Archive for June 2010
Latest Updates

Makanan Untuk Berpantang

Ketika berpantang anda ditegah daripada makan sembarangan mengikut kehendak selera. Informasi ringkas tentang pemakanan yang perlu diamalkan sepanjang tempoh berpantang dan perkara yang harus dielakkan dapat membantu.

Berpantang bukan sahaja melibatkan kesihatan, bahkan ia saling berkait dengan amalan pemakanan. Ini kerana dalam tempoh berpantang, badan anda masih lagi lemah malah sakit ketika bersalin masih belum lagi reda sepenuhnya. Mengikut amalan tradisional masyarakat Melayu, ibu-ibu lazimnya diberikan makanan yang mampu mendatangkan sumber darah di dalam badan, misalnya limpa dan hati. Ia bagi menggantikan darah yang banyak hilang semasa proses kelahiran berlangsung. Kaedah memasak bagi ibu dalam pantang juga agak berbeza. Masakan lazimnya dimasak dengan cara tertentu yang dipercayai boleh membantu menghilangkan angin dan kurang lemak selain mengecutkan urat saraf yang mengembang.


Jamu

Kebanyakan ibu-ibu lepas bersalin mengamalkan pemakanan jamu bagi memulihkan semula tenaga dan memperbaiki bentuk badan agar kembali seperti sediakala. Bagaimanapun, sebaiknya anda tidak mengambil jamu pada peringkat awal kerana kandungan bahan di dalamnya boleh menjejaskan kesihatan bayi yang disusukan. Makanlah selepas 2 minggu lepas bersalin serta dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum anda mengambilnya.


Ulam-Ulaman

Anda disyorkan makan lebih banyak ulaman dan sayuran yang sesuai untuk ibu dalam pantang, tetapi elakkan makan petai, jering atau apa sahaja ulaman yang menerbitkan bau yang busuk.


Rempah Ratus

Dipercayai makanan yang dimasak dengan menggunakan pelbagai jenis rempah ratus dapat mengurangkan masalah berat badan yang dialami selain memulihkan tahap kesihatan.


Halia Muda

Sekiranya anda mengamalkan pemakanan yang mengandungi banyak halia, ia dapat memecahkan angin dalam badan, menghilangkan rasa sejuk dan melancarkan proses penghadaman.


Kunyit

Kunyit yang sering diminum sebagai jamu oleh ibu berpantang dipercayai dapat mengecutkan rahim dan mencuci darah. Bahkan jika kunyit dimakan bersama nasi selama 40 hari, anda mampu mengembalikan kecergasan tubuh dan menyembuhkan luka.


Bawang Putih

Bawang putih bukan sahaja berfungi sebagai penyedap makanan, bahkan mampu mengembalikan semula tenaga yang hilang ketika bersalin. Bahkan ia juga dipercayai mampu membuang angin kotor dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh badan.


Pegaga

Ulam ini cukup terkenal di kalangan ibu berpantang. Daun pegaga disifatkan sebagai tonik saraf kerana fungsinya membantu menambahkan ingatan dan merehatkan minda serta tubuh badan. Malah ia dapat mengatasi masalah yang dialami selepas bersalin.


Sawi

Di kalangan masyarakat India, sawi menjadi keutamaan ketika berpantang. Sayur sawi dipercayai dapat membuang angin dalam tubuh badan. Selalunya, sayur ini dimasak dengan cara mencelur terlebih dahulu dan dimakan bersama hidangan nasi panas.


Peria

Amalan memakan peria ketika berpantang dapat mengatasi masalah kesukaran membuang air besar. Ia juga dapat menambahkan penghasilan susu ibu selain membersihkan dan melancarkan peredaran darah.


Ikan Haruan & Tenggiri

Untuk mengekalkan kesegaran tubuh, kebanyakan ibu berpantang akan mengamalkan pemakanan ikan haruan dan ikan tenggiri. Selain membantu melicinkan dan menegangkan kulit tubuh, ia dapat menyembuhkan luka dalaman dan luaran tubuh. Ikan haruan dan tenggiri mempunyai kandungan asid amino dan lemak. Apa yang lebih menarik, kedua-dua ikan ini bebas kolesterol yang membuatkan wajah kelihatan berseri-seri.


Asam Jawa

Campuran perahan air asam jawa ke dalam sebarang jenis hidangan ibu berpantang dapat memudahkan anda membuang air besar selain menyegarkan tubuh badan.


Nasi

Seelok-eloknya, nasi yang dihidangkan mestilah panas dan baru sahaja dimasak. Tujuannya adalah untuk memastikan khasiat dan kesegarannya berkekalan. Untuk mengelakkan kembung perut, elakkan daripada memakan nasi putih yang telah sejuk.


Minuman Berkhasiat

Ingin mengembalikan semula tenaga tubuh yang hilang ketika proses bersalin, anda digalakkan untuk meminum air rebusan serai, halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Dengan mengamalkan air rebusan ini pada setiap pagi dan malam, badan akan kembali menjadi ringan dan bertambah tenaga.


Ayam & Daging

Ayam dan daging adalah sumber protein haiwan yang penting untuk membantu memulihkan tenaga ibu selepas bersalin. Cara memasak seperti memanggang atau merebus dapat mengurangan kandungan lemak.

Ibu perlu minum banyak air untuk memastikan susu ibu keluar dengan banyak.

Pemilihan Jantina Bayi

Konflik pemilihan jantina adalah perkara biasa yang dialami oleh mana-mana pasangan ibubapa. Ada yang mahu memilih jantina bayi yang bakal dilahirkan atas alasan tertentu.

Kaedah Semulajadi

1. Makanan

Untuk mendapatkan anak perempuan, suami harus makan lebih banyak makanan beralkali. Manakala anda pula makanlah lebih banyak makanan berasid. Jika mahu anak lelaki pula, suami perlu makan makanan berasid dan isteri pula makan makan beralkali. Makanan beralkali terdiri daripada sayuran, buahan, putih telur, susu dan banyak lagi. Makan bersaid pula termasuk daging, makanan laut dan lain-lain.


2. Masa

Jika anda dan suami kerap melakukan hubungan intim sebelum datang haid, ia meningkatkan peluang untuk anda berdua mendapat anak perempuan. Tetapi jika anda berdua bersama selepas tempoh haid yakni hari ke 11 hingga ke 16, anda berupaya untuk memperolehi anak lelaki.


3. Kedalaman

Suami tidak perlu memasukkan zakar terlalu dalam ke vagina anda jika mahukan anak perempuan. Namum, jika mahukan anak lelaki, lakukanlah perkara yang sebaliknya. Kromosom X (lelaki) diandaikan mampu berlari pantas dan mempunyai stamina yang kuat manakala kromosom Y (perempuan) pula adalah sebaliknya. Atas sebab itulah, suami perlu memasukkan zakar lebih dalam agar memudahkan usaha untuk mendapatkan anak lelaki.


4. Kemuncak

Untuk mendapatkan anak perempuan, suami perlu klimaks terlebih dahulu sebelum isteri. Hal ini kerana ketika isteri mengeluarkan cecair beralkali. Jika sebaliknya, di mana suami klimaks selepas isteri, anda mungkin boleh mendapat anak lelaki.


5. Persediaan Isteri

Sebelum melakukan hubungan intim, anda boleh melakukan alternatif sendiri dengan membasuh vagina menggunakan satu sudu cuka bersama semangkuk air jika mahukan anak perempuan. Namum, jika mahukan anak lelaki, cuci vagina menggunakan semangkuk air yang dicampurkan dengan satu sudu soda supaya vagina lebih beralkali.


6. Kedudukan

Keadaan suami yang berada di bawah dan isteri di atas ketika melakukan hubungan intim dapat membantu anda memiliki anak perempuan. Jika kedudukan anda dan suami bertentangan iaitu isteri di bawah dan suami di atas, ia membolehkan anda mendapat anak lelaki.


Dengan adanya teknologi canggih masa kini, dilema pemilihan jantina bayi sedikit sebanyak dapat diselesaikan. Hal ini dapat dilakukan melalui penggunaan teknologi kesuburan.

1. Penggunaan Preimplantation Genetic Diagnosis (PGD)

Dengan menggunakan teknologi ini, keberkesanan pemilihan jantina mampu mencapai 99.9%. Namum, kaedah ini memakan kos yang sangat tinggi kerana proses pemilihan perlu melalui kaedah-kaedah lain seperti IVF ataupun ICSI terlebih dahulu. Setelah proses IVF dan ICSI dilakukan, barulah proses PGD dapat dimulakan apabila doktor yang terlibat dalam proses pemilihan jantina akan menentukan kromosom sperma. Melalui PGD, anda juga boleh mengesan sebarang keluarbiasaan yang mungkin ada pada kromosom tersebut.

Dengan demikian, doktor dapat memilih embrio yang benar-benar sihat dan berkualiti sebelum disuntik ke dalam rahim.


2. Penggunaan IUI, IVF atau ICSI

Melalui kaedah IUI, IVF dan ICSI anda boleh menentukan jantina bayi yang diingini melalui pemilihan sperma. Pemilihan jantina anak lelaki dan perempuan dapat dikesan menerusi pemerhatian sperma yang berenang. Sperma lelaki (X) dapat dikenali kerana ia berenang lebih pantas berbanding sperma perempuan (Y). Keberkesanan kaedah ini ialah 70% bagi pemilihan jantina sperma lelaki manakala 50 - 60% bagi jantina sperma perempuan.

Luka Bersalin Punca Murung

KATA orang tua-tua, wanita perlu berpantang kerana proses mengandung dan bersalin menuntut tenaga dan perubahan yang bukan sedikit kepada organ tubuh.

Menurut Pakar Runding Obstetrik Ginekologi, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Fauziah Mohd Hassan, perubahan itu melibatkan organ-organ seperti organ reproduktif (vulva, faraj, servik, ovari dan rahim), tulang dan sendi-sendi terutama pada tulang belakang serta pelvis.

"Perubahan yang agak ketara juga berlaku pada kulit, muka dan perut ibu. Payu dara juga akan membengkak. Kulit di bahagian puting (areola) berwarna gelap.

"Berlaku juga perubahan pada sistem kardiovaskular (jantung), darah dan komponennya, pernafasan, perkumuhan buah pinggang, usus, penghadaman dan metabolisme," katanya kepada Kosmo!.

"Lazimnya, perubahan berlaku dengan cepat sejurus kelahiran. Sebagai contoh, saiz rahim yang begitu besar ketika hamil sembilan bulan akan terus mengecut ke paras bawah pusat dengan anggaran berat kira-kira 900 gram (saiz lima bulan hamil). Proses pengecutan ini menyebabkan kesakitan," katanya.


Luka Episiotomi

Jelas Fauziah, servik akan tercedera semasa proses kelahiran bayi. Oleh itu, lubang servik bagi ibu-ibu yang telah melahirkan anak secara normal berbentuk melintang, manakala yang belum pernah melahirkan anak secara normal berbentuk titik. Lubang servik ini akan mengecut dalam masa seminggu selepas bersalin jika tiada jangkitan.

Selain itu, wanita yang bakal melahirkan anak juga akan berdepan dengan luka episiotomi.

Luka episiotomi terhasil melalui potongan yang dilakukan di kawasan perineum sewaktu proses bersalin bagi tujuan menyediakan bukaan yang lebih luas untuk bayi.

"Luka episiotomi ini lazimnya sembuh dalam masa 10 hingga 14 hari, bergantung pada cara penjagaan dan kebersihan diri," jelasnya yang menggalakkan penggunaan antiseptik dan tidak bersetuju dengan penggunaan ubat herba yang tidak disteril.

Fauziah memberitahu, tidak dinafikan bahawa seramai 50 peratus wanita boleh mengalami kemurungan dalam minggu pertama selepas bersalin. Jika itu berlanjutan melebihi lima hari, doktor perlu dirujuk segera.

"Antara penyebab kemurungan adalah rasa tidak selesa seperti sakit pengecutan rahim dan jahitan luka pada faraj, keletihan serta kelesuan akibat kekurangan tidur.

"Ia juga terjadi kerana kegusaran tentang kebolehan menyusu dan menjaga bayi ataupun risau tentang bentuk badan yang kurang menarik," katanya.

Oleh itu, katanya, ibu yang baru sahaja melahirkan bayi memerlukan sokongan dalam beberapa aspek seperti sokongan fizikal, emosi dan melalui teknik mengurut. Suami, keluarga dan juga bayi yang dilahirkan itu boleh menjadi motivasi yang diperlukannya.

Menurut Fauziah, selepas bersalin lazimnya wanita Melayu di Malaysia akan berurut selama beberapa hari. Ada ibu berurut selama tiga hingga tujuh hari. Kebiasaannya, urutan dilakukan oleh bidan, tukang urut tradisional ataupun ahli fisioterapi.

"Semua ibu yang telah bersalin sama ada secara normal ataupun secara pembedahan boleh berurut seluruh badannya kecuali di bahagian perut.

"Boleh dikatakan kebanyakan tukang urut akan mengurut seluruh badan ibu termasuk bahagian perut.

"Namun begitu, urutan di bahagian perut tidak digalakkan kerana rahim sesedang melalui proses pengecutan. Oleh itu, mengurut untuk mengangkat rahim tidak digalakkan kerana ia tidak mempunyai sebab saintifik.

"Rahim yang 'jatuh' berlaku atas sebab-sebab lain seperti banyak kelahiran, kelahiran anak yang besar, menopaus dan mempunyai masalah sembelit ataupun batuk yang kronik," terang Fauziah.

Di samping penjagaan kebersihan, proses penyembuhan memerlukan makanan dan minuman dengan khasiat seperti vitamin, protein dan zat galian. Kajian menunjukkan vitamin C sangat diperlukan dalam proses penyembuhan selain protein.



Rekahan Kulit Perut

Lazimnya, kulit perut ibu bersalin akan menjadi lembut dan menggeleber kerana otot pada perut terpisah untuk beberapa minggu selepas bersalin.

"Rekahan pada kulit perut akibat bersalin pula akan bertukar warna menjadi pucat. Proses ini akan mengambil masa selama enam hingga sembilan bulan untuk kembali normal.

"Keadaan terlebih regangan ini berlaku pada kulit perut disebabkan kehamilan kembar dua atau tiga. Untuk mengembalikan kekuatan otot perut, perlulah melakukan senaman otot perut.

"Kekuatan ini tidak berlaku dengan hanya memakai bengkung dan membalut perut," katanya.

Secara purata, seseorang ibu akan bertambah berat badan sebanyak 12.5 kilogram sepanjang kehamilan.

Kajian menunjukkan kira-kira 6.5 kilogram akan hilang dalam bentuk berat bayi, berat uri dan air ketuban. Adakalanya berat ibu akan meningkat beberapa hari selepas bersalin kerana lebihan air.

"Berat badan ibu boleh stabil dalam masa 10 minggu selepas bersalin. Bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi, berat badan mereka akan menurun lebih cepat berbanding ibu yang memberi susu formula kepada bayinya," katanya.

Fauziah memberitahu, wanita selepas bersalin juga akan menghadapi beberapa risiko penyakit kerana banyak mengalami luka dalaman.

Tambahan pula, berlaku kekurangan ketahanan badan semasa hamil dan selepas bersalin. Ketulan darah dan pendarahan menjadi makanan kuman seterusnya meninggikan risiko jangkitan.

"Jangkitan akan melambatkan proses penyembuhan dan luka-luka itu boleh bernanah. Jika parut pada rahim semasa pembedahan (caesarian) dijangkiti kuman, parut yang sudah sembuh tidak dapat sembuh dengan baik.

"Itu mendatangkan risiko kepada kehamilan akan datang. Jangkitan kuman juga boleh menyebabkan saluran tiub fallopio tersumbat lalu menjejaskan peluang untuk hamil lagi.

"Adakalanya jangkitan pada rahim merebak ke dalam saluran darah. Ia boleh menjadi serius dan membawa maut jika tidak dirawat dengan cepat dan tepat.

"Oleh itu, jika seseorang ibu demam semasa dalam pantang, jangan ambil mudah. Segeralah berjumpa doktor," kata Fauziah serius. - KOSMO