sakit. Namum, ibu masih belum boleh meneran kerana serviks belum terbuka sepenuhnya. Jika ibu tidak dapat menahan sakit, boleh lakukan senaman menahan sakit. Selain itu, anda boleh meminta bius epidural untuk melegakan kesakitan bersalin.

Peringkat pertama kelahiran berakhir apabila serviks terbuka sepenuhnya. Ibu yang pernah bersalin sering mengalami kerumitan air ketuban pecah terlebih dahulu kerana penipisan otot rahim. Sekiranya proses pembukaan serviks terhenti pada ukuran di bawah 6 sm, ini menandakan serviks mengalami masalah untuk membuka sepenuhnya. Sekiranya serviks kelihatan edema atau lebam, ini adalah petanda buruk dan proses kelahiran alternatif akan dilakukan seperti dengan cara pembedahan.

Apabila memasuki peringkat kedua, bidan akan menyapu larutan antiseptik pada bahagian pubis, abdomen bawah, vulva, lubang vagina serta bahagian paha dan sekitarnya. Anda akan berasa sejuk sebaik sahaja antiseptik disapu pada bahagian yang disebut tadi. Hal ini kerana, antiseptik ini disimpan di dalam peti sejuk untuk menjamin keselamatan dan kebersihannya.

1. Kepala bayi mulai turun ke pintu rahim pada peringkat pertama kelahiran.

2. Tekanan kepada bayi pada rektum dan lantai pelvik mengaktifkan proses meneran kepada si ibu.

3. Sebahagian muka dan kepala mula kelihatan sedikit demi sedikit diikuti bahagian bahu dan anggota lain akan mengikuti kemudian.

4. Plasenta atau uri akan dikeluarkan dan diperiksa. Bidan akan memastikan tiada sisa uri yang tertinggal dalam rahim ibu.

B. Tahap Kedua

Peringkat kedua bermula apabila serviks terbuka sepenuhnya dan air ketuban keluar dengan banyak akibat pundi ketuban pecah. Doktor atau bidan akan memerhatikan pundi-pundi kencing anda supaya tidak mengembung dan boleh menghalang kepala janin daripada turun.

Apabila proses pengeluaran janin sedang berlaku, ibu perlu berada di posisi baring (mengikut posisi yang dianggap sesuai) sambil meneran sekuat hati apabila kecutan rahim sampai ke kemuncaknya. Pada ketika ini kepala janin sudah berada pada tahap perinium dan bahagian dubur mulai mengembang. Tugas paling kritikal pada tahap kedua ini adalah mengelak perinium terkoyak.

Perinium

Pengoyakan perinium boleh dielak dengan mencegah kepala bayi keluar pada masa di antara pengecutan rahim. Jika terdapat sebarang tanda bahawa kepala bayi turun terlalu cepat, doktor akan menekannya dengan satu tangan supaya dia tidak terkeluar serta-merta. Sementara tangan sebelah lagi diletakkan di perinium untuk menolong pengeluaran verteks (puncak kepala anak) melalui saluran peranakan. Hal ini adalah untuk mengelakkan kelahiran normal dan membolehkan diameter kepala yang terkecil muncul melalui salur keluar.

C. Tahap Ketiga

Tujuan utama dalam peringkat ketiga kelahiran ialah untuk mengeluarkan uri dan selaput ketuban serta menghentikan pendarahan dan untuk menjamin pengecutan dan penarikan balik rahim dengan sempurna.

Tanda-Tanda Uri Terasing
  • Ibu berasa sakit apabila rahim mengecut dengan kuat kerana ruang rahim menjadi kosong.
  • Sedikit pendarahan daripada faraj.
  • Tali pusat yang ditarik panjang.
  • Fundus (bahagian atas) rahim timbul atas pusat.
  • Bahagian atas tulang simfisis pubis menggelembung
Uri terasing dengan cepat. Lazimnya dua hingga lima minit selepas bayi lahir. Setelah uri terasing dengan lengkap dan terletak longgar di bawah rahim, doktor akan menggunakan sebelah tangan menolak rahim yang mengecut ke arah pusat. Manakala tangan satu lagi akan memegang tali pusat ke atas untuk meringankan berat uri yang keluar.

Tali pusat di dalam salur peranakan ditarik perlahan-lahan untuk mengeluarkan. Jika selaput ketuban melekat atau tidak boleh menembusi rongga serviks, tali pusat akan dibelit-belit seperti tali dan ditarik keluar secara perlahan-lahan.

Bahaya inversi serviks hanya berlaku jika proses penarikan dilakukan sebelum uri betul-betul terasing dengan sepenuhnya pada serviks. Sebaik sahaja uri dikeluarkan, uri dan selaput ketuban akan diperiksa untuk memastikan keadaan sempurna. Selepas kepala bayi keluar, 0.25mg ubat ergometrin disuntik untuk mendorong rahim mengecut selepas bayi lahir. Kemudian, diikuti dengan kedua-dua belah bahu dan seterusnya sehingga seluruh badan bayi keluar.

Tali Pusat

Lazimnya ada beberapa pandangan pakar mengenai masa yang tepat untuk memotong tali pusat. Sesetengah doktor memotong tali pusat apabila denyutannya telah berhenti. Ada doktor yang menunggu sehingga darah beroksigen dipindahkan kepada bayi.

Namum, ada juga doktor yang memotong tali pusat sejurus sahaja bayi dikeluarkan. Tali pusat yang sudah dipotong, diikat ketat-ketat di dua tempat yang berdekatan untuk mencegah pendarahan. Selepas dipotong, tunggulnya diperiksa supaya tidak berlaku sebarang komplikasi lain.

Susu Ibu Cukup Untuk Si Kembar

Cabaran

Menyusu bayi kembar adalah cabaran bagi ibu bapa yang istimewa dan hebat. Sebaik mengetahui kandungan adalah bayi kembar, ibu-ibu (dan juga bapa-bapa) perlu bersedia dari segi fizikal dan mental menerima kehadiran dua bayi serentak, bersedia kemungkinan bayi lahir pramatang, bersedia kemungkinan kelahiran secara pembedahan caesarean dan membuat perancangan corak penyusuan kepada bayi.

Persediaan mental juga adalah sangat penting bagi ibu yang bercadang memberikan penyusuan eksklusif untuk bayi kembar kerana akan timbul persoalan tentang "susu tidak cukup". Ramai menganggap susu ibu akan tidak cukup lebih-lebih lagi pada hari-hari awal kelahiran, maka salah seorang atau kedua- duanya secara bergilir mungkin akan diberi susu formula! Ini adalah suatu persepsi yang salah.

Para ibu harus sedar dan yakin bahawa berapa ramai pun kembar yang dilahir serentak, susu ibu pasti cukup untuk mereka. Beberapa panduan yang boleh diamalkan adalah dengan menyusu bayi seawal satu jam pertama dilahirkan. Ramai ibu sudah sedia maklum tentang keperluan menyusu seawal satu jam pertama ini untuk merangsang penghasilan susu ibu. Sekiranya ibu melahirkan bayi pramatang dan kurang berat badan, penyusuan ibu adalah 'ubat' paling mujarab untuk menambah berat badan bayi. Ini kerana susu ibu memang dicipta untuk bayi baru lahir walau berapa pun usianya ketika dia lahir. Sekiranya ibu melahirkan bayi secara pembedahan caesarean, mintalah bantuan jururawat untuk memperbaiki posisi ibu ketika menyusu pada jam pertama. Sebaiknya berbincang terlebih awal dengan doktor atau jururawat yang bertugas agar hasrat ibu untuk menyusu pada 1 jam pertama dapat diimplementasikan.

Panduan seterusnya adalah dengan menyusu bayi sekerap mungkin. Secara puratanya bayi baru lahir menyusu antara lapan hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam. Bagi bayi kembar, ibu-ibu boleh menyusu kedua-duanya serentak pada masa yang sama atau secara bergilir mengikut keselesaan ibu. Pada minggu-minggu pertama mungkin ibu-ibu akan merasakan bayi menyusu agak kerap dan keadaan ini akan meletihkan ibu. Ia adalah perkara normal sebelum bayi menunjukkan pola penyusuannya selepas usianya sebulan. Malah perkara ini harus diterima secara positif oleh ibu kerana ia menandakan keperluan bayi untuk menyusu tinggi maka ia akan menghantar isyarat ke otak bahawa penghasilan susu ibu harus ditingkatkan. Susukan bayi sebelum dia menangis. Pada hari-hari awal kelahiran, biasakan rutin menyusu setiap setengah jam. Jika ibu menyusu bayi seorang demi seorang aturkan masa menyusu supaya si kembar tidak menangis ketika yang seorang lagi sedang menyusu.

Rehat

Ibu juga perlu perbanyakkan rehat. Ibu-ibu perlu berehat dengan secukupnya untuk mengurangkan stres yang akan mengganggu penghasilan susu ibu. Ibu boleh tidur dan berehat apabila bayi tidur. Sesetengah ibu selalu menjadikan masa tidur bayi sebagai masa ibu untuk membuat kerja. Ini adalah kurang tepat kerana ibu juga perlu berehat dan menenangkan fikiran. Suami harus memainkan peranan membantu menguruskan perkara-perkara lain sementara ibu menumpukan lebih perhatian kepada menguruskan bayi.

Minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Air adalah komponen penting dalam penghasilan susu ibu. Amalkan minum air sambil menyusu atau selepas menyusu sekurang-kurangnya segelas air, jus atau susu. Ibu menyusu perlu makan makanan berkhasiat secukupnya untuk menampung kehilangan kalori semasa penyusuan. Ibu-ibu juga digalakkan makan vitamin, kalsium dan zat besi seperti yang diambil semasa hamil.

Anda perlu mengehadkan pelawat. Perkara ini mungkin agak sukar untuk dilakukan kerana ramai pelawat yang terdiri daripada rakan-rakan, jiran dan saudara mara ingin berkongsi kegembiraan dengan kehadiran bayi kembar. Namun begitu ibu masih perlu memperuntukkan masa bersama bayi terutama privasi ketika menyusukan bayi. Minta pelawat tinggalkan bilik ketika masa menyusu telah tiba, ambil masa privasi anda kerana ia penting untuk memastikan kelangsungan produksi susu ibu.

Seks Selepas Bersalin

Ramai di kalangan wanita lepas bersalin berasa gentar untuk mengadakan hubungan seks bersama suami. Malah, ada di antaranya berasa terganggu dengan kehadiran bayi mereka.
Kehangatan hubungan seks selama ini tidak lagi seperti selalu. Suami pula merungut kerana mereka tidak dilayan dengan sewajarnya lagi.

Biasanya doktor pakar berpendapat bahawa hubungan seks boleh dilakukan seperti sedia kala sebaik sahaja kesan luka ketika bersalin telah sembuh dan kedua-duanya menginginkan hubungan seks.

Tetapi ada kalangan wanita berasa sakit terutama di bahagian faraj ketika hubungan seks mula dilakukan kembali. Hal ini menyebabkan hubungan seks terganggu.

Keadaan ini terjadi disebabkan bekas jahitan episiotomi masih lagi belum sembuh. Jahitan memerlukan masa untuk sembuh seperti biasa sekurang-kurangnya selama dua minggu.

Selain itu, jika penurunan paras hormon berlaku terutama kekurangan estrogen, menyebabkan kekurangan rembesan daripada faraj. Ekoran dari itu, kelembapan faraj berkurangan dan hubungan seks dalam keadaan kurang selesa.

Lepas pantang
Keletihan, sakit dan kurang bernafsu membuatkan wanita kurang bersemangat untuk melakukan hubungan seks. Rasa simpati daripada suami amatlah perlu ketika ini. Layanan dan luahan kasih sayang amat penting.

Semasa tempoh ini, pasangan tersebut perlu berbual-bual dan memberi tahu tentang perasaan dan keperluan masing-masing iaitu berkomunikasi dengan cara yang cukup lembut.

Ketika inilah anda perlu memberi layanan istimewa untuk mengukuhkan perhubungan suami dan isteri. Jika berlaku sebaliknya, suami boleh terasa seperti diabaikan.

Untuk menambah kasih sayang, suami isteri haruslah berkongsi menjaga anak. Dengan cara ini ia akan mengukuhkan lagi ikatan di antara mereka.

Malah, ramai di kalangan suami mula memainkan peranan terutama dalam menjaga anak. Kehadiran cahaya mata tidak harus mengabaikan hubungan seks. Sebaliknya, anda perlu mengeratkan lagi hubungan seperti di awal berumah tangga dulu.

Demam Sawan

Anda perlu tahu bagaimana demam yang melebihi 40° celcius boleh menyebabkan anak terkena demam sawan atau febrile fits. Maklumat ini untuk membantu anda sekiranya menghadapi situasi anak terkena demam sawan.

APA ITU DEMAM SAWAN
Secara definisinya ialah sawan yang belaku akibat demam. Ia boleh terjadi kepada kanak-kanak di dalam lingkungan usia 3 bulan sehingga 6 tahun. Ia juga dikenali sebagai sawan tarik yang mudah berlaku jika suhu badan naik melebihi 40°C dalam tempoh hanya satu atau dua hari selepas demam bermula. Kanak-kanak yang pernah mengalami sawan demam ini juga berisiko mengalami masalah serupa kelak. Namun, sawan ini akan hilang dengan peningkatan usia berikutan sawan demam tidak berlaku di kalangan orang dewasa. Sawan akibat demam boleh menyebabkan otak terencat atau kematian akibat kekurangan bekalan oksigen ke otak jika dibiarkan berpanjangan (dikatakan tempoh lebih 30 minit).

Ciri-ciri
Sawan adalah keadaan di mana kanak-kanak tidak sedarkan diri dan biasanya diikuti oleh kekejangan atau penyentakan kaki dan tangan, mulut berbuih, mata hitam akan memandang ke atas dan pada tahap tertentu boleh termuntah, terkencing atau terbuang air besar.

Punca
Ia selalunya berpunca daripada sebarang penyakit bersama demam yang tinggi seperti batuk, selsema, jangkitan bahagian atas salur pernafasan, jangkitan telinga (penyakit otitis media) atau jangkitan kuman virus. Pada amnya, jangkitan ini adalah ringan dan tidak berpunca daripada jangkitan selaput otak (meningitis). Sawan ini bukan penyakit keturunan. Namun ada segelintir mengalami sawan tarik kerana mempunyai anggota keluarga yang mengalami sawan tarik.

Rawatan Lanjut
Untuk mendapat pemeriksaan lanjutan bagi memastikan bahawa anak anda tidak menghidap meningitis atau jangkitan selaput otak. Ini adalah kerana 17% kes demam sawan adalah positif untuk meningitis dan perlu diingatkan ia boleh membawa maut dan menyebabkan kecacatan kekal otak, tubuh dan lumpuh.

TINDAKAN ANDA BILA BERLAKU DEMAM SAWAN
Elakkan sawan berlaku Lap badan dengan kain basah yang menggnunakan air paip untuk menurunkan suhu badannya yang panas itu. Juga beri anak minum ubat secara konsisten seperti sirap paracetamol mengikut sukatan yang betul. Boleh juga memberi satu suppository voren 12.5mg (anak kecil) atau 25 mg (3 tahun ke atas) ke dalam punggung untuk mengurangkan demam mengikut nasihat doktor. Juga pakaikan pakaian yang nipis dan awasi selalu anak jika ia tidur di dalam buaian (udara panas terperap ketika di dalamnya). Pastikan bilik tidak terlalu panas dan sentiasa monitor suhu badan anak walaupun anda terpaksa berjaya malam!

Ketika Sawan
Jangan Panik! Tetapi bertindak pantas! Ingat jangan biarkan sawan ini berlaku lebih daripada 1 atau 3 minit sehingga 5 minit. Pantas baringkan anak anda mengiring ke kiri. Ia untuk mengelak muntah atau lendir masuk ke dalam paru-paru. Segera melonggarkan segala pakaiannya. Ada juga pendapat mengatakan langkah pertama segera masuk bilik air dan basahkan seluruh badannya untuk menurunkan suhu badan yang mendadak tinggi dan apabila anak kecil sudah sedar dari kejang dan mula menangis, segera lap badannya (berdoalah ketika ini pada tuhan supaya anak anda selamat).

Jangan beri minum air atau ubat ketika anak sawan. Juga jangan ambil sudu atau bahan-bahan keras dan meletakkannya di dalam mulut. Ini boleh menyebabkan luka yang teruk di dalam mulut. Ia juga boleh menyebabkan tercekik objek asing sekiranya patah. Jangan cuba sedarkan anak anda dengan menampar, menggoncang atau mengurut badannya.Usah cuba mengawal pergerakan anak sewaktu dia sawan kerana ini boleh mencederakan otot atau tulangnya. Pada masa yang sama cuba lihat jam pukul berapa ia berlaku dan pukul berapa ia tamat. Ini adalah kerana doktor perlu tahu berapa lama sawan itu berlaku. Kemudian segera bawa ke klinik untuk pemeriksaan doktor untuk memastikan tiada jangkitan di otak atau lain-lain penyakit untuk mencari dan merawat penyebab demam.

TIP MUDAH
1. Tanggalkan pakaian anak.
2. Baringkan mengiring untuk mengelak bendalir atau air liur memasuki peparu.
3. Mandikan dengan air paip untuk menurunkan suhu badannya dan jangan letakkan objek keras di dalam mulutnya.
4. Jangan biarkan sawan berlaku 3 hingga 5 minit. Segera bertindak!
5. Apabila anak sudah kembali sedar, segera bawa ke klinik untuk kecemasan ini.

Gigi Pertama

Melihat gigi pertama bayi merupakan saat yang menggembirakan. Namun untuk menjaga giginya itu perlu dilakukan sejak kecil lagi. Percaya atau tidak, itulah hakikat yang mesti anda akui bahawa gigi mula terbentuk sejak bayi berusia beberapa bulan.

Kebanyakan bayi mulai tumbuh gigi sekitar usia enam bulan. Malah ada juga sesetengah bayi mulai tumbuh gigi pada usia 4 bulan dan ada juga yang tumbuh gigi pertama selepas berumur 1 tahun. Manakala dalam sesetengah kes, ada bayi yang dilahirkan sudah mempunyai gigi. Ia dikenali sebagai gigi neonatal. Gigi ini telah tumbuh dan hadir dalam mulut bayi semasa bayi dilahirkan. Ia amat jarang berlaku.

Reaksi
Apabila gigi susu tumbuh, jangan hairan jika anak anda menunjukkan perubahan sikap. Antara perubahan sikap atau reaksi yang biasa ialah :

Kegatalan gusi
Ini boleh dikurangkan dengan memberi teether atau tuala sejuk untuk digigit agar bayi lebih selesa.

Gusi sakit
Ini boleh dilihat dengan gusi kelihatan berwarna merah dan terasa panas. Bayi juga mungkin banyak merengek dan menangis kerana tidak selesa.

Demam
Ada juga bayi yang mungkin demam setiap kali tumbuh gigi. Ini boleh diatasi dengan memberikan bayi ubat tahan sakit seperti paracetamol. Namun pastikan dos yang diberi betul dan tidak melebihi had maksimum dalam sehari.

Kurang makan
Selera makan bayi juga akan kurang. Jika bayi tidak mahu makan, pastikan dia mendapat cukup cecair. Berikan lebih susu dan air.

Atasi masalah ketika tumbuh gigi
1.Cuba memberinya sesuatu yang keras untuk di kunyah, seperti kepingan keju atau lobak merah atau gegelang gigi pertama yang sejuk. Jangan tinggalkan anak anda seorang diri ketika dia sedang mengunyah bedan keras, dikhuatiri jika ia tercekik.

2.Jika gusi bayi merah dan bengkak, urut lembut dengan jari anda atau ketulan kecil ais (tapi awas, bayi boleh mendapat frost bite). Cuba gunakan sedikit gel theeting bebas gula.

3.Jika si manja kelihatan sakit ketika tumbuh gigi, cecair paracetamol boleh membantu. Berikan mengikut nasihat doktor. Jangan berikan aspirin untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

4.Dakap dan tenangkannya. Dukung dan bawanya berjalan-jalan atau bersiar-siar dengan kereta.

5. Sekali sekala bawa dia mengunjungi doktor gigi. Doktor gigi akan memberikan nasihat yang betul bagaimana untuk menjaga gigi pertama.

Penjagaan gigi dengan berus gigi yang lembut
Setelah gigi tumbuh, gigi perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Gunakan tuala basah yang lembut untuk membersihkan gigi. Terdapat juga berus gigi bayi yang lembut di pasaran. Bayi yang kecil tidak tahu meludah jadi penggunaan ubat gigi tidak perlu untuk bayi pada umur begini.

Masalah gigi
Menyentuh masalah pergigian yang serius boleh dialami oleh kanak-kanak ialah karies rampan (rampant caries). Keadaan ini adalah di mana gigi kanak-kanak menjadi reput dan hancur dan akhirnya tinggal tunggul-tunggul sahaja. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak sentiasa sakit gigi akibat infeksi dari gigi dan gusi. Ia diakibatkan oleh kehadiran gula dari susu, susu formula dan jus yang sentiasa bertakung dalam mulut bayi untuk masa yang lama.

Juga berlaku apabila bayi tidur dengan botol susu dalam mulut semalaman atau penggunaan botol susu untuk jangka masa yang lama sepanjang hari. Tindak balas bakteria dalam mulut terhadap gula ini akan menyebabkan kerosakan gigi berlaku

Jika merujuk kepada masalah nursing bottle caries ini lebih ketara selepas bayi berusia tahun. Jadi langkah-langkah pencegahan mesti diambil awal iaitu sejurus selepas gigi tumbuh.

Sementara itu amalan pemakanan sihat perlu diamalkan. Berikan makanan yang seimbang. Lebihkan pemberian buah-buahan dan sayur-sayuran untuk pembentukan tulang, gigi dan kulit yang sihat. Elakkan dari memberikan bayi sebarang makanan yang manis pada umur semuda ini. Jangan lupa bahawa bayi dan kanak-kanak gemar meniru gelagat ibu bapa. Jadikan proses pembersihan gigi satu aktiviti yang dibuat bersama.

Puting Sakit

Soalan:

SAYA ibu yang menyusu bayi pertama berusia sebulan. Seringkali puting saya sakit ketika menyusukan bayi, tambahan pula bayi saya baru tumbuh gigi, kini sukar untuk saya menyusukan bayi dengan selesa. Adakah ia perkara biasa? dan bagaimanakah cara untuk mengurangkan rasa sakit tersebut?

* SJ-Johor

Jawapan:

Sebagai seorang wanita yang bergelar ibu, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kepada Puan SJ kerana berusaha menjadi seorang ibu yang berjaya dalam penyusuan. Susu ibu adalah hak setiap anak yang perlu ditunaikan oleh seseorang ibu. Kejayaan seseorang ibu menyusui anaknya sehingga berusia sekurang-kurangnya dua tahun akan menjadikan anda seorang ibu yang cukup sempurna.

Menyusui bayi adalah satu tuntutan yang amat digalakkan oleh setiap agama dan kepercayaan. Penyusuan susu ibu adalah tuntutan yang diutamakan dalam agama Islam. Terdapat banyak ayat Al-quran yang menyebut tentang kepentingan menyusui anak, sama ada oleh ibu yang melahirkan anak ataupun ibu susuan. Seruan untuk menyusui anak telah disebut melalui firman Allah di dalam Al-quran melalu surah Al-Baqarah ayat ke 233 yang bermaksud: "Ibu-ibu hendaklah menyusui selama dua tahun genap bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan".

Menyusui bayi dengan susu ibu bukanlah sesuatu yang payah, ia juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Pengetahuan tentang penyusuan akan membantu meningkatkan keyakinan ibu dan seterusnya mendorong ibu untuk mengatasi dugaan dan rintangan seperti mana yang sedang puan hadapi.

Terdapat ibu yang mencerai susu ketika mereka rasa bayi mereka akan mula tumbuh gigi, tetapi menyusu badan pada peringkat ini adalah suatu yang normal dan semula jadi. Keperluan nutrisi bayi dipenuhi terutamanya dengan susu untuk sekurang-kurangnya tahun pertama. Ramai bayi yang diberi susu badan akan ada gigi dan kebanyakan tidak akan menggigit ibu mereka.

kesakitan

Tetapi jika pada kali pertama dia menggigit, iaitu jika bayi anda tergigit payu dara anda, barangkali anda akan menjerit kesakitan. Reaksi anda yang kuat itu mungkin akan memeranjatkan bayi anda sehingga dia tidak berani mengulanginya. Sesetengah bayi boleh menjadi begitu terkejut atau takut akibat reaksi kuat sehingga mereka menolak penyusuan badan.

Jika gigitan berterusan, anda masih tidak perlu mencerai susu bayi anda kecuali jika anda mahu. Mengetahui apa yang menyebabkan dia menggigit dan cuba memuaskan keperluan bayi anda untuk menggigit menggunakan cara lain boleh menyelesaikan masalah ini dengan cepat.

Kebanyakan ibu mendapati penyusuan badan tetap pengalaman yang baik apabila mereka dapat hentikan kejadian menggigit ini. Sebab-sebab lain mengapa bayi anda menggigit adalah ketika tertidur, sesetengah bayi menggigit pada penghujung penyusuan apabila mereka terlelap.

Oleh itu, perhatikan pemerlahanan dan pelemahan pergerakan rahangnya dan alihkan bayi anda sebelum dia terlena. Justeru itu, jika bayi anda kelihatan seperti hampir hendak menggigit, masukkan jari kelengkeng anda ke dalam sudut mulut di antara gusinya. Dia patut menggigit jari anda dan bukan puting anda. Jangan tariknya sementara dia sedang menggigit - anda hanya akan mencederakan diri. Perhatikan penegangan rahangnya sebelum dia menggigit dan cepat-cepat alihkannya. Anda mungkin perlu singkatkan waktu menyusu secara am sehingga fasa ini berakhir.

Cara-cara lain untuk menghentikan bayi yang menggigit adalah dengan mengatakan "tidak" dengan tegas, merenung ke dalam matanya dengan marah dan hentikan penyusuan.

menggigit

Dia perlu mengaitkan menggigit dengan kehilangan puting - kebanyakan bayi tidak suka dengan perpisahan ini. Jika dia teruskan juga, letakkannya di atas lantai untuk seketika sebaik saja dia menggigit.

Untuk kanak-kanak yang boleh berjalan dan suka menggigit, lakukan sesuatu yang baik apabila dia tidak menggigit.

Berikannya banyak pelukan, ciuman dan pujian. Jika anda rasa dia inginkan perhatian, berikan perhatian sepenuhnya semasa penyusuan. Belajar menyedari bila dia sudah hampir selesai. Anda juga jangan menyusukannya kecuali dia betul-betul lapar. Hentikan penyusuan jika dia mula terlelap. Berikannya gegelang gigit sebelum dan atau selepas penyusuan.


*Sumber : Utusan Malaysia

Jangan Kekok Uruskan Bayi

Ramai suami khususnya yang baru bergelar bapa lebih senang menyerahkan urusan penjagaan bayi kepada isteri. Mereka beranggapan tugas menjaga dan menguruskan bayi adalah tugas si isteri bukan suami. Sesuai kah tanggapan seperti ini diguna pakai?

Bagaimanakah perasaan anda sebagai bapa ketika memegang anak yang baru lahir? Adakah anda termasuk dalam golongan yang cemas kerana anak terlalu kecil dan lembik serta tidak sesuai dengan tangan kaum lelaki yang biasanya sedikit kasar?

Seperti kebiasaannya, ramai di kalangan papa baru hanya berani mendukung anak selepas dia mula membesar. Mungkin kerana saiznya sudah sedikit besar berbanding ketika baru lahir. Bukan sahaja bab mendukung, bab menangis pun boleh jadi masalah kepada bapa-bapa baru. Setiap kali anak menangis, bapa mesti jadi panik. Sebabnya kerana tidak tahu bagaimana untuk menenteramkan si kecil. Atas alasan-alasan inilah, ramai suami berasa lebih selesa menyerahkan urusan menjaga anak kepada isteri.

Tapi itu dulu. Kini, semuanya sudah berubah. Sesuai dengan peredaran masa, peranan suami dalam pengurusan anak-anak mulai berubah. Lebih-lebih lagi setelah semakin ramai isteri keluar bekerja. Malah, masyarakat pada masa ini sudah lebih terbuka dan lebih memahami tentang pentingnya kerjasama antara suami dan isteri dalam menguruskan rumah tangga serta anak-anak.

Cerita-cerita mengenai suami bangun malam untuk menyusukan anak, menukarkan lampin dan mendodoikan anak kini sudah menjadi perkara biasa. Kini, semakin ramai, ibu boleh tidur lena sepanjang malam kerana ada suami yang begitu memahami dan bersedia menguruskan anak dan rumah tangga sebaik mungkin.

Semua ini boleh dilakukan sekiranya anda bersedia memegang peranan sebagai bapa sebaiknya. Adalah lebih baik sekiranya anda mula mengenal tanggung jawab secara menyeluruh sebaik sahaja mendirikan rumah tangga. Ketidaksediaan anda dalam hal ini mungkin boleh membuatkan anda tidak tahu apa yang hendak dilakukan setelah ada cahaya mata.

Tugas seorang bapa bukan hanya menyediakan wang ringgit tetapi juga mencakupi sokongan emosi kepada isteri terutamanya setelah bertambahnya bilangan anak-anak. Sudah pastinya keadaan yang sedemikian itu menuntut si bapa turut sama membantu ibu menguruskan keperluan bayi.

Peranan kebapaan boleh digilap sejak awal perkahwinan. Jika anda seorang lelaki yang prihatin terhadap keluarga dan rumah tangga, sikap ini dengan sendirinya akan berkembang ketika isteri hamil dan setelah bersalin. Tidak dinafikan ada suami yang lebih cekap mengendalikan anak mereka berbanding isteri.

Rahsia Tidurkan Anak

Sebelum anak anda melabuhkan tubuh di atas katil di malam hari, dia seharusnya diajar tentang beberapa panduan atau adab penting sebelum melelapkan mata.

Tidur yang sempurna bukan sahaja dapat menyegarkan tubuh ketika bangun tidur keesokan harinya, malah turut membantu dia menjadi seorang yang berakhlak mulia. Berikut adalah antara adab tidur yang perlu diamalkan bagi membantu anak kecil anda memperoleh keberkatan hidup sepanjang hayatnya.

1. Wudhu
Rutin biasa yang biasa diajar oleh kebanyakan ibu bapa sebelum membenarkan anak masuk tidur ialah membersihkan diri dengan menggosok gigi dan membasuh kaki. Namun, ada baiknya jika anak anda turut dididik sejak kecil untuk mengambil wudhu sebelum tidur. Apabila anggota tubuh bersih, insya-ALLAH tidurnya lebih lena tanpa sebarang gangguan.

2. Berdoa
Ibu bapa perlu mengajar anak membaca surah-surah lazim seperti yang dilakukan oleh Rasulullah sebelum baginda tidur. Antara surah-surahnya ialah Al-Fatihah, al-Ikhlas, an-Naas, Al-Falaq dan lain-lain. Selain itu ajar dia membaca doa sebelum tidur. Tujuan utama amalan penting sebegini ialah untuk menjauhi dia daripada gangguan syaitan sewaktu tidur.

3. Baca buku
Mengikut ramai pakar motivasi, masa tidur adalah waktu yang paling untuk ibu bapa mendekati anak. Ini dapat dilakukan dengan membacakan buku-buku cerita teladan. Daripada situ, gunakan kreativiti tersendiri untuk menonjolkan mesej-mesej baik daripada cerita berkenaan agar ia dapat dijadikan tonggak hidup si kecil.

4. Bisikkan doa
Ibu bapa digalakkan untuk berdoa ketika anak hampir melelapkan mata. Amalan ini penting kerana dipercayai ketika ini sebagai antara waktu-waktu doa mudah dimakbulkan. Sambil berdoa, usap ubun di kepala anak anda dan ramas lembut jari-jarinya.

5. Ungkapkan sayang
Ketika anak dalam keadaan ?tidur-tidur ayam?, dengan sepenuh hati katakan anda sayang kepada si manja. Selain itu, luahkan apa sahaja pujian-pujian agar dia tahu anda sentiasa menyayangi dirinya. Ketika manusia dalam keadaan ?tidur-tidur ayam? otak kanan masih bekerja. Jadi, apa sahaja yang anda perkatakan, ia akan melekat di minda si cilik.

6. Posisi
Posisi tidur yang baik seperti saranan Rasulullah adalah tidur di sisi sebelah kanan (rusuk kanan sebagai tumpuan). Sementara itu, posisi yang paling perlu dihindari ialah tidur dalam keadaan meniarap.

7. Mohon maaf
Jika sebelum si kecil tidur, anda tanpa sengaja memarahinya, ambil peluang sebelum dia melelapkan mata untuk meminta maaf. Jadikan amalkan untuk kedua-dua pihak saling memohon maaf antara satu sama lain. Tidur tanpa meminta maaf dan memaafkan akan menyebabkan dendam itu tersimpan di otak kiri dan dikhuatiri ia boleh menjejaskan peribadi anak anda di kemudian hari.

8. Ciuman
Janganlah membiarkan anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam. Biasakan dia untuk bersalam dan mencium anda sebelum lena. Cara sebegini bukan sahaja dapat dijadikan simbol anda sayangkannya malah turut membantu di tidur dengan nyenyak kerana dia tahu anda sentiasa berada di sisinya.

9. Doa
Sesudah bangun tidur, si anak hendaklah diasuh untuk sentiasa membaca doa. Amalan ini dapat menyucikan hati daripada sifat-sifat yang negatif. Malah, dengan cara sedemikian, ia dapat membersihkan hati kesayangan anda itu daripada perasaan yang tidak baik.

Peranan Suami Ketika Menanti Kelahiran

Apabila isteri memasuki minggu terakhir kehamilan, kehidupan anda turut berubah. Kehidupan sosial semakin terhad, hubungan kelamin tidak sepenting dahulu dan perbualan anda dan isteri juga banyak berkisar tentang kehamilan dan kelahiran. Saat-saat itu anda perlu memainkan peranan sebaiknya.

Kelas antenatal
Teman isteri anda ke kelas antenatal yang biasanya bermula sekitar 32 minggu kehamilan. Di kelas tersebut, bakal ibu dan bakal bapa diberikan pelbagai maklumat tentang kehamilan, kelahiran dan keadaan selepas bersalin. Kelas ini turut memberi peluang kepada anda berkongsi pengalaman dengan bakal bapa yang lain.

Berikan sokongan
Anda mestilah sentiasa peka terhadap keperluan fizikal dan emosi pasangan dan tunjukkan simpati. Bermula dari hari pertama kehamilannya, tubuh isteri sedikit demi sedikit mengalami perubahan. Menjelang tiga bulan terakhir kehamilan, berat badannya semakin bertambah. Keadaan ini menyebabkan isteri tidak selesa dan sentiasa letih. Galakkan isteri meluahkan perasaannya. Bersabarlah sekiranya dalam tempoh tersebut isteri anda cepat marah dan sensitif. Semua ini berlaku disebabkan perubahan hormon yang dialaminya. Selain sokongan emosi, anda juga harus memberikan sokongan secara fizikal seperti membantunya menyiapkan kerja-kerja rumah tanpa diminta.

Kelahiran

Setiap kelahiran bayi tidak sama. Oleh yang demikian, anda mestilah bersedia untuk menyambut kelahiran anak walaupun itu bukan bayi pertama anda. Di bilik bersalin, anda mestilah bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang mendatang. Tugas utama anda ketika itu ialah :

•Memberikan sokongan padu pada isteri.
•Membantu isteri meredakan kesakitan yang dialaminya dengan menggosok-gosok bahagian belakangnya.
•Membantu isteri ke tandas.
•Menyediakan minuman untuknya.
•Memberitahu isteri tentang apa yang sedang berlaku.
•Memegang tangannya sambil menenangkannya.

Perkara yang sering dikhuatiri oleh setiap bakal bapa ialah bilakah isteri mereka akan bersalin. Sebagai jawapan kepada soalan tersebut, lihatlah tanda-tanda seperti yang tercatat ini.

•Air ketuban pecah
Cecair amniotik yang mengelilingi bayi akan keluar sebelum kelahiran bermula..

•Kontraksi tetap
Apabila kontraksi semakin kerap iaitu di antara 15 hingga 20 minit sekali bermakna semakin hampir saat isteri anda untuk bersalin.

Apabila serviks terbuka kira-kira seluas 10sm, maknanya tahap kelahiran bayi anda sudah sampai ke tahap kedua kelahiran. Keadaan ini bermaksud bayi anda sudah bersedia untuk keluar. Ketika ini, bantulah isteri mendapatkan kedudukan yang diingininya untuk melahirkan. Bermula dari saat ini, isteri anda akan mula meneran setiap kali berlakunya kontraksi. Inilah masanya isteri anda perlukan sokongan padu daripada anda. Sebaik sahaja bayi telah selamat dikeluarkan, doktor yang bertugas (di kebanyakan hospital swasta) mungkin akan menawarkan anda menggunting tali pusat anak.

Saat bayi dilahirkan selalunya menjadi saat yang paling menggembirakan anda. Kegembiraan itu juga biasanya disambut dengan linangan air mata yang hadir tanpa disedari. Sematkan saat-saat manis itu dalam kotak fikiran anda sebagai kenangan terindah ketika pertama kali bergelar papa.

Elak Digigit Ketika Penyusuan

Bayi terutamanya yang baru mendapat gigi pertama cenderung untuk menggigit puting payu dara sama ada secara sengaja mahupun tidak. Lebih-lebih lagi ketika dia mengalami masalah gatal gusi. Bayi pastinya akan menggigit dan menjadikan puting anda seumpama teether.

Kesannya boleh mengakibatkan puting kesakitan dan lama-kelamaan menimbulkan masalah untuk anda meneruskan penyusuan eksklusif.

1. Alihkan Bayi
Antara langkah yang boleh anda lakukan bagi mengelakkan gigitan bayi ialah dengan mengalihkannya daripada payu dara secara perlahan-lahan. Sambil itu, anda digalakkan untuk menyatakan perasaan anda akibat perbuatannya. Berkatalah seperti, “Sayang, jangan gigit mama” atau “Mama sakit” Biarpun ketika itu anda mungkin mempunyai sekelumit rasa marah kerana sakit, namun sebaik-baiknya luahkanlah perasaan anda secara berhemah dan lemah lembut.

Untuk seketika, biarkan bayi berbaring sendirian sebelum anda menyambung semula sesi penyusuan. Dengan cara ini, ia dapat mendidik bayi bahawa jika dia menggigit, dia tidak akan dapat menyusu.

2. Tekapkan Muka
Ketika bayi mula mengetap bibir untuk menggigit, dekatkan mukanya ke arah dalam payu dara. Ini secara tidak langsung akan menyebabkannya sesak nafas lalu mendorong dia untuk menghentikan gigitan supaya dapat bernafas semula.

Sekiranya anda kerap melakukan panduan ini, lama-kelamaan bayi akan mula faham bahawa jika dia menggigit, dia akan mengalami masalah kesukaran bernafas. Dengan yang demikian, diharap bayi akan mengelakkan diri daripada terus menggigit di sesi penyusuan seterusnya.

3. Ketahui Punca
Sepatutnya di awal sesi penyusuan, anda sendiri perlu mengelakkan diri daripada digigit! Hal ini dapat anda lakukan dengan mengenal pasti punca yang mungkin menjadi penyebab mengapa anda sering digigit.

Berkemungkinan, ia berlaku kesan daripada perasaan kecewa bayi kerana tidak berjaya memperoleh susu seperti yang diingininya. Jika itulah yang menjadi penyebab, anda harus merangsang aliran susu sebelum menyusukan bayi. Antaranya, anda boleh menekapkan payu dara menggunakan tuala kecil yang telah direndam dengan air suam terlebih dahulu selama beberapa minit bagi melancarkan pengaliran susu.

4. Amati Corak Penyusuan
Di akhir sesi penyusuan pun, anda dapat mengelakkan gigitan bayi. Ini dilakukan dengan mengetahui sama ada dia suka menggigit apabila mula mengantuk akibat kenyang mahupun ketika puting hampir terlepas daripada mulutnya. Untuk itu, anda harus peka dan bersedia untuk menghentikan penyusuan setiap kali bayi menunjukkan tanda-tanda akan menggigit.

5. Posisi Selesa
Anda seharusnya sentiasa memastikan bayi dan anda sendiri berada dalam posisi yang cukup selesa ketika sesi penyusuan berlangsung. Sekiranya bayi mahupun anda kelihatan tidak selesa dengan posisi penyusuan tertentu, segeralah membetulkan posisi berkenaan agar lebih selesa.

6. Leraikan Dengan Jari
Apabila anda dapat rasakan bayi akan menggigit, segera masukkan jari kelingking di bahagian tepi mulutnya bagi meleraikan dia daripada payu dara. Namun, jangan sesekali meleraikan sesi penyusuan secara tiba-tiba tanpa memasukkan jari anda terlebih dahulu. Hal sebegini boleh mencederakan puting dan tentunya ia lebih menyakitkan.

7. Gigit Alat Lain
Berikan bayi alat-alat lain untuk digigitnya seperti teether atau tuala kecil yang dibekukan di dalam peti sejuk beku. Alat bantuan seperti ini amat bagus kerana membantu memenuhi keinginan bayi untuk menggigit sesuatu agar dapat menghilangkan rasa gatal gusi.

Oleh yang demikian, jadikan alat-alat sebegini sebagai alternatif untuk mengelakkan diri sendiri digigit!

8. Elak Jeritan
Cuba hindari diri daripada menjerit kepada bayi ketika dia menggigit. Malah, jangan sesekali memukul atau menampar pipinya. Keadaan ini akan membuatkan bayi terkejut dan takut untuk meneruskan penyusuan. Lebih akan menjadi teruk lagi, ia mungkin penyebab untuk bayi enggan lagi menyusu.

Ketahui Risiko Pasangan

UJIAN kesihatan membantu mengenal pasti masalah dan risiko yang bakal dihadapi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga serta anak-anak mereka kelak. Ujian kesihatan pra perkahwinan membolehkan seseorang untuk:

* Mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan serta belajar cara untuk menjaga atau mengekalkan kesihatan mereka

* Mengesan sekiranya mereka menghidap penyakit tertentu termasuklah Hepatitis B dan penyakit jangkitan kelamin (STD)

* Mengesan penyakit keturunan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan anak-anak contohnya talasemia, hemofilia, anemia dan kekurangan G6PD.

* Mengetahui kesediaan bakal pengantin wanita dari segi kesihatan untuk mempunyai anak. Persediaan ini termasuklah suntikan vaksin Rubella, mengetahui kumpulan darahnya (dan kesesuaian dengan darah suami) serta anemia

Di negara kita, ujian kesihatan yang diwajibkan ke atas bakal pengantin sejak 2009 ialah ujian untuk HIV/Aids. Statistik menunjukkan sehingga akhir tahun 2009, sebanyak 87,710 kes jangkitan HIV dilaporkan. 1

Apa yang menyedihkan ialah wujudnya peningkatan kes jangkitan HIV di kalangan wanita iaitu daripada lima peratus pada tahun 1997 kepada 16.3 peratus pada tahun 2007. Sebanyak 70 peratus daripada wanita mendapat jangkitan virus HIV melalui hubungan heteroseksual, 60 peratus sudah berkahwin dan 40 peratus adalah suri rumah.

Lebih membimbangkan, pengetahuan penduduk negara ini mengenai jangkitan HIV masih belum memuaskan.

Hanya setengah (49.6 peratus) tahu dengan tepat cara jangkitan virus HIV dan dua pertiga (63 peratus) tahu bahawa risiko mendapat HIV boleh dikurangkan dengan menggunakan kondom secara betul ketika melakukan hubungan seks.

Antara ujian lain yang turut disarankan ialah saringan penyakit keturunan seperti talasemia dan hemofilia. Talasemia ialah penyakit disebabkan gangguan pada genetik darah yang diwarisi daripada ibu dan bapa. Sel darah merah pesakit mengandungi hemoglobin tidak normal yang menyebabkan sel darah berkenaan cepat musnah.

Di Malaysia, talasemia merupakan masalah kesihatan yang besar kerana beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kadar pembawa gen talasemia adalah di dalam lingkungan tiga hingga lima peratus atau satu dalam 20 orang rakyat Malaysia. Dengan itu, dianggarkan seramai 600,000 hingga satu juta orang rakyat Malaysia adalah pembawa gen ini. 3

Penyakit hemofilia pula berlaku akibat kekurangan faktor pembekuan darah yang menyebabkan darah pesakit beku. Penyakit ini menghalang pesakit melakukan aktiviti cergas kerana mereka boleh mengalami pendarahan dalaman spontan terutama pada sendi dan otot walaupun tidak terhantuk atau terlanggar sebarang objek.

Walaupun hemofilia lebih kerap berlaku pada lelaki, ia juga boleh dihidapi oleh perempuan. Apa yang dibimbangkan ialah jika berlaku pada perempuan, keadaan menjadi lebih teruk kerana dia akan mewariskan penyakitnya kepada semua anak-anaknya sama ada menjadi pesakit atau pembawa.

Mungkin tidak ramai yang sedar dalam semua jangkitan virus, virus Hepatitis B paling mudah berjangkit sama ada melalui sentuhan dengan produk darah atau darah yang tercemar, hubungan seks dan jangkitan langsung dari ibu kepada anak dalam kandungan.

Di negara kita, imunisasi Hepatitis B sudah dimasukkan ke dalam program imunisasi kebangsaan sejak 1989, jadi semua bayi yang lahir pada atau selepas 1989 sudah mendapat perlindungan daripada virus berkenaan. Bagaimanapun individu yang lahir sebelum 1989 disaran menjalani ujian darah dan mendapatkan suntikan vaksin.

Ujian kesihatan pra perkahwinan ini bukanlah bertujuan menghalang atau menyekat mana-mana individu untuk berkahwin, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan.

Ini akan membolehkan pasangan membuat tindakan wajar. Sama ada mahu meneruskan hasrat untuk berkahwin atau memilih pasangan lain, pilihan ada di tangan mereka selepas membuat pertimbangan semasak-masaknya.

Dalam ujian saringan HIV, pendidikan dan kaunseling akan diberikan sama ada pasangan disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus daripada mereka yang menjalani ujian saringan HIV pra-perkahwinan didapati positif. 2

Dalam kaunseling ini kedua-dua bakal pengantin akan diberitahu mengenai risiko yang akan dihadapi oleh pasangan atau anak. Begitu juga untuk penyakit keturunan. Biasanya pesakit atau pembawa genetik disaran untuk berkahwin dengan individu normal bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan anak-anak mewarisi penyakit berkenaan.

Ini kerana jika dua pembawa penyakit berkahwin, kebarangkalian mempunyai anak-anak yang mendapat penyakit adalah sangat tinggi. Apa yang dikhuatiri ialah kemungkinan anak mewarisi penyakit pada tahap yang serius.

Tidak sedikit rumah tangga yang runtuh apabila salah seorang pasangan tidak dapat menerima hakikat dan menyalahkan pasangan apabila dikurniakan anak yang berpenyakit .

Ujian kesihatan dan kaunseling bertujuan memberi persediaan minda kepada pasangan mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi. Kajian menunjukkan ujian kesihatan dan kaunseling sebelum perkahwinan mampu mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri.

Sebagai persediaan menuju kehidupan berumahtangga dan tanda kasih sayang anda kepada pasangan, jalanilah segera ujian kesihatan yang perlu demi masa depan anda berdua dan anak-anak yang bakal lahir. Untuk mendapatkan maklumat atau menjalani ujian kesihatan pra perkahwinan ini sila kunjungi mana-mana klinik atau makmal Pathlab terdekat.

Risiko Ke Atas Bayi

Anak yang dikandung sudah tentu diharap membawa sinar kebahagiaan kepada keluarga. Jika musibah menimpa, si manja mungkin menemui ajal sebelum mengenal dunia mahupun mengalami kecacatan tanpa dipinta.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia, mendefinisikan bayi meninggal semasa dilahirkan adalah selepas tempoh 28 minggu di dalam kandungan. Manakala Malaysia menggangap bayi mati ketika berada dalam kandungan selepas minggu ke 22 sebelum dia sempat dilahirkan.

Jurnal perubatan utama dunia, The Lancet mencatatkan sekitar 2.6 juta bayi meninggal dunia semasa dilahirkan setiap tahun, menjadikan jumlah bayi mati semasa dilahirkan berjumlah 7,000 setiap hari! Daripada jumlah itu, 98% kematian bayi berasal dari negara-negara membangun.

3 petunjuk yang boleh anda gunakan untuk mengenal pasti bayi mati dalam kandungan ialah bayi tidak lagi bergerak untuk satu jangka masa panjang, rahim tidak membesar seperti yang sepatutnya dan tiada degupan jantung atau pergerakan bayi sewaktu ujian imbasan bunyi dilakukan.

Punca-punca yang sering dikaitkan kepada permasalahan ini termasuklah komplikasi penyakit yang dialami ibu seperti tekanan darah tinggi dan diabetes. Begitu juga dengan kecederaan di bahagian abdomen si ibu. Uri yang yang bermasalah turut boleh menjadi penyebabnya di mana ia terpisah daripada rahim terlalu awal atau berlakunya pendarahan daripada tali pusat dan uri.

Punca lain yang turut tersenarai ialah jangkitan yang dialami ibu atau bayi dalam kandungan seperti toxoplasmosis, rubella cytomegalovirus dan herpes. Tidak terkecuali kecacatan struktur bayi. Biasanya jika ia membabitkan paru-paru, jantung, otak dan buah pinggang. Sementara itu, masalah kromosom tidak normal merupakan sebab paling utama kematian bayi di peringkat awal kehamilan.

Kira-kira separuh daripada kematian bayi ini disebabkan komplikasi semasa ibu melahirkan! Jadi, sekiranya anda mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang masa waima sebelum disahkan hamil sehinggalah menghampiri detik kelahiran, peratusan ini dapat dikurangkan. Panduan berkenaan perlu anda ikuti jika mahu mengurangkan risiko bayi lahir mati:
  1. Memastikan penyakit diabetes atau darah tinggi terkawal.
  2. Mendapatkan pelalian rubella sebelum merancang hamil.
  3. Mengelak daripada memakan daging mentah dan makanan mentah lain yang tidak dicuci sempurna.
  4. Mencuci tangan dengan kerap selepas melakukan sesuatu aktiviti.
  5. Tidak merokok atau menyalah guna dadah apatah lagi ketika hamil.
Terdapat beberapa faktor yang dapat memastikan keselamatan ibu dan bayi semasa kelahiran. Antaranya ialah melalui penjagaan kesihatan. Jika menghidap anemia, anda perlu diberi rawatan ketika hamil. Sama halnya jika anda menghidap penyakit tertentu. Ia perlu mendapat jagaan rapi sepanjang kehamilan mahupun ketika bersalin.

Penjagaan diri ketika hamil adalah penting dalam menetukan anda dan bayi selamat. Justeru, anda perlu mendapatkan pemeriksaan antenatal di klinik atau hospital pilihan. Jika didapati menghidap penyakit tertentu, anda akan diberikan rawatan sewajarnya agar tidak menimbulkan kecelakaan ketika bersalin.

Dalam pada itu, pilihan tempat kelahiran yang selamat turut penting. Ini bermaksud tempat itu perlu mempunyai kemudahan, peralatan dan kakitangan terlatih untuk mengatasi sebarang kecemasan.


Kecacatan Boleh Diatasi Dari Awal

Risiko kecacatan bayi dapat dielak dengan merancang kehamilan sebaik-baiknya. Oleh kerana itu, 3 bulan sebelum hamil anda perlu mengambil asid folik mencukupi. Amalan ini harus diteruskan di 3 bulan pertama kehamilan. Ketahuilah, kebanyakkan kecacatan yang melibatkan mana-mana organ janin berlaku semasa tumbesaran berada di trimester pertama kehamilan.

Ada sesetengah bayi mati semasa masih dalam kandungan dan selebihnya berjaya dilahirkan tetapi memerlukan rawatan bagi membaikpulih kecacatan itu. Menerusi perawatan yang betul, ada bayi dapat membesar dengan normal. Tidak kurang juga yang terpaksa berterusan menjalani pemeriksaan sepanjang hayat seperti keabnormalan jantung dan kecacatan pendengaran. Kecacatan dapat dibahagikan kepada 2 jenis:


Kecacatan Fizikal Atau Struktur

Keadaan ini merujuk kepada kehilangan sebahagian daripada bahagian tubuh atau terdapatnya kelainan struktur luaran seperti kecacatan jantung ataupun kecacatan kaki.


Kecacatan Genetik

Hal ini selalunya berpunca daripada kesilapan gen yang diwarisi, kehilangan atau pertambahan bilangan kromosom mahupun gabungan pelbagai faktor. Difahamkan, kebanyakan ibu hamil hanya mempersiapkan diri untuk menghadapi proses kelahiran tetapi tidak melakukan hal yang sama sebelum hamil. Seharusnya, persediaan sebelum mengandung turut sama perlu dititikberatkan agar dapat menghindarkan bayi dalam kandungan daripada mengalami sebarang keabnormalan.

Untuk itu, kesihatan diri perlu sentiasa diuatamakan. Dapatkan nasihat daripada doktor jika yang ada kemusykilan seperti yang ada melibatkan pendedahan diri anda mahupun suami terhadap bahan kimia di tempat kerja. Sama juga halnya dengan ubat-ubatan yang diambil sebelum atau semasa hamil. Soalan-soalan perlu dijawab oleh pakar kerana dikhuatiri tanpa maklumat yang betul, ia mungkin boleh membahayakan anda dan kandungan.

Sekiranya menghidap penyakit-penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, tiroid sawan dan sebagainya, dapatkan pandangan doktor sebelum merancang kehamilan. Sekiranya tidak mendapatkan pemantauan sewajarnya daripada doktor, ia boleh mengundangkan kecacatan kepada bayi.

Ujian saringan perlu dilakukan untuk mengetahui sama bayi menghidap sebarang penyakit keturunan. Namun, perlu anda tahu, tiada satu ujian tunggal yang dapat mencari kesemua keabnormalan kandungan. Antara ujian yang boleh anda jalani untuk mengesan kecacatan yang mungkin mengenai bayi ialah:


Ujian Saringan Pembawa

Ia dapat menentukan sama ada anda atau suami membawa gen rosak yang boleh mengakibatkan penyakit tertentu seperti hemofilia, Huntington's, distropi muskular duchenne dan lain-lain. Untuk itu, sampel darah ataupun air liur akan diambil. Ujian ini boleh dijalankan sebelum, semasa mahupun selepas melahirkan.

Ujian Imbasan Ultra Bunyi

Ujian ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang kehamilan. Melalui ujian ini, ia dengan jelas menunjukkan struktur dan organ bayi. Jika ia menampakkan sesuatu yang luar daripada kebiasaan, ujian ultra bunyi lanjutan akan dilakukan. Teknologi imbasan ultra bunyi 4D digunakan.

Ujian Darah Ibu

Ujian saringan darah ibu dijalankan untuk menentukan secara am sama ada bayi berisiko terhadap penyakit tertentu seperti kecacatan tiub neural, kecacatan dinding abdomen, sindrown down ataupun trisomi 18. Jika sebelum ini, anda pernah melahirkan bayi cacat, anda perlu menjalani ujian lebih khusus untuk mengesahkan keselamatan bayi yang dikandung.

Ujian Saringan Trimester Pertama

Ujian ini dilakukan sewaktu kandungan berusia di antara 10 hingga 14 minggu. Biasanya gabungan ujian ultra bunyi saringan nuchal translucency dan ujian darah dilakukan untuk mengandaikan sindrom down, trisomi 18 dan kecacatan jantung.
  1. Pemeriksaan terperinci ultra bunyi. Ekokardiogram bayi juga dijalankan untuk melihat jantungnya.
  2. Pensampelan vilus korionik (CVS). Ujian ini mengambil contoh tisu pada plasenta iaitu pada vilus yang mempunyai urutan genetik yang sama dengan janin.
  3. Amniocentesis - sel-sel bayi daripada cecair amniotik dikaji untuk menentukan keabnormalan genetik dan kromosom. Ujian alfafetoprotein juga dapat menentukan sama ada janin mempunyai kecacatan tiub neural.
  4. Pensampelan darah janin. Darah diambil daripada vena tali pusat untuk diuji. Lazim dilakukan apabila keputusan ultrabunyi, CVS atau amniosentesis tidak begitu menyakinkan.

Bagaimana Susu Ibu Dihasilkan

Anatomi Buah Dada/Payudara

Payudara terdiri daripada tisu kelenjar, tisu penghubung dan tisu adipos

Tisu Kelenjar:
  • Tisu ini menghasilkan susu. Susu yang dihasilkan bergerak melalui tiub-tiub halus menuju ke puting. Sebelum sampai ke puting, tiub-tiub halus ini menjadi lebih besar dan dipanggil lactiferous sinuses. Disinilah susu berkumpul.

Tisu Penghubung:
  • Menyokong buahdada

Darah:
  • Membekalkan nutrient kepada tisu-tisu buahdada.

Limfa:
  • Mengeluarkan bahan buangan dari buahdada

Tisu Adipos:
  • Melindungi buahdada dari kecederaan

Saraf:
  • Menyebabkan payudara sensitif terhadap sentuhan dan hisapan bayi. Sentuhan dan hisapan bayi ini merangsangkan perembesan hormon-hormon yang menyebabkan pengaliran dan penghasilan susu.

Disekitar puting, terdapat tampok susu atau areolar. Pada areola ini terdapat bintil-bintil kecil iaitu kelenjar mongomery yang merembes cecair berminyak berantiseptik membantu untuk melembutkan kulit di sekitar puting. Di bawah areola terdapat lactiferous sinuses.



FISIOLOGI LAKTASI

Hormons dan Refleks

Prolaktin
  • Dirembeskan oleh kelenjar pituitari yang terletak di otak
  • Menyebabkan sel tisu kelenjar dipayudara menghasilkan susu

Setiap kali bayi menghisap dipayudara, hujung saraf yang terdapat diputing ibu akan terangsang. Impuls akan dihantar ke otak dan kelenjar pituitari merembeskan prolaktin ke dalam darah. Darah membawa prolaktin ke payudara dan menyebabkan susu terhasil. Prolaktin hanya berfungsi selepas bayi menghisap dan menyediakan bekalan susu untuk penyusuan yang seterusnya.

Keseluruhan proses daripada rangsangan di puting hinggalah penghasilan susu dipanggil Refleks Penghasilan Susu atau Refleks Prolaktin.

Proses penghisapan adalah sangat penting dalam penghasilan susu.
  • Bayi banyak menghisap, banyaklah susu akan terhasil
  • Bayi kurang menghisap, kuranglah susu akan terhasil
Prolaktin juga melambatkan aktiviti ovari, dengan itu ibu yang menyusu akan lambat kedatangan haid semula.


Oksitoksin

Dirembeskan oleh bahagian posterior kelenjar pituitari. Apabila bayi menyusu, saraf terangsang dan menghantar impuls ke otak. Hasilnya oksitoksin dibebaskan ke dalam darah dan di bawa ke payudara. Oksitoksin bertindak ke atas otot-otot yang terdapat di sekeliling tiub-tiub halus dan lactiferous sinuses. Otot-otot ini memberi tekanan kepada tiub dan menolak susu keluar. Oksitosin bertindak untuk penyusuan kali itu sahaja. Proses-proses yang disebut di atas dipanggil "Refleks Oksitosin".

Reflek Oksitoksin adalah lebih komplek dari refleks prolaktin kerana ia melibatkan perasaan dan fikiran ibu. Jika ibu mendengar tangisan bayi atau teringatkan bayinya, kelenjar pituitari mungkin merembeskan oksitoksin. Ini menyebabkan susunya akan mengalir. Apabila ibu mempunyai masalah yang menyebabkan ibu risau, sakit atau malu oksitoksin tidak dibebaskan dan susu tidak mengalir dengan lancar.

Oksitoksin juga menyebabkan dinding rahim mengecut dan mengeluarkan uri dari rahim. Jika ibu memberi susu kepada bayi sebaik sahaja selepas kelahiran, pendarahan akan berhenti dengan cepat.

Ibu yang baru melahirkan anak akan merasa sensasi pengecutan rahim yang kuat apabila menyusu. Perkara ini adalah normal dan akan berakhir.

Medela Freestyle Breastpump



Medela Freestyle Breastpump
Price : RM 2,299.00 RM1,650.00
Free Postage + 1 Year Warranty






Product Descriptions :

Introducing our newest breakthrough — Freestyle is our first hands-free, double-electric pump. It’s the performance you expect from Medela in an innovative pump that fits in the palm of your hand and includes thoughtful features that provide true mobility, freedom and flexibility. Inspired by pumping moms… freedom is born.

Freestyle is designed with every mom in mind. The choice is in the palm of your hand!

  • Hands-free accessories provides the freedom for true pumping mobility
  • Rechargeable battery allows for 3 hours of pumping time per charge
  • Small and lightweight weighs less than 1 pound and can fit in the palm of your hand
  • 2-Phase Expression technology smart and powerful pumping that is proven to mimic a baby's natural nursing pattern and get more milk in less time
  • LCD screen, digital display lit screen provides a digital display that can also be used as a nightlight for those late pumping sessions
  • Memory button allows mom to save her favorite pumping pattern for ease and efficiency for the next pumping session
  • Cute tote bag holds pumping essentials and more. All of the coordinating accessories are removable, so tote can be used separately.