Latest Updates

Persediaan Penyusuan Sejak Lahir

Persediaan Penyusuan Sejak Lahir


Persediaan Ilmu

Kelas Penyusuan

Ramai beranggapan penyusuan susu ibu adalah sesuatu yang semulajadi. Hakikatnya, ia perlu dipelajari. Tanpa adanya ilmu yang mencukupi, dikhuatiri anda akan terkandas di pertengahan jalan nanti.

Jadi, ada baiknya anda menghadiri kelas penyusuan semasa hamil. Anda boleh memilih kelas penyusuan di hospital atau klinik kerajaan yang sering diadakan secara percuma. Anda juga boleh memilih kelas berbayar di mana kebanyakkannya dikendalikan oleh kaunselor laktasi bertauliah. Sebaik-baiknya hadir ke kelas berkenaan bersama-sama suami supaya dia pun turut memahami konsep penyusuan susu ibu. Apabila suami mempunyai kesedaran tentang kebaikan susu ibu, sudah tentu anda mendapat sokongan padu daripadanya.

Kumpul Maklumat

Cari sebanyak mungkin ilmu tentang penyusuan susu ibu. Hal ini penting agar anda faham konsep asas penyusuan iaitu semakin kerap payudara dikosongkan semakin banyak susu dihasilkan. Selain daripada itu menghadiri kelas, anda boleh menambah ilmu menerusi pelbagai sumber. Antaranya bahan bacaan bercetak, laman web, blog, forum dan sebagainya.

Nombor Telefon

Kaunselor laktasi sangat diperlukan sewaktu anda mengalami masalah berkaitan penyusuan susu ibu terutamanya pada hari-hari pertama selepas kelahiran bayi. Jadi, simpan nombor telefon kaunselor laktasi yang berdekatan dengan tempat tinggal anda. Dengan yang demikian, ia dapat memudahkan anda membuat rujukan apabila mengalami sebarang kelak.

Sertai Komuniti

Di Malaysia terdapat banyak komuniti susu ibu yang bermatlamat menyokong para ibu menyusu agar lebih yakin untuk menyusukan si manja. Sertailah komuniti atau forum penyusuan susu ibu supaya anda mendapat sokongan daripada rakan-rakan lain yang sama-sama menyertainya.

Persediaan Fizikal

Pemakanan Sihat

Apabila anda mengamalkan pemakanan sihat semasa hamil, ia membantu pembentukan kelenjar-kelenjar susu di dalam tisu-tisu tubuh. Lalu, memudahkan penghasilan dan pengaliran susu ibu sebaik bayi dilahirkan. Pada masa yang sama, pastikan keperluan kalsium dan protein dalam tubuh mencukupi.

Pilihan Hospital

Pilihlah hospital yang menyokong penyusuan susu ibu dan mesra ibu dan bayi. Sebelum melahirkan, berbincanglah dengan doktor yang memeriksa kehamilan tentang keinginan anda menyusukan bayi sebaik kelahirannya.

Peralatan Penyusuan

Persediaan peralatan penyusuan susu ibu adalah sangat penting di dalam memastikan anda dapat menyusukan bayi dengan lancar. Antaranya ialah pam payudara, coli penyusuan, pelapik payudara, bekas penyimpanan susu ibu, beg pendingin, pek ais, kain pelindung penyusuan, peti sejuk dan lain-lain.

Anda sangat digalakkan untuk membeli pam payudara sebelum bersalin yang bersesuaian dengan suasana tempat kerja. Sebaik-baiknya pilih pam bergred hospital. Oleh yang demikian, anda disyorkan mencuba dahulu pam tersebut sebelum membelinya. Selain itu, coli penyusuan dan pelapik payudara penting pada awal kelahiran kerana anda mungkin kerap mengalami kebocoran.

Peti sejuk juga merupakan peralatan penting yang anda perlu ada untuk menjayakan penyusuan susu ibu. Hal ini kerana ia membantu memanjangkan jangka hayat susu ibu perahan.

Bekas penyimpanan susu ibu, beg pendingin dan pek ais juga perlu ada. Anda tidak dapat menjangka apa yang berlaku selepas kelahiran bayi. Mungkin anda atau bayi terpaksa ditahan di hospital atas komplikasi tertentu.

Kebersihan Puting

Bersihkan puting setiap kali mandi. Gunakan tuala bersih dan air suam untuk mencucinya. Namun, elakkan menyapu sabun di bahagian puting. Langkah ini sangat penting terutamanya di trimester terakhir kerana kolostrum sudah mulai terhasil. Jika tidak dibersihkan sebaik-baiknya, ia dikhuatiri tersumbat. Dalam pada itu, anda boleh juga menarik dan mengurut puting perlahan-lahan ataupun menyikat kedua-dua belah payudara menggunakan sikat secara perlahan-lahan.

Kenali Payudara

Anda perlu mengenali payudara sendiri! Perkara ini nampak remeh tetapi memberikan impak yang besar. Ia membolehkan anda mengetahui sama ada anda mempunyai puting tenggelam atau normal. Cara pemeriksaannya mudah dan boleh dilakukan ketika mandi. Tekan puting payudara dengan tapak tangan selama dua minit dan lepaskan. Jika puting kembali seperti biasa, bermakna payudara anda normal. Jika hampir seminit menunggu tiada apa-apa perubahan, itu bermakna anda mempunyai masalah puting tenggelam. Apabila sudah mengetahui masalah payudara, ia memudahkan anda penyelesaian awal agar lebih bersedia dengan segala kemungkinan yang ada.

Persediaan Emosi

Niat

Pasang niat dan mula berazam untuk menyusukan anak yang bakal dilahirkan sejak anda mula disahkan hamil. Setelah azam di tanam, jangan lupa untuk suburkannya dengan motivasi menerusi pembacaan, perkongsian pengalaman dan sebagainya. Dengan niat dan azam yang kuat, anda tidak mungkin mudah berputus asa. Segala rintangan dan dugaan pasti sanggup anda harungi jika niat dan azam diutamakan melebihi segala-galanya.

Berdoa

Sentiasa berdoa dipermudahkan proses perjalanan penyusuan anak anda. Dia suka mendengar doa hamba-Nya. Jadi, selalu dekatkan diri kepada Allah s.w.t. sesungguhnya Dia Maha Pemberi Rezeki yang bakal anak anda peroleh nanti iaitu susu ibu.

Sokongan

Kongsi niat anda untuk menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu bersama suami, ahli keluarga dan rakan-rakan. Nyatakan hasrat anda untuk mendapat sokongan daripada mereka terutamanya daripada pihak suami. Sokongan yang dimaksudkan bukan setakat bersetuju dengan keinginan anda mahu menyusukan bayi tetapi ia perlu lebih daripada itu.

Oleh itu, banyakkan berbincang tentang perancangan yang bakal dilakukan dan pada masa yang sama, bersama-sama lengkapkan ilmu agar semua sedar dengan peranan masing-masing dalam membantu anda menjayakan penyusuan susu ibu.

Yakin

Sentiasa berfikiran positif bahawa anda akan dapat menyusukan anak kelak. Yakinilah bahawa anda boleh menyusukan bayi sejurus selepas kelahirannya. Ingat, pengeluaran susu ibu adalah berasaskan konsep permintaan dan penawaran. Jadi, susukan bayi sekerap mungkin sebaik kelahirannya. Fahami juga bahawa pada awal kelahiran bayi hanya mendapat kolostrum. Selepas iu, susu ibu akan meningkat sedikit demi sedikit. Teruskan kekerapan menyusu dan sentiasa berfikiran positif bahawa susu anda cukup untuk keperluan anak.

Pentingnya Penjagaan Diri Semasa Pantang Bersalin

Pentingnya Penjagaan Diri Semasa Pantang Bersalin
Aspek penjagaan diri bagi ibu-ibu bersalin semakin dipandang remeh dan diambil ringan oleh ramai wanita hari ini, terutama amalan berurut, bertuam, bertungku, bertangas dan berbengkung atau berbarut. Tidak dinafikan amalan tersebut agak leceh, tetapi kesan dan hasilnya berpanjangan. Sekiranya penjagaan diri semasa dalam pantang diabaikan, kesannya mungkin tidak serta-merta. Namum, apabila melalui kelahiran yang banyak, usia pula meningkat, daya tenaga semakin menurun, barulah terasa lenguh-lenguh dan bisa urat, sendi serta otot, sakit pinggang dan kebas tangan. Apabila keadaan sedemikian berlaku, kebanyakan ibu menjadi dingin dan lemah tenaga batin.

Secara umumnya, wanita yang melahirkan anak berdepan dengan risiko peranakan rendah atau rahim turun. Ini kerana otot pelvis atau tulang kajang akan merenggang akibat peneranan yang kuat semasa proses melahirkan. Jika tidak dirawat dari awal, keadaan tersebut boleh menjadi penyebab kepada masalah kerap membuang air kecil atau terkencing apabila batuk, ketawa atau bersin. Jika kelahiran berulang, otot faraj akan semakin longgar sehingga mengakibatkan terjadinya prolaps atau keluar tombong.

Secara fizikal, keadaan urat saraf dan luka kelahiran sama ada secara normal atau pembedahan tidak banyak berbeza. Cuma luka kelahiran secara pembedahan adalah lebih ketara dengan kesan bukaan pada abdomen, tempat di mana bayi dikeluarkan, manakala ibu yang bersalin normal hanya mengalami luka di mulut rahim atau mulut faraj.

Ramai wanita hari ini mengganggap bersalin secara pembedahan tidak meninggalkan kesan longgar pada saluran faraj atau kesan lain pada peranakan, lalu sewenang-wenangnya memendekkan jangka masa berpantang. Dengan itu, jimak dimulakan dengan lebih cepat. Seyogialah diingatkan bahawa sebenarnya, bersalin secara pembedahan memerlukan lebih perhatian perubatan tradisional berbanding bersain secara normal.

Walaupun keadaan darah nifas mengering dan ibu sudah boleh bersuci dengan mandi wajib bagi menjalankan ibadah seperti solat, tetapi tidak semestinya boleh menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dengan melakukan jimak. Ini kerana seluruh peranakan masih bengkak dan luka jahitan masih mentah. Bagi memulihkannya dengan sempurna, satu jangka masa yang panjang diperlukan, iaitu sekurang-kurangnya 60 hari. Sebaik-baiknya, setiap ibu bersalin menunggu sehingga melepasi hari yang ke 100 agar seluruh anggota peranakan pulih seperti sediakala, dan sekaligus dapat menjauhi masalah penuaan sebelum masanya. Bagi yang bersalin normal, ilmu perbidanan Melayu menekankan bahawa tempoh berpantang selama 60 hari adalah amat penting untuk memilihara mulut rahim serta seluruh peranakan yang masih lemah dan mentah.

Terdapat juga wanita yang mulai berjimak selepas dua minggu bersalin apabila darah nifas sudah kering kerana menurut kefahaman dan nasihat perbidanan moden. Walaupun persetubuhan dilakukan secara lembut, aktiviti tersebut akan mengganggu urat saraf peranakan yang menegang apabila mencapai inzal. Ketegangan urat saraf akan menyebabkan bentan urat, manakala gerakan kucupan mulut rahim akan membuka kesan luka bersalin yang masih dalam proses penyembuhan. Keluaran darah nifas yang lebat atau tumpah darah sering berlaku, sama ada dalam kalangan ibu bersalin normal atau secara pembedahan. Luka-luka jahitan di bahagian lapisan perut serta rahim akan mulai membengkak dan adakalanya jahitan terbertas dan mengakibatkan pendarahan.

Terdapat ramai wanita yang menamatkan pantang selepas 30 hari atau 40 hari bersalin. Walaupun didapati tidak berbahaya, tindakan tersebut memberi kesan yang buruk terhadap kewanitaannya. Keseluruhan peranakan, iaitu rahim, tiub Fallopio serta ovari yang masih belum pulih akan kembali membengkak, urat saraf akan menegang dan mulut rahim akan tersembul merkah dan mentah. Mungkin posisi rahim akan terganggu kerana organ tersebut baru sahaja mengecut dan walaupun sudah kembali ke tempat asal, kedudukannya masih belum mantap.

Aktiviti berjimak akan menarik turun posisi rahim ke peringkat peranak rendah atau prolaps tahap pertama. Ibu akan terasa berat di bahagian pelvis atau ari-ari dan kurang selesa apabila membuang air kecil dan adakalanya kerap membuang air kecil. Lama-kelamaan ini menimbulkan rasa lenguh atau sakit pinggang, bisa-bisa betis serta sakit tumit, badan terasa berat, letih selain bisa otot dan sendi. Apabila sampai ke peringkat yang serius, bahagian lutut terganggu oleh rasa sakit dan bisa serta bengkak. Gangguan di bahagian lutut menandakan berlakunya kelemahan di bahagian peranakan.

Oleh yang demikian, ilmu perbidanan Melayu menekankan bahawa ibu bersalin normal dipantangkan berjimak sehingga 44 hari. Difahamkan pada hari ke 44 pantang bersalin, segala urat saraf peranakan kembali memperkemas kemantapannya dan berada dalam proses penyembuhan peringkat terakhir serta berkeadaan lemah. Semasa itu, ibu dilarang ke mana-mana dan perlu berehat. Jika terjadi kemalangan seperti terseliuh kaki, tersepak ibu jari atau jatuh terduduk, keadaan tersebut sukar dirawat. Ada ibu yang berjalan tempang atau lumpuh kerana bentan urat sum, iaitu tersentap urat besar di bahagian pinggul. Ada juga yang keluar tombong kerana terhentak punggung dengan kuat dan kejadian ini menyebabkan penderitaan selama-lamanya. Kejadian ini bukalah kisah dongeng, tetapi telah banyak berlaku, terutama pada zaman ini. Ibu yang kemalangan ini mesti mendapatkan rawatan awal daripada pakar urut perbidanan. Walaupun dapat disembuhkan, kesannya, ibu tersebut cepat laih dan makan tua sebelum usia.

Lazimnya, hari yang ke 45 ialah hari kelepasan tempoh pantang ibu bersalin normal. Untuk ibu bersalin secara pembedahan, hari kelepasannya ialah hari yang ke 50. Pada masa yang tersebut, ibu boleh kembali melayan suami dengan mesra secara mana yang diinginkan. Bagaimanapun, ilmu perbidanan Melayu menekankan bahawa sebaik-baik hari kelepasan pantang bagi ibu bersalin, sama ada secara normal atau pembedahan adalah pada hari yang ke 101 kerana telah terbukti berkesan melambatkan proses penuaan, disamping memelihara tahap kesihatan.

Teknik Pernafasan Yang Betul Membantu Kelahiran

Teknik Pernafasan Yang Betul Membantu Kelahiran
Teknik pernafasan yang betul semasa proses kelahiran dapat memaksimumkan jumlah oksigen yang sedia digunakan oleh anda dan bayi. Malah, bernafas dengan cara yang betul membantu anda menangani kesakitan akibat kontraksi.

Antara tertekan atau ketakutan, pernafasan anda menjadi lebih pendek dan deras. Bahu pula akan tertarik ke atas ke arah telinga. Pada masa yang sama, leher dan otot bahu juga mengalami tekanan dan ketegangan. Jika terus panik, anda akan bernafas dengan cara yang salah iaitu menyedut udara kedalam paru-paru dan menghembuskan nafas secara tercungap-cungap. Pernafasan dalam keadaan panik bakal mengurangkan jumlah oksigen yang diambil untuk tubuh dan bayi yang dikandungi.  Malah, anda mudah berasa pening dan akan hilang kawalan. Lebih teruk, jari jemari dan mulut boleh terasa kebas.

Adakah normal apabila mengalami kontraksi, anda bernafas dengan lebih pendek dan cetek. Ini tidak salah selagi pernafasan anda tidak menjadi lebih deras dan bertukar menjadi pernafasan panik. Gunakan kaedah pernafasan Re-Laks. Sewaktu menarik nafas, sebutkan dalam hati perkataan “Re” dan semasa menghembus nafas sebut perkataan “Laks”. Tumpuakan perhatian dengan menyebut di dalam hati perkataan Re-Laks berulang kali setiap kali bernafas. Sewaktu menghembuskan nafas, lepaskan apa jua tekanan yang sedang anda hadapi. Fokuskan kepada bahagian otot yang sedang mengalami ketegangan. Oleh itu, anda bolehlah menyebut di dalam hati secara panjang perkataan “Laaaaaks” setiap kali anda menghembus nafas.

Anda juga boleh mengira sewaktu bernafas. Semasa menarik nafas, kira angka satu hingga tiga dengan perlahan-lahan. Anda juga boleh mengira sebarang nombor yang anda mahu. Semasa menghembus nafas pula. Lakukan perkara yang sama juga. Anda  akan dapati bahawa adalah lebih selesa apabila mengira tiga kali untuk tarikan nafas dan empat kali untuk hembusan nafas.

Bernafas dengan dengan melalui hidung dan hembus melalui mulut dengan lembut. Lazimnya, ramai wanita hamil mendapati membuat bunyi-bunyian semasa menghembus nafas seperti “oooooh” atau “aaaaah” amat membantu.

Di antara sela waktu kontraksi, anda digalakan untuk meminum sedikit air (jika dibenarkan doktor) bagi menghindari masalah mulut menjadi kering.

Sememangnya pernafasan yang baik dan pada masa yang sama berkeadaan  tenang setiap kali mengalami kontraksi. Oleh yang demikian, sokongan suami sangat diperlukan. Dia dapat membantu mengekalkan kestabilan pernafasan anda dengan turut sama melakukan corak pernfasan yang dicadangkan bersama-sama.

Disarankan, anda memandang mata suami manakala dia pula memegang tangan anda. Ikut lah cara dia bernafas sama seperti yang dicadangkan di atas. Teknik pernafasan ini amat membantu sepanjang tempoh bersalin terutamanya ketika anda mula keletihan.


Sebaik-baiknya, anda berdua membuat latihan pernafasan ini sepanjang tempoh kehamilan. Mungkin, pada awalnya anda dan suami berasa kurang selesa.

Keguguran Dan Berpantang

Keguguran Dan Berpantang
Mengikut ilmu perbidanan Melayu, keguguran ialah situasi yang dianggap lebih serius daripada kelahiran. Keguguran umpama buah yang gugur sebelum masak dan dipercayai akan membawa kesan yang kurang menyenangkan, iaitu mudah diserang angin gugur atau dikenali angin jahat.

Angin Gugur - ialah angin yang menyerang selepas keguguran, mengakibatkan ibu mudah terdedah kepada pelbagai masalah alahan makanan dan persekitaran.

Bisa Keguguran - ialah rasa sakit yang tajam dan berdenyut di bahagian ari-ari, pinggang dan sendi selepas kejadian keguguran.

Angin gugur yang menjadi pembawa bisa keguguran akan sentiasa terpendap di dalam urat saraf sehinggalah ibu tersebut hamil semula dan melahirkan, barulah dia dapat kembali sembuh. Penyakit angin gugur ini tidak dapat diubati walaupun melalui kaedah moden seperti pembersihan rahim atau D&C. Malah, dipercayai angin ini akan bertambah mudah menyerang selepas rawatan D&C, terutama jika tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Keadaan adalah lebih buruk bagi ibu keguguran yang tidak merawat diri dan cebisan darah lendir daripada janin serta sisa uri masih tertinggal di dalam rahimnya. Ibu keguguran seperti ini akan menghadapi masalah angin toksik yang boleh menyebabkan keracunan darah akibat infeksi di bahagian peranakan. Masalah keracunan darah dapat dielakkan sekiranya rawatan pencucian atau pembersihan rahim dilakukan dengan teliti dan sempurna.

Keguguran tanpa penjagaan yang rapi juga menyumbang kepada masalah angin merian yang berpunca daripada keracunan darah. Apabila bahagian rahim tidak dibersihkan dengan rapi, toksin akan meresapi ke seluruh sistem badan. Sering kali terjadi ibu mengalami demam panas sehingga terkancing gigi apabila mereka tidak berpantang makanan yang dilarang selepas berlakunya keguguran.

Mengikut petua Melayu, penjagaan dalam pantang bersalin adalah lebih mudah berbanding penjagaan ibu yang keguguran. Ibu dalam pantang bersalin dikehendaki sentiasa memanaskan badan dalam peraturan rawatan dan pemakanan. Berlainan halnya dengan ibu yang keguguran, sebab mereka tidak boleh dirawat dengan cara panas atau sejuk dari segi perubatan dan pemakanan. Oleh sebab itulah, bukan mudah untuk menjaga ibu-ibu keguguran, tambahan pula bagi yang tidak berpengetahuan atau berpengalaman dalam hal perawatannya.

Kebanyakan wanita hari ini mengambil ringan tentang kejadian keguguran. Ini terjadi kerana ramai yang jahil tentang pentingnya penjagaan diri selepas keguguran, manakala ilmu yang berkaitan tidak disebarkan secara meluas akibat terpengaruh dengan mentaliti perubatan moden. Walaupun kita menghormati ilmu dan sistem perubatan moden, kita percaya mereka belum cukup mendalami dan memahami hukum alam badan dan kesihatan manusia yang berkait rapat dengan suasana alam semulajadi.

Ramai wanita masa kini menganggap rawatan pantang keguguran secara tradisional adalah remeh kerana berpendapat bahawa proses kelahiran lebih teruk daripada proses keguguran. Oleh sebab itu, ilmu penjagaan tentang keguguran semakin ditelan zaman, bahkan hampir berkubur tanpa pengamalnya. Sesungguhnya, ilmu tersebut dapat mempercepatkan proses pemulihan "penyakit melanuih keguguran", seperti tekanan emosi, masalah kesuburan, lemah rahim, ketidakseimbangan hormon, serta bengkak dan bisa otot peranakan. Penyakit melanuih juga boleh menyebabkan bisa-bisa tumit, betis, lutut serta pinggang, kebas-kebas sendi, mudah seram sejuk, demam tidak kebah, dan kalah dalam perjuangan berjimak.


Tempoh Pantang Keguguran

Mengikut petua Melayu, terdapat pelbagai pantang larang ibu keguguran dari segi pemakanan dan cara hidup harian. Berpantang ibu bersalin ditamatkan mengikut jangkamasa keguguran. Jika berlakunya keguguran selepas dua minggu hingga tiga bulan kehamilan, ibu pantang berjimak selama 30 hari. Ini adalah kerana angin gugur telah sedia ada untuk menyerang atas kesilapan pantang larang.

Jikalau keguguran berlaku pada usia kehamilan 4-5 bulan, ibu harus pantang berjimak selama 40 hari. Jikalau keguguran berlaku lebih daripada bulan keenam, ibu pantang berjimak selama 44 hari. Namun, untuk lebih berkesan pantang larang pemakanan ibu keguguran akan tamat apabila ibu kembali hamil dan bersalin.


Pantang Larang Keguguran

Masyarakat Melayu tradisional mengenakan pelbagai pantang larang kepada wanita yang keguguran. Dipercayai jika wanita yang keguguran lalu atau berjalan di bawah penyidai kain akan mendapat sakit kepala. Jika terkena titisan hujan atau hujan panas serta terkena angin senja atau tengah malam beliau mudah dihinggapi demam panas atau demam mengiggil.

Bagaimanapun, pantang larang yang terutama ialah tidak boleh melintas di bawah pohon cermai atau memakan buah cermai kerana ia dipercayai boleh mencetuskan bentan atau kesan tegang urat sehingga membawa kepada demam menggigil.

Dari segi pemakanan, ibu keguguran mesti megelakkan makanan berangin, seperti ubi keladi, rebung, sayur keladi, pucuk paku, pucuk ubi, serta terung. Selain itu dipantangkan juga makanan yang sejuk serta menjalar seperti labu, kangkung, kacang panjang, timun, dan buah-buahan yang sejuk seperti ciku, betik, langsat, duku, macang, kuini, nangka, cempedak, pisang masak hijau, durian belanda dan tembikai madu. Turut ditegah mengambilnya ialah ikan yang berbisa seperti ikan berduri, terubuk, bawal hitam, tudung periuk, cencaru, tamban, sardin, pari dan makanan laut seperti udang, sotong, kerang, belacan, budu, cencaluk dan ikan masin.

Walaupun, petua pantang larang ini kelihatannya seperti tidak logik atau kejam, telah pun terbukti terjadinya alahan bagi ibu yang melanggarnya seperti bentan urat, demam yang susah turun, rambut gugur, mudah sayu, pekang, alahan kulit dan cuaca, serta mudah letih.


Jenis-Jenis Keguguran

Mengikut ilmu perbidanan Melayu, ada pelbagai jenis keguguran yang dapat dikesan dan dikenali. Antaranya disenaraikan seperti yang berikut ini.

Gugur Ugut

Gugur ugut (threatened abortion) atau dikenali juga sebagai gugur terancam, sering berlaku pada rahim yang lemah, seperti pintu rahim yang mudah terbuka apabila kehamilan berlaku dan kedudukan yang tidak mantap di dinding rahim. Keguguran jenis ini juga berpunca daripada ketidakseimbangan suhu badan, kelemahan darah, muntah yang kronik sehingga memberi tekanan di bahagian ari-ari atau ibu terjatuh dalam posisi yang boleh menyebabkan gugur ugut.

Gugur berlaku dengan keluaran tompokan darah pekat berwarna merah coklat, tanpa rasa sakit. Darah sering keluar setaip kali ibu bergerak. Petua Melayu mengesyorkan ibu hamil mengamalkan air bunga tanjung (lotus) atau herba hiya (artemisia bulgaris) sebagai membantu menghentikan berlakunya gugur ugut. Lazimnya, ibu yang kerap mengalami gugur pada setiap kehamilan disyorkan mengambil air rebusan bunga tanjung sebagai amalan harian untuk memantapkan kedudukan janin dan mencegah berlakunya gugur ugut.

Gugur Bentan

Jikalau gugur berlaku pada kehamilan tiga bulan ke atas, ia dikenali sebagai gugur bentan (inevitable abortion). Keguguran ini akan mengakibatkan tumpah darah. Ibu hamil akan terasa sakit seperti kontraksi di bahagian rahim atau ari-ari sehingga ke cawan muka di bahagian pinggul. Kesakitan ini seakan sakit senggugut yang serius atau sakit bersalin. Kesakitan ini adalah kerana janin telah membentuk dan mengeras, serta disalurkan dengan urat saraf ibu. Tumpah darah yang diikiuti dengan kesakitan ini boleh menyebabkan ibu menjadi lemah sehingga gelap mata atau pengsan. Mengikut ilmu perbidanan Melayu, gugur bentan ini berpunca daripada rahim yang kedudukannya telah lari termasuk ke bawah tulang kajang. Rahim tidak dapat membesar bersama janin. Apabila janin semakin membesar, rahim yang tidak dapat menimbul akan tertekan oleh tulang kajang dan gugur bentan akan berlaku. Perkara tersebut lazimnya berlaku kepada ibu yang biasa jatuh terhempap kuat di bahagian punggung, yang mungkin meyebabkan kecacatan posisi rahim.

Ada juga kejadian gugur gara-gara ibu yang ingin menjarakkan kehamilannya melalui urutan yang tersalah cara. Akibatnya mulut rahim terkalih dari posisi yang bertentangan dengan pintu faraj, sehingga berlakunya posisi yang songsang atau rahim terbenam di dalam salur bawah tulang kajang.

Gugur Sangkut

Dalam gugur sangkut atau gugur tak sepenuhnya (incomplete abortion), tumpah darah yang banyak akan berlaku berlarutan sehingga beberapa hari. Keadaan ini menandakan masih ada baki tisu janin atau tisu uri yang tertinggal di dalam rahim. Rahim akan membengkak dan mulutnya terbuka luas. Keadaan ibu akan kelihatan pucat dan lemah, bahagian ari-ari atau rahimnya tidak boleh disentuh walau dengan cara lembut kerana terlalu sakit.

Jika dibiarkan, lama-kelamaan ibu tidak boleh berjalan lurus kerana terlalu sakit di bahagian tersebut dan sentiasa berbongkok menahan sakit. Adakalanya jika rumah berlantaikan papan, kesan tapak kaki berjalan pun mencetuskan jeritan kesakitan daripada ibu tersebut.

Gugur Sawan Atau Gugur Keracunan

Gugur sawan (septic abortion) berlaku apabila ibu hamil mengeluarkan darah berbau busuk dan mengandungi nanah, yang mana rahimnya dikatakan mengalami keracunan. Keadaan rahim akan membengkak dan mengeras menyebabkan ibu mengalami demam panas yang serius. Demam tersebut boleh membuatkan ibu menggigil sehingga terkancing gigi dan mata berpusar seperti keadaan penyakit tarik.

Mengikut ilmu perbidanan Melayu, disyorkan pelbagai rumusan herba untuk membantu membersihkan angin dan darah yang keracunan dalam sistem peranakan.

Gugur Bangkai Atau Kecacatan Kehamilan

Mengikut ilmu perbidanan Melayu, kandungan yang tidak membesar serta janin tidak bernadi menandakan kecacatan kehamilan. Tetapi janin yang mati itu disaluti dengan pendarahan dalaman rahim yang merupakan sebentuk gumpalan isi serta darah.

Keguguran ini berlaku apabila terdapat keluaran ketulan darah beku berwarna merah tua, disusuli dengan cebisan-cebisan isi. Kejadian ini dikenali sebagai gugur bangkai (missabortion). Ibu yang mengalami keadaan ini akan sentiasa pening atau sakit kepala dan loya yang serius.

Gugur Badai Atau Gugur Berulang

Mengikut tafsiran perbidanan Melayu, wanita yang sering mengalami keguguran atau gugur berulang kali, dikenali sebagai gugur badai (recurrent abortion). Wanita tersebut dikatakan mengalami kelemahan rahim, terutama di bahagian leher dan mulut rahim, yang mana anggota itu tidak dapat memegang atau memikul kehamilan dengan kuat.

Setiap kali pergerakan kuat berlaku atau mengalami keletihan yang amat sangat, ibu menghadapi risiko keguguran. Akibat kerap gugur, ibu hamil itu walaupun diberi sepenuh rehat tanpa banyak pergerakan termasuk berjimak, keguguran masih juga boleh berlaku. Mengikut kefahaman lama, ibu ini bermasalah penyakit deria rangsang wanita, iaitu ketidakseimbangan hormon. Penyakit deria rangsang wanita ini dapat menyebabkan pelbagai masalah, satu daripadanya ialah gugur badai.

Gugur Paksa

Gugur paksa atau mengeluarkan janin dengan cara paksa dari rahim telah lama dipratikkan oleh masyarakat berbilang bangsa. Perkara yang terkutuk, bercanggah dengan prinsip kemanusiaan dan diharamkan oleh agama ini masih berleluasa dilakukan dengan pelbagai kaedah, asalkan pengguguran itu berjaya.

Gugur paksa merupakan perkara yang amat sensitif dalam kalangan masyarakat. Perbuatan hina ini bukan topik yang dibualkan secara terbuka, terutama pada zaman dahulu. Sebaliknya kebanyakan keguguran semulajadi yang berlaku diterima sebagai suratan takdir.

Gugur paksa pula amat dirahsiakan kerana masyarakat Melayu tidak menerimanya walaupun dilakukan dengan tujuan untuk membantu mangsa rogol atau wanita yang dianiaya. Jikalau gugur paksa diketahui ramai, mangsa rogol itu akan dihina masyarakat dan menjadi buah mulut.


Berpantang Sepanjang Masa

Penyakit atau masalah keguguran akan hilang atau sembuh selepas berlakunya kehamilan kembali. Namun, bagi mereka yang keguguran dan tidak hamil lagi, mereka perlu mengawasi pemakanan dengan menjauhi benda-benda yang dilarang sampai bila-bila.

Ini kerana apabila dimakan, walaupun sedikit, mereka akan mendapat kesan sampingan yang akan melemahkan tubuh atau mengakibatkan penyakit bisa otot dan sendi. Apalagi kalau dimakan secara berlebihan, akan menjadi punca penyakit angin pasang atau barah angin. Sebagai mengatasi penyakit akibat keguguran, rawatan dan pemakanan secara tradisional mesti diamalkan. InsyaAllah mereka yang mengalaminya akan kembali pulih ataupun sekurang-kurangnya kesan penyakit tersebut dapat dikurangkan.

Angin Pasang - ialah angin beracun yang juga dikenali angin jahat.

Barah Angin - ialah kejadian gumpalan angin lendir bertoksik yang mengeras dan berlegar di dalam perut.


"Set Berpantang Keguguran"

Bagi yang ingin berpantang keguguran, Kak Engku sarankan agar menggunakan Set Berpantang Keguguran Shaklee  kerana fungsi dan keberkesanannya untuk menyembuhkan organ dalaman serta membantu memberi kehamilan semula yang berkualiti sekaligus dapat mengelakkan berlakunya keguguran yang berulang. Klik sini untuk Set Berpantang Keguguran Shaklee.

Peranan Papa Semasa Mama Sakit Bersalin

Peranan Papa Semasa Mama Sakit Bersalin
6 PERKARA PAPA PERLU TAHU

Masa kini, di kebanyakan hospital suami digalakkan untuk menemani isteri di bilik bersalin. Di sini terdapat beberapa perkara yang perlu papa ketahui  untuk menghadapi saat kelahiran cahaya mata ketika berada di hospital kelak.

Sentiasa Berada Di Sisinya

Pada saat ini, isteri sangat memerlukan sokongan anda. Oleh yang demikian, sentiasalah berada di sisinya. Pada masa ini, anda boleh memberikan kata-kata semangat dan meluahkan perasaan kasih sayang terhadapnya sebagai tanda menghargai pengorbanan sepanjang tempoh kehamilan dan proses bersalin yang telah dilakukannya. Ucapan semangat dan keyakinan daripada anda sudah tentu amat bermakna buat si isteri sebagai dorongan untuk melalui saat-saat getir bersalin.

Meredakan Kesakitan

Kehadiran anda di sisi isteri sedikit sebanyak  dapat meredakan kesakitan yang ditanggung olehnya walaupun anda hanya sekadar mengusap belakang isteri ketika kontraksi atau menggengam tangannya. Kesakitan yang dialami isteri juga boleh anda kurangkan dengan mengelap wajahnya setelah berpeluh menahan kontraksi atau memberinya minum jika dibenarkan oleh doktor. Dengan yang demikian, isteri anda pasti berasa lebih segar yang secara tidak langsung boleh mengurangkan kesakitan yang dihadapi.

Teman Berjalan

Gambaran yang biasa dipaparkan oleh drama atau filem tidak sama seperti realiti. Proses bersalin lazimnya memakan masa yang panjang. Lebih-lebih lagi bagi anda yang bakal menimang cahaya mata sulung. Jadi, penuhi masa luang yang anda berdua miliki di bilik bersalin dengan menemani isteri berjalan-jalan di sekitar kawasan berhampiran. Apatah lagi, aktiviti berjalan dipercayai dapat membantu mempercepatkan proses kelahiran bayi.

Tenang dan Fokus

Ke tika sakit bersalin,isteri anda akan mula hilang daya tumpuan, berasa  gementar dan mindanya tidak semena-mena ligat memikirkan hal-hal yang buruk. Kesemua ini boleh mendatangkan aura negatif yang secara tidak langsung boleh menyukarkan perjalanan proses bersalin. Peranan yang perlu anda mainkan ketika ini ialah cuba menenangkan si isteri dengan memberikan kata-kata semangat berbual tentang perkara yang menggembirakan atau seumpama dengannya. Selain daripada itu, anda digalakan membacakan ayat-ayat Al-Quran terutamanya ayat-ayat khas untuk wanita mudah bersalin agar isteri anda kekal tenang tatkala mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh anda.

Kawal Diri

Saat-saat menanti kelahiran anak sangat mendebarkan. Sama seperti isteri, anda juga perlu belajar cara untuk mengawal diri. Sewaktu isteri mengerang kesakitan kesan kontraksi yang dialami, anda perlu bertenang agar tidak panik berlebihan dan menjalankan peranan dan tanggung jawab untuk membantu isteri mengawal dirinya bagi mengurangkan rasa sakit yang dialami. Lakukan langkah-langkah yang pernah di kelas antenatal seperti yang telah dikongsi  oleh doktor. Antaranya ialah  senaman pernafasan yang ternyata bagus untuk isteri yang sedang bertarung kesakitan.

Jangan Ambil Hati

Apabila isteri mula mengalami kontraksi, anda seharusnya perlu tahu bahawa dia akan mula mengalami kesakitan untuk tempoh waktu tertentu. Saat itu, emosinya mula terganggu dan menjadi tidak stabil. Kadang kala dia mudah marah, kerap merungut dan seumpama dengannya.

Oleh yang demikian, anda dinasihatkan untuk tidak mengambil hati dengan sikap isteri yang bersifat hanya sementara itu. Anda harus ingat bahawa isteri sedang menahan kesakitan untuk bersalin. Mungkin  di awal proses kontraksi, urutan menenangkannya tapi di hujung kontraksi, isteri tidak mahu sebarang sentuhan malah mungkin meniggikan suara.

Jangan ambil hati kerana itu adalah kesakitan dan emosi yang bercakap. Perhatikan perubahan pada isteri dan ikut sahaja.

Cadangan Persiapan Sebelum Kelahiran

Cuti

Pastikan  anda mengambil cuti apabila tarikh jangkaan bersalin isteri semakin hampir. Lebih-lebih lagi bagi anda yang mungkin bekerja jauh dari kediaman seperti bekerja di luar daerah umpamanya. Dikhuatiri, jika anda tidak berbuat demikian, tiada sesiapa yang bakal menemani isteri apabila sudah tiba masanya.

Periksa Kereta

Pastikan kenderaan anda berkeadaan dan boleh berfungsi dengan baik. Dibimbangi kereta rosak apabila ia perlu digunakan kelak. Sudah pasti ia boleh menimbulkan rasa panik dan kelam kabut sedangkan isteri perlu segera dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Telefon

Gajet ini sangat penting. Adalah sangat penting untuk anda memastikan telefon yang dimiliki mempunyai baki kredit yang mencukupi untuk membuat sebarang panggilan jika anda menggunakan talian prabayar. Selain daripada itu, pastikan juga bateri telefon sentiasa penuh agar dapat digunakan untuk membuat panggilan ketika kecemasan.


INFO


Anda mungkin takut melihat darah. Namun, anda masih boleh menemani isteri di peringkat awal proses kelahiran. Biasanya di tahap pertama proses bersalin, isteri  mula mengalami kontraksi yang lebih kerap.

Bagaimana Terjadinya Keguguran

Bagaimana Terjadinya Keguguran
Keguguran membawa maksud kehilangan atau kematian janin sebelum usianya genap 28 minggu di dalam rahim ibu. Tempoh 28 minggu dinilai kerana selepas tempoh itu, perkembangan janin begitu pesat dan kebarangkalian untuk hidup adalah tinggi. Sebelum usia mencecah 28 minggu, janin lemah dan tidak mampu hidup di luar rahim ibunya.


Sebab-Sebab Terjadi Keguguran

Natural Selection - Teori ini sangat terkenal kerana ia mudah untuk difahami. Secara tabii atau semulajadinya, tubuh manusia akan menolak (reject) benda asing yang rosak. Contohnya, jika makan makanan yang sudah basi, tubuh akan menyingkirkannya. Maka terjadilah proses pembuangan makanan itu melalui muntah atau cirit-birit. Biarpun begitu, tubuh kita tidak terlepas daripada menerima kesannya. Sama seperti apabila kandungan telah mati dan rahim cuba mengeluarkannya. Kontraksi rahim dan pendarahan akan berlaku, sekaligus ibu akan merasai kesakitannya.

Ovum dan sprema yang mati sebelum membentuk janin. Kematian terjadi akibat kecacatan pada strukturnya. Virus seperti TORCH atau Cytomegalo yang menyerang ibu boleh merosak dan mencacatkan struktur ovum dan sperma.

Kecacatan struktur turut berlaku sekiranya ibu mengalami kekurangan zat makanan atau kencing manis yang teruk. Pengambilan minuman beralkohol, dadah dan rokok juga boleh menyebabkan keguguran.

Penyakit keputihan yang serius boleh menjadi punca keguguran. Keputihan biasanya disebabkan oleh kuman (sama ada Monilia / Virus / Bakteria) yang menular dan menjangkiti rahim. Jadi, segeralah dapatkan rawatan sewajarnya.

Sebab-sebab yang dinyatakan di atas biasanya menyerang ketika janin berusia kurang 12 minggu (trimester pertama). Bagi janin yang berumur 12 minggu hingga 28 minggu, masalah keguguran dipengaruhi oleh faktor-faktor lain. Ini termasuklah masalah uri dan pembentukan jantung yang tidak normal yang menyebabkan janin tidak berupaya menahan tekanan.

Faktor rahim ibu tidak cukup hormon. Dalam kes ini, kandungan berada dalam keadaan normal. Tetapi, servik (pangkal rahim) ibu tidak kuat dan mudah terbuka yang menyebabkan kandungan tidak dapat bertahan di dalamnya.


Tanda-Tanda Keguguran

Rasa loya dan muntah (morning sickness) hilang serta-merta sebelum tempoh mengandung mencecah 12 minggu.

Ari-ari terasa sakit dan mengalami keputihan yang serius.

Pendarahan semasa mengandung.

Perut mengecil secara tiba-tiba.

Ibu demam, tidak sihat atau pengsan.


Rawatan

Rawatan diberikan setelah mengenal pasti punca keguguran.

Imunisasi dan pembentukan antibodi terhadap virus adalah penting sebelum seseorang ibu mengandung lagi.

Zat makanan yang sesuai diberi dalam bentuk suplemen, contohnya seperti asid folik.

Sekiranya ujian imbasan ultrabunyi menunjukkan rahim bersih, maka D&C tidak perlu dilakukan bagi membuang sisa kandungan.

Tetapi jika sisa tidak keluar sepenuhnya, D&C terpaksa dibuat bagi membersihkannya. Dikhuatiri pendarahan yang banyak dan serangan kuman boleh terjadi sekiranya dibiarkan.

Sekiranya masalah servik lemah dikenal pasti, maka ibu terpaksa dirawat dan Cervical Encirclage dibuat di mana servik diikat dengan tali tangsi yang kuat dan hanya dibuka selepas cukup bulan.

Selain itu, rawatan susulan termasuk ultrabunyi bagi memastikan kesihatan anak. Kaedah ini popular kerana keberkesanannya adalah tinggi.

Ubat hormon untuk menstabilkan kandungan akan diberikan sekiranya didapati kurang hormon.


Tip


Ibu yang mengandung tidak harus bimbang jika kehamilannya berakhir dengan keguguran. Ini kerana besar kemungkinan kehamilan seterusnya akan menjadi normal. Apa yang lebih penting, kesihatan ibu perlu dipulihkan dan diberi rawatan yang betul bagi membolehkan si ibu untuk mengandung lagi sekiranya tidak berlaku sebarang komplikasi.

Berat Badan Ibu Hamil

Berat Badan Ibu Hamil
Berat badan ibu hamil akan sentiasa meningkat di sepanjang tempoh kehamilan. Berat badan ideal amat penting sepanjang kehamilan bagi menjamin kesihatan ibu serta perkembangan bayi yang sihat. Tetapi, jika berat badan ibu hamil berlebihan atau berkurangan, maka ibu hamil akan dipantau dan tindakan selanjutnya perlu diambil bagi memastikan kehamilan anda berjalan lancar.


Berat Badan Ideal

Pertambahan berat badan adalah berbeza untuk setiap ibu hami. Oleh itu, adalah penting untuk anda mengetahui pertambahan berat badan yang ideal semasa kehamilan dengan berat anda sebelum hamil. Ini kerana masalah berat badan yang berlebihan semasa kehamilan berisiko mengundang masalah pelbagai masalah kesihatan. Kenaikan berat badan sepanjang tempoh kehamilan ini bergantung kepada tinggi dan berat badan anda sebelum kehamilan.

Sekiranya berat badan anda kurang sebelum hamil, maka anda dinasihatkan untuk menambahkan berat badan anda sekitar 14 – 20 kg.

Bagi ibu hamil yang mempunyai berat badan ideal sebelum hamil, maka penambahan berat badan yang disarankan sepanjang kehamilan adalah sekitar 12.5 – 17.5 kg.

Dan sekiranya ibu hamil mengalami berat badan yang berlebihan sebelum hamil, maka penambahan berat badan yang disarankan adalah sekitar 7.5 – 12.5 kg sahaja.

Manakala bagi ibu hamil yang hamil kandungan kembar (dua atau lebih), berbincanglah dengan doktor mengenai kenaikan berat badan yang sesuai sepanjang tempoh ini. Ini kerana pertambahan berat badan adalah bergantung kepada jumlah janin di dalam rahim. Secara puratanya ibu hamil akan mengalami pertambahan berat badan antara 1.35 kg pada trimester pertama kehamilan dan meningkat kepada 0.45kg setiap minggu sehingga minggu ke-40.


Pertambahan Berat Ideal Ibu Hamil

Trimester Pertama

Pada trimester pertama, berat badan ibu hamil hanya akan bertambah sedikit sahaja dari berat badan sebelum kehamilan iaitu sekitar 1 – 4 paun (0.5 – 2.0 kg). Selalunya ketika ini ibu hamil masih tidak mengalami sebarang perubahan yang besar pada tubuh badan. Selain itu, ramai ibu hamil juga yang berdepan dengan masalah bagi menaikkan jumlah berat badan pada trimester pertama kehamilan. Ini disebabkan mereka mengalami alahan mengandung (morning sickness). Namun, tiada apa yang perlu dirisaukan, ia tidak akan memberi kesan kepada bayi anda, kerana di awal kehamilan bayi yang dikandung tidak memerlukan kalori dan nutrien yang banyak.


Trimester Kedua

Namun untuk trimester kedua dan minggu-minggu yang seterusnya, ibu hamil disarankan untuk menambah berat badan mengikut penambahan berat badan yang disyorkan mengikut kategori berat masing-masing. Pertambahan berat badan akan meningkat lebih pantas disebabkan faktor-faktor tertentu seperti mengidam, mudah berasa lapar serta adakalanya mengalami gejala kuat makan. Jadi dinasihatkan sebaik-baiknya seimbangkan pemakanan anda dengan diet yang sihat seperti buah-buahan, buah-buahan kering, jus buahan dan sebagainya.


Trimester Ketiga


Pada trimester ketiga, kebiasaannya berat badan ibu hamil telah bertambah sebanyak 6.0 kg. Sekiranya lebih, iaitu sekitar 9.0 – 12.0 kg, jangan risau kerana ia masih dalam skala pertambahan berat yang normal. Bagi ibu hamil yang mengalami masalah kurang berat badan, ia berkemungkinan akan menjejaskan tumbesaran bayi. Antara komplikasi yang berlaku seperti bayi kecil (tidak cukup berat semasa lahir) atau bayi dilahirkan sebelum masanya (pramasa). Ini disebabkan bayi yang dikandung tidak menerima bekalan khasiat yang mencukupi. Begitu juga pada ibu hamil yang mengalami berat badan berlebihan, pelbagai masalah dan risiko yang akan dihadapi.